Category: Jenayah

  • Laporan polis dibuat terhadap Guan Eng, Syed Saddiq kerana subjudis

    Laporan polis dibuat terhadap Guan Eng, Syed Saddiq kerana subjudis

    DUA laporan polis telah dibuat terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman secara berasingan susulan komen dibuat mengenai kes mahkamah melibatkan dua pemimpin tersebut.

    Portal Free Malaysia Today (FMT) melaporkan, kedua-dua laporan itu dibuat di Balai Polis Putrajaya, menurut sumber rapat.

    Laporan pertama, yang dibuat terhadap Guan Eng, adalah berdasarkan artikel di mana bekas Menteri Kewangan itu dipetik sebagai berkata, keterangan saksi dalam perbicaraan rasuahnya adalah semata-mata satu rekaan dan konspirasi politik.

    Pengadu mendakwa, tindakan Guan Eng adalah subjudis kerana perbicaraannya masih belum selesai.

    Kata sumber itu, pengadu mahu Jabatan Peguam Negara mengambil tindakan terhadap Guan Eng kerana menghina mahkamah.

    Guan Eng dibicarakan atas tuduhan menggunakan kedudukannya untuk meminta komisyen 10% daripada keuntungan projek terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion, dan menerima RM3.3 juta sogokan daripada seorang ahli perniagaan.

    Beliau  juga didakwa atas dua pertuduhan menyalahgunakan tanah negeri bernilai RM208.7 juta secara tidak jujur kepada dua syarikat.

    Laporan kedua dibuat terhadap Syed Saddiq dan peguam kepada bekas menteri belia dan sukan itu.

    Ini selepas peguamnya dalam video YouTube mendakwa, pertuduhan yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Muar itu bermotifkan politik.

    Syed Saddiq menghadapi empat pertuduhan pecah amanah jenayah, penyelewengan dana, dan pengubahan wang haram lebih RM1 juta milik Pemuda Bersatu.

  • KPDNHEP serbu syarikat salah guna logo halal Jakim

    KPDNHEP serbu syarikat salah guna logo halal Jakim

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah melakukan serbuan terhadap sebuah kilang biskut di Bukit Pinang, Alor Setar, kelmarin kerana penyalahgunaan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada produk makanan dihasilkan.

    Pengarah Pejabat KPDNHEP negeri, Affendi Rajini Kanth berkata, pihaknya melakukan serbuan itu kira-kira pukul 11 pagi setelah menerima maklumat berkaitan perkara itu dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK).

    Menurutnya, pensijilan halal yang pernah diluluskan kepada syarikat berkenaan telah ditarik balik pada Mac lalu berikutan tindakan syarikat berkenaan yang melanggar prosedur sijil pengesahan halal Malaysia.

    “Penarikan itu menyebabkan syarikat berkenaan tidak boleh lagi menggunakan logo halal Jakim pada kesemua produk dikeluarkan.

    “Namun pemeriksaan dijalankan mendapati hampir semua produk yang siap dibungkus dan diletakkan dalam kotak, masih memiliki logo halal Jakim,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Pemeriksaan dijalankan KPDNHEP mendapati hampir semua produk yang siap dibungkus dan diletakkan dalam kotak, masih memiliki logo halal Jakim

    Tambahnya, tindakan itu merupakan satu kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

    “Sehubungan itu kesemua produk yang dilabelkan dengan logo halal tersebut telah disita untuk tindakan lanjut.

    “Sebanyak 20,193 kotak makanan bernilai kira-kira RM906,609 telah disita,” katanya.

    Affendi memaklumkan, berdasarkan maklumat lisan dari pihak pengurusan, syarikat tersebut telah beroperasi lebih 10 tahun lalu.

    “Produk keluaran syarikat tersebut telah diedarkan untuk pasaran ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

    “Kes tersebut kini disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011. Jika sabit kesalahan, syarikat boleh didenda tidak lebih RM200,000 bagi kesalahan pertama,” katanya.

  • Pistol, kereta ahli sindiket samun mati ditembak polis ditemukan

    Pistol, kereta ahli sindiket samun mati ditembak polis ditemukan

    POLIS menemukan sebuah kenderaan dipercayai digunakan ahli sindiket samun dan pecah rumah yang mati ditembak polis dalam kejadian berbalas tembakan di sebuah kondominium di Salak Selatan, pada 18 Jun lalu.

    Pihak menemukan kereta jenis Toyota Estima itu berhampiran tempat kejadian sekitar pukul 1.30 tengah hari pada Selasa.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, penemuan itu adalah hasil risikan dan pemeriksaan pihaknya.

    “Pihak polis turut menjumpai satu beg kitar semula di bawah tempat duduk pemandu yang mengandungi sepucuk pistol jenis Smith and Wesson, enam butir peluru hidup di dalam ‘chamber’ dan sebungkus sampul mengandungi tujuh butir peluru hidup.

