Category: Jenayah

  • 32 kilogram dadah dirampas APMM di Tawau

    32 kilogram dadah dirampas APMM di Tawau

    GARA-gara takut ditahan, seorang lelaki yang juga juragan bot bertindak membuang sebuah beg berisi 32 kilogram (kg) dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM1.76 juta di perairan Inderasabah, Tawau pada malam tadi selepas dikejar bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

    Pengarah APMM Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata rampasan dadah menerusi Op Sejahtera pada 11.30 malam itu sekali gus menggagalkan sindiket pengedaran syabu yang dipercayai didalangi warga tempatan dan negara jiran.

    “Peronda Maritim Malaysia mengesan sebuah bot laju yang mencurigakan dan juragan bot ini tiba-tiba memecut laju bot ke arah muara Sungai Inderasabah selepas menyedari bot dikendalikannya dihampiri pihak peronda.

    “Dalam lima minit peronda mengejar dan kerana panik juragan bot membuang satu bungkusan ke laut, selain juragan terdapat kelibat seorang lagi individu dipercayai kru bot, bagaimanapun suspek meloloskan diri ke kawasan paya bakau di sekitar Inderasabah,” katanya dalam sidang media hari ini.

    Dalam pada itu, Shahrizan berkata pencarian bungkusan itu di perairan Inderasabah membawa kepada penemuan sebuah beg.

    Pemeriksaan lanjut mendapati beg berkenaan mengandungi 32 peket bungkusan dengan label teh Cina ‘Guan Ying Wang’, yang setiap satu berisi syabu seberat 1 kg.

    “Kita percaya dadah ini diproses di Malaysia untuk pasaran Indonesia,” katanya dan menambah ia merupakan rampasan dadah terbesar pernah dilakukan Zon Maritim Tawau.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan jenayah di perairan Zon Maritim Tawau diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa dengan menghubungi talian 089752116 atau MERS999.

  • Polis sahkan terima laporan kes cabul pegawai Exco

    Polis sahkan terima laporan kes cabul pegawai Exco

    POLIS mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian cabul yang dikatakan melibatkan seorang pegawai kepada Exco kerajaan Negeri Sembilan di sebuah hotel di Seremban.

    Suspek lelaki berusia 30-an itu dikatakan melakukan perbuatan tersebut pada 30 Mac dan 26 April lalu.

    Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, polis menerima laporan daripada mangsa pada Ahad lalu.

    “Siasatan akan dijalankan dari pelbagai sudut termasuk menggunakan khidmat forensik, mengambil keterangan daripada saksi-saksi yang boleh membantu siasatan seterusnya mengesan suspek.

    “Semua pihak diharap tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Nanda berkata, masyarakat juga diminta memberi ruang dan masa kepada polis bagi memastikan siasatan dibuat secara menyeluruh dan komprehensif.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 354

  • Isteri Ketua Peneroka Felda dijerut penyamun

    Isteri Ketua Peneroka Felda dijerut penyamun

    SEORANG wanita berusia 52 tahun maut setelah dicekik sehingga mati oleh seorang lelaki dalam satu kejadian samun, pada pukul 6 pagi tadi.

    Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superitendan Kumaran Nyanyasagaran berkata, kejadian itu berlaku di sebuah rumah di Felda Mengkuang, Pahang dan mangsa, Siti Zuliana Said merupakan isteri kepada Ketua Peneroka Felda Mengkuang, di Triang, Pahang.

    Dalam satu kenyataan hari ini, Kumaran berkata suspek telah melarikan diri menggunakan kenderaan milik suami mangsa, iaitu kereta Honda City berwarna Perak dengan nombor pendaftaran DAD9799.

    “Siasatan kami mempercayai bahawa suspek menghala ke arah Jempol, Negeri Sembilan.

    “Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultan Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk tindakan susulan,” katanya, lapor Astro Awani.

