Category: Jenayah

  • Bot nelayan ditahan langgar syarat lesen

    Bot nelayan ditahan langgar syarat lesen

    SEBUAH bot nelayan tempatan kelas C ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kerana melanggar syarat sah lesen di kedudukan 2.4 batu nautika barat daya Pulau Puchong Langkawi, malam tadi.

    Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Kapten Maritim Saliza Ahmad berkata, bot itu ditahan oleh bot ronda Maritim Malaysia semasa rondaan rutin dan penguatkuasaan di sekitar perairan Langkawi.

    Katanya, bot nelayan yang bernombor pendaftaran tempatan itu ditahan pada pukul 10.45 malam ketika menunda dalam keadaan bergelap dan mencurigakan.

    “Hasil pemeriksaan mendapati, bot terbabit dikendalikan oleh tekong bersama empat awak-awak warga Thailand dan dua daripadanya adalah warga tempatan.

    ““ot nelayan tempatan itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dengan menunda ikan di kawasan yang tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Saliza berkata, bot, tekong dan kru termasuk hasil tangkapan yang dianggarkan seberat 150 kilogram dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.

    Beliau berkata, Maritim Malaysia memandang serius terhadap operasi penguatkuasaan di laut dan akan mengambil tindakan tegas kepada individu yang melakukan aktiviti jenayah di perairan negara.

    Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, sila hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau di talian kecemasan MERS 999 untuk tindakan segera.

  • Ops Khas lori balak:JPJ keluarkan 112 notis termasuk 60 saman

    Ops Khas lori balak:JPJ keluarkan 112 notis termasuk 60 saman

    SEBANYAK 112 notis termasuk 60 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang ke atas pemandu lori balak dalam Ops Khas Lebih Muatan Lori Balak yang diadakan di seluruh negeri ini pada Selasa lalu.

    Pengarahnya, Kamarul Iskandar Nordin berkata, dalam operasi itu, 179 lori balak diperiksa dan 45 daripadanya telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

    Menurutnya, antara kesalahan yang dikesan termasuk 13 kes lebih muatan dan tujuh kes membawa muatan secara bahaya.

    “Kesalahan lain yang turut dikesan ialah melibatkan teknikal kenderaan, pelesenan pemandu dan pelesenan kenderaan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Kamarul Iskandar berkata, operasi yang dilaksanakan serentak seluruh negeri itu diadakan bagi memastikan tahap kepatuhan pengusaha dan pemandu lori balak terhadap peraturan yang ditetapkan.

    “Ia berikutan isu kesalahan tatacara pemuatan dan pengangkutan kayu balak di negeri ini masih lagi berada pada tahap yang tidak memuaskan.

    “Operasi berterusan yang dijalankan seolah-olah tidak memberi kesan apabila ada dalam kalangan pemandu lori balak terus melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan Jalan (APJ) 1987 dan Kaedah-kaedah Pembinaan dan Penggunaan (C&U) 1959,” katanya.

    Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap lori yang membawa muatan balak akan sentiasa dilaksanakan secara berterusan dan berkala bagi memastikan undang-undang sentiasa dipatuhi demi kebaikan semua pihak.

  • Maritim Terengganu tahan tekong, kru bot nelayan bantu siasatan

    Maritim Terengganu tahan tekong, kru bot nelayan bantu siasatan

    TIGA individu melibatkan seorang tekong dan dua kru bot nelayan yang membawa 10 pemancing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu bagi membantu siasatan.

    Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, mereka disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen yang dikeluarkan.

    Menurut beliau, bot nelayan kelas A itu hanya boleh menangkap ikan dalam kawasan dibenarkan bersama tiga kru namun melanggar syarat apabila membawa 10 pemancing memancing di lokasi lebih jauh tanpa sebarang alatan komunikasi.

    Katanya, mengikut rekod, bot ini dikesan melakukan kesalahan sama pada tahun 2020 namun ketika itu pihaknya hanya memberi amaran.

    “Bila kejadian sama berlaku lagi, kita perlu ambil tindakan tegas untuk memberi pengajaran kepada pengusaha bot lain supaya mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya kepada pemberita di pejabat Maritim Terengganu, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Muhamamd Suffi berkata, 10 pemancing bersama tekong dan kru yang terlibat dalam kejadian tersebut berjaya dibawa pulang oleh KM Redang dan tiba di jeti Maritim Terengganu pada pukul 9 pagi ini.

    Menurut beliau, sejak 24 Jun lalu pihaknya sudah mengadakan empat operasi mencari dan menyelamat kes kecemasan di laut membabitkan nelayan.