    “Berdasarkan maklumat risikan, pihak polis percaya senjata api tersebut adalah milik suspek yang mati ditembak,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Pada Isnin media melaporkan polis berjaya menumpaskan kumpulan yang disyaki bergiat aktif melakukan 15 kes jenayah samun dan pecah rumah selepas menahan lapan individu termasuk seorang wanita di sekitar Lembah Klang pada 18 Jun hingga 20 Jun lalu.

    Seorang lagi anggota kumpulan itu maut dalam kejadian berbalas tembakan.

    Dalam serbuan itu, polis turut merampas sepucuk pistol semi automatik jenis CZ 75 Compact daripada salah seorang suspek yang ditahan.

    Azmi berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan usaha mengesan saki baki sindiket sedang giat dijalankan.

    Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan Siasatan Jenayah di talian 0321460685 atau Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mohd. Hasni Hussin di talian 019-998 4444, atau Hotline Polis Kuala Lumpur 03-2115 9999.

  • Polis bongkar kegiatan licik premis alatan komunikasi curi data peribadi

    Polis bongkar kegiatan licik premis alatan komunikasi curi data peribadi

    SATU kegiatan sindiket penipuan pendaftaran kad SIM prabayar secara tidak sah berjaya dibongkar pihak polis selepas menahan tujuh individu termasuk tiga wanita di sebuah premis di Jalan Cahaya, Taman Cahaya, Kangar, Rabu lalu.

    Pihak polis menahan suspek berusia antara 19 hingga 35 tahun itu pada pukul 5.40 petang selepas menerima maklumat bahawa premis yang menjual alatan komunikasi disyaki menjalankan aktiviti judi dalam talian.

    Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, serbuan polis di premis itu bagaimanapun mendapati tiada aktiviti berkenaan dijalankan.

    “Namun pemeriksaan selanjutnya ke atas peralatan komputer, mesin, pelbagai jenis kad SIM prabayar dan peralatan ‘SIM box’ atau ‘SIM card multiplexer’ jenis GSM Getaway membongkar kegiatan sindiket penipuan pendaftaran kad SIM prabayar secara tidak sah.

    “Hasil soal siasat mendapati premis berkenaan menjalankan kegiatan sindiket penipuan pendaftaran kad SIM prabayar secara tidak sah dengan modus operandi, suspek akan membeli kad SIM prabayar kosong daripada syarikat telekomunikasi yang sah secara pukal.

    “Menerusi kad SIM prabayar kosong ini, suspek akan menggodam untuk memperoleh senarai data peribadi orang lain yang mana data peribadi warga tempatan dan asing yang sebelum ini didaftarkan untuk sesuatu talian telefon itu kemudian akan dimasukkan dalam kad SIM prabayar kosong ini,” katanya, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, hari ini.

    Katanya, selepas itu, sindiket berkenaan menjualnya kad SIM prabayar yang sudah mempunyai data peribadi orang lain kepada sindiket lain yang menjalankan kegiatan jenayah komersil seperti penipuan dalam talian, Macau Scam dan bermacam lagi jenayah penipuan dalam talian.

    Dalam serbuan itu juga pihaknya merampas peralatan yang digunakan oleh sindiket itu seperti 29 komputer termasuk skrin dan unit pemprosesan pusat (CPU), 13 papan kekunci komputer dan sebuah pemacu pena.

    “Selain itu, kita turut merampas 51 Sim Box (Sim Card Multiplexer) jenis GSM Gateway, 13 tetikus, sebuah wifi modem dan 3,084 kad SIM prabayar kosong dari syarikat telekomunikasi yang mana rampasan dianggarkan sebanyak RM130,000.

    “Sindiket ini dilihat menggunakan perniagaan menjual peralatan komunikasi dan kad SIM prabayar untuk mengaburi kegiatan jenayah dan jika diteliti juga kad SIM prabayar yang sudah mempunyai data peribadi orang lain ini tidak dijual kepada orang awam sebaliknya dijual kepada sindiket lain.

    “Berdasarkan pemeriksaan, kita juga mendapati syarikat ini sudah didaftarkan pada 2019 namun kegiatan ini dipercayai mula dilakukan pada awal tahun ini dan siasatan lanjut akan dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengesan berapa ramai mangsa yang sudah digunakan data peribadinya untuk kegiatan ini serta bagaimana data peribadi orang awam ini digodam dan diperolehi,” katanya.

    Suspek termasuk ketua sindiket berkenaan yang berusia 35 tahun itu kini direman sehingga esok untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 239 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana memiliki kelengkapan atau peranti tidak standard.

