Category: Jenayah

  • Kes tembak di Bukit Bintang: Dua suspek ditahan

    Kes tembak di Bukit Bintang: Dua suspek ditahan

    DUA  suspek warga tempatan yang diburu polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian kes tembak di sebuah hotel di Bukit Bintang pada Selasa lepas, berjaya ditahan semalam.

    Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata kedua-dua suspek yang berusia 47 dan 51 tahun itu diberkas dalam serbuan di sebuah kediaman di Puchong pada 8.15 malam.

    Beliau berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas sepucuk revolver .38, sepucuk pistol semi auto jenis Barreta, 14 butir peluru, sebuah motosikal jenis RS150 berwarna merah, dua topi keledar, dua helai baju dan seluar, dua pasang kasut sukan, topi, sebuah beg silang serta tiga telefon bimbit pelbagai jenama.

    “Satu (daripada) pistol berkenaan (yang dirampas) dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

    Pada Selasa lepas, seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun ditemukan maut dengan kesan tembakan di dahi dalam kejadian di sebuah bilik hotel di Bukit Bintang sejam selepas beliau mendaftar masuk.

    Penemuan mayat mangsa disedari seorang pekerja hotel berkenaan yang memasuki bilik tersebut dan kemudian menghubungi polis pada kira-kira 7 malam.

    Beliau berkata siasatan awal polis mendapati suspek dan mangsa berjumpa di bilik hotel berkenaan bagi urusan berkaitan jual beli dadah manakala semakan ke atas mangsa  pula mendapati dia mempunyai 14 rekod jenayah lampau berkaitan kes culik, bunuh serta dadah.

    Azmi berkata penahanan terbaharu itu menjadikan kesemua tiga suspek telah ditahan bagi membantu siasatan.

    Sementara itu, beliau berkata semakan terhadap suspek pertama yang ditahan di tempat kejadian pada hari sama mendapati dia mempunyai tujuh rekod jenayah berkaitan dadah dan telah direman selama enam hari bermula semalam sehingga Isnin ini manakala permohonan reman bagi dua lagi suspek akan dibuat hari ini.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    — BERNAMA

  • Lelaki tular pandu bahaya, potong barisan ditahan polis

    Lelaki tular pandu bahaya, potong barisan ditahan polis

    SEORANG lelaki ditahan setelah disyaki memandu secara melulu hingga boleh membahayakan pengguna lain sehingga tular menerusi rakaman sebuah video dalam satu kejadian di Jalan Beruas-Parit-Ipoh semalam.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, lelaki berumur 23 tahun yang memandu Proton Saga FLX berwarna coklat itu ditahan di sebuah rumah di Pusing, Batu Gajah selepas polis berjaya mengesannya pada hari yang sama.

    “Lelaki itu mengaku memandu kenderaan tersebut kira-kira 3.40 petang sebelum tular di media sosial menerusi sebuah video.

    “Kenderaan tersebut dirampas dan lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan.

    Gambar: Facebook JSPT Perak

    Video berdurasi kira-kira seminit itu antara lain menunjukkan suspek memotong barisan dan garisan berkembar di kawasan Pekan Parit hingga boleh membahayakan keselamatan diri sendiri dan pengguna lain. – BERNAMA

  • Kes tembak di Bukit Bintang: Polis kesan dua lelaki bantu siasatan

    Kes tembak di Bukit Bintang: Polis kesan dua lelaki bantu siasatan

    POLIS  sedang giat mengesan dua lelaki warga tempatan yang sudah dikenal pasti identiti mereka bagi membantu siasatan berhubung kejadian kes tembak di sebuah hotel di Bukit Bintang, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata kedua-dua suspek terbabit berusia dalam lingkungan 40-an dan 50-an, manakala seorang lagi lelaki tempatan ditahan di lokasi kejadian semalam.

    “Lelaki yang ditahan semalam direman enam hari bermula hari ini sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata motif dan hubungan antara mangsa dan kesemua suspek masih dalam siasatan.

    Semalam, media melaporkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Habibi Majinji  berkata seorang lelaki tempatan ditemukan maut dengan kesan tembakan di dahi dalam kejadian di sebuah bilik hotel di Bukit Bintang, sejam selepas mangsa mendaftar masuk.

    Katanya perkara itu disedari seorang pekerja hotel berkenaan yang memasuki bilik tersebut dan kemudian menghubungi polis kira-kira 7 malam dan hasil pemeriksaan di dalam sebuah bilik di hotel berkenaan menemukan mayat mangsa berusia 49 tahun.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    — BERNAMA

  • Lelaki ditemukan mati di bilik hotel, dengan kesan tembakan di dahi

    Lelaki ditemukan mati di bilik hotel, dengan kesan tembakan di dahi

    SEORANG lelaki tempatan ditemukan maut dengan kesan tembakan di dahi, dalam kejadian di bilik hotel di Bukit Bintang petang tadi sejam selepas mendaftar masuk.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Habibi Majinji, berkata perkara itu disedari seorang pekerja hotel yang memasuki bilik tersebut. Polis dihubungi pada kira-kira 7 malam.

