Category: Jenayah

  • Kes pukul di sekolah: 13 pelajar dibebaskan dengan jaminan polis

    Kes pukul di sekolah: 13 pelajar dibebaskan dengan jaminan polis

    SEBANYAK 13 pelajar tingkatan empat sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Langkawi yang ditahan semalam bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pelajar lelaki dipukul beberapa pelajar lain dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

    Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata semua rakaman percakapan telahpun diambil dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

    “Kesemua yang ditangkap diberi jaminan polis,” katanya ringkas melalui aplikasi WhatsApp hari ini.

    Semalam, media melaporkan polis mengesahkan menerima laporan berkaitan kes seorang pelajar lelaki berumur 16 tahun dipercayai dipukul beberapa pelajar lain yang tular menerusi satu rakaman video.

    Kejadian pada 9 pagi kelmarin itu dipercayai akibat perselisihan faham antara mangsa dengan pelajar lain yang mangsa kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian itu pagi semalam.

    Kemudian, polis menahan 13 pelajar tingkatan empat terbabit dengan masing-masing 12 pelajar ditahan pada 12.30 tengah hari manakala seorang lagi ditahan 3 petang semalam.

    — BERNAMA

  • Polis tahan ibu, bapa tiri dua beradik mangsa dera

    Polis tahan ibu, bapa tiri dua beradik mangsa dera

    POLIS menahan satu pasangan suami isteri yang disyaki terlibat mendera dua beradik di Jalan Sungai Petani, dekat Alor Setar, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, bapa tiri dua kanak-kanak itu ditahan pada pukul 3.30 petang di rumahnya di Jalan Sungai Petani, manakala ibu kandung mereka yang berumur 31 tahun, ditahan kira-kira dua jam kemudian di sekitar Jalan Kolam Air, dekat sini.

    “Polis masih sedang menyiasat sama ada ibu dua beradik itu terlibat sama dalam kes berkenaan. Ibu dan bapa tiri dua kanak-kanak itu ditahan reman selama tujuh hari,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Semalam, media melaporkan polis menahan seorang lelaki berumur 33 tahun yang disyaki mencederakan dua anak tirinya, masing-masing merupakan murid darjah satu dan tiga sebuah sekolah rendah di sini, dan hasil saringan awal air kencing mendapati suspek positif terhadap jenis methamphetamine.

    Pegawai perubatan yang menjalankan pemeriksaan ke atas dua kanak-kanak berkenaan mengesahkan bahawa mereka mengalami kecederaan akibat dipukul, dan mereka kini ditempatkan di wad Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk pemantauan lanjut. – BERNAMA

  • Video buli tular, pelajar sekolah bangga dengan gengsterisme?

    Video buli tular, pelajar sekolah bangga dengan gengsterisme?

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PERTUBUHAN Pribumi Perkasa (Perkasa) Kedah mengharapkan kerjasama erat antara Kementerian Pendidikan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan tidak berlaku lagi kes-kes buli seperti yang tular di media sosial sebelum ini.

    Ketua Wira Perkasa Kedah, Mohd. Alif Sani berkata, jalinan kerjasama itu juga turut perlu dilaksanakan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengesan pihak yang menularkan video-video buli yang tular tersebut.

    Menurutnya, penularan video sedemikian menimbulkan persoalan sama ada pelajar-pelajar terlibat bangga dengan sikap dan sifat gengsterisme ditonjolkan.

    “Kami dengan penuh harapan menaruh kepercayaan penuh kepada kepimpinan dan kebijaksanaan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin dalam menyelesaikan masalah tersebut.

    “Dalam masa sama, kami juga mengajak kalangan pelajar agar berfikir panjang sebelum mengambil tindakan yang akan memalukan bangsa, selain berusaha menjaga hati serta perasaan keluarga yang menaruh harapan tinggi kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    MOHD ALIF SANI

    Beliau mengulas kejadian melibatkan seorang pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Putra, Langkawi yang dibelasah beramai-ramai hingga tular di media sosial semalam.

    Berikutan laporan polis dibuat mangsa, seramai 13 pelajar tingkatan empat sekolah tersebut telah ditahan dan diambil keterangan.

