Category: Jenayah

  • Tujuh pegawai ditahan, Imigresen akan beri kerjasama kepada SPRM

    Tujuh pegawai ditahan, Imigresen akan beri kerjasama kepada SPRM

    JABATAN Imigresen akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi melengkapkan siasatan terhadap tujuh pegawai jabatan itu yang ditahan suruhanjaya tersebut, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

    Beliau berkata penahanan tujuh pegawai disyaki terlibat dalam aktiviti pengeluaran pas dan dokumen imigresen secara tidak teratur serta didakwa melindungi warga asing itu adalah hasil kerjasama Jabatan Imigresen dan SPRM khususnya dari segi perkongsian maklumat.

    “Kerjasama sepenuhnya akan diberikan kepada SPRM untuk melengkapkan siasatan mereka yang akan dilaksanakan secara penuh profesional,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pada Isnin lepas, SPRM dilaporkan menahan tujuh pegawai penguat kuasa dan dua individu termasuk warga asing bagi membantu siasatan kes rasuah lebih RM500,000.

    Enam pegawai penguat kuasa termasuk pegawai kanan itu ditahan di Sarawak manakala seorang lagi di Selangor.

    Khairul Dzaimee menegaskan Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi dengan pegawai atau kakitangan yang didapati menyalahgunakan kuasa bagi tujuan kepentingan peribadi serta memperoleh wang secara mudah.

    “Kesemua yang terlibat akan dikenakan tindakan undang-undang termasuk dipenjara dan ditamatkan perkhidmatan jika didapati bersalah,” katanya.

    — BERNAMA

  • Remaja perempuan hilang di Bercham, ditemukan di Selangor

    Remaja perempuan hilang di Bercham, ditemukan di Selangor

    SEORANG remaja perempuan yang dilaporkan hilang di Bercham di sini sejak seminggu lepas, ditemukan selamat di Selangor hari ini.

    Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata Maizatul Asikin Abdullah, 16, ditemukan orang awam di sebuah restoran di Sungai Buloh, kira-kira 3 petang.

    “Pihak kami dalam perjalanan membawanya pulang ke sini (Ipoh),” katanya, lapor Bernama.

    Yahaya turut menzahirkan penghargaan kepada media dan orang awam yang memberi kerjasama kepada pihak polis berkaitan kehilangan remaja itu.

    Dalam satu kenyataan sebelum ini, polis memaklumkan Maizatul Asikin kali terakhir dilihat berada di rumah pada pagi 8 Jun lepas.

  • 5 PATI diberkas selepas kereta ‘terbang’ masuk parit

    5 PATI diberkas selepas kereta ‘terbang’ masuk parit

    SEBUAH kereta membawa lima pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sedang melarikan diri terhumban masuk ke dalam parit di Kunci Air Kuala Selangor, Jalan Kereta Api Lama, di Kuala Selangor, hari ini.

    Kejadian pada pukul 5.15 pagi itu melibatkan PATI berkenaan yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia 30-an dipercayai tidak mempunyai dokumen sah memasuki negara ini.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada pukul 5.19 pagi.

    “Sepasukan enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor dikerahkan ke lokasi kejadian.

    “Sebaik tiba, kami mendapati sebuah kereta terbabas ke dalam parit ketika dikejar anggota polis.

    “Semua mangsa berjaya keluar dari dalam kenderaan. Mereka terpaksa duduk di atas bumbung kereta sementara menunggu bantuan bomba,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Norazam berkata, kelima-lima pendatang asing itu kemudian berjaya dibawa naik ke tebing parit.

    “Dua wanita didapati patah kaki manakala seorang lelaki cedera pada bahu.

    “Anggota bomba segera memberikan rawatan awal kepada mangsa. Mangsa seterusnya diserahkan kepada polis untuk dibawa ke hospital dengan menggunakan trak polis,” katanya.

  • 3,866 kotak rokok pelbagai jenama disyaki tidak bercukai dirampas

    3,866 kotak rokok pelbagai jenama disyaki tidak bercukai dirampas

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    POLIS Pulau Pinang merampas sebanyak 3,866 kotak rokok pelbagai jenama disyaki tidak bercukai bernilai RM58,000 dalam satu serbuan di sebuah kedai di Jalan Burma, Georgetown semalam.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komissioner Soffian Santong berkata, serbuan kira-kira pukul 4 petang itu dilakukan di sebuah premis yang dijadikan stor penyimpanan pelbagai jenis rokok tidak bercukai tersebut.

    Ujarnya, dalam serbuan itu seorang lelaki tempatan berumur 44 tahun yang merupakan pemilik premis dan seorang lelaki warga asing berumur 26 tahun yang merupakan penjaga premis turut ditangkap.

