Category: Jenayah

  • Enam GRO warga asing diberkas dalam serbuan

    Enam GRO warga asing diberkas dalam serbuan

    POLIS menahan enam pelayan pelanggan (GRO) warga asing selepas melakukan serbuan di sebuah pusat hiburan di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur pukul 10.15 malam tadi.

    Operasi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur semasa gadis GRO berkenaan leka melayan pelanggan.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, empat wanita warga Filipina dan dua wanita warga Indonesia itu berusia lingkungan 27 hingga 44 tahun.

    “Kita turut menahan seorang lelaki disyaki pengurus premis menggaji wanita terbabit dengan kadar RM100 hingga 130 sejam,” katanya dalam kenyataan, hari ini, memetik laporan Sinar Harian.

    Beliau berkata, siasatan awal mendapati wanita terbabit bekerja di premis itu sejak dua bulan lalu.

    “Kita turut memeriksa seramai 13 pelanggan dan tiga pekerja dalam operasi itu,” katanya.

    Habibi berkata, kes disiasat mengikut mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6 (1) (c) akta sama.

    “Kes turut disiasat mengikut Seksyen 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen,” katanya.

  • Wanita dibunuh, dibakar, ditemukan di tepi sungai

    Wanita dibunuh, dibakar, ditemukan di tepi sungai

    MAYAT seorang wanita ditemukan dalam keadaan terbakar dan dipercayai mangsa bunuh di kawasan tepi sungai di Kampung Talang Hulu, dekat Simpang Lawin, Kuala Kangsar, petang semalam.

    Panggilan berhubung penemuan mayat itu diterima daripada orang awam pada pukul 3.05 petang.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, susulan itu anggota Unit Forensik serta Unit Anjing Pengesan (K9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak digerakkan ke lokasi.

    “Identiti sebenar mangsa bagaimanapun, belum dikenal pasti.

    “Hasil pemeriksaan awal di tempat kejadian mendapati, wanita dipercayai mati dibunuh dan dibakar di lokasi yang sama mangsa ditemukan.

    “Daripada penelitian awal berdasarkan fizikal, mangsa dipercayai wanita berbangsa India. Bagaimanapun, identiti sebenar mangsa masih belum dikenal pasti,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Katanya lagi, mayat dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat bagi mencari punca sebenar kematiannya dengan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian mahupun kehilangan ahli keluarga supaya tampil berhubung dengan mana-mana balai polis terdekat.

    “Maklumat juga boleh disampaikan dengan terus menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohd. Subkey Alias di talian 013-9285436,” katanya.

  • Pemain bola sepak rogol remaja perempuan

    Pemain bola sepak rogol remaja perempuan

    SEORANG pemain bola sepak liga tanah air ditahan bagi membantu siasatan kes rogol remaja perempuan berusia 18 tahun.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, lelaki berusia 28 tahun itu ditahan di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu, malam kelmarin selepas pihaknya menerima laporan yang dibuat mangsa.

    “Dalam laporan dibuat, mangsa yang juga seorang jurujual kain dan tudung berada di rumahnya di sebuah kampung di Jalan PCB, keluar dari bilik untuk membuang sampah pada 12.30 tengah hari Ahad lalu.

    “Mangsa mendakwa didatangi suspek yang tiba-tiba menolaknya dari belakang sebelum mengheretnya ke katil dalam bilik tidur.

    “Dia (mangsa) cuba melawan dan menjerit namun ketika kejadian tiada ahli keluarga dan dia yang tidak berdaya akhirnya dirogol suspek,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini, lapor Harian Metro.

    Katanya, mangsa sudah dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan hasil pemeriksaan mengesahkan terdapat satu kesan koyakan baharu.

    Muhamad Zaki berkata, hasil siasatan dan temubual dijalankan, mangsa mengenali suspek yang juga pelanggan tetap kedai makan milik emaknya.

    Katanya, mangsa juga mendakwa pernah menerima gambar dan mesej berbaur lucah melalui WhatsApp daripada suspek tahun lalu ketika masih bersekolah.

