MAYAT seorang wanita mengandung ditemui dengan kesan tembakan pada perut dalam sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan di Kampung Repek, di Pasir Mas, petang semalam.
Berita Harian melaporkan, mangsa berusia 26 tahun yang mengandung tujuh bulan ditemui jam 4 petang oleh orang awam sebelum memaklumkan kepada polis.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata mangsa yang bekerja sebagai peniaga ditemui terbaring di tempat duduk pemandu.
“Pemeriksaan mendapati, terdapat kesan tembakan pada perut kiri mangsa dan ibu mangsa memaklumkan wanita itu mengandung tujuh bulan. Hasil temubual saksi juga mendapati kenderaan jenis Nissan Cefiro itu diletakkan di tepi jalan sejak petang kelmarin.
“Terdapat satu kelongsong peluru ditemui di bahagian kaki tempat duduk penumpang belakang sebelah pemandu. Semakan awal mendapati, kenderaan itu didaftarkan atas nama mangsa sendiri. Mayat kemudian dihantar ke Hospital Pasir Mas (HPM) untuk bedah siasat,” katanya.
Muhamad Zaki berkata, susulan itu pihaknya menahan seorang lelaki berusia 40 tahun jam 11.30 malam tadi.
“Suspek yang bekerja sebagai buruh ditahan di Pasir Mas dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
*Polis temui 15 potongan bahagian tubuh dalam tangki kumbahan
POLIS menahan seorang lelaki selepas dipercayai membunuh dan memotong badan ibunya di sebuah rumah di Taman Kerian, Parit Buntar kerana tidak berpuas hati dengan pembahagian harta pusaka mendiang bapanya.
Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata lelaki berusia 42 tahun itu ditahan selepas polis menerima laporan mengenai penemuan potongan-potongan daging menyerupai anggota badan manusia di dalam tangki kumbahan rumah berkenaan kira-kira 3.30 petang semalam.
“Sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian dengan dibantu Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak telah hadir ke tempat kejadian dan menemukan 15 keratan bahagian tubuh badan yang telah dipotong,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata mangsa merupakan seorang wanita berusia 68 tahun dan hanya tinggal berdua bersama suspek di rumah itu sejak 12 tahun lepas selepas suami mangsa meninggal dunia.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca akibat rasa tidak puas hati suspek terhadap pembahagian harta pusaka mendiang bapanya.
“Selain penahanan lelaki itu, polis turut merampas sebilah parang, dua pisau serta barang-barang yang digunakannya bagi melakukan pembunuhan tersebut,” katanya dengan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.
SEORANG jururawat mendakwa kerugian lebih RM20,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan saham yang menjanjikan pulangan berganda, menerusi media sosial.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang DSP Yap Huat Tian berkata mangsa berusia 44 tahun itu, berminat menyertai pelaburan tersebut selepas melihat tawaran menarik di aplikasi TikTok pada 20 Mei lepas.
Beliau berkata wanita berkenaan ditawarkan empat pakej pelaburan dan memilih ‘pakej gold’ yang dikenakan bayaran RM250, dengan dijanjikan pulangan berjumlah RM7,800 dalam masa lapan hingga 12 jam.
“Mangsa melakukan enam transaksi berjumlah RM20,130 ke dalam pelbagai akaun yang diberikan suspek dari 29 Mei hingga Khamis lepas (2 Jun).
“Bagaimanapun, dia berasa ditipu apabila suspek memintanya membayar RM5,620 lagi, sebagai komisen staf pelaburan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, Yap berkata jururawat tersebut telah membuat laporan di Balai Polis Temerloh semalam, bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.
JABATAN Imigresen menahan 49 warga asing atas pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai dokumen perjalanan dan dokumen perjalanan disyaki palsu dalam operasi di sebuah kondominium di Ampang, di sini tengah malam tadi.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Syamsul Badrin Mohshin berkata, dalam operasi yang berlangsung kira-kira dua jam itu, seramai 205 warga asing dari Afghanistan, Libya dan India berumur antara enam bulan dan 68 tahun telah diperiksa.
“Operasi malam ini melibatkan seramai 31 orang pegawai Imigresen dan seramai 95 lelaki, 79 wanita dan 31 kanak-kanak diperiksa melibatkan 197 warga Afghanistan, enam warga Libya dan dua warga India,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu.
Beliau berkata kebanyakan warga Afghanistan yang diperiksa merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) yang berlindung di negara ini susulan konflik di negara mereka.
