Category: Jenayah

  • Kapal Monggolia ditahan bersauh tanpa kebenaran

    Kapal Monggolia ditahan bersauh tanpa kebenaran

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili menahan sebuah kapal kargo kerana bersauh tanpa kebenaran pada kedudukan 21.8 batu nautika timur Tanjung Balau, Kota Tinggi semalam.

    Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd. Najib Sam berkata, kapal kargo itu ditahan bot ronda maritim pada pukul 11.15 pagi.

    “Hasil pemeriksaan mendapati kapal tersebut berdaftar dari Mongolia dan dikendalikan tujuh kru lelaki termasuk nakhoda.

    “Kesemua mereka merupakan warga Myanmar berusia di antara 24 hingga 56 tahun mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Pemeriksaan ke atas dokumen kapal mendapati nakhoda telah gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, kapal itu ditahan manakala nakhoda kapal serta seorang kru telah diturunkan dan dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk tindakan lanjut.

    Katanya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

    Pihak maritim katanya, akan terus meningkatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan kapal-kapal dalam perairan negara sentiasa terjamin.

    Jika terdapat aduan atau maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, sila hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07 2199404 yang beroperasi secara 24 jam atau MERS 999 agar tindakan segera dapat diambil maritim.

  • Lelaki rogol teman wanita bawah umur ditahan semula selepas 4 tahun ‘hilang’

    Lelaki rogol teman wanita bawah umur ditahan semula selepas 4 tahun ‘hilang’

    SEORANG lelaki yang didakwa merogol gadis bawah umur sehingga mengandung empat tahun lalu, berjaya ditahan semula semalam, selepas empat tahun ‘menghilangkan diri’.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pemuda berusia 27 tahun itu ditahan pukul 1.30 pagi dan seterusnya dituduh di Mahkamah Sesyen Klang, semalam.

    “Kes bermula pada 5 Julai 2018 apabila suspek ketika itu berusia 23 tahun yang juga teman lelaki mangsa ditangkap bagi membantu siasatan.

    “Siasatan mendapati suspek merogol remaja berusia 16 tahun itu yang dikenalinya pada September 2017 melalui aplikasi Wechat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Katanya, suspek melakukan hubungan seks dengan remaja itu pada Oktober 2017 di sebuah hotel di bandar Klang.

    “Selepas siasatan terhadap suspek selesai, suspek dibebaskan dengan jaminan polis, manakala kertas siasatan dirujuk Timbalan Pendakwa Raya dan mendapat arahan tuduh mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

    “Bagaimanapun, suspek tidak dapat dikesan bagi pertuduhan, maka waran tangkap dipohon daripada mahkamah dan suspek dijadikan sebagai ‘Orang Dikehendaki’,” katanya.

    Mengulas mengenai kes itu, beliau berkata, pada 11.30 malam, 18 Jun 2018 lalu, mangsa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan hasil pemeriksaan mendapati dia menggugurkan kandungannya pada 12 Jun 2018 di rumahnya di Kampung Delek, di Klang.

    Menurutnya, pada April 2018, mangsa mengandung dan bagi menyembunyikan perkara ini daripada ahli keluarga, mangsa mendapat nasihat rakan lain di Wechat untuk mengambil ubat keguguran.

    Katanya, pada awal pagi 12 Jun 2018, mangsa mengambil empat biji ubat keguguran yang diberikan oleh rakannya dan mangsa melahirkan bayi lelaki cukup sifat tetapi tidak bernyawa dalam tandas rumah pada 9 pagi.

    “Selepas itu, mangsa memasukkan bayi itu ke dalam plastik dan membuangnya ke dalam tong sampah di tepi jalan di Kampung Delek, Klang, lebih kurang dua kilometer dari rumah mangsa.

    “Ketika itu, ahli keluarga mangsa tiada di rumah, bagaimanapun pada 18 Jun 2018 mangsa mengadu sakit badan kepada ahli keluarganya lalu dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

    Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan rogol mangsa berusia 16 tahun ke bawah dan Seksyen 318 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyembunyikan kelahiran.

  • Kes pelajar bergaduh:17 akan dituduh di mahkamah

    Kes pelajar bergaduh:17 akan dituduh di mahkamah

    POLIS sudah menyiapkan kertas siasatan membabitkan kes pergaduhan pelajar sebuah sekolah menengah di bandar Sandakan yang tular pada 22 Mei lalu.

    Pihak polis kini menunggu arahan Timbalan Pendakwa Raya untuk mendakwa semua suspek ke mahkamah.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Mohd. Hamizi Halim berkata, dalam kes itu, seramai 17 suspek membabitkan remaja berusia 14 hingga 18 tahun bakal didakwa.

