Category: Jenayah

  • Kastam gagalkan cubaan seludup ketamin RM.13.48 juta di dalam kacang

    Kastam gagalkan cubaan seludup ketamin RM.13.48 juta di dalam kacang

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan cubaan menyeludup 245 kilogram ketamin dianggar bernilai RM13.48 juta yang disorokkan bersama pelbagai jenis kacang dalam pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, 4 Julai lepas.

    Ketua Pengarah Kastam Datuk Zazuli Johan berkata sepasukan anggota Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM telah menyita 42 kotak mengandungi 49 bungkusan plastik berisi bahan kristal disyaki ketamin dalam pemeriksaan kira-kira 11 malam di Kompleks Kargo Udara KLIA itu.

    “Modus operandi sindiket ini ialah mengikrarkan barang mengandungi dadah itu sebagai Haricot Verts (kacang hijau) sedangkan di dalamnya terdapat bungkusan pelbagai jenis kacang bercampur serbuk kristal disyaki dadah berbahaya.

    “Siasatan awal mendapati dagangan itu dieksport dari sebuah negara di Eropah kemudian transit di negara Timur Tengah sebelum mendarat di KLIA sebagai destinasi terakhir,” katanya kepada pemberita di Nilai hari ini.

    Beliau berkata hasil risikan mendapati pengimport memalsukan pengikraran semasa proses pengimportan sekali gus menyukarkan tangkapan dibuat ke atas pengimport dagangan tersebut.

    Menurutnya rampasan tersebut merupakan terbesar direkodkan setakat tahun ini dan dadah itu disyaki untuk pasaran tempatan.

    Beliau berkata sehingga kini tiada tangkapan dilakukan dan kes sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Sementara itu, Zazuli berkata sejak Januari hingga kini, JKDM telah menumpaskan cubaan menyeludup pelbagai dadah seberat 1.03 tan metrik bernilai RM20.48 juta.

    — BERNAMA

  • Berbalah soal koridor, warga emas cedera ditetak jiran

    Berbalah soal koridor, warga emas cedera ditetak jiran

    POLIS menahan seorang lelaki yang dipercayai menetak jirannya dengan sebilah pisau di Kampung Baru Ampang, Kuala Lumpur selepas berbalah mengenai laluan koridor di hadapan rumah mereka, semalam.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata lelaki berusia 38 tahun itu ditahan pada pukul 5.45 petang, dan polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian.

    Beliau berkata lelaki berusia 64 tahun yang ditetak itu mengalami kecederaan di tangan kiri dan dihantar ke Hospital Ampang untuk rawatan.

    “Suspek dikatakan tidak berpuas hati semasa warga emas itu lalu di hadapannya ketika itu. Polis juga sedang menyiasat kemungkinan warga emas itu melakukan provokasi terhadap suspek ketika berada di situ,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Beliau berkata siasatan awal polis mendapati mereka telah berjiran selama lima tahun dan suspek mempunyai empat rekod jenayah berkaitan dadah.

    — BERNAMA

  • SPRM ‘gempur’ majikan seleweng dana Penjana Kerjaya

    SPRM ‘gempur’ majikan seleweng dana Penjana Kerjaya

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melancarkan ‘Ops Hire’, bagi menyiasat isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif Program Penjana Kerjaya (Penjana Kerjaya) di beberapa negeri, bermula hari ini.

    SPRM dalam kenyataan malam ini memaklumkan operasi besar-besaran itu, dikendalikan oleh Ibu Pejabat SPRM bersama SPRM negeri.

    “Penjana Kerjaya merupakan antara inisiatif kerajaan bagi membantu majikan dan pekerja, semasa mendepani cabaran COVID-19 bermula awal tahun 2020.

    “Ia dilaksanakan PERKESO bagi merangsang ekonomi negara melalui pewujudan pekerjaan baharu, mengekalkan pekerjaan dan meningkatkan kemahiran pekerja,” menurut kenyataan itu.

