Category: Jenayah

  • 15 pusat hiburan jadi ‘lubuk’ dadah sintetik di ibu negara

    15 pusat hiburan jadi ‘lubuk’ dadah sintetik di ibu negara

    SENARAI 15 pusat hiburan didakwa menjadi tempat pengedaran dadah sintetik di ibu negara kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

    Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan berkata, pihaknya sendiri akan menyerahkan senarai itu yang diperoleh mereka kepada Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan akan berjumpa dalam waktu terdekat.

    “Senarai premis pusat hiburan muzik tekno yang dipercayai terbabit dalam kegiatan itu diperolehi pihaknya menerusi tinjauan lapangan selain mendapat maklumat orang ramai.

    “Kita mengucapkan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjalankan tugas mereka dengan baik. Boleh dilihat paparan di media kejayaan polis merampas berkilogram-kilogram dadah dalam operasi mereka.

    “Namun ada yang terlupa pusat hiburan yang membekalkan dadah di premis itu. MCCC dapat maklumat senarai pusat hiburan tekno muzik yang mengedarkan dadah sintetik seperti ekstasi, ketamin, methamphetamine dan minuman jus bercampur dadah kepada pengunjung yang majoritinya golongan muda,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media sekali gus merasmikan Talian Hotline Aduan Komuniti Prihatin 0195380000 inisiatif MCCC, di Kuala LUmpur, hari ini, lapor Harian Metro.

    Bekas Ketua Polis Negara itu menjelaskan beliau difahamkan semasa pandemik Covid-19 banyak pusat hiburan yang diambil alih bermotifkan pengedaran dadah sintetik.

    “Saya minta pihak polis bekerjasama dengan imigresen dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyerbu premis ini bagi mencegah kemudaratan khususnya anak muda kita. Siasat PR (orang perantara pusat hiburan) ini tadi yang tak diambil tindakan.

    “Jangan tangkap penguat kuasa saja. PR ini yang bagi rasuah supaya melancarkan operasi sindiket. Siasat ketua sindiket dan PR terbabit. Saya akan membantu memberi maklumat lagi. Dalam senarai juga ada pemilik kelab (kelab malam),” katanya.

    Ditanya adakah pihak berkuasa tempatan (PBT) turut menjadi dalang sindiket dadah itu, katanya, PR pusat hiburan akan hubungi semua penguat kuasa.

    Ketika ditanya pihak media mengapakah senarai berkenaan tidak diserahkan kepada Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Musa menyatakan pihaknya lebih yakin tindakan akan segera dilakukan apabila senarai itu dihantar terus kepada Ayob Khan.

  • Lelaki tikam isteri, ibu mentua direman 3 hari

    Lelaki tikam isteri, ibu mentua direman 3 hari

    SEORANG lelaki yang cuba terjun bangunan selepas dipercayai menikam isteri dan ibu mentuanya di Tumpat, kelmarin direman selama tiga hari.

    Perintah reman terhadap pemandu lori berusia 27 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Kota Bharu Nuriza Mustafa bermula hari ini sehingga Sabtu.

    Sementara itu, memetik laporan Harian Metro, Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman lelaki berkenaan.

    Menurutnya, reman dibuat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

    “Selepas habis reman yang ini, kita akan menahan reman semula untuk kes mencederakan isteri dan ibu mentuanya mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Semalam dilaporkan seorang lelaki ditahan polis ketika cuba terjun dari tingkat 31 di sebuah bangunan dalam pembinaan di Lembah Sireh, Tumpat.

    Siasatan polis kemudiannya mendapati lelaki berkenaan adalah individu yang dilaporkan menikam isteri dan ibu mentuanya di rumah mereka di Chabang Empat di Tumpat.

  • Polis berkas enam individu menyamar ‘kontraktor’ curi kabel

    Polis berkas enam individu menyamar ‘kontraktor’ curi kabel

    POLIS memberkas sekumpulan pencuri kabel Telekom Malaysia Bhd (TM) yang menyamar sebagai kontraktor syarikat bagi menjalankan kegiatan mereka di Kuala Pilah, Jempol, Port Dickson dan Seremban kebelakangan ini.

    Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superitendan Amran Mohd. Ghani berkata, enam suspek termasuk dua wanita dipercayai telah mula bergerak aktif di Kuala Pilah sejak awal tahun ini.

    “Modus operandi kumpulan ini adalah menggunakan identiti sebagai kontraktor TM dengan memakai jaket dan topi keselamatan serta permit kerja palsu bagi mengaburi orang awam dan pihak berkuasa semasa menjalankan kegiatan mencuri kabel.

    “Kumpulan ini juga memilih lokasi terpencil dan kurang tumpuan orang awam sebagai lokasi untuk mencuri kabel,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati, kabel yang kendur dan mudah dicapai menjadi sasaran kumpulan ini kerana lebih menjimatkan masa.

    Jelasnya, kabel yang dicuri akan dijual ke premis besi buruk dan individu perseorangan dengan kadar RM25 hingga RM29 sekilogram.

    “Polis turut merampas beberapa barangan antaranya dua buah kereta, dua bilah pemotong kabel, dua vest keselamatan, telefon bimbit dan kabel anggaran berat melebihi 1 tan.

