Category: Jenayah

  • Pesara wanita rugi RM134,503 ditipu sindiket ‘Macau Scam’

    Pesara wanita rugi RM134,503 ditipu sindiket ‘Macau Scam’

    SEORANG pesara wanita warga emas di Bukit Mertajam, Pulau Pinang kerugian RM134,503 selepas menjadi mangsa penipuan melalui panggilan telefon oleh sindiket ‘Macau Scam’.

    Mangsa berusia 61 tahun itu mula terjerat dengan sindiket itu selepas menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki Cina yang memperkenalkan diri sebagai pegawai di pusat panggilan HSBC Bank.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, mangsa kemudian dimaklumkan kononnya kad kredit HSBC Bank Platinum Mastercard miliknya telah digunakan untuk pembelian wang digital (bitcoin) melalui tiga transaksi berjumlah RM15,991.

    Tambahnya, mangsa bagaimanapun menafikan dakwaan itu kerana tidak mempunyai akaun ‘bitcoin’ sebelum panggilan telefonnya disambungkan kepada seorang lelaki Cina lain kononnya pegawai Bank Negara Malaysia (BNM).

    “Pegawai ‘Bank Negara’ itu kemudian meminta mangsa memberikan maklumat perbankan (kata nama beserta kata laluan) kononnya untuk tujuan siasatan.

    “Mangsa hanya menyedari ditipu apabila menerima mesej daripada pihak HSBC Bank kira-kira pukul 9 malam (hari yang sama) yang memaklumkan terdapat pengeluaran wang berjumlah RM134,503 daripada tiga akaun bank miliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Mohd. Radzi, mangsa membuat laporan polis semalam selepas menyedari dirinya ditipu dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya dengan sebarang panggilan telefon daripada mana-mana individu yang mengaku sebagai wakil agensi kerajaan atau swasta sebelum mendapat pengesahan.

    Tambahnya, orang ramai juga diingatkan tidak sesekali mendedahkan maklumat perbankan termasuk nombor kad ATM; nombor pin kad serta nombor TAC (kod pengesahan transaksi) kepada mana-mana individu.

    “Kecuaian ini akan menyebabkan akaun bank mereka dimanipulasi untuk tujuan pengeluaran wang,” katanya.

    Habis

  • Polis buka kertas siasatan berhubung Perhimpunan Kebebasan Badan Kehakiman

    Polis buka kertas siasatan berhubung Perhimpunan Kebebasan Badan Kehakiman

    POLIS sudah pun membuka satu kertas siasatan berhubung Perhimpunan Untuk Kebebasan Badan Kehakiman anjuran Badan Peguam Malaysia di Padang Merbok, ibu negara, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya dalam satu kenyataan hari ini berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 15 (3),Peraturan 6 dan Peraturan 7, Akta Perhimpunan Aman 2012.

    Jelasnya, hasil daripada pemerhatian yang dibuat didapati lebih 220 orang terdiri daripada Ahli Majlis Peguam dan beberapa individu yang dikenal pasti dan belum dikenal pasti telah berhimpun mengadakan perhimpunan Walk For Judicial Independence.

    “Mereka mengadakan perhimpunan sambil memegang plakad dan banner bertulis ‘Jom Jalan 4 Judicial Independence, Pertahankan Kebebasan Kehakiman’.

    “Dalam perkara ini, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 15 (3) Akta Perhimpunan Aman 2012, Peraturan 6 Peraturan 7, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawal Penyakit berjangkit (Langkah-Langkah dalam kawasan tempatan jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) (Fasa Peralihan ke Endemik) 2022,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Tambah Noor Dellhan, pihaknya akan memanggil kesemua individu yang terlibat dalam perhimpunan tersebut untuk membantu siasatan.

    Katanya, semua individu yang terlibat dalam perhimpunan tersebut akan dipanggil ke Ibu Pejabat polis Daerah Dang Wangi untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan dalam masa terdekat.

    “Pihak Polis menasihati agar orang ramai tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan yang melanggari undang-undang dan tindakan tegas akan diambil dibawah peruntukan undang-undang yang masih berkuat kuasa,” katanya.

    Terdahulu, ratusan peguam berhimpun menyertai Perhimpunan Untuk Kebebasan Badan Kehakiman anjuran Badan Peguam Malaysia pada Jumaat.
    Perhimpunan itu bermula pukul 9 pagi di Padang Merbok bagi memberi isyarat jelas menuntut agar Badan Kehakiman terus bebas daripada mana-mana pihak.

  • SPRM siasat dakwaan Exco Kedah seleweng dana

    SPRM siasat dakwaan Exco Kedah seleweng dana

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah sedang menyiasat dakwaan penyelewengan dana bantuan pakej rangsangan ekonomi yang dikaitkan dengan seorang Exco Kedah.

