Category: Jenayah

  • Lari pemeriksaan polis gara-gara bawa dadah

    Lari pemeriksaan polis gara-gara bawa dadah

    TINDAKAN nekad seorang lelaki yang cuba meloloskan diri dengan memecut laju kereta semasa pemeriksaan polis di tepi jalan Taman Ikhlas, Bandar Sungai Long, Kajang, semalam membongkar penemuan dadah.

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, dalam kejadian pukul 11.10 pagi, kereta jenis Nissan Almera yang dipandu lelaki berusia 23 tahun telah melanggar kereta peronda polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan kereta orang awam semasa cuba melarikan diri.

    Beliau berkata, suspek bagaimanapun berjaya ditahan di Lebuhraya Grand Saga berhampiran susur keluar Balakong/Sungai Long.

    “Pemeriksaan polis telah menemui bahan disyaki dadah jenis heroin dan methamphetamine bernilai kira-kira RM693.

    “Suspek yang memiliki rekod lampau bersabit kes dadah itu juga didapati positif dadah hasil ujian saringan air kencing,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

    Kes disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Tambah Mohd. Zaid, Polis Daerah Kajang menasihatkan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes jenayah dan dadah khususnya di daerah ini boleh disalurkan kepada pihaknya untuk tindakan lanjut.

  • Macau Scam kreatif perdaya mangsa, kes penipuan meningkat tahun ini

    Macau Scam kreatif perdaya mangsa, kes penipuan meningkat tahun ini

    SEBANYAK 383 tangkapan membabitkan jenayah komersial direkodkan di Negeri Sembilan sejak Januari hingga Mei lalu, kata Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ruslan Khalid.

    Menurut beliau, kes penipuan pembelian dalam talian mencatatkan kes tertinggi dan 249 daripada keseluruhan tangkapan sudah dituduh di mahkamah.

    “Kes penipuan jual beli dalam talian mencatatkan 189 kes manakala 66 tangkapan membabitkan pinjaman tidak wujud, sebanyak 51 tangkapan bagi kes skim pelaburan, penipuan tawaran kerja (35), Macau Scam (24) dan Love Scam (18).

    “Modus operandi seperti Macau Scam ini, mereka menggunakan nombor tidak dikenali dan menyamar sebagai pihak berkuasa seperti pegawai polis dan pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    “Mereka memaklumkan mangsa terbabit dalam beberapa kes jenayah termasuk langgar lari, dadah atau penggubahan wang haram dan melarang mangsa untuk memberitahu sesiapa,” katanya memetika laporan Harian Metro, hari ini.

    Katanya, sindiket Macau Scam sangat kreatif kerana terdapat peningkatan kes pada tahun ini berbanding tahun lalu dan pihaknya sentiasa memberikan pendedahan, kesedaran serta kempen bagi mencegah orang daripada menjadi mangsa.

    “Bagi tempoh Januari hingga Mei lalu, sebanyak 839 kes jenayah komersial dilaporkan di negeri ini iaitu peningkatan 6.87 peratus iaitu sebanyak 785 kes berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya.

    Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memberi peringatan kepada orang ramai supaya tidak terjebak menjadi keldai akaun menerusi iklan di laman sosial yang menawarkan untuk menyewa nombor akaun bank.

    “Mereka sanggup bersubahat dengan ‘scammer’ bagi mendapatkan wang, melakukan jenayah dengan menganiaya orang lain. Saya mahu ingatkan masyarakat supaya tidak terjebak dengan iklan menarik yang ditawarkan kerana kesannya akan membinasakan diri dan keluarga,” katanya.

  • Tiga lelaki merusuh ditahan selebihnya masih diburu

    Tiga lelaki merusuh ditahan selebihnya masih diburu

    TIGA lelaki ditahan kerana terlibat dalam kes rusuhan dan perbuatan khianat terhadap beberapa buah kereta yang diparkir di tepi Jalan Radin Bagus, Sri Petaling, ibu negara, kata Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor.