    Sehubungan itu, Muhammad Suffi meminta nelayan dan pengusaha bot memasang peralatan komunikasi bagi membolehkan bantuan segera dihantar sekiranya berlaku kecemasan ketika berada di laut.

    “Bagi pemancing pula, mereka perlu memastikan bot dinaiki dilengkapi sistem komunikasi dan kecemasan. Bantuan boleh tiba dalam tempoh dua jam sekiranya butang kecemasan ditekan dan ini memudahkan pasukan penyelamat,” katanya.

  • Jurujual rugi RM16,500 selepas dituduh terlibat pengubahan wang haram

    Jurujual rugi RM16,500 selepas dituduh terlibat pengubahan wang haram

    SEORANG jurujual kerugian apabila wang simpanannya RM16,500 lesap akibat diperdaya sindiket Macau Scam semalam, selepas dituduh terlibat dalam kes pengubahan wang haram.

    Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa yang merupakan wanita berusia 31 tahun mula diperdaya selepas menerima panggilan daripada pihak bank yang mendakwa mangsa mempunyai tunggakan bayaran bulanan kad kredit.

    “Mangsa menafikan perkara tersebut, namun talian mangsa disambungkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) yang mendakwa mangsa terlibat dengan kes jenayah.

    “Kemudian Mangsa diminta menyerahkan butiran perbankan dalam talian iaitu ID bersama kata laluan dengan alasan untuk memudahkan seliaan dan pemantauan.

    “Mangsa menyerahkan segala butiran maklumat akaun kepada lelaki yang dikenali sebagai Suhaimi Ali kononnya daripada pihak BNM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurutnya, mangsa menyedari ditipu apabila terdapat tiga transaksi dipindah secara berperingkat.

    “Transaksi berjumlah RM8,000, RM7,000 dan RM1,500 yang dipindahkan ke dalam akaun sebuah bank yang tidak dikenali.

    “Mangsa kemudiannya pergi ke Balai Polis Teluk Intan untuk membuat laporan polis setelah merasa dirinya tertipu,” katanya.

    “Orang ramai diingatkan jangan mudah percaya kepada panggilan telefon yang tidak dikenali selain tidak melayan layan panggilan tersebut bagi mengelakkan diperdaya sindiket Macau Scam ini.

    “Mana-mana agensi tidak boleh menyambungkan sebarang panggilan telefon yang dibuat ke atas orang awam kepada agensi berbeza dalam satu panggilan sama,” katanya.

  • Pembantu kedai ditahan disyaki bunuh warga asing

    Pembantu kedai ditahan disyaki bunuh warga asing

    POLIS menahan seorang pembantu kedai disyaki terbabit dalam kes bunuh seorang lelaki warga asing di Jalan AU2A/14, Taman Keramat, di Kuala Lumpur, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata lelaki warga asing berusia 22 tahun itu ditahan di lokasi kejadian sejurus selepas pihaknya menerima maklumat berhubung insiden tersebut kira-kira 10.36 malam.

    Menurutnya dalam kejadian tersebut mayat lelaki warga asing berusia 37 tahun yang bekerja sebagai buruh ditemukan di atas jalan raya dengan kesan kecederaan dan tikaman pada dada.

    “Kita merampas sebilah pisau pemotong sayur yang disyaki senjata digunakan dalam kejadian itu.

    “Mayat mangsa dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kedua-dua lelaki itu mempunyai dokumen perjalanan sah dan permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Ampang hari ini.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Bernama

  • Kes ‘scam’ di Perlis meningkat 80 peratus, kerugian RM1.1 juta

    Kes ‘scam’ di Perlis meningkat 80 peratus, kerugian RM1.1 juta

    KES jenayah komersial melibatkan penipuan dalam talian di Perlis dari Januari hingga Mei tahun ini meningkat sehingga 80 peratus kata Ketua Polis negeri Datuk Surina Saad.

    Beliau berkata stastistik menunjukkan bagi tempoh itu kerugian sebanyak RM1.1 juta, yang menghampiri jumlah kerugian RM1.8 juta pada keseluruhan tahun lepas dengan kes penipuan paling banyak dilaporkan melibatkan penipuan e-dagang.

    “Peningkatan kes penipuan dalam talian ini amat ketara sejak kebelakangan ini, boleh dikatakan setiap hari ada sahaja laporan polis dibuat… Antara kes yang kerap berlaku penipuan tawaran pekerjaan, ‘love scam’ dan sebagainya,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas pelancaran Kempen Anti Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2022 peringkat Kontinjen Perlis, di Kangar hari ini.

