Category: Jenayah

  • Beban hutang punca suami isteri cuba bunuh diri

    Beban hutang punca suami isteri cuba bunuh diri

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BEBANAN hutang mendorong sepasang suami isteri yang menjalankan perniagaan produk kecantikan cuba membunuh diri di rumah mereka di Taman Desa Botani, Batu Pahat, semalam.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superitendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 12.30 tengah hari sebelum pihaknya bergegas ke tempat kejadian.

    “Pihak polis mendapati mangsa lelaki berusia 36 tahun sudah meninggal dunia dengan menggantung diri pada besi galang ‘stainless steel’ yang ada dalam tandas di bilik tidur rumah mereka.

    “Sementara isterinya yang berusia 50 tahun ditemui dalam bilik tidur yang sama dalam keadaan lemah dan terdapat kesan kelar pada kedua-dua belah tangan menggunakan pisau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, pasangan tersebut menjalankan perniagaan produk kecantikan dan punca kejadian dipercayai akibat bebanan tanggungan hutang yang tidak dapat dijelaskan.

    Katanya, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail di Batu Pahat untuk pemeriksaan dan bedah siasat manakala isterinya dalam keadaan stabil dan masih ditahan di wad untuk rawatan lanjut di hospital yang sama.

    Tambahnya, siasatan dilakukan mengikut laporan mati mengejut dan Seksyen 309 Kanun Keseksaan iaitu cuba melakukan kesalahan membunuh diri dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara setahun, denda atau kedua-duanya sekali.

  • Polis kesan warga emas bantu kes hina institusi Diraja Pahang

    Polis kesan warga emas bantu kes hina institusi Diraja Pahang

    POLIS Diraja Malaysia sedang menjejaki seorang lelaki warga emas bagi membantu siasatan kes penyiaran artikel mengandungi kenyataan berunsur fitnah serta penghinaan terhadap institusi Diraja Pahang.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, lelaki yang dikenali sebagai Hussein Abd Hamid, 75, dikehendaki bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    “Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai penama ini diminta menghubungi Ketua Unit Siasatan Jenayah Terkelas Superintendan Junainah M Kasbolah atau Pegawai Penyiasat Inspektor M Jagachandran di talian 03-22666071,” katanya dalam kenyataan, hari ini. – Bernama

  • Peguam terima sogokan RM100,000 ditahan SPRM

    Peguam terima sogokan RM100,000 ditahan SPRM

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini menahan seorang peguam kerana dipercayai menerima rasuah kira-kira RM100,000 kononnya untuk membantu menutup kes yang sedang disiasat suruhanjaya itu.

    Sumber melaporkan, lelaki berusia 50-an itu ditahan di sebuah pusat beli-belah di ibu negara kira-kira 4 petang.

    Sumber berkata, peguam berkenaan sebelum itu dikatakan sudah meminta wang berjumlah RM4 juta daripada seorang pemilik syarikat sebagai dorongan supaya SPRM tidak menyiasat syarikat berkenaan yang mempunyai kaitan dengan sebuah projek pembangunan.

    “Pemilik syarikat itu bagaimanapun membayar RM100,000 terlebih dahulu sebagai pendahuluan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek.

    Katanya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi esok bagi mendapatkan permohonan reman.

  • [VIDEO] Lelaki warga emas pandu van sekolah lawan arus

    [VIDEO] Lelaki warga emas pandu van sekolah lawan arus

    POLIS menahan seorang lelaki warga emas semalam yang didapati memandu sebuah van sekolah secara berbahaya dan melawan arus di Jalan Lumut – Sitiawan di Lumut selepas video tindakannya itu tular dalam media sosial.

    Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Nor Omar Sappi berkata, lelaki berusia 74 tahun itu ditahan pada pukul 8.20 malam selepas pihaknya mengesan video berdurasi 19 saat itu yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun TikTok, pada sebelah petangnya.

    “Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku Rabu lepas kira-kira pukul 7.15 malam. Van itu membawa lapan pelajar sekolah berusia lingkungan 13 hingga 14 tahun dan lelaki itu mengaku van dipandu dalam keadaan tergesa-gesa kerana dia hendak menghantar pelajar pulang ke rumah masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, satu kertas siasatan kesalahan trafik telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan.