    Menurutnya, semua suspek yang ditahan berusia antara 20 hingga 41 tahun dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk permohonan reman.

    “Usaha mengesan suspek yang masih bebas masih diteruskan dan individu terbabit dalam insiden tersebut diminta tampil membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Astro Awani.

    Sejak Isnin lalu, satu video menunjukkan sekumpulan lelaki merusuh dan melakukan khianat pecah cermin kereta terhadap beberapa kereta tular dalam media sosial.

    Amihizam berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 148/427 Kanun Keseksaan.

    Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

  • Presiden parti politik Sabah ditahan dalangi sindiket tipu kad individu

    Presiden parti politik Sabah ditahan dalangi sindiket tipu kad individu

    SEORANG Presiden parti politik di Sabah adalah antara dua individu yang ditahan pada 22 Jun lepas di Subang Jaya kerana disyaki terlibat dalam sindiket penipuan kad data maklumat individu tanpa kewarganegaraan.

    Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata lelaki terbabit dan seorang lagi individu disyaki memperdayakan mangsa dengan memberi jaminan pemegang kad data berkenaan akan menerima keistimewaan dan kemudahan sama seperti warganegara.

    Bercakap pada sidang media di Bukit Aman hari ini, Hamzah berkata beliau menerima maklumat mengenai sindiket itu daripada seorang individu dari luar negara dan kemudian memaklumkannya kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

    Beliau berkata polis kemudian menubuhkan unit khas untuk menjejak sindiket terbabit dan berjaya menahan dua suspek berkenaan di Subang Jaya.

    “Kedua-dua individu itu juga memperdayakan mangsa dengan menjanjikan bahawa mereka turut menerima kad pengenalan berwarna biru seperti yang diberi kepada rakyat negara ini selepas segala urusan berkaitan selesai,” katanya.

    Beliau berkata lelaki terbabit mendaftarkan parti itu pada 2017 dan menjadi presiden parti berkenaan.

    Hamzah berkata berdasarkan siasatan, dianggarkan 400 individu tanpa kewarganegaraan menjadi mangsa sindiket terbabit yang mengenakan bayaran RM500 hingga RM1,000 seorang.

    Sindiket itu pada mulanya menyasarkan individu tanpa kewarganegaraan di Sabah dan kemudian meluaskan operasinya ke Semenanjung.

    Hamzah berkata orang ramai dinasihatkan agar tidak tertipu dengan mana-mana pihak yang menawarkan perkhidmatan sedemikian kerana kerajaan tidak pernah melantik mana-mana syarikat atau individu untuk berbuat demikian.

    “Hanya Jabatan Pendaftaran Negara boleh mengeluarkan kad pengenalan yang diiktiraf oleh kerajaan,” katanya.

    Sementara itu, Hamzah berkata Kementerian Dalam Negeri dan agensi berkaitan akan melancarkan operasi besar-besaran bagi mengesan pendatang tanpa izin selepas Program Rekalibrasi Pulang tamat tengah malam ini.

    Beliau berkata program yang dilancarkan pada November 2020 itu tidak akan disambung dan majikan dinasihat supaya tidak mengambil pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen kerana mereka berisiko dikenakan tindakan.

    — BERNAMA

  • Salah guna kuasa: YDP pertubuhan kebajikan direman 5 hari

    Salah guna kuasa: YDP pertubuhan kebajikan direman 5 hari

    DUA lelaki termasuk seorang Yang Dipertua (YDP) sebuah pertubuhan kebajikan di Terengganu direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan penyalahgunaan kuasa pelantikan pengarah urusan sebuah syarikat usaha sama, empat tahun lepas.

    Perintah reman sehingga Isnin (4 Julai) di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah itu dikeluarkan oleh Majistret Noor Mazrinie Mahmood di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu terhadap kedua-dua suspek berusia 80-an dan 50-an itu.

    Ia bagi membolehkan siasatan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dijalankan.

