Category: Jenayah

  • Warga emas rugi lebih RM4.3 juta ditipu ‘love scam’

    Warga emas rugi lebih RM4.3 juta ditipu ‘love scam’

    SEORANG pesara kerajaan mendakwa kerugian lebih RM4.3 juta akibat terpedaya dengan sindiket ‘love scam’, selepas berkenalan dengan seorang lelaki kononnya warganegara Amerika Syarikat menerusi laman Facebook, tahun lepas.

    Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, wanita berusia 66 tahun itu dikatakan telah membantu suspek yang mendakwa bekerja sebagai ahli kaji bumi di sebuah syarikat cari gali minyak, dan menetap di Amerika Syarikat antara 2 Dis 2021 hingga 31 Mei lepas.

    “Pelbagai alasan telah diberikan suspek untuk memperdaya mangsa antaranya membantu lelaki itu menjelaskan hutang, pembayaran kontrak kerja, upah pekerjaan, kos perubatan selain kos pembayaran peguam urusan harta warisan bapa suspek, yang dikatakan mati akibat tekanan masalah hutang.

    “Sepanjang tempoh berkenaan, mangsa telah membuat 190 transaksi ke dalam pelbagai akaun bank diberikan oleh suspek dengan kerugian berjumlah RM4,342,500,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Bagaimanapun, mangsa yang disedari telah diperdaya dengan sindiket love scam berkenaan telah membuat laporan polis semalam, bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

    Dalam kes berasingan, Ramli memaklumkan seorang lelaki kerugian RM1.5 juta, selepas terpedaya dengan pelaburan penanaman pokok yang akan membuahkan ‘X-Fruit’ seluas 30 hektar, yang dikatakan boleh diproses menghasilkan minyak untuk kegunaan sebagai bahan api kapal terbang.

    Beliau berkata, mangsa berusia 38 tahun itu telah dijanjikan akan memperolehi keuntungan tiga kali ganda daripada modal pelaburan, dalam jangka masa tiga tahun.

    “Mangsa telah bersetuju dan dapat mencari pelabur daripada Kemboja dengan wang pelaburan dikumpulkan sebanyak AS $500,000, yang dimasukkan ke akaunnya, sebelum dipindahkan ke akaun bank suspek dengan tiga transaksi berjumlah RM1.5 juta,” katanya menambah kesemua transaksi dilakukan pada pertengahan tahun 2015.

    Ramli berkata, selepas hampir tiga tahun, mangsa telah cuba bertanyakan tentang perkembangan pelaburan itu namun panggilan telefonnya disekat malah usaha mengesan suspek juga gagal.

    Mangsa yang berasa telah diperdaya dan ditipu dengan pelaburan tidak wujud itu telah membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Dalam pada itu, polis mengingatkan orang ramai jangan terpedaya dengan pujuk rayu melalui media sosial berikutan pelaku jenayah menggunakan pelbagai muslihat untuk memperdaya mangsa. – BERNAMA

  • Mahkamah perintah lelaki mengamuk di lebuh raya jalani pemeriksaan mental

    Mahkamah perintah lelaki mengamuk di lebuh raya jalani pemeriksaan mental

    SEORANG lelaki yang tular mengamuk di Kilometer 253 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, Ahad lepas, diperintahkan Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini untuk menjalani pemeriksaan dan pemantauan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta.

    Perintah dikeluarkan Hakim Rohaida Ishak mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah terhadap tertuduh, Zainordin Mohamed, 36, selepas permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nur Asmaniza Muhamad.

    Astro Awani melaporkan, Nur Asmaniza memberitahu mahkamah bahawa pihaknya mempercayai keadaan mental tertuduh tidak stabil ketika ditahan reman.

    Tertuduh yang didakwa dengan tiga pertuduhan mengaku bersalah terhadap kesemua tiga tuduhan itu.

    Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan khianat dengan menendang cermin sisi sebelah kanan sebuah kereta menyebabkan kerugian RM200.

    Dia didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun, tidak lebih lima tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Tertuduh turut didakwa memberhentikan kereta di lorong kanan lebuh raya yang mungkin menyebabkan galangan tidak berpatutan kepada pengguna lain.

    Bagi pertuduhan ini, dia didakwa di bawah Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan 1987 yang membawa hukuman denda tidak kurang RM1,000 atau penjara tidak kurang setahun, jika sabit kesalahan.

    Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Kilometer 253 Lebuhraya Utara Selatan, pada jam 6.09 petang, 12 Jun lalu.