    Mengulas lanjut, mangsa yang berusia 52 tahun itu dipercayai dijerut dengan kabel pengecas telefon.

    “Suspek dipercayai telah masuk ke dalam rumah pada waktu awal pagi melalui pintu belakang rumah dan masuk ke bilik tidur mangsa.

    “Kami percaya, suspek menggunakan kabel pengecas telefon untuk menjerut leher mangsa. Suspek juga telah mencederakan suami mangsa yang berusia 60 tahun.

    “Berdasarkan siasatan awal, suspek dipercayai telah melarikan wang tunai RM 6,000 dan kereta milik suami mangsa jenis Honda City (DAD 9799),” katanya dalam kenyataan, di Bera, hari ini.

    “Pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan diteruskan,” ujarnya.

  • Lelaki cuba terjun jambatan Sultan Mahmud positif dadah

    Lelaki cuba terjun jambatan Sultan Mahmud positif dadah

    SEORANG lelaki yang cuba terjun dari jambatan Sultan Mahmud Kuala Terengganu petang semalam didapati positif dadah.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din, berdasarkan siasatan polis, lelaki berusia 29 tahun itu dipercayai mengalami tekanan perasaan disebabkan masalah peribadi.

    “Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine.

    “Kertas siasatan telah dibuka dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh diri dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan pada hari ini, lapor Sinar Harian.

    Abdul Rahim berkata, semasa hari kejadian, pihak polis telah menerima panggilan melalui Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 daripada orang awam yang memaklumkan kejadian itu sekitar pukul 5.45 petang.

    “Sejurus pihak polis tiba di lokasi kejadian, orang awam telah berjaya memujuk dan menghalang lelaki itu daripada terjun serta telah menyerahkan kepada pihak polis.

    “Lelaki itu juga telah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

    Menurut Abdul Rahim, sebuah video berdurasi 15 saat tular di media sosial sejak malam Isnin memaparkan seorang lelaki berdiri di luar penghadang Jambatan Sultan Mahmud di Kuala Terengganu.

  • Suspek bunuh isteri, bayi bebas pengaruh dadah

    Suspek bunuh isteri, bayi bebas pengaruh dadah

    POLIS mengesahkan suspek dalam insiden bunuh isteri dan bayi lelakinya, semalam bebas daripada penyalahgunaan dadah.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata hasil ujian saringan awal air kencing yang dibuat ke atas suspek mendapati dia negatif dadah.

    Beliau berkata, sehingga kini, siasatan masih giat dijalankan untuk mengetahui motif sebenar kejadian itu.

    Ditanya mengenai dakwaan suspek mengalami kemurungan atau tekanan hidup, Raub berkata, beliau akan memaklumkan perkara itu kemudian.

    “Nanti saya ‘update’,” jawabnya ringkas ketika dihubungi, lapor Berita Harian.

    Semalam, suspek lelaki berusia 25 tahun itu ditahan polis kira-kira 2.45 petang di kawasan Permas Jaya selepas dilaporkan melarikan diri dalam keadaan bogel sejurus insiden terbabit.

    Suspek, yang bekerja sebagai pencuci kapal, direman tujuh hari bermula hari ini, disyaki membunuh isterinya, 26 tahun dan anak lelakinya, berusia tiga bulan.

  • Lelaki bogel suspek sembelih isteri, bayi direman seminggu

    Lelaki bogel suspek sembelih isteri, bayi direman seminggu

    SEORANG lelaki yang disyaki membunuh isteri dan bayinya yang baru berumur tiga bulan di sebuah rumah di Kampung Bakar Batu di Johor Bahru direman tujuh hari bermula hari ini.

    Tempoh reman hingga 11 Julai terhadap pencuci kapal berumur 24 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Nur Izzaty Muhammad Zahari di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini.