    “Jumlah rampasan kabel setakat ini dianggarkan bernilai RM35,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

    Amran berkata, setakat ini polis telah berjaya memperoleh semula sejumlah besar kabel TM yang dicuri melalui beberapa siri serbuan di sekitar empat daerah berkenaan.

  • Lelaki tikam isteri, ibu mentua  di Tumpat akibat perselisihan faham

    Lelaki tikam isteri, ibu mentua di Tumpat akibat perselisihan faham

    SEORANG lelaki berusia 20-an ditahan selepas menikam isteri dan ibu mentuanya dalam satu kejadian di Chabang Empat, Tumpat petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner ACP Amran Dolah berkata suspek menikam isteri dan ibu mentuanya selepas berlaku perselisihan faham antara suspek dan isteri.

    “Pada jam 6.35 petang semalam, Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat menerima satu laporan berhubung kejadian mendatangkan cedera parah dengan menggunakan senjata ke atas dua perempuan Melayu yang merupakan isteri dan ibu mentua kepada suspek menyebabkan kedua-dua mangsa ditikam dengan dua bilah pisau.

    “Kedua-dua mangsa yang masing-masing berusia dalam lingkungan 20-an dan 60-an itu telah dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk pemeriksaan,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Astro AWANI.

    Amran berkata, hasil pemeriksaan awal doktor mendapati mangsa pertama telah mengalami retak dan luka di bahagian kepala, patah dua jari serta luka di beberapa bahagian anggota badannya.

    Manakala mangsa kedua pula telah mengalami luka di bahagian kepala akibat ditikam oleh suspek.

    Dalam operasi mengesan suspek, pihak polis telah menerima satu laporan pagi tadi memaklumkan terdapat seorang lelaki yang ingin terjun dari tingkat 28 sebuah bangunan yang dalam pembinaan di Lembah Sireh, Kota Bharu.

    Menurut Amran, pihaknya berjaya menahan lelaki tersebut dan hasil semakan mendapati lelaki berkenaan merupakan suspek dalam kes menikam isteri dan ibu mentuanya.

    “Polis telah menahan suspek, yang bekerja sebagai pemandu lori.

    “Hasil semakan juga mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

  • Lima ditahan curi kereta jual sebagai besi buruk

    Lima ditahan curi kereta jual sebagai besi buruk

    LIMA individu termasuk seorang wanita ditahan dalam dua operasi Ahad lepas kerana disyaki mencuri sejumlah kereta lama untuk dijual sebagai besi buruk.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Mohamad Farouk Eshak berkata, susulan penahanan itu polis turut menemukan dua kereta yang dilaporkan hilang pada Sabtu lepas di Bandar Baru Ampang.

    “Sabtu lepas (18 Jun) kira-kira 8 pagi, seorang lelaki berusia 54 tahun yang bekerja sebagai pemandu van mendapati kereta jenis Mitsubishi Tredia dan Mitsubishi Galant miliknya yang diletakkan di bahu jalan Bandar Baru Ampang hilang dipercayai dicuri.

    “Susulan itu, polis pada keesokan harinya menahan seorang lelaki berumur 42 tahun di sekitar Ampang dan suspek kemudian membawa polis ke sebuah premis menjual besi buruk lalu menemukan sebuah lori dan dua kereta yang dilaporkan hilang pada Sabtu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohamad Farouk berkata polis seterusnya menahan empat lagi individu berusia antara 20 dan 40 tahun termasuk seorang wanita di sekitar Jinjang, Wangsa Maju dan Ampang.

    Tiga daripada mereka termasuk wanita itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan semua mereka direman hingga esok bagi membantu siasatan Seksyen 379A Kanun Keseksaan, katanya. – BERNAMA

  • Suspek kes dadah mati ketika dalam tahanan polis

    Suspek kes dadah mati ketika dalam tahanan polis

    SEORANG tahanan polis warga tempatan mati mengejut pada Isnin lepas ketika menerima rawatan di Hospital Shah Alam.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata, lelaki berumur 39 tahun itu telah ditahan di Lokap Berpusat Shah Alam pada 15 Jun bagi siasatan di bawah Sekyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).

    Beliau berkata, pada hari yang sama, lelaki berkenaan cuba menggantung diri di lokap tersebut namun telah diselamatkan dan dihantar ke Hospital Shah Alam untuk rawatan.

    “Dia dirawat di Hospital Shah Alam mulai 15 Jun, namun pada 20 Jun pukul 5.40 petang pegawai perubatan telah mengesahkan bahawa lelaki itu telah meninggal dunia di hospital tersebut.

    “Punca kematian belum diketahui dan Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman sedang menjalankan siasatan berkaitan kes tersebut,” katanya. – BERNAMA

  • 4 anggota polis direman bekal bahan terlarang kepada tahanan

    4 anggota polis direman bekal bahan terlarang kepada tahanan

    EMPAT anggota polis direman tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan menerima upah sebagai orang tengah membekalkan bahan terlarang kepada tahanan lokap.