    “Mengenai kes itu, kejadian dipercayai bermula dengan gurauan sehingga tercetus pergaduhan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Terdahulu, selepas video pergaduhan pelajar sekolah menengah itu tular, polis mengesan 22 individu termasuk 21 pelajar disyaki terbabit dalam kejadian berkenaan dengan 17 daripada mereka bakal didakwa.

  • Wanita ditemukan mati dibunuh, dibakar tidak hamil, temui bukti baharu

    Wanita ditemukan mati dibunuh, dibakar tidak hamil, temui bukti baharu

    POLIS menemukan beberapa penemuan bukti baharu yang memerlukan siasatan lanjut berhubung kes wanita yang ditemukan dalam keadaan terbakar di tepi Sungai Kuala Kangsar, Kampung Talang Hulu, pada Selasa lalu.

    Sehubugan itu kata Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, teman lelaki wanita itu disambung enam hari lagi sehingga 16 Jun depan.

    Pada masa sama beliau menafikan khabar angin yang berlegar di media sosial kononnya mangsa dirogol ataupun mengandung.

    “Siasatan masih lagi diteruskan dan kita belum tahu lagi apa motif sebenarnya kejadian ini tetapi kita yakin ada kaitan dengan teman lelaki, yang pertama kita tangkap itu.

    “Dari ‘post mortem’ yang dibuat, tak ada laporan daripada pakar perubatan mengatakan mangsa ni mengandung dan sebagainya. Ini hanya spekulasi yang diadakan oleh orang-orang tertentu di media sosial,” katanya.

    Beliau ditemui selepas di majlis pembukaan bilik VVIP sebuah restoran popular di Ipoh, hari ini, lapor Astro Awani.

    Pada 31 Mei lalu, polis menerima laporan berhubung penemuan mayat seorang wanita tanpa identiti dalam keadaan terbakar di tepi Sungai Kuala Kangsar, Kampung Talang Hulu.

    Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa telah mati dibunuh dan dibakar di lokasi sama.

    Polis turut menjumpai seketul batu konkrit dengan kesan darah berhampiran mayat, yang dipercayai senjata digunakan untuk mencederakan kepala wanita itu.

    Hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa, didapati punca kematian adalah hentakan di kepala dengan kesan melecur yang teruk.

    Minggu lalu, Mahkamah Majistret Kuala Kangsar membenarkan teman lelaki mangsa yang berusia 20 tahun direman seminggu sehingga hari ini.

    Polis turut menahan empat orang lagi bagi membantu siasatan dan reman ke empat-empat mereka akan berakhir 13 Jun ini.

  • JIM tumpas dua sindiket RTK, 6 ditahan termasuk warga Bangladesh

    JIM tumpas dua sindiket RTK, 6 ditahan termasuk warga Bangladesh

    JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan kegiatan dua sindiket Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) selepas menahan enam individu menerusi serbuan di dua premis berasingan di Jalan Lumut, Kuala Lumpur dan Pandan Cahaya, Ampang, Selangor.

    Serbuan dilakukan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas pada Rabu lalu itu mendapati kedua-dua sindiket berkenaan berselindung di sebalik agensi pekerjaan haram dan syarikat pembinaan yang mengaut keuntungan melebihi RM2 juta.

    Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, satu daripada sindiket itu didalangi warga Bangladesh berusia 42 tahun serta berstatus pemegang Pemastautin Tetap (MyPR) yang berkahwin dengan seorang warga tempatan.

    Sindiket kedua didalangi seorang wanita tempatan berusia 36 tahun yang berkahwin dengan seorang warga Bangladesh yang mempunyai pas lawatan sosial jangka panjang.

    “Berdasarkan bayaran yang dikenakan serta jumlah rampasan pasport, setiap individu dikenakan bayaran antara RM3,500 hingga RM4,200.

    “Taktik sindiket ini adalah menubuhkan syarikat pembinaan dan agensi pekerjaan haram bagi mengaburi pihak berkuasa dengan meyakinkan pelanggan untuk urusan pengambilan pekerja asing, khususnya melalui RTK yang dimulakan sejak tahun lalu,” katanya pada sidang media di Purtajaya, hari ini, lapor Harian Metro.

    Hasil serbuan di dua lokasi itu, Imigresen merampas 488 naskhah pasport antarabangsa terdiri daripada 457 pasport Bangladesh, masing-masing lapan naskhah pasport Indonesia, India dan Pakistan, enam pasport Myanmar dan sekeping pasport Nepal.

    Turut dirampas 12 cap syarikat, dua set komputer dan wang RM38,308 hasil keuntungan daripada aktiviti berkenaan.

    Khairul Dzaimee berkata, berdasarkan siasatan, pemilik premis pada serbuan pertama di Jalan Lumut adalah warga Bangladesh yang mendapat MyPR pada 2015.

    Turut ditahan pada serbuan pertama adalah seorang pekerja warga Bangladesh.