    @nazreen_gammajkl

    #pdrm wcu 6114 bas sekolah melawan arus membahayakan nyawa anak anak mohon share dan tag pdrm

    ♬ original sound – Encik Bos yen🚗 – Encik bos yen Gammajkl🍏
    Klip video yang tular dalam TikTok memaparkan sebuah van sekolah yang dipandu melawan arus sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan netizen berhubung keselamatan pelajar-pelajar di dalam kenderaan itu.

    Beliau seterusnya memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung dengan menelefon 05-6886222 atau hubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – BERNAMA

  • Dua lelaki samun kedai emas diburu

    Dua lelaki samun kedai emas diburu

    DUA lelaki yang menyamun sebuah kedai emas di Dataran Palma Ampang Point, Ampang, hari ini kini diburu polis.

    Pihak polis menerima laporan berkaitan kejadian tersebut pada pukul 1.41 petang.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian itu, dua lelaki yang memakai topi keledar serta jaket dan tidak bersenjata itu meluru masuk ke dalam premis dan terus melompat ke dalam menuju ke arah kaunter.

    “Suspek kemudian bertindak mengambil barang kemas yang di pamerkan di belakang dinding.

    “Semasa kejadian kesemua pekerja selamat dan mereka berlindung di sebalik stor di dalam kedai emas berkenaan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Mohamad Farouk berkata, anggaran kerugian belum dapat dipastikan lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

  • Remaja langgar anggota polis semasa lari pemeriksaan jalan raya

    Remaja langgar anggota polis semasa lari pemeriksaan jalan raya

    SEORANG remaja ditahan selepas melanggar seorang anggota polis ketika cuba melarikan diri dari pemeriksaan jalan raya di Jalan Batu 1, Jalan Pantai, Port Dickson awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian pada pukul 1.15 pagi itu, remaja berusia 19 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 itu ditahan bagi tujuan pemeriksaan sebelum dia bertindak melarikan diri dan melanggar seorang anggota menyebabkan dia turut terjatuh mengenai penghadang jalan.

    “Anggota polis yang dilanggar mengalami kecederaan di kepala manakala remaja terbabit cedera di bahu dan kaki akibat terjatuh dari motosikalnya. Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan.

    “Siasatan mendapati suspek melarikan diri kerana tidak mempunyai lesen memandu. Semakan terhadapnya mendapati tiada rekod jenayah lampau dan saringan ujian air kencing adalah negatif dan direman tiga hari bermula hari ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Aidi Sham berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam selain menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang tindakan yang mendatangkan bahaya kepada diri dan pengguna jalan raya yang lain. – BERNAMA

  • Dua ditahan curi tabung jualan peniaga nasi lemak

    Dua ditahan curi tabung jualan peniaga nasi lemak

    POLIS menahan dua individu kerana mencuri tabung jualan peniaga nasi lemak di sebuah kuarters penjawat awam di Presint 9, Putrajaya, semalam.

    Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, perbuatan mereka dikesan melalui kamera litar tertutup (CCTV) di kuarters berkenaan sekali gus membantu penahanan mereka.

    “Suspek berusia 21 dan 24 tahun itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.

    “Seorang suspek sudah dituduh di mahkamah hari ini mengikut Seksyen 378 Kanun Keseksaan manakala, seorang lagi suspek dijadikan sebagai saksi pendakwaan.

    “Berdasarkan laporan, mangsa dikatakan meletakkan nasi lemak dan kuih-muih di lobi kuarters berkenaan bersama tabung duit bagi memudahkan pelanggan membeli barangan yang dijual,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Peniaga terbabit juga katana, mendakwa duit yang diletakkan dalam tabung jualan itu hilang dua kali sebelum ini.

    Katanya, siasatan mendapati, kedua-dua suspek bukan penduduk Putrajaya.

  • Eksekutif rugi RM300,000 ditipu Macau Scam

    Eksekutif rugi RM300,000 ditipu Macau Scam

    SEORANG eksekutif syarikat di Nilai kerugian RM335,000 setelah diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pihak insurans dan pegawai polis sejak September tahun lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Supt Aibee Ab Ghani berkata wanita berusia 51 tahun itu mendakwa menerima panggilan daripada pihak insurans tersebut yang memaklumkan dirinya ada membuat pengeluaran wang insurans sebanyak empat kali.

    Beliau berkata susulan itu, mangsa dikatakan menerima panggilan daripada seorang pegawai polis yang dikenali sebagai Inspektor Chong memberitahu bahawa dia mempunyai waran tangkap dan mangsa ada terlibat dengan kes pengubahan wang haram.

