Category: Jenayah

  • KPDNHEP Pulau Pinang bongkar kegiatan seleweng minyak masak bersubsidi

    KPDNHEP Pulau Pinang bongkar kegiatan seleweng minyak masak bersubsidi

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang berjaya membongkar kegiatan menyeleweng dan menjual minyak masak bersubsidi kepada industri ekoran penahanan seorang lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Seri Murni, di Butterworth hari ini.

    Malah pemeriksaan awal juga mendapati suspek yang mempunyai lesen borong barang kawalan itu turut menjual minyak masak bersubsidi yang telah dicampur dengan pewarna dan pewangi untuk kegunaan sembahyang.

    Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Pulau Pinang A.Mogan berkata serbuan ke rumah teres dua tingkat dilakukan pada 1 tengah hari tadi hasil risikan dan maklumat orang awam sejak lima hari lepas.

    “Sepasukan empat pegawai penguat kuasa yang menjalankan risikan dan intipan pada mulanya mengekori sebuah lori dipandu seorang lelaki dari tempat pemborong minyak masak peket bersubsidi dari sebuah kilang tidak jauh dari sini sehingga ke rumah di Taman Seri Murni itu,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

    Katanya semasa serbuan, lori tersebut dipakirkan di belakang rumah teres lot tepi itu dan seorang lelaki tempatan berusia 50-an sedang memotong bungkusan minyak masak paket bersubsidi di dalam lori itu untuk dipindahkan ke dalam tong sebelum dijual kepada pihak industri.

    Mogan berkata hasil pemeriksaan sebanyak 272 kilogram (kg) minyak masak paket bersubsidi dan 952 kg minyak masak bersubsidi ditemukan.

    Katanya pemeriksaan lanjut dalam rumah itu, pihaknya menjumpai 340 kg minyak masak peket bersubsidi yang disimpan dalam satu ruangan khas di kediaman tersebut yang dipercayai turut dijadikan tempat suspek menjalankan kerja-kerja memindahkan minyak bersubsidi ke tong industri.

    “Suspek dipercayai mengambil minyak masak daripada pembungkus minyak masak dan seterusnya dihantar terus kepada pelanggan…dia telah menyalahgunakan lesen untuk mendapatkan bekalan dan menyeleweng barang kawalan sebelum menjualkannya kepada pihak industri untuk mengaut keuntungan lebih,” katanya.

    Mogan berkata setiap bungkusan minyak masak bersubsidi itu berharga RM2.50 namun suspek menjualnya dengan harga RM6 hingga RM8 bagi setiap kilogram.

    Beliau berkata siasatan mendapati suspek dipercayai menjalankan kegiatan tersebut sejak beberapa bulan lepas dan semakin aktif sejak 1 Julai lepas berikutan harga minyak masak telah dimansuhkan subsidi kecuali minyak peket sekilogram.

    “Semua minyak yang kita rampas hari ini adalah sebanyak 1,564 kg iaitu berharga RM3,910 dan kami turut menyita lori digunakan untuk kegiatan tersebut yang bernilai RM105,000,” katanya menambah suspek ditahan untuk siasatan menurut Akta Kawalan Bekalan 1951 dan kes akan diskordan untuk siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001.

    — BERNAMA

  • Penipuan haji: Polis terima 72 laporan libatkan kerugian hampir RM4 juta

    Penipuan haji: Polis terima 72 laporan libatkan kerugian hampir RM4 juta

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 72 laporan polis berhubung kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji di seluruh negara membabitkan tiga agensi pelancongan swasta dengan kerugian RM3.95 juta.

    Setiausaha Polis Malaysia (SUPM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata Kuala Lumpur mencatatkan bilangan tertinggi iaitu sebanyak 24 laporan membabitkan kerugian berjumlah RM1,244,500 diikuti Selangor dengan 14 laporan melibatkan kerugian RM404,000.