    Pihak SPRM Kedah mengambil inisiatif menjalankan siasatan awal bagi mengesahkan sama ada terdapat isu pelanggaran undang-undang berkaitan bawah bidang kuasa SPRM.

    Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap berkata, siasatan masih di peringkat awal dan akan dilakukan sekiranya didapati wujud unsur kesalahan bawah undang-undang berkaitan.

    “Hal-hal berkaitan tidak dapat didedahkan kerana masih dalam peringkat awal siasatan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Beliau turut mengesahkan sehingga kini tiada laporan atau aduan rasmi dibuat oleh mana-mana pihak berhubung kes berkenaan, termasuk daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris yang mendedahkan isu terbabit dalam Facebook miliknya.

    Bagaimanapun, Shaharom Nizam enggan mengulas lanjut sama ada SPRM Kedah akan membuka kertas siasatan terhadap Exco berkenaan yang dikaitkan dengan salah laku tersebut.

    Semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan, kerajaan negeri menyerahkan kepada SPRM bagi menyiasat dakwaan yang dikaitkan dengan seorang Exco Kedah.

    Muhammad Sanusi berkata, isu berkenaan perlu dirujuk kepada Asmirul yang menulis tentang perkara itu di Facebook miliknya dan menolak cabaran Asmirul supaya beliau dedahkan nama individu terlibat dalam penyelewengan dana bantuan terbabit.

    Pada Khamis lepas, Asmirul yang juga bekas Exco Belia dan Sukan Kedah telah memuat naik satu kenyataan dalam Facebook miliknya dengan mencabar Muhammad Sanusi supaya membuat kenyataan akhbar menafikan wujudnya sebarang salah laku Exco Kedah.

    Sebelum ini, SPRM dilaporkan sedang menyiasat satu kes melibatkan penyelewengan dana bantuan pakej rangsangan ekonomi di Kedah yang didakwa membabitkan seorang Exco Kedah.

    Dalam pada itu, sumber memaklumkan siasatan awal berhubung kes terbabit dilakukan lebih awal sebelum Asmirul mendedahkan secara terbuka mengenai perkara itu.

    “Pihak SPRM telah melakukan siasatan lebih awal sekitar dua atau tiga bulan lepas, bukan berdasarkan maklumat yang didedahkan oleh Asmirul,” kata sumber terbabit.

  • Bawa lari 9kg dadah dalam kereta Volkswagen Passat

    Bawa lari 9kg dadah dalam kereta Volkswagen Passat

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    TINDAKAN seorang suspek pengedar dadah yang cuba meloloskan diri daripada polis dengan memecut kereta dipandunya gagal apabila dia berjaya ditahan dalam operasi di Jalan Besar, Nibong Tebal, Pulau Pinang, Rabu lalu.

    Terdahulu, suspek lelaki berusia 36 tahun yang memandu kereta jenis Volkswagen Passat itu memecut laju kenderaannya dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 petang selepas menyedari diekori polis, namun terbabas ke bahu jalan selepas dikejar kira-kira 200 meter.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd. Shukhairy Abd. Sabhe berkata, pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan suspek menemukan dadah jenis heroin seberat 9.03 kilogram bernilai RM120,000 yang dipercayai untuk diedar kepada pembeli.

    Jelas beliau, hasil soal siasat ke atas suspek yang bekerja sebagai nelayan itu membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Kuala Kurau, Perak kira-kira pukul 4.45 petang yang mana seorang lelaki yang bekerja sebagai penternak ikan berusia 53 tahun berjaya ditahan.

    “Serbuan kemudian diteruskan di kawasan awam di Nibong Tebal pada 10.45 malam yang mana seorang lagi suspek yang bekerja sebagai nelayan berusia 34 tahun berjaya ditahan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Mohd. Shukhairy, sindiket itu dipercayai mula aktif mengedar dadah untuk pasaran di sekitar Pulau Pinang dan Kuala Kurau sejak awal Januari lalu.

    Ujar beliau, ujian air kencing ke atas ketiga-tiga suspek mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methapetamine selain turut mempunyai rekod lampau di bawah kesalahan dadah serta jenayah.

    “Selain rampasan dadah, kita turut menyita aset sindiket terdiri daripada wang tunai berjumlah RM50,000 dan sebuah kenderaan bernilai RM80,000,” katanya.

    Ujar beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek pertama direman selama tujuh hari bermula 16 Jun hingga 22 Jun manakala dua lagi suspek disiasat di bawah Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

  • SPRM berkas empat individu ‘sapu’ RM300 juta

    SPRM berkas empat individu ‘sapu’ RM300 juta

    EMPAT individu termasuk pengurus syarikat hartanah berkaitan kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menggelapkan wang berjumlah RM300 juta.