    Selain itu, SPRM dengan kerjasama PERKESO telah membangunkan maklumat menerusi pemantauan dan risikan terhadap penerima dana, dan mendapati ada majikan-majikan yang mengemukakan tuntutan palsu dan menyeleweng dana ini.

    Menurut SPRM, pihaknya memandang serius isu berkenaan kerana ia berkepentingan awam sekali gus memberi jaminan akan menyiasat secara menyeluruh bagi memastikan pihak yang terlibat dikenakan tindakan tegas berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa. – BERNAMA

  • Dua ditahan terbabit kes lelaki jatuh bangunan

    Dua ditahan terbabit kes lelaki jatuh bangunan

    DUA lelaki tempatan ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kes bunuh seorang lelaki yang jatuh dari tingkat atas sebuah bangunan di Kelana Jaya, di Petaling Jaya, semalam.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pukul 2.50 petang.

    “Sepasukan anggota polis dikejarkan ke lokasi kejadian sebelum mendapati mayat seorang lelaki dipercayai warga asing dalam keadaan bogel.

    “Setakat ini, kami belum mengenal pasti identiti mangsa berkenaan yang dianggarkan berusia lingkungan 30-an,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Susulan itu pihaknya menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 40-an yang dipercayai terbabit dalam kes terbabit di sebuah kediaman di lokasi kejadian pukul 10.15 malam tadi.

    Katanya, polis turut merampas pelbagai barangan peribadi milik suspek termasuk telefon bimbit serta beberapa peralatan seks,” katanya.

    “Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh,” katanya.

  • Bekas Srikandi PKR selesai beri keterangan, kes diklasifisasi NFA

    Bekas Srikandi PKR selesai beri keterangan, kes diklasifisasi NFA

    POLIS mengklasifisasikan siasatan terhadap bekas senator, Siti Aishah Shaik Ismail berkaitan klip videonya yang didakwa mengkritik kerajaan berkaitan isu pemansuhan subsidi, sebagai ‘tiada tindakan lanjut’ (NFA).

    Menurut Siti Aishah, hal itu dimaklumkan kepadanya selepas pihak polis selesai merakam percakapannya di Bukit Aman, pagi tadi.

    “Rakaman percakapan ini untuk membantu siasatan berkenaan satu laporan polis yang dibuat ke atas saya pada 24 Jun lalu membabitkan satu hantaran di Facebook yang memuat naik video tiktok saya yang viral tempoh hari.

    “Proses rakam percakapan selama 10 minit berjalan lancar dan pihak saya memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan berjalan,” katanya yang turut memaklumkan tiba di Bukit Aman pada 10.40 pagi bersama peguam, Adly Zulfadhly Zulkefly.

    Menurut Siti Aishah yang juga bekas Ketua Srikandi Parti Keadilan Rakyat (PKR), proses rakaman keterangan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

    “Pihak D5 juga mengesahkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil keputusan untuk mengambil tindakan NFA.

    “Ini kerana terdapat satu lagi kertas siasatan yang dibuka dan disiasat oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berkenaan isu video viral yang sama,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

  • Warga emas tunjuk gari ditahan polis

    Warga emas tunjuk gari ditahan polis

    POLIS menahan seorang warga emas yang bertindak menunjukkan gari kepada seorang pemandu di Jalan Seremban-Tampin, petang kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, suspek berusia 62 tahun itu ditangkap di pekarangan Ibu Pejabat Daerah, Rembau pada 7 petang semalam.

    “Suspek mengaku terlibat dalam kejadian dan polis turut merampas sepasang gari mainan plastik berwarna kelabu dengan tulisan Made In China.

    “Polis menerima laporan mengenai kejadian daripada seorang pemandu pada pukul 11.14 malam kelmarin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

    Jelasnya, mangsa berusia 32 tahun bertindak membuat laporan kerana merasa terancam dan ketakutan akan keselamatannya selepas suspek mengeluarkan sepasang gari.

    Mengulas lanjut, ketika kejadian mangsa sedang memandu kereta Proton Inspira ke Jalan Tampin-Seremban dari arah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Pedas.