    “Suspek ditangkap pada hari sama di Kampung Kijang, Jalan PCB. Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau.

    “Polis turut merampas baju dan seluar digunakan suspek semasa kejadian jenayah itu dilakukan. Suspek direman selama empat hari bermula semalam sehingga 2 Jun dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK),” katanya.

  • Bongkar sindiket jual petrol, diesel bersubsidi ke Thailand

    Bongkar sindiket jual petrol, diesel bersubsidi ke Thailand

    EMPAT individu termasuk seorang pemilik stesen minyak ditahan menerusi dua serbuan di Kangar dan Padanga Besar, Perlis, semalam, selepas mereka terlibat dalam sindiket penyelewengan bahan api bersubsidi ke negara Thailand.

    Serbuan dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis itu dilakukan serentak pada pukul 12.45 tengah hari di sebuah stesen minyak di Kangar dan stor tanpa nombor di Kampung Kolam, Padang Besar.

    Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Perlis, Mohamad Amir Abdullah berkata, empat warga tempatan yagn ditahan itu berusia antara lewat 30-an hingga 50-an.

    “Serbuan berkenaan dibuat berdasarkan hasil maklumat orang ramai dan risikan anggotanya selama dua minggu.

    “Serbuan pertama dilakukan di stesen minyak berjaya menemui dua kereta jenis Proton Iswara dan Proton Waja yang sarat dengan bekas atau ‘jerry can’ petrol 500 liter dan 420 liter dari jenis RON95 dan diesel.

    “Ketika serbuan dilakukan, dua lelaki dilihat sedang mengisi minyak bersubsidi di dua buah pam petrol berasingan di stesen minyak itu.

    “Siasatan kita mendapati pemilik stesen minyak itu bersekongkol dan berkompromi dengan dua lelaki dipercayai anggota sindiket penjualan minyak petrol RON95 dan diesel bersubsidi ini dan transaksi pembayaran bagi pembeliannya dibuat secara tunai di stesen minyak itu,” katanya di Pejabat KPDNHEP Perlis, hari ini, lapor Harian Metro.

    Menurutnya, ketiga individu termasuk wanita yang juga pemilik stesen minyak itu berusia lewat 50-an kemudiannya ditahan untuk membantu siasatan.

    “Serbuan itu turut membawa anggota ke sebuah sebuah stor tanpa nombor yang menjalankan perniagaan sejuk beku di Kampung Kolam, Padang Besar yang dijadikan tempat pengumpulan petrol bersubsidi untuk dijual kepada kenderaan asing.

    “Kita turut menemukan beberapa buah tong dram yang disyaki berisi petrol bersubsidi dan siasatan mendapati pemilik premis itu tidak mempunyai kebenaran bertulis untuk memiliki serta menyimpan barang kawalan berjadual daripada pengawal bekalan dan dalam hal ini, seorang wanita turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

    Beliau berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kedua-dua kes berkenaan adalah dari sindiket yang sama dengan modus operandi mereka adalah pemandu kereta akan mencari stesen minyak di sekitar daerah ini untuk membeli petrol bersubsidi RON95 dan diesel sebelum diisi ke dalam bekas minyak atau ‘jerry can’ yang dibawa dalam kereta mereka.

    Mohamad Amir berkata, rampasan petrol dan diesel bersubsidi berkenaan dianggarkan bernilai RM19,056 dan kes itu disiasat mengikut Seksyen Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM1,000,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu, manakala denda tidak lebih RM2,000,000 bagi syarikat yang didapati terbabit dalam kesalahan itu.

  • Polis rampas 7kg syabu dikirim melalui perkhidmatan kurier

    Polis rampas 7kg syabu dikirim melalui perkhidmatan kurier

    POLIS menahan seorang lelaki dan merampas lebih tujuh kilogram (kg) dadah jenis syabu menerusi dua serbuan di Jalan Stephen Tan dan Batu 3, Jalan Apas, Tawau pada Rabu lalu.

    Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Husin berkata, suspek tempatan berusia 20 tahun itu ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan rangkaian sindiket pengedaran dadah.