    Sumber berkata, suspek disyaki bersubahat dengan membuat tuntutan palsu berkaitan projek pembangunan di pantai timur.

    Menurutnya, tiga lagi individu ditahan SPRM adalah pengurus projek, pengarah urusan dan arkitek daripada syarikat kontraktor dan juruperunding.

    “Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 28 hingga 48 tahun. Tiga daripada mereka ditahan di Pejabat SPRM Terengganu manakala seorang lagi ditahan di rumahnya di ibu negara pada pukul 12 tengah hari semalam.

    “Suspek sudah ditahan reman selama enam hari bermula hari ini sehingga Rabu hadapan. Perintah reman dibenarkan Majistret Noor Mazrinie Mahmood di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pagi tadi,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan empat individu itu namun enggan mengulas lanjut.

  • SPRM bekukan lapan akaun bank, rampas RM700,000

    SPRM bekukan lapan akaun bank, rampas RM700,000

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan lapan akaun bank milik pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana disyaki digunakan bagi pemindahan wang rasuah membabitkan nilai lebih RM700,000.

    Menurut sumber, siasatan berhubung kegiatan rasuah dikendalikan pegawai Bahagian Perisikan Ibu Pejabat SPRM diteruskan sejak operasi bermula Isnin lalu.

    Setakat ini seramai tujuh pegawai Imigresen ditahan dan tiada penambahan jumlah tangkapan terkini, lapor Harian Metro.

    “Turut ditahan dua individu yang juga pemilik syarikat yang disyaki memberikan rasuah kepada pegawai JIM terbabit. Terbaru SPRM menemui tambahan RM38,000 disyaki wang rasuah diberikan kepada pegawai JIM ditahan itu.

    “Ia adalah tambahan kepada lebih RM700,000 dirampas SPRM Selasa lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Pada Rabu lalu, media Metro mendedahkan seramai tujuh pegawai JIM antara sembilan ditahan di negeri ini dan Selangor bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan nilai keseluruhan sebanyak lebih RM700,000.

    Semua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan kes yang dilaporkan berlaku antara 2019 hingga 2021.

    Enam pegawai penguat kuasa terbabit termasuk pegawai kanan dan seorang warga asing ditahan SPRM Sarawak manakala seorang lagi pegawai JIM ditahan bersama seorang wanita tempatan yang juga pemilik syarikat di Selangor.

    Difahamkan wang rasuah berkenaan diterima daripada beberapa individu yang mengaji pekerja asing sebagai balasan untuk memudahkan permohonan pas pekerja yang dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 serta sudah tamat tempoh.

  • Kapal tangki bawa 170,000 liter diesel ditahan

    Kapal tangki bawa 170,000 liter diesel ditahan

    KAPAL tangki berisi 170,000 liter diesel bernilai hampir RM900,000 ditahan di perairan Kota Kinabalu selepas disyaki membawa muatan itu tanpa kebenaran.

    Penahanan dibuat oleh pasukan bot ronda Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (APMM) di kedudukan 0.2 batu nautika tenggara Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu pada 2 petang semalam.

    Pengarah Maritim Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, anggota menahan kapal tangki itu selepas dikesan mencurigakan.

    “Kapal tangki itu dikendalikan empat kru termasuk nakhoda warga tempatan berusia antara 24 hingga 72 tahun dan pemeriksaan menemui 170,000 liter diesel yang tidak diisytiharkan dan tiada dokumentasi sah.

    “Pemeriksaan lanjut ke atas sistem navigasi dan rekod pergerakan kapal pula didapati ia sengaja dimatikan hingga menimbulkan kecurigaan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Mohd. Rosli berkata, kapal itu juga melakukan kesalahan lain antaranya, dokumen pertukaran butiran syarikat yang tidak dimaklumkan kepada pendaftar kapal serta ia tidak berdaftar di negara ini.

    “Pengoperasiannya tanpa kru lengkap seperti dalam Daftar Keselamatan Kapal dan nakhoda, ketua jurutera serta kru tidak memenuhi syarat kompetensi sepatutnya, selain peralatan keselamatan tidak mencukupi,” katanya.

    Mohd. Rosli berkata, kapal dan kru ditahan dan diiringi ke Jeti Maritim Sepanggar untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO 1952) dan Akta Bekalan 1961.

    Beliau meminta warga maritim untuk melaporkan sebarang salah laku di perairan ke Pusat Operasi Maritim Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di talian 088-387774 atau melalui talian kecemasan MERS 999.

  • Lelaki berjubah putih, berkopiah cuba culik budak perempuan

    Lelaki berjubah putih, berkopiah cuba culik budak perempuan

    SEORANG bapa mendakwa anak perempuannya berusia enam tahun hampir diculik dalam kejadian di Kampung Krubong, Melaka, petang semalam.