    “Pahang pula merekodkan 13 laporan dengan nilai kerugian RM1,611,500 manakala Kelantan, Johor dan Perak masing-masing mempunyai lima laporan dengan nilai keseluruhan RM556,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata Kedah mempunyai tiga laporan dengan nilai kerugian RM48,000 sementara Terengganu, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan masing-masing merekodkan satu laporan dengan jumlah keseluruhan mencecah RM86,000.

    Khamis lepas, kira-kira 380 bakal jemaah haji dilaporkan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan swasta.

    Mereka  dipercayai menggunakan visa furada, iaitu visa yang diuruskan sendiri tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh Lembaga Tabung Haji (TH).

    — BERNAMA

  • Warga emas maut ditembak selepas bermain mahjung

    Warga emas maut ditembak selepas bermain mahjung

    SEORANG warga emas maut ditembak di tempat letak kereta dalam satu kejadian di Amarin Kiara, Jalan Desa Kiara 1, Kuala Lumpur, tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian daripada orang awam pada pukul 12.09 tengah malam.

    Jelasnya, mangsa merupakan lelaki warga tempatan berusia 63 tahun dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

    “Siasatan mendapati sebelum kejadian, mangsa telah mengunjungi rumah rakannya di Amarin Kiara untuk bermain mahjung. Selesai bermain mahjung, mangsa telah keluar dari rumah rakannya dan pergi ke keretanya yang diparkir di luar kawasan Amarin Kiara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, saksi di tempat kejadian telah melihat mangsa melintas di hadapannya untuk ke tempat letak kereta.

    Bagaimanapun, saksi telah terdengar bunyi tiga das tembakan dari arah tempat letak kereta mangsa.

    “Saksi mendapati mangsa sudah terbaring di sebelah kereta dalam keadaan berlumuran darah”.

    Amihizam berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan polis kini giat mengesan suspek yang terlibat.

    “Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh orang,” ujarnya.

    Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian di atas boleh menghubungi talian Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

  • Pesara, guru rugi ratusan ribu ringgit diperdaya ‘Datin’

    Pesara, guru rugi ratusan ribu ringgit diperdaya ‘Datin’

    SEORANG warga emas serta seorang guru sekolah persendirian di Georgetown berputih mata apabila masing-masing kerugian RM574,000 dan RM726,500 selepas terpedaya skim pelaburan tidak wujud didalangi seorang wanita yang mengaku dirinya datin.

    Pesara jururawat yang hanya mahu dikenali sebagai Wong, 76, diperkenalkan wanita dipanggil Datin Neoh itu oleh seorang rakan pada Mei 2019 yang mendakwa dirinya mempunyai projek pelaburan besar di luar negara.

    “Datin berkenaan menjanjikan keuntungan berlipat kali ganda dalam tempoh beberapa bulan.

    “Setiap hari Datin Neoh memujuknya menyertai skim pelaburan itu selain turut menunjukkan surat kuasa tugas menyatakan kononnya dia akan ke Australia bertemu ‘pengarah projek’ terbabit,” katanya.

    Dia berkata demikian ketika ditemui di Wisma MCA Pulau Pinang, Georgetown, hari ini, lapor Harian Metro.

    Pada pada Jun hingga Ogos 2019 dia beri wang tunai RM98,500 kepadanya secara berperingkat dan kemudian Datin itu menyediakan surat perjanjian dan membawa saya ke pejabat pesuruhjaya sumpah pada 19 Ogos 2019.

    “Selepas itu Datin itu pujuk saya mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM220,000 serta membawa barang kemas untuk dipajak di sebuah bank bernilai RM66,100 selain menjual saham berjumlah RM264,416.54.

    “Tidak cukup dengan itu saya diperdaya membuat pinjaman bank sebanyak RM13,500 dan semua wang tunai yang dikeluarkan hasil pinjaman itu diserahkan kepadanya,” katanya.

    Menurutnya, pada November 2019 Datin terbabit menghantar gambar tiket penerbangan dan mendakwa dia pergi ke New Zealand memeterai perjanjian kontrak dengan beberapa individu penting dan memberi jaminan memperoleh keuntungan pada penghujung tahun.