    Lelaki itu turut didakwa memasukkan dalam badan sendiri dadah berbahaya jenis ganja THC di pejabat narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar, pukul 3.40 petang, 14 Jun lalu.

    Dia didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan dikenakan perintah pengawasan di bawah Seksyen 38 B akta yang sama, bagi tempuh tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.

    Semasa prosiding, tertuduh dilihat bercakap seorang diri sehingga menyebabkan seorang pegawai polis memintanya bertenang.

    Mahkamah kemudiannya menetapkan 14 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

  • Tiga lelaki tempatan cuba seludup 1.3 tan ketum ditahan

    Tiga lelaki tempatan cuba seludup 1.3 tan ketum ditahan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TIGA lelaki diberkas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ketika cuba menyeludup sejumlah 1.3 tan daun ketum, awal pagi ini.

    Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, kesemua mereka ditahan di kedudukan 1.0 batu nautika, barat muara Kuala Kedah kira-kira pukul 2.30 pagi.

    Menurutnya, pihaknya terlebih dulu menerima maklumat risikan menyatakan sebuah bot nelayan kelas A disyaki menjalankan kegiatan penyeludupan, sedang bergerak keluar dari muara Kuala Kedah.

    “Berikutan itu bot ronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi untuk melakukan serbuan. Pihak kami kemudiannya berjaya mengesan bot nelayan dimaksudkan pada pukul 2.20 pagi yang bergerak dalam keadaan gelap.

    Sebanyak 130 bungkusan plastik hitam berisi daun disyaki ketum dalam bot tersebut.

    “Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek cuba memecut namun bot mereka berjaya dipintas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, pemeriksaan mendapati tiga lelaki tempatan berusia 33 hingga 39 tahun berada dalam bot tersebut.

    “Kesemua mereka ditahan bersama 130 bungkusan plastik hitam berisi daun disyaki ketum dalam bot tersebut.

    “Siasatan awal mendapati mereka yang berasal dari kawasan berhampiran menerima upah berjumlah RM200 untuk satu trip penghantaran,” katanya.

    Sebuah bot nelayan kelas A disyaki menjalankan kegiatan penyeludupan ditahan pihak maritim di muara Kuala Kedah.

    Menurutnya, nilai daun ketum tersebut dianggarkan berjumlah RM234,000 manakala bot nelayan kelas A yang dirampas bernilai RM70,000.

    “Daun ketum tersebut dipercayai cuba diseludup ke negara jiran berikutan harganya yang jauh lebih tinggi berbanding pasaran tempatan iaitu cuma RM30 sekilogram.

    “Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.

    “Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

    Noor Azreyantu berkata, kes tersebut merupakan tangkapan kedua melibatkan warganegara tempatan dan rampasan keenam bagi Zon Maritim Kuala Kedah pada 2022.

    Tiga lelaki tempatan berusia 33 hingga 39 tahun ditahan dalam bot tersebut untuk siasatan

    “Walaupun telah banyak rampasan dilakukan, namun kegiatan ini dilihat terus akhtif dilakukan penyeludup bagi mengambil jalan mudah untuk menjana pendapatan lumayan mencecah ribuan ringgit.

    “Kami memandang serius isu ini dan akan terus memperhebatkan operasi serta melakukan pemantauan di sempadan serta perairan negara dari semasa ke semasa,” katanya.

  • Suspek kes rogol 19 tahun lepas dibebaskan dengan jaminan polis

    Suspek kes rogol 19 tahun lepas dibebaskan dengan jaminan polis

    LELAKI yang ditahan berkaitan kes rogol yang berlaku 19 tahun lepas dibebaskan dengan jaminan polis, kata Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

    Beliau berkata suspek berumur 40 tahun itu dibebaskan berikutan tempoh reman ke atasnya telah berakhir hari ini.

    “Kami akan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Sebelum ini, suspek direman selama empat hari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, Bagan Serai bermula 10 Jun sebelum tempoh reman disambung selama tiga hari bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

    Pada 9 Jun lepas, polis berjaya menahan suspek yang disyaki terlibat kes rogol di Bagan Serai selepas 19 tahun berjaya meloloskan diri daripada pihak berkuasa.

    Hasil padanan data profil asid deoksiribonukleik (DNA), polis percaya dapat menyelesaikan kes rogol yang berlaku pada 2003 dengan tertangkapnya suspek. – Bernama

  • 2 lelaki warga emas ditahan pecah amanah duit persatuan

    2 lelaki warga emas ditahan pecah amanah duit persatuan

    POLIS menahan dua lelaki warga emas ditahan kerana terlibat kes pecah amanah sebuah persatuan membabitkan kerugian RM65,000, di Ampang Jaya, semalam.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, tangkapan itu susulan laporan polis daripada wakil ahli persatuan itu yang mendapati baucar pembayaran persatuan yang disyaki palsu digunakan oleh pengerusi, setiausaha dan bendahari persatuan.