    Perintah reman terhadap lelaki itu dikeluarkan bagi membolehkan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Semalam, polis menahan lelaki terbabit di kawasan Permas Jaya di sini, beberapa jam selepas mayat dua beranak itu ditemukan di hadapan rumah mereka di Kampung Bakar Batu.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat dilapor sebagai berkata, lelaki berkenaan ditahan ketika menunggang motosikal dalam keadaan berbogel pada 2.45 petang, dan polis turut merampas sebilah pisau pemotong daging daripada lelaki itu. – BERNAMA

  • Lagi bubu naga dirampas di perairan Pulau Pinang

    Lagi bubu naga dirampas di perairan Pulau Pinang

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang merampas sebanyak 19 set bubu naga di dua lokasi berbeza di perairan Batu Kawan, petang semalam.

    Timbalan Pengarah Operasi Maritim Pulau Pinang, Komander Maritim Nak Rong Si Prom berkata, bubu naga itu dirampas di kedudukan kira-kira 2.9 kilometer barat daya perairan Batu Kawan antara pukul 4.15 hingga 4.40 petang.

    Katanya, pemantauan berterusan melalui rutin OP PERTIWI yang dilakukan bot ronda Maritim Pulau Pinang mengesan objek terapung yang mencurigakan di dua lokasi itu dan berjaya menemukan 19 set bubu naga yang dipasang oleh individu tidak bertanggungjawab.

    Jelas beliau, kesemua bubu naga bernilai RM2,280 tersebut dirampas dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut.

    ”Penggunaan bubu naga diharamkan di laut kerana sifatnya yang tidak selektif dan merosakkan ekosistem marin serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

    Sehubungan itu, beliau mengingatkan nelayan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukkan.

    Tegas beliau, Maritim Malaysia akan terus memantau aktiviti haram ini dari semasa ke semasa dan meminta kerjasama dari orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes dan jenayah maritim yang berlaku di perairan Pulau Pinang.

    “Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146,” tambahnya.

  • Lelaki berbogel disyaki sembelih isteri, bayi 3 bulan ditahan

    Lelaki berbogel disyaki sembelih isteri, bayi 3 bulan ditahan

    POLIS menahan seorang lelaki dalam keadaan berbogel yang disyaki membunuh isteri dan bayinya yang baru berumur tiga bulan di kawasan Permas Jaya, beberapa jam selepas mayat dua beranak itu ditemukan di hadapan rumah mereka di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat berkata, lelaki berusia 24 tahun itu ditahan ketika menunggang motosikal dalam keadaan berbogel pada pukul 2.45 petang, dan polis turut merampas sebilah pisau pemotong daging daripada lelaki itu.

    Dalam satu kenyataan beliau berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian berkenaan sekitar pukul 12.42 tengah hari, dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan dengan menelefon 07-2182323 atau Pegawai Penyiasat ASP R. Kathiresh dengan menelefon 013-4472909 bagi membantu siasatan.

    Terdahulu tular di media sosial rakaman video yang memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal dalam keadaan berbogel di atas jalan raya.

    Sementara itu bapa mentua lelaki itu yang berumur 58 tahun ketika ditemui di tempat kejadian berkata, beliau hanya tahu mengenai kejadian itu pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi selepas dihubungi ahli keluarganya, sebelum terus bergegas ke rumah anak ketiganya itu.

    Beliau berkata sebaik tiba di lokasi kejadian, beliau melihat anak perempuannya yang berumur 26 tahun terbaring berlumuran darah di pintu hadapan rumah, manakala cucunya dikendong seorang jururawat.

    “Saya nampak ada kesan seperti kelaran di leher mereka, kemudian polis tiba beberapa minit kemudian,” katanya dan menambah sebelum kejadian, beliau difahamkan jiran berdekatan mendengar anak dan menantunya bertengkar.

    Beliau berkata, anaknya telah berkahwin tahun lepas dan majlis persandingan dijadualkan berlangsung pada 24 Julai ini.

