Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PASUKAN Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam berjaya menumpaskan satu sindiket seludup minyak diesel subsidi selepas melakukan serbuan di sebuah premis di Taman Beroleh, Batu Pahat malam kelmarin.

Serbuan dilakukan pegawai dan anggota pada pukul 11.30 malam itu menahan tiga lelaki tempatan dan merampas sebuah lori tangki dan beberapa peralatan digunakan untuk kegiatan menyeludup minyak diesel bersubsidi.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Dimin Awang berkata, pihaknya merampas 55,200 liter minyak diesel subsidi, sembilan buah mesin pam minyak dan 11 hos getah lutsinar.

“Turut dirampas dua buah tangki putih bersaiz 1,000 liter, empat buah tangki besi bersaiz 16,000 liter hingga 20,000,

“Hasil siasatan awal terhadap suspek yang berusia 24 hingga 54 tahun itu, mereka membekalkan minyak diesel bersubsidi tanpa permit yang sah di sekitar kawasan Batu Pahat.

“Anggaran rampasan diesel sahaja berjumlah RM118,250 manakala nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM505,308,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tiga lelaki tempatan ditahan untuk siasatan kes penyeludupan diesel bersubsidi secara haram di sekitar daerah Batu Bahat

Katanya, semua suspek dan rampasan dibawa ke pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Batu Pahat untuk tindakan lanjut.

Pihaknya percaya tangkapan dan rampasan itu berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi di sekitar daerah ini.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau menyeru orang awam terus menyalurkan maklumat kepada polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi jalan yang tidak diwartakan melalui talian hotline 07-7557280 Pejabat Risik/Gerakan Batalion 5 PGA.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here