    Menurut sumber SPRM pada sekitar 2018, YDP pertubuhan kebajikan yang berusia 80-an tersebut disyaki telah menggunakan jawatannya untuk melantik sekutunya sebagai pengarah urusan sebuah syarikat usaha sama dengan beliau mempunyai kepentingan ke atas syarikat itu.

    Kedua-dua suspek ditahan semalam di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu di Kuala Terengganu. – BERNAMA

  • Geng Nigeria seludup keluar minyak masak paket guna cerek

    Geng Nigeria seludup keluar minyak masak paket guna cerek

    POLIS Klang Utara menahan tiga lelaki warga Nigeria yang dipercayai menyeludup keluar minyak masak paket bersubsidi 1 kilogram (kg) pelbagai jenama menggunakan cerek air dan periuk nasi elektrik di sebuah premis perniagaan di Bandar Baru Klang, tiga hari lepas.

    Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP S Vijaya Rao berkata, kegiatan tiga individu berusia sekitar 30-an hingga 40-an yang menjalankan perniagaan jual beli alat ganti kenderaan terpakai itu terbongkar selepas pihaknya melakukan serbuan sekitar 2 petang di premis tersebut rentetan daripada aduan orang awam berhubung kegiatan mereka.

    Vijaya Rao berkata, pihaknya turut merampas antaranya 1,100 paket minyak masak bersubsidi 1kg pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM2,750; 225 unit cerek air terpakai pelbagai kapasiti liter bernilai RM7,000 dan 51 peralatan elektrik pelbagai jenis bernilai RM3,000 dengan nilai keseluruhan rampasan kira-kira RM18,910.

    “Modus operandi mereka ini adalah dengan membeli minyak masak paket bersubsidi daripada orang tempatan. Mereka kemudiannya menyembunyikan dua hingga tiga paket minyak di dalam sebuah cerek dan periuk nasi elektrik mengikut kapasiti sebelum dihantar ke Nigeria menggunakan kontena dari negara ini.

    “Kami percaya harga minyak masak yang tinggi di Nigeria membuatkan mereka bertindak menyeleweng barang bersubsidi ini. Namun, siasatan lanjut masih dijalankan berhubung berapa banyak minyak paket yang telah dihantar ke sana,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, hari ini.

    Vijaya Rao berkata, semakan rekod mendapati pasport ketiga-tiga suspek itu telah tamat tempoh sejak tiga tahun lepas dan mereka telah menyewa premis perniagaan itu daripada seorang pemilik tempatan sejak lima tahun lalu serta premis itu mempunyai lesen untuk beroperasi.

    “Kita kini sedang giat mengesan pemilik premis tersebut dan ketiga-tiga mereka direman empat hari yang akan tamat esok dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961; Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 55B serta Seksyen 39 (b) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – BERNAMA

  • Dua individu tinggal mayat kanak-kanak akibat kemalangan bukan pasangan suami isteri – polis

    Dua individu tinggal mayat kanak-kanak akibat kemalangan bukan pasangan suami isteri – polis

    DUA individu yang ditahan polis susulan tindakan mereka melarikan diri dan meninggalkan mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun selepas terbabit dalam nahas di Jalan Sungai Kelamah, Jelai, Gemas, dekat sini, pada Ahad lepas disahkan bukan pasangan suami isteri.

    Ketua Polis Daerah Tampin Supt Anuwal Ab Wahab berkata lelaki itu berusia 30 tahun manakala wanita yang berusia 27 tahun itu merupakan ibu kepada kanak-kanak lelaki berusia dua tahun berkenaan yang menaiki kereta Proton Iswara pada hari kejadian.

    “Kanak-kanak itu tercampak di tengah jalan dan digilis oleh sebuah kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti akibat kemalangan tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

    Beliau berkata pasangan tersebut positif dadah menerusi ujian air kencing, selain lelaki itu turut mempunyai rekod jenayah lampau termasuk 14 kesalahan narkotik manakala wanita tersebut mempunyai satu rekod kesalahan narkotik.