    Sementara itu katanya, kejadian buli yang tidak berkesudahan selama ini turut menimbulkan persoalan sama ada pendidikan moral dan sivik perlu diberi perhatian di sekolah-sekolah dalam negara ini.

    “Dalam masa sama, kita memahami kegusaran ibu bapa mengenai kemungkinan pihak sekolah lepas tangan atau cuba menyembunyikan kes seumpama ini bagi mengelakkan rekod sekolah tercalar,” katanya.

  • Polis jejak tahanan Rohingya lari dari Depot Imigresen di Pasar Borong Selayang

    Polis jejak tahanan Rohingya lari dari Depot Imigresen di Pasar Borong Selayang

    POLIS Kuala Lumpur akan melakukan pemantauan di Pasar Borong Selayang dan lokasi sekitarnya susulan terdapat dakwaan berhubung tahanan Rohingya yang lari dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap pada 20 April lepas kini berada di kawasan itu.

    Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata pihaknya sedia membantu Jabatan Imigresen mengesan saki-baki tahanan Rohingya yang masih bebas.

    “Kita akan cuba sedaya upaya kesan mereka yang masih belum ditangkap atau menyerah diri… itu antara tindakan diambil, sama ada kita pergi ke Pasar Borong Selayang atau tempat lain,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat 18/2022 peringkat kontinjen Kuala Lumpur di Balai Trafik Jalan Tun HS Lee, Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud yang tidak menolak kemungkinan tahanan Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap kini berada di Selayang.

    Khairul Dzaimee berkata demikian selepas menjalankan operasi di Pasar Borong Selayang dan Pasar Borong Kuala Lumpur hari ini.

    Dalam kejadian pada 20 April lepas, sejumlah 528 tahanan di depot itu merusuh sebelum melarikan diri dan enam daripada mereka maut akibat dirempuh kereta ketika cuba melintas jalan di Kilometer 168 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

    Setakat semalam, seramai 61 tahanan masih bebas dan usaha mengesan mereka masih diteruskan.

    — BERNAMA

  • Gambar YDP Majlis Perbandaran Klang pun jadi mangsa ‘scammer’

    Gambar YDP Majlis Perbandaran Klang pun jadi mangsa ‘scammer’

    MAJLIS Perbandaran Klang (MPK) hari ini membuat laporan polis susulan gambar Yang Dipertua (YDP) badan itu, Noraini Roslan, disalah guna oleh ‘scammer’ sebagai profil aplikasi WhatsApp untuk meminjam wang daripada kenalannya.

    Pengarah Komunikasi Korporat MPK Norfiza Mahfiz berkata laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Klang Selatan selepas Noraini menerima beberapa panggilan daripada kenalan beliau termasuk Ahli MPK yang mahukan pengesahan mengenai perkara tersebut.

    Beliau berkata ‘scammer’ meminta kenalan YDP memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun RHB (26403000018474) atas nama Collection Enterprise.

    “Laporan polis yang dilakukan ini adalah untuk memaklumkan kepada umum bahawa YDP MPK tidak pernah meminta wang seperti yang tular dalam media sosial sejak semalam. 

    “Orang ramai terutama warga Klang diminta berhati-hati dengan penyamaran ini kerana ia boleh menyebabkan kerugian pada mereka yang tertipu,” menurutnya dalam kenyataan hari ini. – Bernama

  • Kes pukul di sekolah: 13 pelajar tingkatan empat ditahan

    Kes pukul di sekolah: 13 pelajar tingkatan empat ditahan

    POLIS menahan seramai 13 pelajar tingkatan empat sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Langkawi hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pelajar lelaki dipukul beberapa pelajar lain yang tular menerusi satu rakaman video.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Shariman Ashari berkata seramai 12 pelajar ditahan pada 12.30 tengah hari tadi manakala seorang lagi ditahan pukul 3 petang.