    “Serbuan pertama dijalankan pada pukul 2.10 petang di sebuah premis di Jalan Stephen Tan dan berjaya merampas dua kotak bungkusan plastik ‘teh cina’ dengan tertera tulisan ‘Guanyinwang’ yang disembunyikan dalam alat pembesar suara.

    “Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, kedua-dua bungkusan tersebut berisi bahan ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu,” katanya pada sidang media di pejabatnya di IPD Tawau, Tawau, hari ini, lapor Astro Awani.

    Katanya, suspek yang merupakan seorang penganggur terus dibawa ke IPD Tawau untuk soal siasat dan kemudian membawa kepada serbuan kedua.

    Jasmin berkata, hasil siasat berkenaan, pasukan operasi terus melakukan satu lagi serbuan di sebuah rumah kedai yang disewa oleh suspek di Batu 3, Jalan Apas pada pukul 3.40 petang hari yang sama.

    Menuru, dalam serbuan berkenaan, pasukan operasi berjaya merampas lima bungkusan yang berisi bahan ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

    “Anggaran berat lima bungkusan itu adalah 5,156.92 gram. Keseluruhan tujuh bungkusan yang dirampas berisi dadah syabu ini dianggarkan seberat 7,193.33 gram bernilai RM248,500.

    “Hasil siasatan lanjut mendapati, semua bungkusan berisi dadah jenis syabu berkenaan dibawa masuk ke Sabah menggunakan perkhidmatan kurier servis untuk pasaran tempatan,” katanya.

    Menurutnya, siasatan awal juga mendapati, suspek terbabit adalah rangkaian kepada satu sindiket pengedaran dadah dan polis masih meneruskan siasatan untuk mengenal pasti sindiket-sindiket yang terbabit dalam kes ini.

    “Polis juga telah membuat semakan dan suspek mempunyai dua kesalahan lampau membabitkan kes jenayah.

    “Siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan,” katanya lagi. Suspek kini direman sehingga 1 Jun depan,” katanya.

  • Dua pekerja kedai pengurup wang disamun SGD110,000

    Dua pekerja kedai pengurup wang disamun SGD110,000

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA pekerja kedai pengurup wang kerugian Singapore Dollar (SGD) 110,000 (RM345,730) selepas disamun dua lelaki bersenjata menaiki motosikal di belakang kedai pengurup wang di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, baru-baru ini.

    Ketua Polis, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kejadian tersebut berlaku berhampiran sebuah stesen minyak pada pukul 10.10 pagi, 29 April lalu semasa kedua-dua mangsa dalam perjalanan ke sebuah bank untuk membuat penukaran wang tersebut.

    “Dua suspek lelaki yang menaiki motosikal melakukan samun bersenjata terhadap dua pekerja kedai pengurup wang tersebut.

    “Hasil siasatan mendapati, semasa kejadian pekerja tersebut dalam perjalanan ke bank untuk membuat penukaran wang tunai itu sebelum diserang suspek menaiki motosikal.

    “Salah seorang mangsa mengalami kecederaan di bahagian tangan kiri dan telah menerima 37 jahitan dalam kejadian samun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, bertindak atas maklumat, pada 23 Mei lalu sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor melakukan beberapa siri tangkapan dan rampasan.

    Pihaknya menahan seramai tiga lelaki dan seorang wanita berusian dalam lingkungan umur 30 ke 42 tahun.

    “Polis telah menjumpai semula barang kes iaitu wang tunai SGD42,000 (RM132,000) disembunyikan dalam satu tin biskut yang mengandungi 800 keping mata wang SGD50, 200 keping mata wang SGD10 dan empat resit kedai pajak gadai,” katanya.

    Selain itu katanya, pihak polis menemukan satu cincin emas, satu rantai emas, empat kerabu emas yang bernilai pajakan sebanyak RM12,076, dua resit bank, sembilan unit telefon bimbit pelbagai jenis beserta simkad, seutas utas tali dipercayai serpihan tali zip beg mangsa yang dibakar, pakaian yang digunakan kedua-dua suspek semasa kejadian serta sebuah motosikal jenis Yamaha 125z.