    “Kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan hasil saringan awal mendapati suspek negatif sebarang jenis dadah.

    “Siasatan awal mendapati pemilik premis itu mendapatkan bekalan rokok daripada rangkaian sindiket dan menyimpan di stor tersebut sebelum menjual kepada pembeli,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah beliau, kedua-dua lelaki itu direman bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat menurut Seksyen 135(1 )(d) Akta Kastam 1967.

  • Tiga termasuk penjawat awam direman kes tuntutan palsu

    Tiga termasuk penjawat awam direman kes tuntutan palsu

    TIGA lelaki termasuk seorang penjawat awam ditahan reman antara dua hingga empat hari bagi membantu siasatan berkaitan tuntutan palsu.

    Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Muhammad Syafiq Sulaman selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menahan ketiga-tiga lelaki itu bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

    Sumber memaklumkan kesemua lelaki berusia 22 hingga 37 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Selangor petang semalam.

    Menurut sumber, mereka disyaki terlibat dalam urusan mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu berkaitan tuntutan insurans kemalangan kereta atas seorang penama sedangkan tiada tuntutan insurans dibuat oleh penama berkenaan. – Bernama

  • Waspada pakej ibadah korban palsu

    Waspada pakej ibadah korban palsu

    ORANG ramai disaran berwaspada dengan pakej ibadah korban palsu yang diiklankan dengan harga terlalu murah sempena sambutan Hari Raya Aidiladha dijangka pada 10 Julai ini. 

    Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Nur Asyikin Aminuddin berkata orang ramai perlu menyemak sama ada syarikat yang menawarkan pakej tersebut berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), selain menyemak maklumat bank atau nombor telefon pihak pengeluar pakej di laman web semakmule.rmp.gov.my untuk transaksi secara dalam talian. 

    “Jika keluar tanda amaran, maka orang awam perlu menjauhkan diri daripada pihak tersebut dan laporkan kepada pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) supaya iklannya dapat disekat untuk mengelakkan orang ramai terpedaya dengan iklan tersebut,” katanya kepada Bernama.

    Beliau berkata pihak yang mengeluarkan pakej ibadah korban palsu tidak patut mengambil kesempatan atas niat rakyat untuk beribadah, kerana mereka sudah cukup terbeban dengan masalah harga barang keperluan yang kian meruncing. 

    Yang Dipertua IKRAM Health Malaysia Dr Mohd Afiq Mohd Nor berkata orang ramai perlu mengesahkan kewujudan institusi yang menganjurkan program korban itu serta memastikan ia bersih daripada unsur penipuan dan penyalahgunaan wang.

    “Pakej korban palsu ini sangat memalukan agama kita kerana menipu orang ramai atas urusan agama yang penting ini demi keuntungan diri sendiri. Saya sarankan berhenti dan bertaubat serta jauhilah daripada urusan seperti ini,” katanya.

    Sementara itu Duta Yayasan Maghfirah dan penyanyi Mohammad Hafiz Hamidun berkata sudah tiba masanya pihak Jabatan Agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak terlibat memantau dan mengambil tindakan sewajarnya kepada pihak yang menawarkan pakej korban palsu.

    “Antara tindakan (yang boleh diambil) ialah mewajibkan pihak yang ingin menganjurkan pakej korban untuk mendaftar di bawah jabatan agama negeri masing-masing supaya tidak wujud isu-isu yang tidak diingini.

    “Sebaiknya jika kita nak elakkan tertipu, pilihlah pakej korban dari pihak NGO yang berwibawa serta mempunyai maklumat lengkap pada poster yang dipaparkan seperti harga pakej, nama NGO, nombor akaun (bank) yang tepat dan lebih baik jika ada nombor telefon untuk dihubungi,” katanya.

    Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan pula berkata pengguna perlu melihat sama ada harga yang ditawarkan untuk pakej korban itu relevan dan tidak tertipu dengan alasan pihak pengeluar.

    “Penipuan (seperti) ini bukan sahaja berlaku pada ibadah korban, orang pergi haji pun ada penipuan, umrah pun ada penipuan, jadi kita kena lebih bijak, kalau tidak kita akan jadi mangsa kepada kebodohan dan kejahilan kita sendiri,” katanya. – Bernama

  • PATI maut, terjun kolam cuba lari dari JIM

    PATI maut, terjun kolam cuba lari dari JIM

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia maut setelah terjun ke dalam kolam dalam usaha melarikan diri dari ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 2.40 oagi semalam.

