POLIS  merampas mercun seludup bernilai RM30,000 selepas menahan sebuah van di tepi jalan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Keladi di Hulu Besut, di Jertih pada pukul 11.15 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata terdahulu van itu dikejar oleh enam kereta peronda polis (MPV) sejauh 70 kilometer dari Pasir Mas, Kelantan sebelum polis berjaya menahan seorang suspek pada pukul 11.15 pagi, namun seorang lagi suspek telah meloloskan diri.

Beliau berkata kejadian bermula apabila anggota polis dari cawangan MPV Ibu Pejabat Polis (IPD) Pasir Mas yang melakukan tugas ronda cegah jenayah melihat sebuah van berwarna putih yang mencurigakan, lalu pemandunya diarahkan berhenti untuk pemeriksan.

“Suspek sebaliknya bertindak memecut kenderaannya ke arah Tanah Merah melalui Machang dan Pasir Putih, Kelantan sebelum memasuki daerah Besut,” katanya pada sidang media di IPD Besut, di sini hari ini.

Katanya van dipandu suspek yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan itu turut melanggar sebuah kenderaan orang awam di bandar Jerteh ketika cuba meloloskan diri.

Abdul Rozak berkata keseluruhan rampasan termasuk van itu dianggarkan bernilai RM120,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here