Menurutnya, kesemua tahanan akan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 61C Akta Imigresen 1963.
POLIS menahan seorang suri rumah dipercayai menjadi pengedar air ketum menerusi satu serbuan yang dilakukan di sebuah kediaman di sekitar Jalan Tambun Tulang, Kampung Baru Arau semalam.
Ketua Polis Daerah Arau, Supt Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, hasil pemeriksaan di rumah tersebut, polis menjumpai 150 bungkusan plastik dan sembilan botol berpenutup dipercayai mengandungi air ketum di lantai tandas di bahagian dapur rumah.
“Hasil siasatan awal polis mendapati suspek terlibat menjual air ketum dengan harga RM4 sebungkus dan RM10 sebotol di sekitar kawasan Kampung Baru Kepala 10 Tambung Tulang,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Ahmad Mohsin berkata, suspek berumur 40 tahun itu dipercayai mula aktif menjual air ketum sejak enam bulan lepas.
Beliau berkata, suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga 5 Jun.
“Barang rampasan dibawa ke Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya. – BERNAMA
SEORANG suri rumah mengalami kerugian RM71,100 selepas ditipu sindiket pelaburan wang tidak wujud “Sifuku Millennium” menerusi aplikasi laman sosial yang menawarkan pulangan lumayan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Supt Wan Aeidil Wan Abdullah berkata, mangsa berusia 54 tahun itu tertarik dengan tawaran pelaburan berkenaan selepas melihat iklan “Sifuku Millennium” menerusi laman Facebook.
“Mangsa yang terpedaya dengan tawaran lumayan itu kemudian membuat pindahan wang permulaan berjumlah RM8,600 ke akaun bank yang diberikan oleh suspek pada 24 Mei,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa membuat beberapa pemindahan wang dalam tempoh seminggu bermula 24 sehingga 30 Mei.
Katanya, wanita berkenaan telah membuat laporan polis pada semalam selepas suspek menyedari bahawa beliau telah diperdaya oleh suspek.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan polis akan mengumpul maklumat pemilik akaun bank yang digunakan suspek bagi transaksi pelaburan berkenaan,” katanya.
Wan Aeidil berkata, mengikut statistik polis sebanyak 22 kertas berhubung kes penipuan babitkan pelaburan tidak wujud dibuka dalam tempoh Januari hingga 2 Jun melibatkan kerugian berjumlah RM211,393.16.
“Polis menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan iklan-iklan promosi pelaburan di media sosial dan dapat melakukan semakan terlebih dahulu menerusi perkhidmatan disediakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman,” katanya. – BERNAMA
POLIS Diraja Malaysia menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah dengan merampas pelbagai jenis dadah seberat 696 kilogram (kg) bernilai RM25.35 juta dalam serbuan di Selangor dan Kedah pada Khamis serta awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pada serbuan pertama di sekitar Selangor pukul 2.30 pagi Khamis, polis merampas dadah jenis syabu seberat 404.3 kg, heroin (7.7 kg) dan pil ekstasi (35.3 kg) yang dianggarkan bernilai RM16.4 juta.
“Selain itu, polis menahan seorang lelaki berusia 40 tahun yang dipercayai terlibat dengan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah bagi pasaran antarabangsa dan tempatan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman di Kuala Lumpur, hari ini.
Sebahagian dadah seberat 696 kilogram yang dianggarkan bernilai RM25.35 juta yang berjaya dirampas selepas menahan beberapa suspek dipercayai terlibat dengan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah di negeri Selangor dan Kedah pada sidang media di Bukit Aman, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat
Sementara itu, dalam serbuan awal pagi tadi di Kedah dan Selangor, Ayob Khan berkata, pihaknya menahan tiga lelaki dan seorang perempuan berumur lingkungan 25 hingga 39 tahun yang dipercayai terlibat aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah bagi pasaran tempatan.
Katanya, dalam serbuan itu, polis merampas 248.7 kg dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM8.95 juta.
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, sindiket terbabit aktif sejak hujung 2021 dan dipercayai mendapat bekalan dadah dari lokasi dikenali sebagai ‘Segi Tiga Emas’ (Thailand, Laos dan Myanmar) sebelum menjualnya untuk pasaran Indonesia.