    “Kemudian wanita itu telah diminta untuk membuka akaun Bank Rakyat dan menyerahkan maklumat perbankan dalam talian kepada lelaki itu.

    “Mangsa telah melakukan beberapa transaksi ke akaun Bank Rakyatnya itu membabitkan jumlah RM335,000. Maklumat akaun bank suspek tidak dapat dikenal pasti kerana semua wang dimasukkan ke dalam akaun bank mangsa sendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Aibee berkata mangsa yang menyedari ditipu kemudian membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – Bernama

  • PGA rampas 55,200 liter diesel bersubsidi

    PGA rampas 55,200 liter diesel bersubsidi

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam berjaya menumpaskan satu sindiket seludup minyak diesel subsidi selepas melakukan serbuan di sebuah premis di Taman Beroleh, Batu Pahat malam kelmarin.

    Serbuan dilakukan pegawai dan anggota pada pukul 11.30 malam itu menahan tiga lelaki tempatan dan merampas sebuah lori tangki dan beberapa peralatan digunakan untuk kegiatan menyeludup minyak diesel bersubsidi.

    Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Dimin Awang berkata, pihaknya merampas 55,200 liter minyak diesel subsidi, sembilan buah mesin pam minyak dan 11 hos getah lutsinar.

    “Turut dirampas dua buah tangki putih bersaiz 1,000 liter, empat buah tangki besi bersaiz 16,000 liter hingga 20,000,

    “Hasil siasatan awal terhadap suspek yang berusia 24 hingga 54 tahun itu, mereka membekalkan minyak diesel bersubsidi tanpa permit yang sah di sekitar kawasan Batu Pahat.

    “Anggaran rampasan diesel sahaja berjumlah RM118,250 manakala nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM505,308,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Tiga lelaki tempatan ditahan untuk siasatan kes penyeludupan diesel bersubsidi secara haram di sekitar daerah Batu Bahat

    Katanya, semua suspek dan rampasan dibawa ke pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Batu Pahat untuk tindakan lanjut.

    Pihaknya percaya tangkapan dan rampasan itu berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi di sekitar daerah ini.

    Tambah beliau, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

    Beliau menyeru orang awam terus menyalurkan maklumat kepada polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi jalan yang tidak diwartakan melalui talian hotline 07-7557280 Pejabat Risik/Gerakan Batalion 5 PGA.

  • Mayat kru kapal layar ditemui hari ini

    Mayat kru kapal layar ditemui hari ini

    SELEPAS tiga hari mencari kru kapal layar yang dilaporkan hilang selepas terjatuh daripada sebuah bot di perairan Kuah, Langkawi, petang kelmarin, mayat lelaki berkenaan ditemui lemas, pukul 7.20 pagi tadi.

    Mayat Ahmad Nur Hassanuddin Ibrahim, 24, ditemukan terapung oleh orang awam kira-kira 1.5 batu nautika dari lokasi kejadian.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama-sama Pasukan Polis Marin (PPM) sudah pergi ke titik koordinat bagi proses pengambilan mayat dan dibawa ke Jeti Marble, Langkawi.

    “Pengecaman mayat dilakukan oleh bapa, ibu dan kakak mangsa, sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha untuk bedah siasat,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Shariman berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan Pangkalan Hadapan Carilamat ditutup pukul 9 pagi tadi.

    Sementara itu, bapa mangsa, Ibrahim Majid, 68, ketika ditemui berkata, dia dan keluarganya yang tiba dari Alor Setar sejak semalam, reda dengan pemergian anak bongsunya itu.

    “Alhamdulillah. Hari ini selesai semuanya selepas mayat ditemui dan saya dan isteri, Norhayati Saad, 60, serta keluarga telah membuat keputusan untuk kebumikan jenazah arwah di sini (Langkawi),” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan kru kapal layar, Ahmad Nur Hassanuddin Ibrahim, 24, dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas terjatuh daripada sebuah bot di perairan Kuah di sini, pada 5 petang Rabu.

    Ketika kejadian mangsa dilaporkan terlewat hadir bertugas dan mengemudi bot bersendirian dari Jeti Marble dan cuba mengejar kapal layar di kawasan berhampiran.

    Nelayan yang dalam perjalanan pulang menemui sepasang selipar dan satu topi terapung berhampiran bot kecil sebelum mendapat pertolongan rakan dan menghubungi polis.