    Pihak polis menerima laporan mengenai kejadian oleh bapa kanak-kanak itu berusia 45 tahun yang mendakwa anaknya hampir diculik ketika pulang mengaji kira-kira pukul 6 petang.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian anaknya bersama-sama kakak serta seorang anak saudaranya sedang berjalan untuk pulang ke rumah sebelum ditegur seorang lelaki memakai jubah putih serta berkopiah menaiki kereta dipercayai Proton Persona berwarna perak.

    “Ketika tengah berjalan, tiga kanak-kanak itu ditegur seorang lelaki tidak dikenali sebelum menarik tangannya masuk ke dalam kenderaan itu.

    “Terkejut dengan tindakan itu, kakak dan sepupunya segera merentap baju lelaki terbabit menyebabkan suspek terus beredar meninggalkan lokasi berkenaan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Katanya, terkejut dan takut dengan kejadian itu, ketiga-tiga kanak-kanak berkenaan kemudian berlari menyelamatkan diri ke rumah saudara yang terletak di kawasan berhampiran.

    Sementara itu, Christopher berkata, bapa mangsa memaklumkan ada orang awam yang sempat melihat nombor pendaftaran kereta dinaiki suspek namun semakan mendapati adalah ia palsu.

    “Semakan dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati nombor pendaftaran diberikan didaftarkan atas kenderaan jenis Nissan Cefiro serta motosikal jenis Honda.

    “Sehubungan itu, pihak polis meminta kerjasama orang awam yang ada melihat kejadian atau mempunyai rakaman untuk tampil menyalurkan maklumat,” katanya.

  • Enam individu ditahan samun, menyamar pegawai imigresen

    Enam individu ditahan samun, menyamar pegawai imigresen

    ENAM individu tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes samun dan menyamar sebagai penjawat awam di sekitar ibu negara, semalam.

    Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, kesemua mereka yang ditahan, terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita tempatan berusia lingkungan 23 hingga 43 tahun serta disyaki menyamar sebagai pegawai imigresen.

    Beliau berkata, penahanan mereka ini dipercayai mempunyai kaitan dengan satu laporan polis mengenai kejadian samun melibatkan mangsa, dua lelaki warga asing yang mengalami kerugian telefon bimbit dan wang tunai anggaran RM300.

    “Hasil risikan, sepasukan polis dari Balai Polis Salak Selatan bersama anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, telah membuat tangkapan terhadap satu lelaki warga tempatan pada kira-kira 10 pagi itu.

    “Hasil daripada tangkapan pertama telah membawa kepada penahanan susulan iaitu tiga lelaki dan dua wanita tempatan serta rampasan terhadap pelbagai alatan dan barang kes yang, dipercayai hasil dari kegiatan samun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, antara barangan yang dirampas adalah lapan telefon bimbit, dua bilah parang panjang anggaran 60 sentimeter, lima komputer riba, dua senjata menyerupai pistol dan lain-lain barangan berharga.

    “Turut dirampas adalah ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 32.4 gram dan pil disyaki dadah jenis Erimin 5 anggaran berat 0.7 gram.

    “Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan serta permohonan reman,” katanya. – Bernama

  • RM1.5 juta ‘terbang’ terpedaya skim pelaburan palsu

    RM1.5 juta ‘terbang’ terpedaya skim pelaburan palsu

    SEORANG lelaki kerugian RM1.5 juta, selepas terpedaya dengan pelaburan penanaman pokok yang akan membuahkan ‘X-Fruit’ seluas 30 hektar, yang dikatakan boleh diproses menghasilkan minyak untuk kegunaan sebagai bahan api kapal terbang.

    Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf, berkata, mangsa berusia 38 tahun itu telah dijanjikan akan memperolehi keuntungan tiga kali ganda daripada modal pelaburan, dalam jangka masa tiga tahun.

    “Mangsa telah bersetuju dan dapat mencari pelabur daripada Kemboja dengan wang pelaburan dikumpulkan sebanyak USD500,000, yang dimasukkan ke akaunnya, sebelum dipindahkan ke akaun bank suspek dengan tiga transaksi berjumlah RM1.5 juta,” katanya menambah kesemua transaksi dilakukan pada pertengahan tahun 2015.

    Ramli berkata selepas hampir tiga tahun, mangsa telah cuba bertanyakan tentang perkembangan pelaburan itu namun panggilan telefonnya disekat malah usaha mengesan suspek juga gagal.

    Mangsa yang berasa telah diperdaya dengan pelaburan tidak wujud itu telah membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Pada masa yang sama, polis mengingatkan orang ramai jangan terpedaya dengan pujuk rayu melalui media sosial berikutan pelaku jenayah menggunakan pelbagai muslihat untuk memperdaya mangsa. – Bernama