    “Anak saya kerja separuh masa pembuat kuih-muih, boleh dikatakan setiap hari saya jumpa dan kali terakhir adalah semalam, gelagat dia juga seperti biasa ceria sahaja. Sepanjang dia berkahwin ini tidak ada pula dia kongsi ada masalah (rumah tangga) atau tidak,” katanya. – BERNAMA

  • Lelaki tunggang motosikal berbogel didakwa terbabit kes bunuh

    Lelaki tunggang motosikal berbogel didakwa terbabit kes bunuh

    VIDEO berdurasi 15 saat yang menunjukkan seorang lelaki menunggang motosikal dalam keadaan berbogel tular dipercayai terlibat dalam satu kes pembunuhan di Kampung Batu Bakar, Johor Bharu.

    Dalam satu video yang dikongsikan pengguna Facebook Apai Gonzales, kelihatan lelaki tersebut seperti dalam keadaan tidak siuman apabila menunggang dalam keadaan berbogel di sebuah jalan utama tanpa menghiraukan keadaan sekeliling serta tindak balas orang ramai.

    Meskipun mendapat pelbagai reaksi daripada netizen, ada yang mendakwa lelaki tersebut sedang diburu polis kerana membunuh isteri serta anak berusia dua bulan.

    Menurut pengguna Is Lynn, lelaki yang menetap di Kampung Bakar Batu, Johor Bharu itu kali terakhir kelihatan menuju ke Perling dari Kempas tanpa mengetahui hala tuju dan tujuan.

    “Ini kes bunuh, dia baru sahaja membunuh anak serta isteri di Kampung Bakar Batu. Mungkin kerana tekanan ekonomi,” katanya.

    Katanya, pemuda tersebut menghadapi masalah tekanan jiwa berikutan masalah kos sara diri yang semakin membebankan.

    Perkara itu turut dikongsikan Zulhilmi Zainuddin yang mendakwa pihak polis sedang mencari lelaki yang juga suami dan bapa kepada mangsa yang dibunuh.

    Bagi pengguna Iyda Suaida, dia turut meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai lelaki tersebut untuk diserahkan ke balai polis bagi tujuan siasatan.

    “Tolong tahan dan tangkap, kemudian bawa ke balai polis. Dia baru sahaja kelar leher anak dan bini,” tulisnya ringkas.

  • 2 buat bot penumpang tanpa lesen, insurans sah ditahan

    2 buat bot penumpang tanpa lesen, insurans sah ditahan

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan dua buah bot penumpang di kawasan perairan Teluk Bahang petang semalam kerana kesalahan tidak mempunyai lesen sah dan insuran tamat tempoh.

    Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang, Komander Maritim, S. P. Nak Rong berkata, bot tersebut ditahan pada kedudukan 0.3 kilometer barat laut dan satu kilometer di utara Teluk Bahang antara pukul 3 hingga 3.30 petang.

    Katanya, kedua-dua bot tersebut ditahan semasa sedang membawa pelancong di perairan Teluk Bahang.

    “Bot yang menggunakan nombor pendaftaran PPP 02095 (P) dan PPP 02315 (P) di kendalikan dua kru warga tempatan berusia 68 dan 48 tahun.

    “Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua buah bot tidak mempunyai lesen yang sah dan insuran telah tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua buah bot tidak mempunyai lesen yang sah dan insuran telah tamat tempoh

    Menurutnya, bot serta kru itu telah ditahan dan dibawa ke ibu pejabat Maritim Malaysia Pulau Pinang untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

    Katanya, kes itu akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana membawa penumpang tanpa lesen yang sah dan insuran tamat tempoh.

    Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengusaha-pengusaha bot yang membawa penumpang atau pelancong di laut supaya mematuhi undang-undang serta peraturan yang telah dikeluarkan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

    “Orang ramai serta komuniti maritim diseru untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan sebarang aktiviti kesalahan di laut.

    “Sebarang aduan boleh disalurkan ke talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang 04-2626146,” katanya.