Category: Jenayah

  • Polis nafi anggotanya salah guna kuasa

    Polis nafi anggotanya salah guna kuasa

    Polis hari ini menafikan anggotanya menyalah guna kuasa ketika menahan orang awam di sebuah gerai makan di Jalan Cheras Utama, Kuala Lumpur, kelmarin.

    Pihak polis sebelum itu terkesan satu hantaran menerusi aplikasi Twitter yang dimuat naik seorang pemilik akaun mendakwa anggota polis menyalah guna kuasa.

    Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, semakan mendapati anggota Balai Polis Cheras sedang menjalankan tugas rondaan cegah jenayah mengesan seorang lelaki disyaki membeli nombor ekor haram dalam talian dengan menggunakan aplikasi WhatsApp pada pukul 2.30 petang.

    “Ketika pihak polis mahu memeriksa telefon bimbit secara terperinci, individu tersebut tidak memberi kerjasama dan beredar dari tempat tersebut dengan menaiki kereta ke rumah saudaranya.

    “Anggota polis telah maklum dan meminta bantuan Ketua Balai Polis Cheras. Pegawai polis yang hadir ke rumah tersebut telah menerangkan tujuan dan membawa individu berkenaan ke Balai Polis Cheras untuk siasatan lanjut,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Muhammad Idzam berkata, hasil pemeriksaan ke atas telefon bimbit individu tersebut mendapati aplikasi WhatsApp telah dinyah pasang menyebabkan bukti berkaitan pembelian nombor ekor haram dalam talian tidak dapat diperolehi.

    “Setelah selesai proses dokumentasi, individu tersebut telah dibebaskan tanpa syarat dan satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian ini,” ujarnya.

    Pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan ketenteraman awam.

    “Sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan kejadian ini, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya.

  • Maritim Pulau Pinang tahan bot penumpang langgar syarat sah lesen

    Maritim Pulau Pinang tahan bot penumpang langgar syarat sah lesen

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEBUAH bot penumpang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang di kedudukan 0.5 batu nautika timur Pangkalan Weld, Georgetown pukul 1.20 petang semalam selepas dipercayai melanggar syarat sah lesen.

    Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, turut ditahan ialah nakhoda bot bernombor pendaftaran PPP 02307-P itu iaitu warga tempatan berumur 25 tahun.

    Menurut beliau, nakhoda itu ditahan berikutan namanya tidak terdapat di dalam buku lesen yang dikeluarkan sekali gus disyaki melakukan kesalahan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu gagal memaklumkan pertukaran nakhoda kepada pihak berkuasa.

    “Pemeriksaan dan penahanan dilakukan semasa bot berkenaan dalam perjalanan mengambil penumpang di sebuah kapal tangki yang berlabuh di perairan Pelabuhan Pulau Pinang.

    Pemeriksaan dan penahanan dilakukan semasa bot berkenaan dalam perjalanan mengambil penumpang di sebuah kapal tangki yang berlabuh di perairan Pelabuhan Pulau Pinang

    “Bot serta nakhoda ditahan dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu, Abd. Razak menasihatkan pengusaha-pengusaha bot penumpang mematuhi undang-undang yang telah dikeluarkan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

    Tambah beliau, orang ramai serta komuniti maritim turut diseru memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan sebarang aktiviti kesalahan di laut.

    “Sebarang aduan boleh disalurkan ke talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang 04-2626146,” katanya. 

  • Polis Indonesia buru Miss Global Estonia tuduh amal rasuah

    Polis Indonesia buru Miss Global Estonia tuduh amal rasuah

    POLIS Indonesia kini serang memburu seorang ratu cantik yang mewakili negara Estonia setelah menuduh pihak berkuasa di Bali mengamalkan rasuah dan korup.

    Veleria Vasilieva bakal mengikuti pertandingan Miss Global 2022 yang akan berlangsung di pulau berkenaan tidak lama lagi.

    “Namanya Veleria dan dia merupakan perwakilan dari Estonia yang bertanding Miss Global di sini.

    “Kita belum tahu apa aktiviti mereka di sini kerana belum ada maklumat mengenainya,” wakil polis, Nanang Peihasmoko dalam satu sidang media di Denpasar, lapor Satu Berita.

    Setelah tersebarnya video yang menuduh pihak polis terlibat dengan rasuah, mereka terus mencari Veleria untuk mendapatkan maklum balas mengenai isu berkenaan.