    Malah, warga emas itu pernah menghadiri mesyuarat secara bersemuka lebih 10 kali yang lazimnya berakhir dengan acara minum teh bersama Datin Neoh bersama tujuh hingga lapan orang lagi yang rupa-rupanya turut menjadi mangsa penipuan skim pelaburan tidak wujud itu.

    Ibu kepada dua anak itu berkata, selain terpengaruh dengan janji manis Datin Neoh yang menunjukkan pelbagai dokumen yang dilihat meyakinkan dia turut memerlukan wang untuk rawatan perubatan mendiang suaminya yang menderita kanser pankreas sebelum akhirnya meninggal dunia pada Ogos 2020.

    Sementara itu, Kang, 53, berkata dia turut tertipu dengan individu sama yang menggunakan nama Datin Hennah dan melakukan lebih 70 transaksi pemindahan wang dari Januari 2017 hingga Oktober 2019 dengan jumlah keseluruhan kerugian RM726,500.

    “Pada mulanya saya diperkenalkan rakan dengan seorang lelaki yang kononnya tahu selok belok pelaburan dan boleh mengajar saya mengenai bidang tersebut pada tahun 2016.

    “Tetapi kira-kira dua minggu kemudian lelaki itu membawa saya berjumpa Datin Hennah. Saya juga dapat tahu anaknya semua kerja bagus dan boleh dipercayai.

    “Datin itu beritahu dia ada projek dengan kerajaan China tetapi selepas bagi duit, mereka tidak dapat dihubungi dan semua duit kami lesap begitu sahaja,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Pulau Pinang, Ooi Teik Liang, berkata pihaknya bersedia memberi khidmat bantuan perundangan kepada mangsa terbabit.

    “Saya juga ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang tidak masuk akal dalam masa singkat dan meminta pandangan daripada mereka yang lebih pakar sebelum mengambil keputusan yang merugikan diri sendiri,” katanya.

  • Wanita didakwa hina Islam ketika berkomedi akan didakwa esok

    Wanita didakwa hina Islam ketika berkomedi akan didakwa esok

    WANITA yang didakwa menghina Islam dengan menanggalkan tudung dan pakaian ketika membuat persembahan komedi berdiri akan didakwa di mahkamah.

    Setiausaha Polis Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, wanita itu akan didakwa mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan atau permusuhan, kebencian atau niat jahat atas alasan agama.

    FMT melaporkan, seorang lagi individu yang dipercayai teman lelakinya akan didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menggunakan perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar.

    Beliau berkata, pihaknya telah menyerahkan kertas siasatan kedua-dua individu terbabit kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan telah menerima arahan untuk mendakwa mereka.

    Difahamkan, kedua-dua mereka akan didakwa esok, namun polis masih belum mengesahkan tarikh dan masa.

    Terdahulu media melaporkan, wanita itu telah ditahan pada 10 Julai lalu dan direman selama tiga hari.

    Pada masa sama, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggantung sementara operasi kelab terbabit susulan satu klip video tular tersebut.

    Dalam video berdurasi 54 saat yang tular, wanita berusia pertengahan 20-an itu yang pada mulanya bertudung dan memakai baju kurung mendakwa dirinya telah menghafaz 15 juzuk al-Quran lalu menanggalkan pakaian yang menutup aurat dan hanya meninggalkan pakaian mencolok mata.

    Awal hari ini, pihak pengurusan Crackhouse Comedy Club menggesa agar DBKL menarik semula penggantungan lesen premis tersebut susulan ia disita tanpa sebarang notis bertulis awal kepada pihak pengurusan.