    “Daripada jumlah kesemua pelajar yang ditahan, lima daripada mereka merupakan rakan sekelas kepada mangsa manakala baki yang lain dari kelas berasingan. Rakaman percakapan sedang diambil bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Terdahulu, media melaporkan polis menerima satu laporan berkaitan kes seorang pelajar lelaki berumur 16 tahun yang dipukul beberapa pelajar lain dalam satu rakaman video berdurasi 25 saat.

    Kejadian yang berlaku pada 9 pagi semalam itu dipercayai akibat perselisihan faham antara mangsa dengan pelajar lain yang mangsa kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian itu pagi tadi. –Bernama

  • Sindiket dadah berselindung di sebalik perniagaan bundle edar syabu, ganja hampir RM1 juta

    Sindiket dadah berselindung di sebalik perniagaan bundle edar syabu, ganja hampir RM1 juta

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    POLIS Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang berselindung di sebalik perniagaan pakaian terpakai (bundle) apabila merampas syabu dan ganja yang dianggarkan bernilai hampir RM1 juta.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, sindiket itu berjaya ditumpaskan dalam beberapa serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) pada 25 dan 27 April lalu.

    Jelas beliau, turut ditahan dalam serbuan sekitar pukul 3 dan 4 pagi itu ialah enam ahli sindiket itu termasuk seorang wanita Indonesia berusia antara 22 hingga 55 tahun.

    Ujarnya, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah di daerah SPT yang mana polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun yang bekerja sebagai mekanik dan merampas satu bungkusan syabu seberat kira-kira satu kilogram (kg) bernilai RM37,980.

    “Penahanan suspek pertama itu membawa kepada dua lagi serbuan di premis perniagaan di SPT yang mana dua lelaki tempatan berusia 22 dan 23 tahun serta seorang wanita Indonesia berusia 24 tahun ditahan.

    “Turut dirampas bersama mereka adalah satu bungkusan syabu seberat 666.6 gram bernilai RM23,997.50; 14 bungkusan syabu seberat 14.37 kg bernilai RM517,140 dan lima bungkusan ganja seberat 4.9 kg bernilai RM12,160,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.

    Menurut Mohd. Shuhaily, serbuan keempat di sebuah lagi premis di SPT pula berjaya menahan dua lagi ahli sindiket itu iaitu lelaki tempatan berusia 53 dan 55 tahun dan satu bungkusan syabu seberat 621 gram bernilai RM22,356 serta dua peket plastik ganja seberat 41 gram (RM10.50) berjaya dirampas.

    Katanya, hasil soal siasat ke atas salah seorang suspek kemudiannya membongkar premis perniagaan pakaian terpakai (bundle) yang turut dijadikan stor penyimpanan dadah yang mana sebanyak 144 bungkusan ketulan mampat ganja seberat 146.25 kg bernilai RM365,625 berjaya dirampas.

    Jelas beliau, siasatan mendapati sindiket itu mula aktif mengedar dadah untuk pasaran tempatan sejak Januari lalu dan polis turut menyita tiga buah kenderaan bernilai RM45,000 menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan sebanyak RM1.024 juta.

    Tambah beliau, hasil saringan air kencing ke atas kesemua suspek mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis methampethamine; morfin dan THC manakala lima daripada mereka turut mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

    “Kesemua tangkapan ditahan reman selama tujuh hari bermula 25 April lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • SPRM ada kuasa siasat hakim

    SPRM ada kuasa siasat hakim

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan, agensi itu mempunyai kuasa untuk menyiasat mana-mana pegawai badan awam setelah menerima laporan atau aduan rasmi.

    SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan telah diberikan kuasa, untuk menyiasat kes jenayah rasuah di bawah Akta SPRM 2009 termasuk siasatan terhadap pegawai badan awam yang ditafsirkan dalam Seksyen 3 akta tersebut.

    “Pegawai badan awam ertinya mana-mana orang yang menjadi anggota, pegawai, pekerja atau pekhidmat sesuatu badan awam, dan termasuklah anggota pentadbiran, Ahli Parlimen dan ahli sesuatu Dewan Undangan Negeri.