    Pihak polis juga buntu kerana acara tersebut masih lagi belum bermula dan tidak dapat mengesan penganjur acara untuk membantu siasatan.

    “Setelah melakukan siasatan ke atas hotel tempat dia menginap, kami ke sana namun tidak menjumpai wanita tersebut.

    “Dia ada bergambar di sebuah hotel di Bandung namun sudah meninggalkan lokasi berkenaan saat kami tiba. Pihak kami masih lagi mencari lokasi sebenarnya,” tambah Nanang lagi.

    Pihak polis percaya Veleria masih lagi berada di Bali dan masih belum ada rekod dia keluar daripada pulau berkenaan berdasarkan rujukan kepada pihak imegresan.

    Pihak Kementerian Undang-Undang di Bali pula menganggap kes ini mencalarkan reputasi pihak polis di pulau berkenaan.

    “Kes ini sudah viral dan ia memang memberikan reputasi buruk kepada pihak polis,” kata Anggiat Napitulupu pula.

  • Kes rogol: Bapa saudara dipercayai mabuk

    Kes rogol: Bapa saudara dipercayai mabuk

    PIHAK polis sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai dakwaan rogol seorang tukang besi terhadap anak saudaranya di Bandar Mutiara, Sungai Petani kira-kira pukul 12.30 tengah malam Sabtu lalu.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pihaknya tidak menolak sekiranya suspek berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian.

    Menurutnya, lelaki berusia 34 tahun yang merupakan bapa saudara mangsa melakukan perbuatan itu ketika remaja perempuan berumur 15 tahun itu sedang menumpang tidur di rumahnya.

    “Turut berada dalam bilik tidur sama ialah ibu saudara (isteri suspek) dan dua sepupu mangsa yang berusia tujuh dan lapan tahun.

    “Kita percaya pasangan suami isteri itu berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian berlaku,” kata Zaidy semasa dihubungi Sinar Harian.

    Tambah beliau, meskipun percaya pasangan itu sedang mabuk, pihaknya masih tidak mengetahui jenis minuman yang diambil kedua-dua mereka.

    Dalam kejadian Sabtu lalu itu, suspek dikatakan memasuki bilik tidur sebelum meraba dan merogol mangsa.

    Mangsa difahamkan tidak menjerit disebabkan perasaan takut terhadap tindakan bapa saudaranya sendiri itu.

    Sebelum ini, dilaporkan bahawa terdapat seorang remaja dirogol ketika menumpang tidur di rumah bapa saudara kerana nenek yang menjaga mangsa pulang ke kampung di Pendang selama dua hari.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

  • 15 nelayan Vietnam ceroboh perairan ditahan

    15 nelayan Vietnam ceroboh perairan ditahan

    SEBUAH bot nelayan Vietnam bersama-sama 15 kru kerana menceroboh perairan negara ditahan pada pukul 3 petang kelmarin pada kedudukan 100 batu nautika dari Kuala Terengganu.

    Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, bot nelayan asing tersebut ditahan aset maritim dalam rondaan operasi penguatkuasaan bersepadu Op Naga Barat dan Op Khas Kuda Laut di kawasan terbabit.

    “Pemeriksaan terhadap 15 kru termasuk tekong bot yang merupakan warga Vietnam berumur antara 20 hingga 50 tahun juga gagal menunjukkan pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Pihaknya turut merampas peralatan menangkap ikan, hasil laut pelbagai jenis dianggarkan seberat 700 kilogram dan bekalan diesel kira-kira 1,000 liter yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta.

    Muhammad Suffi berkata, bot dan kesemua kru yang ditahan dibawa ke Jeti Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut.

    Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran daripada Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah.

  • Lelaki Myanmar culik budak bermain depan rumah ditahan

    Lelaki Myanmar culik budak bermain depan rumah ditahan

    POLIS menahan seorang lelaki warga Myanmar selepas dipercayai cuba menculik kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang bermain di hadapan rumahnya di Batu Tiga, Jalan Gambang, Kuantan, pukul 9 pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, suspek, 30, berjaya ditahan di tepi jalan berdekatan Pusat Dagangan Batu 3 di Kuantan oleh orang awam selepas melihat bapa mangsa mengejar lelaki terbabit.

    “Pihak polis menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada orang awam sekitar pukul 9.45 pagi sebelum sepasukan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dari Unit Kereta Peronda (MPV) bergegas ke lokasi kejadian.