  • Polis Perak diberi amaran tidak melindungi kegiatan haram di sempadan negara

    Polis Perak diberi amaran tidak melindungi kegiatan haram di sempadan negara

    SEMUA anggota polis kontinjen Perak diberi amaran supaya tidak terlibat dengan kegiatan melindungi aktiviti haram khususnya penyeludupan pendatang tanpa izin dari sempadan negeri ini.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalatrash Wahid berkata tindakan tegas akan diambil kepada anggota dan pegawainya yang didapati mendalangi pencerobohan sempadan negara di Pengkalan Hulu dan Betong di Wilayah Yala selatan Thailand serta kawasan perairan.

    “Sekiranya ada kalangan mereka terlibat, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mereka menggunakan undang-undang SOSMA (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012) namun setakat ini tiada laporan diterima membabitkan kontinjen negeri ini.

    “Berikutan pengumuman negara Thailand untuk membenarkan penggunaan ganja bagi tujuan tertentu khususnya perubatan, susah tentu ia akan memberi kesan kepada keselamatan di sempadan negara kita.

    “Jadi polis Perak sedang meningkatkan pemeriksaan di sempadan negara dalam menghadapi ancaman terhadap aktiviti penyeludupan dan kemasukan barang terlarang ke negara ini,” katanya ketika ditemui pemberita sempena lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar, Kuala Kangsar, hari ini.

    Katanya semua ketua polis daerah di kontinjen Perak diminta mempertingkatkan perancangan dan strategi pencegahan jenayah dengan menggerakkan kekuatan keanggotaan yang ada secara sistematik dan berkesan.

  • 2 suspek kes khianat di CIQ dikenal pasti warga Singapura

    2 suspek kes khianat di CIQ dikenal pasti warga Singapura

    Oleh ABU UBAIDILAH RAHMAN

    DUA suspek yang terlibat dalam kejadian khianat di jalan berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Kompleks Sultan Abu Bakar, Iskandar Puteri pada Sabtu lalu sudah dikenal pasti.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, kedua-dua suspek itu merupakan warga Singapura dan kini berada di republik berkenaan.

    “Ya, suspek telah dikenal pasti identitinya dan dipercayai mereka sudah berada di Singapura.

    “Kami akan bekerjasama dengan polis republik itu bagi mengesan mereka. Polis juga telah menerima laporan daripada mangsa yang merupakan warga Singapura,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Menerusi kenyataan kelmarin, Rahmat berkata, kejadian khianat itu dipercayai berlaku apabila kenderaan mangsa telah bergesel dengan kereta dipandu dua suspek terbabit.

    Dalam kejadian pada Sabtu itu, mangsa yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard mengubah laluan ke kanan dan telah bergesel dengan sebuah kereta jenis KIA yang dinaiki dua suspek dari arah kanan.

    “Suspek telah berhentikan kenderaan sebelum seorang lelaki dan seorang perempuan kemudiannya turun dari kenderaan terbabit.

    “Suspek lelaki kemudian bertindak menjerit dan mengeluarkan perkataan serta menunjukkan isyarat lucah kepada mangsa.

    “Sementara itu suspek perempuan bertindak mencabut nombor pendaftaran kereta mangsa dan mencampak nombor pendaftaran itu ke arah cermin hadapan kereta mangsa,” katanya.

    Sebelum itu tular dalam media sosial memaparkan sebuah video yang berdurasi 2.06 minit berhubung kejadian terbabit.

    Video itu memaparkan tindakan seorang wanita berdiri di hadapan sebuah kenderaan jenis Alphard dan menahannya daripada bergerak di Linkedua.

  • Amuk dengan parang, bakar pondok akibat marahkan isteri

    Amuk dengan parang, bakar pondok akibat marahkan isteri

    SEORANG lelaki yang mengalami masalah rumah tangga bertindak membakar sebuah pondok di belakang kedai makan milik mereka di Taman Seri Astana, Sungai Petani, pukul 10.20 pagi semalam.

    Lelaki berusia 54 tahun terbabit berang kerana isterinya keluar rumah selepas berlaku perselisihan faham.