    “Ketika sedang memandu, mangsa membelok ke kanan sebelum secara tiba-tiba suspek yang memandu Proton Saga memasuki laluan dan menghampiri mangsa sehingga berlaku pelanggaran,” katanya.

    Jelasnya, mangsa cuba menghampiri suspek untuk menegur perbuatan tersebut namun suspek bertindak marah lalu mengeluarkan sepasang gari berwarna perak.

    “Suspek telah menunjukkan gari sambil mengugut dengan ayat “jika mahu kena gari, berhentilah di tepi jalan,” tambahnya.

    Sehubungan itu, kes kini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

  • Kontraktor bimbang keselamatan keluarga selepas maklumat rahsia diberi kepada KPDNHEP bocor

    Kontraktor bimbang keselamatan keluarga selepas maklumat rahsia diberi kepada KPDNHEP bocor

    SEORANG kontraktor kesal apabila identitinya sebagai pemberi maklumat kes penyelewengan diesel bersubsidi di sekitar Port Diskson terbongkar.

    K. Balasubramabiam, 44, mendakwa, perkara itu disedari apabila rakan-rakannya bertanyakan mengenai aduannya itu.

    “Pada 1 Julai lalu, saya telah menghantar e-mel kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkenaan isu tersebut yang berlaku di kawasan Bukit Pelandok di sini.

    “Tapi malangnya maklumat email saya itu terbongkar menyebabkan saya rasa bimbang akan keselamatan diri dan keluarga kerana membuat pendedahan tersebut,” katanya ketika ditemui di sebuah restoran di Port Dickson hari ini.

    Beliau yang lebih dikenali sebagai ‘Anbin Bala’ mengesyaki ia adalah perbuatan ‘orang dalam’ dan perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

    Tujuan beliau membuat pendedahan kes itu bukan bermotifkan politik atau ada kepentingan peribadi sebaliknya demi kepentingan rakyat.

    “Lagipun pihak KPDNHEP juga menguar-uarkan maklumat daripada orang awam dan saya terpanggil untuk membantu memastikan kegiatan sebegini dapat dibanteras.

    “Saya pun tidak puas hati dengan KPDNHEP Negeri Sembilan kerana mereka tidak memanggil saya untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut berkenaan pendedahan diberi sedangkan saya bersedia memberi kerjasama penuh,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

    Anbin Bala mendakwa, terdapat sekurang-kurangnya 20 hingga 25 stor haram disyaki dijadikan tempat kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi di sekitar Port Dickson.

    Jelasnya, maklumat itu diperolehi berdasarkan pemerhatian dan aduan diterima daripada masyarakat setempat.

    “Ramai kenal saya sebagai seorang aktivis masyarakat dan sebab itu mereka laporkan kepada saya mengenai penyelewengan yang berlaku.
    Mereka nak buat aduan secara terbuka, mereka takut,” katanya.

    Beliau mendakwa, kemungkinan wujud unsur rasuah dalam KPDNHEP menyebabkan kes sebegitu boleh berlaku.

    Tambahnya, sesiapa saja termasuk pengusaha stesen minyak boleh rasa curiga melihat lori tanpa logo mengisi minyak dalam kuantiti yang banyak dan ia sepatutnya boleh dikesan lebih awal.

    “Jadi saya minta pihak bertanggungjawab supaya jujur dalam melakukan siasatan dan tindakan,” katanya.

  • Pemandu BMW sebabkan kemalangan babit bayi 4 bulan hadir beri keterangan

    Pemandu BMW sebabkan kemalangan babit bayi 4 bulan hadir beri keterangan

    SELEPAS ‘menghilangkan’ diri selama beberapa hari, pemandu BMW 330E yang mengakibatkan kemalangan membabitkan bayi empat bulan pada Isnin tampil memberi keterangan.

    Menurut Ketua Polis Muallim Hasni Mohd. Nasir, pemandu berusia 30 tahun itu hadir membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak semalam sebelum diminta hadir ke IPD Muallim bagi membantu siasatan kes.

    “Lelaki itu hadir ke IPD Muallim pada 10 malam tadi (Selasa) untuk direkod keterangan. Kes kini disiasat bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lapor Sinar Harian, hari ini.