    Katanya lelaki berkenaan direman selama empat hari bermula Isnin lepas di Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1985 sehingga esok manakala bagi kesalahan mencuri kenderaan pula reman akan dimohon esok manakala wanita itu pula hanya dikenakan reman selama sehari bagi membantu siasatan.

    Semalam media melaporkan kedua-dua suspek meninggalkan mayat seorang kanak-kanak lelaki selepas mereka terlibat dalam kemalangan kira-kira pukul 11.30 malam di Jalan Sungai Kelamah, Jelai, Gemas, dekat sini, pada 26 Julai lepas.

    Kedua-dua suspek difahamkan melarikan diri dari lokasi kejadian menggunakan sebuah kereta pacuan empat roda milik pengguna jalan raya lain yang ingin membantu mereka.

    Pasangan itu telah ditahan di rumah mereka di Felda Bukit Jalor pada pukul 4.30 pagi dan polis menemukan dadah dalam kenderaan yang dipandu lelaki berkenaan.

    — BERNAMA

  • Polis buru 20 lelaki merusuh di Sri Petaling, Isnin lepas

    Polis buru 20 lelaki merusuh di Sri Petaling, Isnin lepas

    POLIS sedang mengesan 20 lelaki terbabit dalam pergaduhan dan merosakkan kenderaan awam di Jalan Radin Bagus, Sri Petaling, Kuala Lumpur, pada awal pagi, Isnin lalu.

    Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata pergaduhan melibatkan dua kumpulan itu telah menyebabkan beberapa buah kenderaan yang diletakkan di tepi jalan berkenaan rosak akibat terkena batang besi dan botol arak yang digunakan dalam pergaduhan itu.

    “Pihak kami menerima laporan dari seorang mangsa yang keretanya mengalami kerosakkan di bahagian cermin belakang dan cermin penumpang belakang sebelah kanan.

    “Mangsa dan rakan sedang makan di sebuah restoran di lokasi kejadian pergaduhan itu dan polis sedang giat mengesan suspek yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Amihizam berkata kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya sekali.

    Terdahulu tular satu video di laman sosial berdurasi 43 saat menunjukkan beberapa individu bergaduh dan merosakkan beberapa buah kereta menggunakan botol arak dan batang besi di kawasan tersebut.- Bernama

  • Polis, SPRM belum panggil untuk siasatan, kata suami pengasas Dnars

    Polis, SPRM belum panggil untuk siasatan, kata suami pengasas Dnars

    SUAMI pengasas Dnars Skincare, Datuk Ahmad Shah Rizal Ibrahim mendakwa belum menerima panggilan dari pihak Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disoal siasat.

    Menurutnya, laporan polis dan SPRM itu dibuat berhubung kematian isterinya Allahyarham Faziani Rohban Ahmad.

    “Setakat ini tidak ada. Yang saya tahu ada dua laporan polis yang dibuat. Yang pertama pasal siasatan semula kes pembunuhan itu.

    “Yang kedua pasal berkenaan dengan pertukaran saham syarikat dan juga laporan SPRM mengenai proses membawa masuk jenazah semasa hari kematian itu tidak disertakan dokumen-dokumen yang lengkap lah.

    “Semua laporan itu saya belum menerima panggilan atau notis dari SPRM atau pihak Polis,” katanya dalam satu sidang media khas bagi menjawab pertuduhan yang disifatkan sebagai fitnah terhadapnya, lapor Astro Awani, hari ini.

    Sebelum ini keluarga Allahyarham Faziani membuat laporan polis bagi menuntut siasatan lanjut ke atas kematian Allahyarham yang disyaki meragukan.

    Dalam sidang media yang sama, Ahmad Shah Rizal memaklumkan telah mengemukakan tuntutan undang-undang terhadap beberapa pihak yang didakwa menfitnahnya.

    Ahmad Shah Rizal menjelaskan tindakan undang-undang yang dibuat itu dilihat sebagai jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah sedia ada.