    Surina berkata sehingga Mei tahun ini, sebanyak 150 tangkapan telah dibuat dan 46 peratus kes telah dituduh di mahkamah, dengan terdapat 41 kes penipuan itu melibatkan 19 orang pelajar lelaki dan 22 orang pelajar perempuan.

    Bagaimanapun beliau berkata kes melibatkan penggunaan akaun keldai menunjukkan pengurangan, kerana semakin banyak pertuduhan telah dibuat ke atas pemilik akaun.

    Surina turut menasihatkan orang ramai untuk membuat semakan terlebih dahulu di laman web https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat sebarang transaksi dengan membuat semakan.

  • Suami isteri, rakan ditahan bersama ganja bernilai RM33,813

    Suami isteri, rakan ditahan bersama ganja bernilai RM33,813

    POLIS menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan tiga individu tempatan termasuk sepasang suami isteri dan merampas 13.5 kilogram (kg) ganja bernilai RM33,813 dalam dua serbuan di Sungai Dua dan Perai, dekat sini pada Rabu.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Mohd Radzi Ahmad berkata bertindak hasil maklumat awam dan risikan dijalankan sejak seminggu lepas, sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Pulau Pinang telah menyerbu sebuah rumah di Sungai Dua pada 10.30 pagi.

    “Dalam serbuan itu, polis menahan pasangan suami isteri berusia 35 dan 44 tahun tersebut dan pemeriksaan dalam rumah sewa mereka telah menemukan lapan ketulan mampat ganja seberat 8.7kg bernilai RM21,680.

    “Berikutan penahanan pasangan itu, polis kemudiannya menyerbu sebuah bengkel di Perai pada 1.30 tengah hari dan menahan seorang lelaki berumur 44 tahun di situ, kami merampas lima ketulan mampat  ganja seberat 4.85kg bernilai RM12,133,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

    Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki yang ditahan di bengkel itu adalah dalang utama sindiket tersebut dan mereka bergiat aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak awal tahun ini.

    Mohd Radzi berkata sindiket itu mendapatkan bekalan dadah daripada rangkaian mereka sebelum membungkus semula dalam kuantiti kecil dan mengedarkannya kepada penagih di sekitar daerah SPU serta Seberang Perai Tengah.

    Katanya, tiga suspek yang ditahan itu bekerja sendiri namun mereka dipercayai hidup mewah hasil kegiatan pengedaran dadah kerana mampu mengaut keuntungan sehingga puluhan ribu ringgit setiap bulan.

    “Semakan mendapati ketua sindiket itu mempunyai rekod jenayah lampau manakala ujian air kencing seorang lagi lelaki positif dadah,” katanya semua ganja dirampas itu boleh digunakan oleh 27,050 penagih dadah.

    Beliau berkata polis turut menyita barang kemas dan wang tunai kesemuanya bernilai RM15,000 daripada tiga suspek yang kini direman selama 6 Julai bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.—Bernama

  • 41 pendatang asing ditahan di perairan Kuala Sepang

    41 pendatang asing ditahan di perairan Kuala Sepang

    AGENSI Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Melaka dan Negeri Sembilan menahan 41 pendatang asing tanpa izin termasuk seorang tekong di perairan Kuala Sepang, Selangor pada awal pagi tadi.

    Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Iskandar Ishak berkata, kesemua mereka terdiri daripada seorang tekong dan tiga awak-awak warga Indonesia serta 37 warga Bangladesh ditahan pukul 1 pagi kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

    Beliau berkata, tangkapan dibuat selepas Radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim mengesan pergerakan satu kontak mencurigakan sedang memasuki perairan negara kira-kira 11 malam Khamis.

    “Berikutan itu, bot Maritim Melaka dan Negeri Sembilan yang sedang melaksanakan Op Benteng Laut bergegas ke lokasi dan menemukan sebuah bot pancung berwarna kelabu tanpa nombor pendaftaran di kedudukan 1.2 batu nautika barat daya Kuala Sepang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, bot menggunakan dua enjin sangkut jenis Yamaha 200 itu kemudian ditahan dan didapati 41 lelaki termasuk tekong berada dalam bot berkenaan.

    Beliau berkata, kesemua yang ditahan berumur antara 18 dan 46 tahun itu, akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. – Bernama

  • Tiga individu termasuk suami isteri disyaki edar dadah ditahan

    Tiga individu termasuk suami isteri disyaki edar dadah ditahan

    POLIS menahan tiga individu termasuk suami isteri dengan merampas lebih 13.5 kilogram (kg) dadah dipercayai ganja bernilai RM33,813 dalam dua serbuan di Sungai Dua dan Perai, Kepala Batas, Pulau Pinang.