“Modus operasi yang digunakan sindiket adalah menjadikan premis kediaman sebagai tempat menyimpan dadah sebelum diseludup ke negara jiran untuk pasaran antarabangsa dan diedar di pasaran tempatan,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB 1952) dan suspek direman selama tujuh hari bermula semalam dan hari ini bagi membantu siasatan.
“Tindakan juga diambil di bawah ADB (Pelucuthakan Harta) 1988 dan polis setakat ini menyita aset sindiket yang dianggarkan bernilai RM360,000 iaitu kenderaan Toyota Fortuner, Kia Optima, Mitsubishi Triton dan Ford Ranger,” katanya.
Ayob Khan menegaskan, pihaknya akan meneruskan siasatan bagi mengesan saki-baki ahli sindiket untuk dibawa ke muka pengadilan serta berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku dalam komuniti. – BERNAMA
PEMAIN bola sepak sebuah pasukan liga tempatan yang sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja berusia 18 tahun, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, ia susulan tempoh tahanan reman ke atas lelaki berusia 28 tahun itu berakhir hari ini.
“Polis dalam tindakan melengkapkan kertas siasatan, insya-Allah akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dalam masa terdekat,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan pemain tersebut ditahan di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini, selepas mangsa membuat laporan polis, Ahad lalu.
Pemain itu kemudian direman empat hari bermula Isnin hingga semalam, sebelum direman sehari lagi dan berakhir hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan. – BERNAMA
TUJUH lelaki yang sedang leka melakukan pemindahan minyak diesel bersubsidi dari lori ke dalam bot terkejut apabila diserbu di kawasan tepi jalan berhampiran hutan Kampung Belungkor, Kota Tinggi malam tadi.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah berkata, kesemua mereka tidak sempat melarikan diri semasa diserbu dalam Op Kontraban pada pukul 8.30 malam.
“Kita menahan tujuh lelaki warga tempatan termasuk empat warga asing berusia dalam lingkungan umur 30 hingga 55 tahun ketika mereka melakukan kegiatan permindahan minyak tersebut.
“PPM Wilayah Dua merampas 200,000 liter minyak diesel bersubsidi bernilai kira-kira RM430,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujarnya, hasil soal siasat mendapati minyak diesel itu akan dijual keluar negara dengan harga yang lebih tinggi dari pasaran tempatan.
Kesemua yang ditahan katanya, gagal mengemukakan sebarang dokumen sama ada memiliki, menyimpan dan membawa barang kawalan tersebut.
Tujuh lelaki warga tempatan termasuk empat warga asing ditahan ketika melakukan kegiatan permindahan minyak tersebut
Menurutnya, PPM Wilayah Dua turut merampas sebuah bot yang telah diubah suai, tiga buah lori, lima tangki dan lima unit pam dengan nilai keseluruhan rampasan bernilai berjumlah RM5.505 juta.
Tambahnya, semua barang rampasan dan suspek diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
PPM Wilayah Dua menyeru orang ramai terutama masyarakat maritim agar menyalurkan maklumat perlanggaran undang-undang khususnya jenayah kepada PPM Wilayah Dua menerusi talian 07-2372221 atau 07-2372222
SEKUMPULAN remaja yang menjadi ahli kongsi gelap memukul seorang pelajar tingkatan tiga di hadapan sebuah sekolah menengah di Iskandar Puteri, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, suspek berumur antara 17 hingga 18 tahun itu mengajak mangsa menyertai kumpulan kongsi gelap tetapi pelajar berkenaan enggan.
“Polis menerima laporan kes itu pukul 2 petang kelmarin. Semasa berada di hadapan sekolah, mangsa didatangi enam suspek yang tidak dikenali.
“Suspek berumur antara 17 hingga 18 tahun itu mengajak mangsa menyertai kumpulan kongsi gelap.
“Mangsa bagaimanapun dipukul menggunakan tangan oleh enam suspek kerana menolak menyertai kumpulan itu. Mangsa mengalami kecederaan di bibir, pipi dan dahi,” katanya menerusi kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Katanya, susulan itu polis menahan seorang suspek yang juga penganggur berusia 18 tahun pada pukul 12.15 malam tadi di kediamannya di Iskandar Puteri.
Rahmat berkata, siasatan awal suspek mengaku memukul mangsa bersama rakan lain.
“Polis memohon orang ramai yang berada di tempat kejadian tampil untuk membantu siasatan.
“Polis tidak akan berkompromi dengan jenayah membabitkan pelajar sekolah,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.