    “Dua lelaki berkenaan yang berusia 64 dan 73 tahun itu ditahan secara berasingan di Petaling Jaya dan Shah Alam.

    “Hasil semakan terhadap penyata bank dan baucar pembayaran mendapati wang persatuan dipindahkan ke akaun peribadi presiden persatuan.

    “Baucer pembayaran dikeluarkan sebanyak empat kali dengan jumlah keseluruhan RM65,000,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Mohamad Farouk berkata, terdapat empat cek bank digunakan bagi pengeluaran ini dibuat tanpa kelulusan ahli mesyuarat agung jawatankuasa persatuan.

    “Reman bagi kedua-dua suspek ditolak di Mahkamah Ampang hari ini, bagaimanapun keterangan dua suspek ini sudah diambil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • 11 individu termasuk seorang wanita ditahan dalam Op Tapis Bersepadu di Kelantan

    11 individu termasuk seorang wanita ditahan dalam Op Tapis Bersepadu di Kelantan

    SEORANG wanita merupakan antara 11 individu yang ditahan polis Kelantan dalam Op Tapis Bersepadu yang diadakan selama seminggu sejak 5 hingga 12 Jun lalu membabitkan enam daerah di negeri ini.

    Dalam serbuan di Kota Bharu, Pasir Mas, Gua Musang, Pasir Puteh dan Bachok itu, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berjaya merampas pelbagai jenis dadah dengan nilai lebih RM200,000.

    Menurut Ketua JSJN Kelantan, Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar, menerusi serbuan berkenaan pihaknya menahan 10 lelaki dan seorang wanita berusia antara 20 hingga 51 tahun.

    Beliau berkata, polis berjaya merampas 18,500 biji pil yaba, 211.57 gram heroin heroin, 75.9 gram syabu dan 14.64 gram ganja dengan anggaran nilai lebih RM200,000.

    “Jumlah dadah berkenaan boleh digunakan kepada seramai 94,200 sekiranya bekalan itu terlepas ke pasaran.

    “Pada masa sama, kita turut menyita sembilan motosikal, dua kereta, wang tunai, dua utas gelang emas dan sebentuk cincin dengan nilai lebih RM123,000,” katanya menerusi kenyataan media di Kota Bharu hari ini, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, kesemua suspek kini ditahan reman seminggu dari tarikh ditangkap dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • KPDNHEP Selangor lupus pelbagai barangan bernilai RM324,039

    KPDNHEP Selangor lupus pelbagai barangan bernilai RM324,039

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor melupuskan pelbagai barangan bernilai RM324,039.50 melibatkan 27 kes bermula Januari sehingga Jun lalu.

    Antara barangan yang dilupuskan adalah melibatkan barang tiruan seoercermin mata, telefon bimbit, kasut, selipar, sarung kaki, baju, aksesori telefon bimbit, beg tangan, tudung, daging dan lain-lain.

    Semua barangan rampasan berkenaan melibatkan pelanggaran Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Hak Cipta 1987, Akta Jualan Langsung 1993 dan Akta Cap Dagang 2019.

    Menurut Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Mohd. Khairi Jamaludin, semua barangan rampasan berkenaan melibatkan pelanggaran Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Hak Cipta 1987, Akta Jualan Langsung 1993 dan Akta Cap Dagang 2019.

    “Pelupusan yang dijalankan di stor ekshibit Bukit Raja, Shah Alam ini adalah terbesar yang dijalankan pada tahun ini dan ia dilupuskan selepas mendapat arahan oleh pengawal dan mahkamah,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media yang dijalankan di Stor Ekshibit Bukit Raja, Shah Alam, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang perniagaan yang ditetapkan kementerian dan tidak melanggar undang-undang membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan bagi mengelak dikenakan tindakan.

    “Sebarang perlakuan yang melanggar mana-mana peruntukan perundangan yang dikuatkuasakan KPDNHEP tidak akan berkompromi dan boleh mengenakan tindakan perundangan yang sewajarnya.

    “KPDNHEP Selangor menggalakkan pengguna menjadi mata dan telinga kepada kerajaan untuk menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang di bawah bidang kuasa KPDNHEP,” katanya.