    “Selain itu, hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan, dan mana-mana orang yang menerima apa-apa saraan daripada wang awam, dan, jika badan awam itu ialah suatu perbadanan seorang, termasuklah orang yang diperbadankan sebagai perbadanan itu,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan SPRM itu dikeluarkan susulan kritikan yang diterima agensi itu setelah ia mengesahkan membuka siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang didakwa menerima sejumlah wang.

    Kenyataan itu memaklumkan, selaras dengan prinsip pengasingan kuasa, setelah semua proses siasatan selesai dilakukan, kertas siasatan akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara untuk membuat keputusan sama ada melakukan pendakwaan atau sebaliknya.

    “SPRM juga telah mempunyai rekod menyiasat hakim yang mana kertas siasatan berkaitan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk membuat penilaian.

    “Berhubung siasatan terhadap hakim tersebut, SPRM telah menerima satu aduan pada 15 Mac lalu disusuli dua lagi aduan pada 23 dan 27 April lepas. Siasatan ini masih berada di fasa awal dan melibatkan kepentingan awam,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan itu menegaskan, apabila sesuatu siasatan dijalankan terhadap mana-mana individu, ia tidak bermakna individu tersebut telah melakukan kesalahan.

    “Sehubungan itu, SPRM memohon masyarakat umum memberi ruang untuk proses siasatan dijalankan mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

  • Mayat reput ditemukan dalam kolam

    Mayat reput ditemukan dalam kolam

    IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh sedang mengesan waris lelaki mangsa bunuh yang mayatnya ditemukan terapung serta mula reput dalam kolam berhampiran Kawasan Perindustrian Kanthan Baru, Chemor, Ipoh, 18 April lalu.

    Harian Metro melaporkan, mayat lelaki dengan ketinggian 164 sentimeter dan berat kira-kira 50 kilogram berusia 25 hingga 40 tahun itu ditemukan tanpa dokumen pengenalan diri.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, lelaki itu disyaki dibunuh berdasarkan siasatan di tempat kejadian.

    “Bedah siasat juga mendapati punca kematiannya adalah kecederaan disebabkan pukulan objek tumpul berulang kali dan kecederaan dalaman pada leher.

    “Identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti kerana keadaan mayat yang reput dan tiada dokumen pengenalan diri dijumpai bersamanya. Mangsa dibunuh tiga hingga lima hari sebelum mayat dijumpai.

    “Sehubungan itu polis meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga supaya tampil membuat laporan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Yap Siew Cheng di talian 012-9093362.

  • Suami isteri direman peras ugut video lucah

    Suami isteri direman peras ugut video lucah

    PASANGAN suami isteri antara tiga yang ditahan reman selama tiga hari selepas dipercayai terbabit dalam sindiket pemerasan video lucah menggunakan media sosial baru-baru ini.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Suffian Sulaiman berkata, semua suspek berusia antara 23 hingga 39 tahun direman selama tiga hari sehingga Sabtu ini susulan dua laporan melibatkan kes pemerasan video lucah di Marang.

    Menurut beliau, mereka sebelum ini direman empat hari untuk siasatan berkait laporan polis diterima di daerah Kuala Terengganu.

    Katanya, hari ini, suspek diserahkan kepada polis Marang untuk siasatan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

    Beliau berkata, kesemua suspek sebelum ini ditahan pasukan khas iaitu Op Cantas VC di Kedah pada Sabtu lalu.

    “Penahanan mereka susulan laporan polis yang diterima pada 11,13 dan 20 April lalu berkaitan pemerasan video lucah dengan satu kes berlaku di Kuala Terengganu manakala dua lagi di Marang,” ujarnya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.

    Terdahulu, ketiga-tiga suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Marang bagi mendapatkan perintah tahanan reman di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

    Media sebelum ini melaporkan polis Terengganu menahan tiga individu termasuk pasangan suami isteri yang dipercayai terbabit dalam sindiket pemerasan video lucah menggunakan media sosial.

    Siasatan mendapati sindiket yang baharu bermula tahun ini dipercayai menggunakan media sosial seperti Michat, WeChat dan sebagainya untuk memperdayakan mangsa yang berusia antara 28 hingga 39 tahun untuk membuat panggilan video lucah sebelum memeras ugut mereka.