    Difahamkan, lelaki itu yang tidak berpuas hati mengamuk dan pergi ke belakang kedai sebelum membakar pondok yang menjadi tempat orang ramai berehat di situ selain turut memecahkan cermin belakang kenderaan milik seorang lelaki.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan awal mendapati suspek mempunyai masalah rumah tangga dengan isteri sebelum wanita terbabit keluar rumah.

    “Suspek mencari isterinya di kawasan rumah mereka namun wanita berkenaan gagal ditemukan dan dia yang berang membawa parang sebelum membakar pondok belakang kedai makan, selain turut memecahkan cermin kenderaan milik seorang lelaki.

    “Melihatkan keadaan yang tidak terkawal, orang awam kemudian menghubungi polis memaklumkan kejadian terbabit sebelum suspek berjaya ditahan di rumahnya,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

    Katanya, hasil pemeriksaan mendapati suspek memiliki 12 rekod lampau, masing-masing lapan bersabit kes jenayah dan selebihnya dadah.

    “Suspek tidak bekerja dan kita akan melakukan ujian saringan air kencing terhadapnya. selain turut menyiasat motif dia mengamuk dengan membakar dan merosakkan cermin kenderaan penduduk.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 435, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Reman duda tikam ibu kandung dilanjutkan

    Reman duda tikam ibu kandung dilanjutkan

    TEMPOH tahanan reman terhadap seorang duda yang disyaki menikam ibu kandungnya sehingga maut dalam kejadian di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu, Ayer Keroh minggu lalu dilanjutkan seminggu lagi.

    Majistret Mahkamah Ayer Keroh, Mazana Sinin membenarkan tempoh reman sehingga 19 Julai ini terhadap suspek berusia 38 tahun itu.

    Suspek yang memakai pakaian lokap berwarna jingga kelihatan tenang ketika dibawa ke pekarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh.

    Dalam kejadian pukul 3 petang 5 Julai lalu, mangsa Rozizah Md. Dom,63, disahkan maut di kediamannya selepas ditikam dua kali di bahagian kiri dan kanan leher oleh suspek yang juga anak sulung daripada lima beradik.

    Mangsa yang juga seorang pesara guru juga dikatakan baharu kehilangan suami bulan lalu.

    Suspek yang mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan rekod rawatan psikiatri melakukan tikaman berkenaan dengan menggunakan sebilah pisau pemotong sayur sepanjang 26 sentimeter (cm).

    Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, suspek mendakwa bertindak demikian selepas terdengar bisikan kononnya ibunya menyembah berhala.

    Suspek dikatakan berada dibawah pengaruh dadah selepas ujian saringan air kecing terhadapnya mendapati positif syabu.

    Lanjutan tahanan reman itu bagi membolehkan siasatan lebih terperinci dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • KPDNHEP serbu premis sorok diesel bersubsidi, rampasan RM170,346

    KPDNHEP serbu premis sorok diesel bersubsidi, rampasan RM170,346

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membongkar kegiatan haram sebuah premis di Taman Bayu Tinggi di Klang, Selangor, yang menyorok minyak diesel bersubsidi selepas lokasi itu diserbu pihak berkuasa Rabu lalu.

    Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Azman Adam berkata, serbuan itu dilakukan pihaknya susulan risikan dilakukan anggota Sesyen Risikan KPDNHEP Putrajaya.

    “Ketika serbuan dilakukan, kami mendapati tiada pekerja ditemui dalam premis itu. Pemeriksaan lanjut menemui sejumlah minyak diesel, lori, beberapa tangki kosong, tangki berisi diesel dan beberapa peralatan lain digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak berkenaan.

    “Kami menyita diesel dan pelbagai peralatan ditemui di dalam premis dianggarkan bernilai RM170,346 untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Pihaknya sedang mengenal pasti individu atau syarikat yang terbabit dalam aktiviti itu serta rantaian pengedaran minyak diesel berkenaan termasuk dari mana ia diperolehi dan diedarkan.

    “Selain itu, syarikat terbabit juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613),” katanya.