  • Datuk dalang seludup sindiket subsidi, rampasan lebih RM3 juta

    Datuk dalang seludup sindiket subsidi, rampasan lebih RM3 juta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SATU sindiket menyeludup minyak diesel yang didalangi seorang individu bergelar Datuk berjaya dilumpukah pihak polis selepas melakukan serbuan di sebuah stor di Kawasan Perindustrian Desa Plentong, Masai, Johor Bahru, malam tadi.

    Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK), Pasukan Gerakan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman bersama-sama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua serta Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor terlibat serbuan itu.

    Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, menerusi serbuan pada pukul 11 malam itu pihaknya menahan 30 individu terdiri daripada 28 lelaki tempatan, seorang wanita tempatan dan seorang lelaki warganegara asing berusia antara 22 hingga 46 tahun.

    “Sindiket ini yang dipercayai sudah beroperasi sejak lebih seminggu lalu didalangi seorang warga tempatan bergelar Datuk berusia 46 tahun. Datuk ini mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah iaitu ugut, curi dan menipu,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar khas di stor berkenaan hari ini.

    Katanya, menerusi serbuan tersebut pihaknya merampas 29 lori tangki seberat satu, tiga dan 10 tan yang sudah diubah suai, sebuah van, 11 pam penyedut serta empat tangki besar dengan kapasiti 19,000 dan 15,000 liter.

    Pihaknya turut merampas 79 tong kapasiti 1,000 liter, minyak diesel berjumlah 95,000 liter dan wang tunai RM12,507 manakala jumlah keseluruhan rampasan lebih RM3 juta.

    Kamarul Zaman berkata, diesel subsidi itu dipercayai dijual di negara jiran dengan menggunakan jalan laut dan rampasan berkenaan merupakan yang terbesar di Johor setakat ini dalam tahun ini.

    Menurutnya, modus operandi sindiket itu adalah menggunakan lori yang sudah diubah suai dengan meletakkan tangki di bahagian muatan sebelum membeli diesel di stesen minyak menggunakan satu saluran kecil di bahagian bawah lori.

    “Terdapat satu pam khas yang akan menyedut dari saluran kecil tersebut sebelum masuk ke tangki besar di bahagian muatan lori. Mereka cuba mengelirukan dengan menggunakan modus operandi ini,” katanya.

    Selain itu, beliau percaya masih terdapat saki baki ahli sindiket berkenaan dan pihaknya akan memburu mereka sekali gus melumpuhkan terus kegiatan haram berkenaan.

    Pihaknya juga akan menyiasat sama ada mana-mana penguat kuasa terlibat atau bersekongkol dengan sindiket berkenaan sebelum mengambil tindakan sewajarnya.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barangan kawalan dan dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen,” katanya.

    Jika sabit kesalahan katanya, boleh didenda tidak lebih RM1 juta dan tidak melebihi RM3 juta bagi kesalahan berikutnya.

    Beliau memberitahu, setakat ini pihak polis marin sudah membuat lapan kes tangkapan bersabit kes di bawah peruntukan Akta Kawalan Bekalan 1961 di seluruh negeri.

  • 83 premis judi dipotong bekalan elektrik

    83 premis judi dipotong bekalan elektrik

    SEBANYAK 83 premis judi di sekitar Kulim dipotong bekalan elektrik menerusi operasi yang bermula Januari hingga 15 Jun lalu.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd. Redzuan Salleh berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyasarkan premis disyaki menjalankan kegiatan perjudian.

    “Tindakan dilakukan mengikut peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

    “Dalam serbuan terbaharu pada Rabu, 17 premis di sekitar Kulim turut dikenakan tindakan sama iaitu pemotongan bekalan elektrik selaras Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447),” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Jelasnya, operasi akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memerangi kegiatan perjudian sekitar daerah.

    Polis turut memohon kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat dalam usaha mencapai matlamat berkenaan.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Asisten Superintenden Asnizaf di talian 013-4358399,” katanya.

  • SPRM tahan anggota penguatkuasa minta rasuah urusan kad pengenalan

    SPRM tahan anggota penguatkuasa minta rasuah urusan kad pengenalan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Sandakan menahan seorang anggota penguat kuasa bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima suapan bernilai kira-kira RM5,000 dalam urusan pengeluaran kad pengenalan Malaysia.

    Menurut sumber, suspek berumur 42 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Sandakan kira-kira pukul 9.30 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan.

    Suspek dipercayai telah meminta dan menerima suapan daripada seorang individu sebagai upah untuk menguruskan pengeluaran kad pengenalan.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

    Karunanithy berkata suspek bagaimanapun dilepaskan dengan jaminan SPRM dan dijangka dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Sandakan pada hujung bulan ini.

    – BERNAMA