    “Selama ini saya memilih untuk mendiamkan diri kerana saya asalnya berharap perkara ini dapat diselesaikan menerusi musyawarah keluarga.

    “Saya menganggap perselisihan faham sebelum ini hanyalah bersifat sementara. Namun begitu, kemelut ini berlanjutan dan menjadi semakin teruk, hari berganti hari.

    “Keadaan ini memang tidak disangka, dan saya amat terkilan dengan sikap sesetengah pihak seperti adanya udang di sebalik batu,” katanya lagi.

    Tuntutan undang-undang itu dikemukakan terhadap sebuah portal yang memuat naik dua laporan berhubung kematian pengasas Dnars itu.

    Kedua-dua laporan itu didakwa disiarkan pada 16 dan 17 Jun lalu di portal dan Facebook portal tersebut.

    Selain itu, tuntutan undang-undang juga dikemukakan terhadap individu yang menulis komen dalam Facebook portal tersebut.

    Allahyarham Faziani bersama suaminya, Ahmad Shah Rizal Ibrahim dalam perjalanan ke sebuah pondok pengajian agama di Selatan Thailand bagi menyumbangkan sumbangan pada bulan Ramadan, Mei 2019.

    Bagaimana pun kenderaan pelbagai guna Toyota Estima yang dinaiki pasangan itu merempuh sebuah lori yang di parkir di sebatang jalan menyebabkan Faziani maut di tempat kejadian, manakala Ahmad Shah Rizal mengalami kecederaan.

  • Polis buru dalang bekal data peribadi kepada sindiket penipuan

    Polis buru dalang bekal data peribadi kepada sindiket penipuan

    POLIS Perlis sedang giat mengesan dalang utama yang dipercayai membekalkan ribuan data peribadi kepada sindiket penipuan pendaftaran kad SIM prabayar secara tidak sah.

    Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata pihaknya telah mengenal pasti identiti suspek yang kini berada di utara negara.

    “Kita bersama dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang giat melengkapkan siasatan bagi membawa suspek ke muka pengadilan.

    “Kes yang berkaitan dengan teknikal seperti peralatan telekomunikasi diserahkan kepada MCMC, manakala kes berkaitan dengan jenayah komersial seperti data peribadi dalam siasatan polis,” katanya kepada pemberita pada sidang media sempena majlis pelupusan barang kes daun dan cecair ketum di sini hari ini.

    Sebelum ini, Bernama melaporkan polis memberkas tujuh individu termasuk tiga wanita yang dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan pendaftaran kad prabayar yang berselindung di sebalik perniagaan syarikat telekomunikasi pada 15 Jun lepas.

    Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 239 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana memiliki kelengkapan peranti tiada standard.

    Sementara itu, mengulas mengenai pelupusan barang kes hari ini, Surina berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perlis melupuskan 58 tan barangan kes melibatkan daun ketum dianggarkan bernilai RM1.23 juta.

    Katanya, kesemua barang kes ini telah selesai perbicaraan di mahkamah dan mendapat perintah untuk dilupuskan.

    Beliau berkata setakat 26 Jun lepas, JSJN Perlis berjaya membuat tangkapan seramai 1,149 suspek atas pelbagai kesalahan dadah dan daun ketum, dalam pada masa yang sama telah berjaya merampas pelbagai jenis dadah sebanyak 369.12 kilogram (kg) dan 35 tan daun ketum.

    “Kes dan tangkapan JSJN Perlis pada tahun ini menurun sebanyak 50 peratus dan rampasan pula menurun sebanyak 60 peratus,” katanya.

    Beliau berkata penurunun tersebut berlaku akibat penguatkuasaan berterusan oleh pihak polis dan agensi terbabit serta faktor luaran apabila Thailand membenarkan penggunaan daun ketum.

    “Selain itu, daripada sumber risikan polis harga pasaran daun ketum telah jatuh daripada RM180 sekilogram kepada RM40 sekilogram,” katanya. – Bernama