    “Hasil risikan yang dijalankan selama dua bulan mendapati, syarikat pembinaan itu beroperasi sejak 2014 dan disyaki menjalankan aktiviti sebagai ejen menguruskan permohonan pekerja asing sekitar tahun lalu,” katanya.

    Menurut beliau, pada operasi kedua, pihaknya memeriksa sebuah premis yang menjalankan aktiviti sama sebelum menahan seorang wanita tempatan yang juga pemilik syarikat pembinaan bersama suaminya.

    Katanya, turut ditahan di premis itu adalah dua lelaki warga Bangladesh berusia 36 hingga 52 yang berperanan sebagai pengantara syarikat dan pelanggan.

    “Kes masih dalam siasatan dan kesemua pasport yang dikeluarkan itu akan dibatalkan.

    “Enam individu berusia 36 hingga 52 tahun itu ditahan di lokap Jabatan Imigresen mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 12(1) (f) Akta Pasport 1966.

    “Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

  • PGA berkas 20 PATI berhimpit dalam Toyota Estima

    PGA berkas 20 PATI berhimpit dalam Toyota Estima

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) menahan dua tekong dan 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dalam sebuah kereta Toyota Estima di Kampung Tasek Berangan, Pasir Mas pukul 12.30 malam tadi.

    Ketika kejadian anggota Batalion 7 PGA sedang membuat rondaan sebelum terserempak kenderaan terbabit di persimpangan Kampung Pok Jak dalam keadaan mencurigakan.

    Pegawai Pemerintah Medan Ops Wawasan Kelantan, Deputi Superintendan K. Ramesh berkata, anggota mengekori kereta itu sebelum seorang penumpang warga tempatan dilihat keluar untuk melarikan diri sebaik kenderaan berhenti, namun berjaya dikejar dan ditahan.

    “Hasil pemeriksaan dalam kereta tersebut mendapati terdapat 20 penumpang disyaki warga Myanmar terdiri daripada 14 lelaki dan enam wanita berusia 17 sehingga 35 tahun.

    “Sementara dua lelaki warga tempatan berusia 25 dan 40 tahun turut ditahan, yang mana salah seorang bertindak sebagai pemandu,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Katanya, semua PATI diarahkan ‘berhimpit’ dalam satu kenderaan bagi mempercepatkan proses perjalanan selain untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

    “Tekong bertindak membuka tempat duduk bahagian penumpang belakang bagi memudahkan PATI dibawa dengan jumlah yang ramai melebihi muatan sebenar.

    “Malah kenderaan yang digunakan juga adalah kereta mewah dengan cermin yang gelap supaya kegiatan mereka ini tidak dikesan oleh anggota bertugas,” katanya.

    Ramesh berkata, hasil siasatan mendapati kesemua warga Myanmar berkenaan tidak mempunyai pasport atau kad perjalanan yang sah selain mengakui memasuki sempadan negara melalui pangkalan haram yang tidak diwartakan.

    “Anggota merampas kereta manakala dua tekong dan 20 PATI ditahan untuk di bawah ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi tindakan lanjut dibawah Seksyen 26(J) ATIPSOM 2007 serta Seksyen 1(C) Imigresen 1953/1969.

    “Siasatan awal mendapati, kesemua PATI ini dibawa masuk secara haram melalui jalan sungai sebelum ditempatkan sementara di lokasi sepanjang Sungai Golok sebelum dibawa menaiki kenderaan oleh tekong yang sedia menunggu.

    Ujarnya, PATI itu dipercayai mahu ke Kuala Lumpur bagi tujuan bekerja dalam pelbagai sektor termasuk sebagai buruh dan pekerja kilang.

  • Warga emas direman kes bunuh jiran

    Warga emas direman kes bunuh jiran

    SEORANG warga emas direman selama enam hari di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan jirannya di Jalan Kelochor, Kota Bharu, semalam.

    Reman lelaki berkenaan dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Mohd. Rusli Ahmad.

    Tempoh reman suspek berkuat kuasa hari ini sehingga Rabu ini, lapor Sinar Harian.

    Media malam tadi melaporkan seorang lelaki warga emas maut akibat serangan jantung selepas dipercayai dipukul oleh jirannya dengan kayu akibat pergaduhan berpunca daripada mangsa yang menanam pokok di laluan di Jalan Kelochor semalam.

    Mangsa yang berusia lewat 60-an ditemui meninggal dunia di bahagian dapur rumahnya dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari.

    Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun ketika dihubungi mengesahkan reman berkenaan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum mati mandatori,” katanya.

  • Warga emas maut dipukul dengan kayu kerana tanam pokok depan rumah jiran

    Warga emas maut dipukul dengan kayu kerana tanam pokok depan rumah jiran

    SEORANG lelaki warga emas maut akibat serangan jantung selepas dipercayai dipukul jirannya dengan kayu, berpunca daripada mangsa yang menanam pokok depan rumah jirannya di Jalan Kelochor, Kota Bharu petang tadi.