    “Difahamkan PATI tersebut terjun ke kolam berkenaan yang terletak dalam ladang kelapa sawit, bagi melarikan diri ketika pihak JIM melakukan serbuan. Pihak JIM cuba memujuk lelaki tersebut naik ke tebing namun dia enggan berbuat demikian sebelum tiba-tiba hilang,” katanya.

    Tambahnya, mayat mangsa kemudiannya hanya ditemukan kira-kira pukul 10 pagi tadi oleh pihak bomba.

    “Setakat ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

  • SPRM teliti maklumat pencerobohan balak di hutan Nenggiri

    SPRM teliti maklumat pencerobohan balak di hutan Nenggiri

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan menerima maklumat berhubung kes pencerobohan balak di Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri, Gua Musang.

    Sehubungan itu kata Pengarahnya, Rosli Husain, pihaknya sedang meneliti maklumat berkenaan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

    “SPRM Kelantan ada menerima maklumat dan sedang meneliti bagi melihat kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Beliau mengulas sama ada pihaknya melakukan siasatan berhubung dakwaan mengatakan berlaku pencerobohan balak di HSK Nenggiri.

    Media sebelum ini melaporkan, polis mengesahkan menerima laporan berhubung kes pencerobohan balak yang didakwa berlaku di HSK Nenggiri.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo dilaporkan berkata, laporan itu dibuat oleh pengawas hutan pada 2 Jun lalu.

    Pengerusi Save Kelantan, Datuk Husam Musa sebelum ini mendedahkan berlaku pembalakan di beberapa kawasan termasuk kompartmen 26, 29 dan 41 di HSK Nenggiri.

    Husam mendakwa, keluasan hutan simpan kekal yang diceroboh di kawasan terbabit seluas 80 hektar.

  • Bertumbuk gara-gara tidak mahu bagi laluan

    Bertumbuk gara-gara tidak mahu bagi laluan

    DUA lelaki tular bertumbuk di tengah jalan raya selepas salah seorang daripada mereka menghalang dan enggan memberi laluan kepada beberapa motosikal untuk meneruskan perjalanan di Persiaran Kerjaya Glenmarie, Seksyen U1, Shah Alam, kelmarin.

    Sebuah klip video yang dirakam seorang pemandu lain berdurasi 22 saat tular di media sosial memaparkan kedua-dua lelaki berkenaan bertumbuk berhampiran pembahagi jalan di laluan yang sesak tersebut sebelum dileraikan orang awam.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, penunggang motosikal berusia 31 tahun yang bekerja sebagai jururunding di Subang Business Centre telah hadir membuat laporan kelmarin.

    “Siasatan awal mendapati pada 13 Jun sekitar pukul 7.15 petang berlaku pertengkaran mulut apabila suspek seorang lelaki tempatan berumur 29 tahun yang menaiki kereta jenis Naza Ria enggan mengetepikan keretanya.

    “Keadaan itu menyebabkan motosikal mangsa dan penunggang yang lain tidak dapat meneruskan perjalanan. Pertengkaran mulut berlaku disusuli dengan pergaduhan akhirnya dileraikan oleh orang ramai,” katanya dalam kenyataan hari ini, seperti dilaporkan Sinar Harian.

    Beliau berkata, kedua-duanya lelaki berkenaan bagaimanapun bersetuju untuk menyelesaikan perkara tersebut dengan cara baik dan mangsa telah menarik balik laporan polis berkenaan.

    “Mangsa dan suspek telah dipanggil untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

    “Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian tersebut. Pengadu juga telah buat laporan polis untuk tarik balik laporan yang dibuat sebelum ini,” katanya.

  • Ejen perumahan lombong bitcoin secara haram ditahan sekali lagi

    Ejen perumahan lombong bitcoin secara haram ditahan sekali lagi

    POLIS menahan seorang ejen perumahan yang terlibat kegiatan perlombongan mata wang digital bitcoin di Taman Putra Prima, Puchong, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, suspek pernah dicekup menjalankan kegiatan tiga bulan lalu dan seolah-olah tidak serik apabila sekali lagi ditangkap.

    Beliau memberitahu, lelaki tempatan berumur 34 tahun itu ditahan menjalankan aktiviti berkenaan di Taman Putra Prima, Puchong, sejak sebulan yang lalu.

    “Sebelum ini lelaki berkenaan pernah ditahan di Putra Perdana. Polis menerima aduan dari orang awam menyatakan terdapat bunyi bising di sebuah rumah yang disyaki menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin.

    “Hasil siasatan polis ke rumah berkenaan mendapati terdapat mesin bitcoin di bahagian ruang tamu dan bilik tidur,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 427/379 Kanun Keseksaan.