    “Mangsa seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun berasal dari Johor mendaftar masuk ke hotel berkenaan pada 6 petang tadi. Polis telah menahan rakan sebilik mangsa bagi membantu siasatan,” katanya kepada Bernama.

    Habibi berkata motif kejadian masih dalam siasatan dan senjata api yang digunakan belum dijumpai.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

  • Lelaki maut dilibas pisau mesin pemotong rumput anak saudara

    Lelaki maut dilibas pisau mesin pemotong rumput anak saudara

    SEORANG  lelaki dilaporkan maut selepas dilibas dengan pisau mesin pemotong rumput dalam pergaduhan di sebuah rumah, di Sitiawan, Perak pagi semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Manjung Nor Omar Sappi, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 4 pagi oleh seorang wanita berusia 26 tahun.

    Katanya, siasatan polis mendapati mangsa berusia 51 tahun yang berada dalam keadaan mabuk, bergaduh dengan anak saudaranya berusia 34 tahun di perkarangan rumah gara-gara berlaku perselisihan faham.

    “Suspek didakwa mengambil mesin pemotong rumput lalu melibas ke arah kaki mangsa dan menyebabkan lelaki itu mengalami kecederaan serius di kaki kiri.

    “Mangsa dibawa ke hospital dan ketika dalam perjalanan lelaki itu tidak sedarkan diri sebelum doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataannya, malam semalam, menurut Harian Metro.

    Menurutnya, kejadian dipercayai berpunca akibat suspek tidak berpuas hati dengan mangsa yang didakwa memburukkan namanya pada penduduk kampung.

    Katanya, suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    “Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk proses bedah siasat,” katanya.

    Nor Omar berkata, suspek yang bekerja sebagai mekanik motosikal dikesan mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

    “Mangsa yang tidak bekerja pula mempunyai sembilan rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah dan penyalahgunaan dadah,” katanya.

  • Rugi RM132,000 ditipu ‘pegawai KKM’

    Rugi RM132,000 ditipu ‘pegawai KKM’

    GARA-gara panik kerana didakwa meminta ubatan berlebihan di sebuah klinik komuniti, seorang pengurus sumber manusia kerugian RM132,900 setelah menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur ACP Mohd Mahidisham Ishak berkata wanita  bekerja di syarikat swasta itu menerima panggilan daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Kesihatan bertugas di Bahagian Pemeriksaan Bekalan Ubatan pada 18 April lepas.

    “Mangsa diminta untuk mengesahkan sama ada pernah mengambil ubat-ubatan seperti panadol, ubat tahan sakit, ubat batuk dan ubat selesema secara berlebihan di sebuah klinik komuniti.

    “Mangsa menafikan dakwaan itu namun panggilan kemudiannya disambungkan kepada seorang lelaki lain menyamar sebagai pegawai polis dan memaklumkan mangsa juga mempunyai rekod terlibat dengan jenayah pengubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Mahidisham berkata mangsa berusia 47 tahun itu juga ditakutkan sekiranya tidak mengaku kesalahan tersebut, waran tangkap akan dikeluarkan.

    Katanya panik dengan ugutan itu, mangsa membuat pindahan wang sebanyak lima kali ke dalam akaun yang sama bermula 22 hingga 26 April berjumlah keseluruhan RM132,900.

    Beliau berkata suspek juga meminta mangsa menunggu keputusan siasatan tersebut dan pada 30 April lepas, mangsa menerima panggilan telefon dan diminta untuk membuat bayaran tambahan.

    “Merasakan dirinya tertipu, mangsa membuat laporan polis pada hari yang sama (April 30) dan suspek kini sedang dikesan. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

    Beliau menasihatkan orang ramai supaya menyemak akaun bank atau nombor telefon diragui melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule dan untuk laporan sebarang jenayah ataupun aktiviti mencurigakan supaya menghubungi hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/ 0585 atau balai polis berdekatan.

    — BERNAMA

  • Dua remaja beraya maut motosikal bertembung pacuan empat roda

    Dua remaja beraya maut motosikal bertembung pacuan empat roda

    DUA  remaja maut selepas motosikal ditunggang mereka bertembung dengan sebuah pacuan empat roda, di Kilometer 23 Jalan Pekan/Batu Balik di Pekan, Pahang hari ini.

    Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zain berkata kejadian pada 5.30 petang itu, menyebabkan kedua-dua mangsa berusia 18 tahun yang dipercayai dalam perjalanan untuk beraya, maut di lokasi kejadian.

    Mereka ialah penunggang motosikal Muhammad Nur Zulkefli Zakaria dan pembonceng Muhammad Ibrahim Mhd Kchairudin, dengan kedua-duanya berasal dari Kampung Temai Tengah dan Temai Hilir, Pekan.

    “Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa dari Pekan ke Batu Balik terbabas semasa mengambil selekoh, lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung Mitsubishi Triton dinaiki dua beranak,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

    Mohd Zaidi berkata jenazah mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    — BERNAMA

  • Pembuli jalan raya pandu Alphard miliki 56 saman ditahan

    Pembuli jalan raya pandu Alphard miliki 56 saman ditahan

    SEORANG pembuli jalan raya memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard yang memiliki 56 saman telah pun ditahan polis, semalam.

    Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed memaklumkan tangkapan ke atas pembuli jalan raya berusia lingkungan 43 tahun itu dibuat di perkarangan Bahagian Siasatan dan Perundangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

    Menurut beliau, pihaknya mengesahkan membuat tangkapan lebih kurang pukul 2 petang semalam terhadap pembuli jalan raya yang memandu MPV jenis Toyota Alphard secara berbahaya di Lebuhraya Karak arah Genting Sempah.

    “Pemandu MPV ini telah dibawa menjalani ujian air kencing di Bahagian Narkotik IPD Gombak dan hasil ujian adalah negatif.

    “Lelaki itu juga telah dibawa ke Hospital Selayang untuk diambil sampel darah bagi tujuan ujian alkohol,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Baca artikel berkaitan: Polis buru Alphard putih miliki 56 saman tertunggak kerana buli jalan raya

    Zainal Mohamed memaklumkan, lelaki tersebut akan dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang untuk mendapat perintah tahanan reman.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya.

    Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 serta tidak melebihi RM15,000.

    Semalam, Zainal Mohamed dalam kenyataan berkata, pihaknya sedang giat memburu pemandu Toyota Alphard berwarna putih selepas aksi pemanduan berbahaya di sepanjang Kilometer (KM) 25.1 hingga KM27.5 Lebuhraya Karak arah Genting Sempah tular.

    hasil semakan saman keatas kenderaan pelbagai guna (MPV) itu mendapati terdapat 56 saman lampau direkodkan yang masih belum dijelaskan.

  • [VIDEO] Pandu bahaya dan buli, polis buru pemandu Alphard

    [VIDEO] Pandu bahaya dan buli, polis buru pemandu Alphard

    SEORANG pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard dikesan memandu secara berbahaya dan membuli pengguna jalan raya yang lain di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (arah timur) semalam.

    Perbuatan biadab pemandu terbabit yang melakukan provokasi di jalan raya dirakam dalam video yang tular dalam media sosial hari ini.

    Dalam video berdurasi 2 minit 25 saat itu, lelaki berkenaan dilihat memandu kenderaannya secara terhuyung-hayang serta sengaja menekan brek sehingga menyebabkan kelancaran aliran lalu lintas terganggu.

    Suspek dilihat melakukan provokasi terhadap pengguna jalan raya yang lain dengan memandu secara terhuyung-hayang sehingga mengganggu kelancaran aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (arah timur) semalam. (Gambar: Facebook JSPT)

    Sehubungan itu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman melancarkan gerakan memburu suspek berkenaan yang memandu Toyota Alphard bernombor pendaftaran BPV 686.

    “Tindakan pemandu MPV ini boleh mendatangkan risiko kemalangan bukan hanya kepada dirinya tetapi kepada pengguna jalan raya yang lain.

    “JSPT mendapati kejadian berlaku pada 30 April 2022 (Sabtu) dekat Lebuhraya KL-Karak (arah timur) dan semakan pemilik kenderaan MPV ini telah dikenal pasti.

    “Justeru, JSPT menggesa pemandu MPV ini segera menyerah diri ke Balai Trafik IPD Gombak atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

    “Orang awam yang mempunyai maklumat akan kejadian ini, boleh sama-sama menyalurkan kepada JSPT melalui Facebook Messenger dan e-mel terus ke [email protected],” kata JSPT dalam kenyataan hari ini.

  • Op Selamat: 92 mat rempit remaja dicekup sekitar Ipoh

    Op Selamat: 92 mat rempit remaja dicekup sekitar Ipoh

    POLIS Perak menahan 92 remaja atas kesalahan lumba haram dalam Op Selamat yang memberi tumpuan kepada samseng jalanan yang dijalankan di beberapa lokasi panas ‘mat rempit’ awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hasan berkata, mereka yang ditahan melibatkan 89 lelaki dan tiga perempuan berumur antara 15 hingga 26 tahun dalam operasi bermula pukul 1 pagi di kawasan sekitar Station 18 di Pasir Puteh di Ipoh.

    “Pihak polis menjalankan operasi itu hasil aduan dan maklumat orang awam berkaitan motosikal yang berlumba dan menunggang secara berbahaya. Kami menjalankan operasi bagi mengurangkan kegiatan samseng jalanan membabitkan kumpulan bermotosikal yang sering mendatangkan kegusaran kepada masyarakat setempat.

    “Polis turut menyita 14 motosikal atas pelbagai kesalahan antaranya pengubahsuaian kenderaan dan pemalsuan nombor pendaftaran kenderaan,” katanya pada sidang media Op Selamat hari ini.

    Jelasnya, selain itu, tujuh individu ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dalam keadaan berbahaya manakala dua orang positif dadah selepas ujian air kencing oleh pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan akan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Menurutnya, sebanyak 241 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu dan melanggar lampu isyarat melibatkan pelajar sekolah dan penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT). – BERNAMA