    Terdahulu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang melancarkan operasi terancang di kawasan Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah sebelum berjaya membongkarkan kegiatan pengedaran dadah dilakukan ketiga-tiga suspek.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad, berkata serbuan pertama pada jam 10.30 pagi di sebuah rumah di Sungai Dua yang disewa pasangan suami isteri berusia 35 dan 44 tahun.

    Hasil serbuan itu menemui lapan bungkusan dadah jenis ganja seberat 8.7kg bernilai RM21,680.

    “Ketika serbuan, pasangan suami isteri itu sedang berehat di rumah berkenaan dan polis menahan kedua-dua mereka untuk tindakan lanjut.

    “Hasil siasatan ke atas pasangan suami isteri itu kemudian membawa polis ke sebuah bengkel di Perai pada jam 1.30 tengahari (hari sama) sebelum menahan seorang lagi suspek lelaki berusia 44 tahun yang dia adalah dalang kepada aktiviti pengedaran dadah di kawasan ini,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata sedemikian ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, Kepala Batas, hari ini.

    Menurutnya lagi, dalam serbuan kedua, polis merampas lima bungkusan dadah jenis ganja seberat 4.85kg bernilai RM12,133.

    “Selain dadah, polis turut menyita barang kemas dan wang tunai dengan jumlah keseluruhan RM15,000.

    “Nilai rampasan dadah dan sitaan harta dalam kedua-dua serbuan ini adalah RM48,813,” katanya.
    Katanya, kegiatan itu dipercayai bergiat aktif pada awal tahun ini dengan menfokuskan pasaran tempatan.

    Selain itu, Mohd. Radzi berkata semakan mendapati seorang daripada tiga suspek, iaitu ketua sindiket mempunyai rekod jenayah lampau.

    “Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas ketiga-tiga mereka pula didapati hanya suami kepada suspek wanita positif dadah.

    “Suami isteri yang ditahan kini direman selama enam hari bermula semalam hingga 5 Julai ini manakala ketua sindiket direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 6 Julai,” katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Polis tahan lelaki langgar kereta JPJ dengan jengkaut

    Polis tahan lelaki langgar kereta JPJ dengan jengkaut

    POLIS telah menahan pemandu jentolak yang melanggar pacuan empat roda milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hingga terbalik menggunakan jengkaut dalam kejadian di Jalan Kepayan, Kampung Magatang, Keningau, Sabah, semalam.

    Lelaki berusia 60 tahun itu ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau, selepas menerima laporan pukul 6.32 petang.

    Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, pihaknya menerima laporan polis berkenaan kejadian seorang individu menghalang penjawat awam dalam menjalankan tugas.

    Menurutnya, individu terbabit turut menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipan.

    “Siasatan awal mendapati ketika menjalankan operasi harian, salah seorang anggota JPJ cawangan Keningau menahan dan membuat pemeriksaan ke atas kenderaan berat jenis backhoe yang mencurigakan.

    “Ketika pemeriksaan dijalankan mendapati terdapat kesalahan. Ketika saman hendak dikeluarkan, pemandu terbabit tidak berpuas hati dan marah dengan bertindak melanggar kenderaan JPJ yang dinaiki oleh petugas hingga mengakibatkan kerosakan pada kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, lapor Beria Harian.

    Tambah Nor Rafidah, petugas bagaimanapun sempat menyelamatkan diri dan tiada kecederaan direkodkan ketika kejadian.

    “Kejadian kemudian dimaklumkan kepada polis dan suspek ditahan di lokasi kejadian pada hari yang sama.

    “Polis turut merampas jengkaut yang digunakan ketika kejadian. Suspek warga tempatan dan rampasan dibawa balik ke IPD Keningau untuk siasatan lanjut,” katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan 353 Kanun Keseksaan antaranya kerana menghalang tugas penjawat awam serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

    “Orang awam dinasihati untuk tidak membuat sebarang spekulasi terhadap video tular dalam media sosial yang akan mengganggu siasatan polis,” katanya.

    Terdahulu, tular video berdurasi 51 saat memaparkan tindakan seorang lelaki melanggar kenderaan pacuan empat roda milik JPJ hingga terbalik menggunakan jengkaut yang dipandunya.

    Rakaman kejadian yang tular di media sosial bagaimanapun memaparkan anggota dan pegawai JPJ yang terbabit terselamat tanpa sebarang kecederaan.