    Orang ramai diminta membantu polis dengan menyalur maklumat aktiviti jenayah komersil melalui saluran ‘CCID Scam Response Centre menerusi talian 03-26101559/ 03-26101599 atau melalui aplikasi WhatsApp CCID Infoline menerusi talian 013-2111222 atau menghubungi balai polis yang berhampiran.

  • 73 laporan palsu babitkan hilang kad pengenalan diterima di Gombak – Polis

    73 laporan palsu babitkan hilang kad pengenalan diterima di Gombak – Polis

    ADA dalam kalangan orang ramai yang hilang kad pengenalan membuat laporan polis palsu mendakwa mereka disamun atau diragut bagi mengelak didenda Jabatan Pendaftaran Negara.

    Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed yang mendedahkan perkara itu berkata sejak Januari lepas hingga kini pihaknya menerima 73 laporan palsu melibatkan individu berusia antara 20 dan 40 tahun.

    “Hasil siasatan mendapati pengadu menggunakan helah atau alasan seperti disamun dan diragut dengan setakat ini 71 kes telah didakwa di mahkamah manakala dua kes masih dalam siasatan,” katanya.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner (SAC), Baharudin Mat Taib (kiri) bersama Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed (dua dari kiri) melihat sebahagian barangan jenayah yang bakal dilupuskan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelupusan bahan kes Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Baharudin Mat Taib hari ini melibatkan 1,335 kertas siasatan perjudian, wang palsu, barangan elektronik dan kontraband. 

    Zainal Mohamed menasihatkan orang ramai supaya menjaga dokumen pengenalan diri dengan sebaiknya dan menegaskan selain denda, mereka yang didapati bersalah juga berdepan hukuman penjara.

    Sementara itu, Baharudin berkata polis menumpaskan sindiket curi kenderaan susulan penahanan 10 individu berusia 35 hingga 62 tahun dalam Ops Lejang pada 17 Jun hingga Rabu lepas.  

    “Kesemuanya ditahan di beberapa lokasi di Perak, Pahang, Kedah dan Johor… dengan penahanan ini, kami berjaya menyelesaikan 23 kes curi kenderaan membabitkan lapan kes di Johor, Selangor (tujuh), Perak (empat), Kedah (tiga) dan satu kes di Pahang,” katanya. 

    Sindiket yang bergerak aktif sejak dua bulan lepas itu menyasarkan kenderaan mewah di kawasa pangsapuri, katanya. – Bernama

  • SPRM tahan enam lelaki disyaki rasuah lulus ujian GDL

    SPRM tahan enam lelaki disyaki rasuah lulus ujian GDL

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan enam lelaki termasuk dua pegawai penguat kuasa agensi kerajaan kerana disyaki terlibat rasuah bagi meluluskan ujian memandu kelas Kenderaan Perdagangan (GDL) di institusi memandu di sekitar Negeri Sembilan.

    Semua suspek yang berusia antara 35 dan 65 tahun itu ditahan pukul 5 hingga 6 petang di Pejabat SPRM Negeri Sembilan, semalam, lapor Sinar Harian.

    Difahamkan empat suspek lain merupakan tenaga pengajar dan pengajar institusi memandu.

    Empat daripada mereka direman lima hari, seorang suspek tiga hari (reman) manakala seorang lagi dilepaskan dengan jaminan SPRM atas sebab faktor kesihatan.

    Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Khairunnisa Kasa selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Khas Reman di Seremban, hari ini.

    Menurut sumber, mereka disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah antara RM300 sehingga RM650 daripada pemohon bagi meluluskan setiap ujian lesen memandu kelas GDL melalui tenaga pengajar institut memandu di sekitar Negeri Sembilan.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awangkok Ahmad Taufik Putra Awang Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

    Kata beliau, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

  • Sediakan pelacur secara pandu lalu di belakang kedai kopi

    Sediakan pelacur secara pandu lalu di belakang kedai kopi

    SATU kegiatan pelacuran di beberapa kedai kopi di Kuala Lumpur terbongkar baru-baru ini semasa diserbu pihak berkuasa.

    Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Osman Ismail berkata, mereka menjalankan perniagaan kedai kopi di pintu depan manakala di bahagian belakang menyediakan pelacur.

    “Itu modus operandi dilakukan sindiket pelacuran di ibu kota bagi mengelakkan kegiatan haram itu dikesan pihak berkuasa.

    “Malah mereka juga hanya menjadikan lokasi itu sebagai tempat untuk mengambil pelacur secara pandu lalu.

    “Pihak DBKL mengesan modus operandi itu dijalankan di beberapa premis sekitar ibu kota ini.

    “Pelanggan hanya mengambil wanita berkenaan di pintu belakang untuk dibawa ke hotel.

    “Sindiket ini tetap akan beroperasi selagi kerana terdapat permintaan yang tinggi oleh pelanggan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Menurutnya, tindakan penguatkuasaan boleh diambil mengikut Seksyen 3(1) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016.