    “Semasa tiba di lokasi didapati suspek telah diberkas oleh orang awam dan bapa mangsa. Suspek dibawa ke IPD Kuantan dan proses reman akan dilakukan oleh pegawai penyiasat kes hari ini,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Katanya, turut dirampas bersama-sama suspek ialah sehelai kain lampin berwarna putih dipercayai digunakan untuk menutup kepala mangsa.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 363/511 atas cubaan melarikan orang dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri.

    Sebelum itu, Wan Mohd. Zahari memaklumkan bapa mangsa yang merupakan seorang penjual ketam nipah membuat laporan polis berkaitan kejadian tersebut.

    Jelasnya, berdasarkan laporan diterima, kejadian berlaku ketika mangsa bermain pasir di hadapan rumah manakala ibunya pula menyiram pokok bunga di halaman.

    Tambahnya, bapa mangsa mendengar bunyi jeritan isterinya yang mengatakan anak bongsu mereka dilarikan seorang lelaki tidak dikenali.

    “Susulan itu, bapa mangsa bertindak mengejar suspek.

    “Dengan bantuan orang ramai, suspek ditangkap dan diserahkan kepada pihak polis untuk tangkapan semula,” katanya.

    Sehubungan itu, Wan Mohd. Zahari menasihati orang ramai agar sentiasa menjaga keselamatan ahli keluarga dan peka terhadap kawasan sekeliling bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

  • Peragut rantai emas wanita warga asing ditahan

    Peragut rantai emas wanita warga asing ditahan

    SEORANG lelaki warga tempatan ditahan polis selepas disyaki meragut rantai emas seorang wanita warga asing dalam kejadian pada 4 petang di tepi Jalan Kuchai Maju 10, di Kuala Lumpur, semalam.

    Ketua Polis Daerah Brickfield, ACP Amihizam Abdul Shukor berkata, lelaki berusia 33 tahun itu ditahan di rumahnya di Bandar Sri Permaisuri, Cheras pada 10.15 malam hari yang sama.

    Beliau berkata, ketika kejadian wanita warga asing berumur 31 tahun itu sedang berjalan berseorangan dan telah didatangi oleh suspek dari arah belakang dan terus meragut rantai emas yang dipakainya.

    “Semasa tangkapan dibuat, polis turut membuat rampasan barang yang dipercayai digunakan oleh suspek semasa melakukan jenayah iaitu sepasang pakaian, sebuah beg Grab Food, satu telefon bimbit dan motosikal jenis Yamaha NVX berwarna hitam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Amihizam berkata, siasatan awal polis mendapati lelaki itu mengaku meragut rantai emas milik wanita itu dan telah menjual rantai tersebut di kedai pajak gadai di kawasan Bandar Sri Permaisuri dengan nilai pajakan RM600.

    Katanya suspek telah ditahan reman selama empat hari mulai hari ini. – BERNAMA

  • Love Scam: Guru wanita pencen rugi RM472,941

    Love Scam: Guru wanita pencen rugi RM472,941

    MALANG berganda buat seorang pesara guru wanita selepas terpedaya dengan sindiket Love Scam yang akhirnya menyebabkan dirinya terjebak dalam penipuan pinjaman wang tidak wujud sehingga mendakwa dirinya kerugian RM472,941.

    Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, DSP Yap Huat Tian berkata, mangsa yang berusia 65 tahun mendakwa dirinya telah berurusan dengan tiga syarikat pemberi pinjaman wang yang diketahuinya di internet sejak Februari lepas kerana berhasrat membuat pinjaman sebanyak RM2.5 juta.

    “Mangsa mendakwa wang itu bagi membantu rakan lelakinya, seorang warga Amerika Syarikat yang sedang berhadapan masalah perniagaan menyebabkan lelaki itu tidak mempunyai wang untuk membayar gaji pekerja dan cukai perniagaan.

    “Lelaki itu didakwa meminta bantuan mangsa dengan janji akan memulangkan kembali wang itu selepas berjaya mencairkan aset milik bapanya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Mangsa seterusnya mendakwa dirinya telah dihubungi oleh individu mendakwa mereka sebagai ejen syarikat pemberi pinjaman wang tersebut yang memintanya untuk memasukkan sejumlah wang ke akaun diberikan atas pelbagai alasan termasuk bagi mengaktifkan akaun itu sebelum wang pinjaman dapat dipindahkan.

