SATU kegiatan pelacuran di beberapa kedai kopi di Kuala Lumpur terbongkar baru-baru ini semasa diserbu pihak berkuasa.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Osman Ismail berkata, mereka menjalankan perniagaan kedai kopi di pintu depan manakala di bahagian belakang menyediakan pelacur.

“Itu modus operandi dilakukan sindiket pelacuran di ibu kota bagi mengelakkan kegiatan haram itu dikesan pihak berkuasa.

“Malah mereka juga hanya menjadikan lokasi itu sebagai tempat untuk mengambil pelacur secara pandu lalu.

“Pihak DBKL mengesan modus operandi itu dijalankan di beberapa premis sekitar ibu kota ini.

“Pelanggan hanya mengambil wanita berkenaan di pintu belakang untuk dibawa ke hotel.

“Sindiket ini tetap akan beroperasi selagi kerana terdapat permintaan yang tinggi oleh pelanggan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan boleh diambil mengikut Seksyen 3(1) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016.

“Selain itu, premis terbabit juga boleh ditutup serta-merta mengikut Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Jika terdapat pembinaan struktur dinding yang tidak sah, tindakan meroboh juga boleh diambil serta-merta,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here