    “Selain itu, premis terbabit juga boleh ditutup serta-merta mengikut Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

    “Jika terdapat pembinaan struktur dinding yang tidak sah, tindakan meroboh juga boleh diambil serta-merta,” katanya.

  • Hanya 30 saat dapat curi kereta mewah

    Hanya 30 saat dapat curi kereta mewah

    POLIS menumpaskan sindiket curi kereta mewah ‘Geng Ah Beng’ dengan tertangkapnya 10 suspek dalam Op Lejang Mewah di Perak, Pahang, Kedah dan Johor pada 17 hingga 22 Jun lalu.

    Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, sindiket tersebut dipercayai aktif sejak April lalu dengan menyasarkan kereta mewah yang diparkir di kawasan perumahan.

    Menurutnya, menggunakan beberapa jenis peranti dan alat khas, ahli sindiket mampu mengumpil masuk sebuah kenderaan dalam tempoh 30 saat serta melumpuhkan sistem keselamatan untuk menghidupkan kereta berkenaan dalam dua minit.

    Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed GAMBAR: Warta Rakyat

    “Modus operandi sindiket adalah mencuri kereta mewah di taman perumahan atau apartmen pada waktu malam dan awal pagi kemudian di jual di negara jiran melalui orang tengah. Kereta-kereta terbabit dijual dengan nilai RM7,000 hingaa RM25,000”.

    “Dengan tertumpasnya sindiket ini, kita berjaya menyelesaikan 23 kes curi kenderaan dengan pecahan kes sebanyak tujuh di Selangor, Gombak (empat), Johor (lapan), Kuala Lumpur (empat), Perak (tiga) dan satu kes di Pahang,” katanya pada sidang media pelupusan barang kes di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di Gombak, hari ini.

    Beliau berkata, peranti khas yang mampu melumpuhkan sistem keselamatan elektronik dalam kereta-kereta mewah berkenaan dipercayai diperoleh dari negara luar, lapor Sinar Harian.

  • Bekas pekerja TM ditahan curi kabel

    Bekas pekerja TM ditahan curi kabel

    POLIS menahan seorang lelaki kerana mencuri kabel di tepi Jalan Kampung Solok Jelawai, Rembau, pukul 11 pagi semalam.

    Suspek ditahan sepasukan anggota dari Cawangan Risikan/Operasi/Rekod Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Seremban dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di tepi jalan berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, siasatan awal mendapati, suspek pernah bekerja sebagai kontraktor TM dan melakukan jenayah mencuri kabel seorang diri.

    “Suspek menyasarkan kabel-kabel yang tidak aktif dan mudah dipotong. Dia dipercayai menggunakan motosikal bagi membawa kabel yang telah dipotong untuk dijual,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurutnya, ketika tangkapan, polis turut merampas beberapa barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan jenayah dilakukan iaitu sebuah motosikal, tukul besi, pisau pemotong daging dan sejumlah kabel yang telah dipotong.

    Hazri berkata, semakan mendapati, suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dua rekod kesalahan narkotik.

    “Dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menyelesaikan dua kes cuti kabel di daerah Rembau dan dua kes di Seremban.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 378 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya,”katanya.

    Sementara itu, beliau berkata, polis mengalu-alukan orang awam untuk menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Rembau di talian 06-6851999.

  • Lelaki tempatan ditahan seleweng 400 liter diesel dengan lori

    Lelaki tempatan ditahan seleweng 400 liter diesel dengan lori

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEORANG lelaki tempatan ditahan bersama kira-kira 400 liter minyak diesel yang dipercayai diseleweng dalam serbuan ke atas sebuah lori di Taman Permai Jaya, Butterworth, Pulau Pinang pukul 6.30 petang semalam.

    Ketua Pegawai Penguat Kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang, A. Mogan berkata, turut dirampas dalam serbuan itu ialah dua tangki simpanan berkapasiti 2,000 liter serta satu unit motor pam yang digunakan untuk menjalankan kerja penyelewengan terbabit.

    Menurut beliau, lori jenis ‘bonded’ berjenama Daihatsu itu turut disita dan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM22,160.

    “Serbuan itu dibuat hasil maklumat awam dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, kesalahan itu boleh menyebabkan seseorang individu dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

    Lori jenis ‘bonded’ berjenama Daihatsu disita selepas terbabit kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubdisi

    Bagi kesalahan kedua dan seterusnya tambah beliau, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan jika didapati bersalah.

    “Bagi pertubuhan atau perbadanan pula, denda tidak melebihi RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya,” katanya.

    Sehubungan itu tambah beliau, pihaknya mengingatkan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi.

    “Kita juga amat mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan daripada orang awam berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi,” katanya.