    Katanya, dalam kejadian di KM385.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dekat Tanjung Malim pada kira-kira 7.30 malam itu, sepasang suami isteri yang menaiki Proton Inspira cedera, sementara bayi mereka parah.

    Bagaimanapun, pemandu BMW terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Hasni berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila BMW tersebut secara tiba-tiba masuk di hadapan laluan Proton Inspira dari lorong tengah ke lorong kanan.

    “Keadaan itu menyebabkan pemandu Proton Inspira hilang kawalan dan terlanggar bahagian sisi belakang kenderaan BMW sebelum terbabas sehingga merempuh besi pembahagi jalan,” katanya.

    Pemandu Proton Inspira berusia 30 tahun itu mengalami luka di bahagian tangan kanan sementara isterinya retak pergelangan kaki kiri.

    Bayi lelaki mereka berusia empat bulan pula patah tulang paha dan pinggul serta mengalami pendarahan di otak.

    Seorang lagi penumpang, iaitu lelaki berusia 20 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Kejadian itu tular dalam media sosial sejak semalam setelah seorang wanita mendakwa pemandu BMW itu melarikan diri selepas menyebabkan kenderaan dinaikinya terbabas.

    Wanita yang dikenali dengan nama Natasya Nadia itu memaklumkan bayinya, Aqasha Alhaq, tercampak ke tengah jalan akibat kemalangan tersebut.

  • Bekas penjenayah ditahan cuba sogok anggota polis RM200

    Bekas penjenayah ditahan cuba sogok anggota polis RM200

    SEORANG lelaki ditahan selepas cuba merasuah anggota polis dengan wang tunai RM200 supaya tidak mengambil tindakan terhadapnya semasa pmeriksaan di persimpangan Kampung Air Putih, Jalan Jerangau Jabur Kemaman, di Chukai, pukul 4.10 petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sebelum kejadian anggota polis terbabit bersama seorang rakan setugas sedang melakukan rondaan cegah jenayah.

    Beliau berkata, anggota itu melihat suspek berusia 41 tahun dari Pekan, Pahang itu sedang duduk di atas motosikalnya dalam keadaan mencurigakan.

    “Pemeriksaan pada pengenalan diri mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lalu berkaitan dadah, selain gagal mengemukakan lesen memandu dan cukai jalan.

    “Selepas memaklumkan untuk membawanya menjalani saringan awal air kencing, suspek mengeluarkan wang tunai dan menghulurkan kepada anggota polis terbabit dengan meminta kes itu diselesaikan.

    “Suspek kemudian ditahan atas kesalahan memberi rasuah kepada penjawat awam, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman untuk tindakan lanjut,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

  • KPDNHEP rampas minyak masak, diesel bersubsidi bernilai lebih RM1 juta

    KPDNHEP rampas minyak masak, diesel bersubsidi bernilai lebih RM1 juta

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah melumpuhkan satu kegiatan penyelewengan barang kawalan dalam serbuan di Sungai Kolapis, Beluran, pukul 3.30 petang semalam.

    Menerusi operasi KPDNHEP Sabah yang dibantu Batallion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran itu berjaya merampas minyak masak dan minyak diesel bersubsidi yang dianggarkan bernilai RM1,904,975.

    Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, hasil serbuan, pasukan operasi menemui sebanyak 9,690 kilogram minyak masak peket 1 kilogram di atas kapal yang ditahan.

    “Kita turut menemui 5,000 liter minyak diesel yang disimpan di dalam tangki skid di kawasan berhampiran.

    “Serbuan kali ini adalah hasil risikan selama tiga minggu yang dijalankan KPDNHEP Sabah bagi mengenal pasti kegiatan berkenaan.

    “Semua barang kawalan itu dipercayai cuba dijual ke negara jiran dan seorang lelaki tempatan turut ditahan untuk membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Georgie berkata, penjaga kapal terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan melakukan kesalahan dan dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.

    “Siasatan juga akan dilakukan mengikut Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.