    Beliau memberitahu, jumlah keseluruhan nilai rampasan dalam kes berkenaan adalah RM144,076.

    Kesemua tangkapan telah ditahan disambung reman bermula semalam hingga Ahad ini, bagi melakukan siasatan secara terperinci, katanya.

    Tambahnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara selama 20 tahun dan denda atau sebat.

  • Pegawai polis SB saman fitnah pengarah kanan Bukit Aman, bekas diplomat

    Pegawai polis SB saman fitnah pengarah kanan Bukit Aman, bekas diplomat

    SEORANG pegawai polis Cawangan Khas (SB) memfailkan dua saman fitnah terhadap seorang pengarah kanan Bukit Aman dan bekas diplomat kerana menuduhnya membuat tuntutan palsu pada 2020 dan 2021.

    Pegawai terbabit, Asisten Superintendan Azwan Jamaldin didakwa membuat beberapa tuntutan palsu berjumlah RM63,704 bagi menyelenggara dan membaiki kenderaan pegawai perhubungan polis Malaysia di Pontianak, Indonesia.

    Harian Metro melaporkan, saman itu yang dibuat secara berasingan menamakan Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din serta bekas konsul Malaysia ke Pontianak, Mohiuddin Ghazali sebagai defendan difailkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, minggu lalu.

    Berdasarkan writ saman itu, Azwan mendakwa Mohiuddin secara palsu dan berniat jahat menulis dan menerbitkan kenyataan berbentuk fitnah mengenainya menerusi emel antara 23 Disember 2020 dan 8 Mac 2021.

    Mohiuddin didakwa menulis emel kepada seorang pegawai Wisma Putra pada Ogos 2021 untuk menggesa pasukan petugas menyiasat tuntutan perbelanjaan Azwan.

    Pasukan petugas itu kemudian mengesahkan Azwan memalsukan tuntutan berkenaan.

    Beliau turut mendakwa Ramli menulis surat yang didakwa berunsur fitnah pada 23 Mac 2021 berdasarkan dakwaan Mohiuddin dan menghantarnya kepada beberapa pegawai tertinggi polis.

    Mereka termasuk bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohamed Farid Abu Hassan; Timbalan Pengarah Cawangan Khas II, Datuk Cheong Koon Kock; Ketua Penolong Pengarah E7 Cawangan Khas, Senior Asisten Komisioner Aida Abdul Hamid; Ketua Polis Negara ketika itu serta kerajaan.

    Azwan yang menuntut ganti rugi daripada defendan mendakwa reputasinya sebagai anggota polis tercemar teruk dan beliau tidak dinaikkan pangkat disebabkan tuduhan itu.

    Peguam Azwan, M. Manoharan mengesahkan beliau memfailkan saman itu bagi pihak anak guamnya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 23 Mei lalu.

    Katanya, semasa pengurusan kes, mahkamah meminta Ramli memfailkan pembelaannya sebelum 15 Jun depan manakala pengurusan kes membabitkan Mohiuddin pada 3 Jun ini.

  • 2 lelaki gagal seludup 1.35 tan ketum ke Johor

    2 lelaki gagal seludup 1.35 tan ketum ke Johor

    CUBAAN dua lelaki menyeludup daun ketum seberat 1.35 tan ke Johor Bharu gagal apabila mereka ditahan dalam satu operasi di Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berdekatan hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gurun, Kedah malam tadi.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Supt Mohd Mahiri Hussin berkata, kedua-dua suspek berumur 36 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11.30 malam semasa sekatan jalan raya Op Bersepadu Luaran dijalankan.

    Katanya, semasa operasi, pegawai dan anggota dari Polis Peronda Lebuh Raya (EMPV) Zon Utara 1 telah menahan sebuah lori yang dinaiki dua lelaki di R&R Gurun dalam keadaan mencurigakan dan membuat pemeriksaan terhadap kedua-dua suspek.

    “Hasil pemeriksaan di bahagian belakang lori telah menjumpai 135 bungkusan plastik hitam yang mengandungi daun hijau yang dipercayai ketum. Setiap satu bungkusan plastik itu adalah seberat 10 kilogram dan anggaran keseluruhan berat bungkusan 1.35 tan,” katanya ketika dihubungi Bernama di Alor Setar hari ini.