    Mangsa, lewat 60-an, ditemukan meninggal dunia di bahagian dapur rumahnya pada pukul 12 tengah hari.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu menerima panggilan dari Unit Rondaan (MPV) bahawa terdapat satu kejadian pergaduhan melibatkan dua lelaki di jalan berkenaan.

    “Polis ke tempat kejadian dan menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri terbaring di bahagian dapur rumahnya dan kemudian menghubungi pihak hospital untuk bantuan.

    “Hasil pemeriksaan daripada penolong pegawai perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu yang datang ke tempat kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

    “Mayat mangsa dibawa ke HRPZ II untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, malam ini, lapor Sinar Harian.

    Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata, hasil siasatan awal dipercayai kejadian pergaduhan berpunca daripada perselisihan faham di antara mangsa dengan suspek yang merupakan jirannya.

    Ujarnya, kejadian itu berlaku di laluan hadapan rumah suspek yang bertentangan dengan bahagian belakang rumah mangsa.

    “Suspek dipercayai bertindak memukul mangsa menggunakan sebatang kayu menyebabkan mangsa melarikan diri pulang ke rumahnya sebelum ditemui oleh isterinya dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di bahagian dapur rumahnya.

    “Pemeriksaan tubuh badan mangsa mendapati kesan luka dan bengkak pada bahagian belakang kepala serta kesan calar pada tangan,” katanya.

    Beliau berkata, susulan itu pihak polis menahan suspek serta merampas sebatang kayu yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.

    “Mangsa tidak bekerja serta tinggal berdua bersama-sama isterinya yang berusia awal 70-an dan mayatnya dibawa ke HRPZ II untuk bedah siasat.

    “Hasil soal siasat, suspek mengaku memukul mangsa menggunakan sebatang kayu berpunca akibat tidak puas hati kerana mangsa menanam pokok di laluan jalan menyebabkan kenderaan milik suspek sukar melaluinya,” katanya.

    Tambahnya, hasil bedah siasat mendapati sebab kematian mangsa akibat serangan jantung dan pada masa sama berlakunya kecederaan mengakibatkan kesakitan sehingga berlakunya serangan jantung.

    “Ujian saringan air kencing ke atas suspek adalah negatif dan akan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • JIM tahan 28 GRO, pekerja warga asing di pusat hiburan

    JIM tahan 28 GRO, pekerja warga asing di pusat hiburan

    JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan 28 individu dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan dalam kawasan kedai Pekan Koidupan, Jalan Penampang Baru, Penampang, semalam.

    Jurucakap JIM Sabah berkata, semua yang ditahan dalam operasi pukul 11.40 malam itu membabitkan pendatang tanpa izin (PATI), pekerja dan gadis pelayan pelanggan (GRO) di pusat hiburan berkenaan.

    “Semasa serbuan pasukan JIM menjalankan pemeriksaan dokumentasi terhadap 75 individu membabitkan pekerja dan pengunjung premis.

    “Hasil pemeriksaan mendapati, 28 daripada individu terbabit gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah dan melakukan kesalahan melanggar akta Imigresen,” katanya memetik laporan Utusan Borneo, hari ini.

    Katanya, semua yang ditahan melibatkan lima lelaki dan 15 wanita warga Filipina serta seorang lelaki dan tujuh wanita warga Indonesia.

    “Mereka yang ditahan dikesan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

    “Sebahagian suspek juga ditahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas,” katanya.

    Operasi Bersepadu Gegar JIM Sabah dijalankan dengan kekuatan seramai 37 pegawai dan anggota.

  • Peniaga dalam talian rugi RM400,000 disamun

    Peniaga dalam talian rugi RM400,000 disamun

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG peniaga dalam talian yang sedang menunggu pelanggan cedera dilibas parang selepas disamun empat lelaki di sebuah restoran di Mount Austin, JOhor Bahru, pukul 1.45 petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa berusia 26 tahun terkejut apabila tiba-tiba didatangi empat lelaki memaksanya menyerahkan jam jenama mahal yang dijualnya.

    “Semasa kejadian mangsa membuat janji temu bertemu pelanggannya di restoran mewah tersebut dan mahu melihat sendiri jam tangan jenis Rolex yang mahu dibelinya.

    “Empat lelaki terbabit datang dan mengambil tiga jam tangan jenama Rolex dan sebentuk cincin emas sebelum melarikan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Difahamkan mangsa yang enggan menyerahkan jam dilibas dengan parang pada bahagian kanan tangannya.

    Beliau memberitahu, mangsa mengalami luka dan kerugian dianggarkan RM400,000.

    Susulan itu pihaknya sedang giat mengesan semua suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 397/397 Kanun Keseksaan.