    Perintah reman ke atas kesemua tertuduh berumur antara 35 dan 40 tahun itu dikeluarkan Majistret Mazana Sinin di Mahkamah Ayer Keroh hari ini.

    Siasatan ke atas kesemua anggota yang berpangkat Lans Koperal dan Koperal yang bertugas di sebuah balai di Alor Gajah itu dijalankan mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009.

    Kesemua anggota tersebut didakwa membawa masuk bekalan bahan terlarang seperti dadah, tembakau dan makanan kepada tahanan lokap di balai mereka bertugas dan dikatakan menerima upah antara RM600 hingga RM9,000 menerusi kira-kira 20 transaksi sepanjang 2019 hingga 2020 sama ada secara dalam talian atau tunai.

    Kesemua suspek ditahan selepas hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka petang semalam.

    Terdahulu mereka tiba di perkarangan mahkamah pada kira-kira pukul 9.30 pagi dengan memakai baju tahanan lokap SPRM berwarna jingga.

    Dalam pada itu, Pengarah SPRM Melaka, Mohd Shahril Che Saad ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan siasatan lanjut sedang dilakukan. – BERNAMA

  • Pengedar dadah sewa rumah untuk simpan, bungkus dadah

    Pengedar dadah sewa rumah untuk simpan, bungkus dadah

    SEORANG pengedar dadah ditahan dari anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri dan merampas dadah jenis syabu di Iskandar Puteri, pukul 3.20 petang kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, suspek warga tempatan itu ditahan polis bersama sejumlah dadah dan hasil ujian saringan awal air kencingnya juga positif methamphetamine.

    “Modus operasi suspek ini adalah dengan menyewa rumah ‘gated and guarded’ untuk dijadikan sebagai tempat menyimpan dan membungkus dadah bagi mengaburi pihak polis.

    “Hasil semakan rekod lampau, suspek juga mendapati dia mempunyai enam rekod lampau berkaitan dadah,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Rahmat berkata, dalam serbuan itu, 903 gram syabu yang dianggarkan bernilai RM32,500 dirampas, manakala sebuah kereta Mercedes Benz E250 bernilai kira-kira RM70,000 disita.

    Katanya, suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    Pada masa sama, Rahmat meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis berhubung aktiviti individu yang disyaki mengedar dadah.

    “Orang ramai diminta untuk menyalurkan maklumat berkaitan pengedar dadah kepada pihak polis bagi memudahkan kita mengesan dan menangkap pengedar dadah ini,” katanya

  • Gaduh gara-gara kereta sewa tidak dipulangkan, 5 ditahan

    Gaduh gara-gara kereta sewa tidak dipulangkan, 5 ditahan

    SERAMAI lima lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes pergaduhan di tapak pasar pagi berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pandan Indah semalam.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, sepasukan anggota unit kereta peronda (MPV) yang sedang membuat rondaan telah menerima maklumat berkaitan berlaku pergaduhan sekumpulan lelaki pada pukul 12.35 tengah malam.

    “Sampai di lokasi, kita mendapati lima lelaki sedang bergaduh. Akibat kejadian itu, salah seorang daripada mereka lebam di muka dan dahi, dia telah mendapat rawatan di Hospital Ampang,” katanya dalam kenyataan, hari ini, seperti dilaporkan Sinar Harian.

    Mohamad Farouk berkata, punca pergaduhan itu dipercayai akibat sewaan kereta yang tidak dipulangkan.

    “Kesemua lelaki berusia 22 hingga 41 tahun itu ditahan reman selama empat hari bermula Isnin sehingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Budak positif dadah terpaksa ditidurkan, keadaan semakin lemah

    Budak positif dadah terpaksa ditidurkan, keadaan semakin lemah

    KANAK-KANAK lelaki lelaki berusia empat tahun yang kritikal kerana kandungan dadah dalam badan, terpaksa ditidurkan berikutan keadaannya yang sangat lemah.

    Ibunya yang berusia 36 tahun berkata, setakat ini keadaan anak bongsu dari tiga beradik itu tiada tanda positif dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.

    Dia sempat meluangkan masa setengah jam malam tadi sambil menggosok tubuh anaknya.

    “Doktor memaklumkan anak saya perlu ditidurkan kerana keadaannya yang sangat lemah kesan daripada dadah itu.

    “Pilu hati saya melihat keadaannya sebegitu dan walaupun dia tidak sedarkan diri, saya tetap berbisik di telinganya agar bukakan mata dan segera sembuh.

    “Saya hanya inginkan anak sedar sahaja, tidak mengapa kalau dia tidak boleh berjalan atau ada kesan lain, itu sahaja yang saya harapkan,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Berita Harian.

    Wanita itu berkata, anaknya juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) kerana mengalami masalah pertuturan (lambat) dan baru boleh berjalan.

    Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun kritikal selepas dikesan terdapat dadah jenis methampethamine dalam badannya.

    Susulan itu, seorang buruh yang juga bapa saudara mangsa berusia 30 tahun ditahan malam kelmarin untuk membantu siasatan.

    Suspek yang memiliki tiga rekod lampau bersabit dadah ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 26 Jun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.