    Mungkin didorong oleh perasaan kasihan kepada rakan lelakinya, guru wanita terbabit membuat 49 transaksi pemindahan wang ke akaun diarahkan oleh suspek terlibat sebelum menyedari dia ditipu kerana pinjamannya masih belum diluluskan walaupun wang simpanannya habis dipindahkan seperti arahan suspek.

    “Mangsa mendakwa turut diugut oleh seorang suspek apabila memaklumkan dirinya tidak mahu meneruskan pinjaman selepas berasa ragu-ragu dengan kesahihan syarikat. Mangsa akhirnya membuat laporan di Balai Polis Bentong semalam,” katanya.

    Yap berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Beliau juga menasihatkan orang ramai untuk tidak mudah terpedaya dengan iklan perkhidmatan memberi pinjaman wang di internet, sebaliknya berurusan secara fizikal dengan syarikat peminjam berlesen sahaja bagi mengelakkan risiko ditipu. – BERNAMA

  • 8 lelaki ditahan pecah masuk kedai telefon bimbit

    8 lelaki ditahan pecah masuk kedai telefon bimbit

    POLIS menahan lapan lelaki disyaki terlibat dalam kejadian pecah masuk sebuah premis menjual telefon bimbit di Taman Kemuning dekat Kulim, Rabu lepas.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Supt Mohd Redzuan Salleh berkata, kesemua yang berusia 18 hingga 28 tahun ditahan di Kulim dan Simpang Empat, Pulau Pinang dalam tempoh 24 jam selepas kejadian.

    “Polis menerima panggilan daripada orang awam pada 5.40 pagi pada hari kejadian yang memaklumkan ternampak tiga lelaki sedang mengheret sebuah peti besi di kawasan perumahan itu.

    “Pemilik premis telah membuat laporan polis pada 9 pagi hari sama selepas mendapati pintu belakang kedainya telah dipecahkan dan premis itu dalam keadaan berselerak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Redzuan berkata, pemilik premis turut memaklumkan 30 telefon bimbit dan sebuah peti besi telah hilang.

    Bertindak atas maklumat itu, polis melancarkan operasi mengesan suspek dan berjaya menahan tiga daripadanya di sekitar Kulim manakala lima lagi di Simpang Empat.

    Menurutnya, polis menemukan sebuah peti besi, sembilan telefon bimbit pelbagai jenama, tiga jam tangan, 23 kad prabayar, pelbagai aksesori telefon bimbit serta dua album mengandungi koleksi mata wang asing.

    “Turut dirampas, satu kuku kambing dipercayai digunakan untuk memecah masuk premis itu, dua motosikal serta sebuah kereta yang disewa,” katanya.

    Mohd Redzuan berkata, kesemua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau direman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

  • Lelaki rogol anak saudara depan isteri dan anak

    Lelaki rogol anak saudara depan isteri dan anak

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Seorang tukang aluminium bertindak di luar kawalan apabila merogol anak saudaranya ketika isteri dan dua anaknya berusia tujuh dan lapan tahun, sedang tidur dalam bilik yang sama di sebuah rumah di Bandar Mutiara, Sungai Petani, Kedah, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner (ACP) Zaidy Che Hassan berkata, suspek yang berusia 34 tahun dipercayai melakukan perbuatan terkutuk itu ketika masuk ke bilik tidurnya kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

    Katanya, mangsa yang berusia 16 tahun dan sudah tidak bersekolah dikatakan cuba melawan namun tidak berdaya berbuat demikian.

    “Mangsa yang dijaga nenek sejak setahun lalu, datang menumpang di rumah suspek selama dua hari setelah neneknya pulang ke kampung di Pendang. Suspek merupakan suami kepada adik ibu mangsa.

    “Akibat terlalu takut, mangsa tidak menjerit ketika diraba dan dirogol bapa saudaranya. Kejadian dipercayai berlaku dalam salah sebuah daripada tiga bilik yang berada dalam rumah tersebut, yang merupakan bilik tidur pasangan suami isteri tersebut,” katanya.

    Tambahnya, satu laporan polis dibuat kira-kira pukul 10 malam tadi di Balai Polis Sungai Petani.

    “Pemeriksaan dijalankan pakar perubatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) mendapati terdapat kesan tusukan benda tumpul selain koyakan baharu pada kemaluan mangsa.

    “Berikutan itu, suspek telah ditahan kira-kira pukul 12.38 malam tadi. Dia kemudiannya direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” katanya.