    Beliau berkata, kedua-dua suspek yang berasal dari Johor Bahru itu dipercayai mengambil daun ketum berkenaan di Pokok Sena untuk dihantar ke Kluang dan Johor Bahru.

    “Mereka telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

    Dalam pada itu, Mohd Mahiri berkata operasi yang bermula pukul 9 malam itu melibatkan sembilan pegawai dan 56 anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan PLUS Malaysia Bhd (PLUS).

    “Pihak polis mengeluarkan 52 saman kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan jalan raya manakala JPJ mengeluarkan 24 saman atas pelbagai kesalahan temasuk membawa lebih muatan, membawa muatan berbahaya dan lesen tamat tempoh.

    “AADK pula melakukan saringan air kencing terhadap 33 individu dengan enam daripadanya positif dadah jenis methamphetamine dan heroin,” katanya. – BERNAMA

  • Lelaki ditemukan mati dalam kereta McLaren

    Lelaki ditemukan mati dalam kereta McLaren

    SEORANG  lelaki ditemukan mati di dalam sebuah mewah berhampiran sebuah pusat hiburan di Petaling Jaya, petang semalam.

    Orang ramai menghubungi polis selepas mendapati lelaki berusia 28 tahun itu tidak sedarkan diri.

    Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Najilan Che Pa berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada 6.03 petang sebelum menggerakkan jentera ke lokasi kejadian.

    “Setibanya di lokasi kejadian, kami mendapati sebuah kereta mewah model McLaren diparkir berhadapan pusat hiburan berkenaan dan terdapat mangsa seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri.

    “Anggota kemudian bertindak membuka pintu kereta berkenaan menggunakan alatan khas. Sebaik berjaya dibuka, pasukan perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.

    Berita Harian melaporkan, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya yang dipetik Berita Harian berkata, polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

    “Siasatan awal mendapati kereta yang digunakan adalah kereta sewa jadi kita masih menyiasat dari semua sudut berhubung penemuan mayat lelaki ini.

    “Setakat ini kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan setakat ini tiada sebarang unsur jenayah ditemui,” katanya.

    Beliau berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

    “Kita juga turut sedang menyiasat bagaimanakah kereta yang dinaiki si mati berada di hadapan pusat hiburan berkenaan,” katanya.

    Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Rakan Cop Polis KL di talian 03-21159999.

  • Empat termasuk penolong pegawai perubatan ditahan rasuah urus jenazah

    Empat termasuk penolong pegawai perubatan ditahan rasuah urus jenazah

    EMPAT individu termasuk dua penolong pegawai perubatan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat meminta dan menerima suapan bagi urusan berkaitan kerja pengurusan jenazah membabitkan suapan berjumlah RM1,000 hingga RM4,000 setiap seorang.

    Sumber berkata, dua suspek yang juga pembantu kesihatan berusia 35 dan 38 tahun serta dua penolong pegawai perubatan berusia 37 dan 41 tahun itu ditahan kira-kira jam 6 petang, hari ini di pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan.

    Semua suspek lelaki yang berkhidmat di salah sebuah hospital di Selangor dipercayai meminta dan menerima wang suapan terbabit bagi setiap pengurusan jenazah daripada individu tertentu.

    Difahamkan, ia sebagai balasan untuk pihak berkenaan terus mendapatkan kerja pengurusan jenazah bagi tempoh 2018 hingga 2021.

    Pengarah SPRM Selangor Alias Salim mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

    “Tiga suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor esok untuk mendapatkan perintah reman.

    “Seorang lagi suspek yang juga penolong pegawai perubatan berusia 41 tahun akan dilepaskan dengan jaminan SPRM atas faktor kesihatan selepas memberi keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan,” katanya lapor portal FMT

    Pada 27 Mei lalu, dua pembantu kesihatan berusia 40 dan 42 tahun ditahan reman selama lima hari oleh SPRM bagi membantu siasatan kes yang sama.