Category: Jenayah

  • PGA7 rampas beg tangan, kasut seludup bernilai RM3.3 juta

    PGA7 rampas beg tangan, kasut seludup bernilai RM3.3 juta

    BEG tangan serta kasut terpakai bernilai lebih RM3.3 juta yang dipercayai diseludup dari negara jiran berjaya dirampas anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) Kuantan dalam operasi dilakukan di Bukit Bunga, Tanah Merah pada pukul 6 petang kelmarin.

    Menurut Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun, ketika kejadian, anggota PGA7 terbabit sedang membuat rondaan sebelum terserempak dua lori dalam keadaan mencurigakan.

    “Kami menahan lori berkenaan serta memperkenalkan diri sebelum memeriksa kedua-dua kenderaan tersebut.

    SEBAHAGIAN kasut terpakai pelbagai jenama yang dirampas anggota PGA7 di Bukit Bunga, Tanah Merah petang, kelmarin. FOTO ihsan PDRM Kelantan

    “Pemeriksaan menemui kasut dan beg tangan pelbagai jenama dalam longgokan guni yang diletak di belakang lori.

    “Dua suspek berusia 30 dan 31 tahun ditahan manakala barangan dan lori dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Muhamad Zaki berkata, kesemua barangan rampasan kemudian diserah kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

  • Bekas pembaca berita stesen TV, Zalina Azman dilapor hilang

    Bekas pembaca berita stesen TV, Zalina Azman dilapor hilang

    BEKAS pembaca berita sebuah stesen  televisyen, Zalina Shaharah Azman yang dilaporkan hilang sejak November tahun lepas masih tidak dapat dijumpai walaupun segala usaha mencari telah dilakukan.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya  menerima laporan daripada anak lelakinya, Mikhael Norman, 33 berkenaan kehilangan ibunya pada 29 Nov tahun lepas.

    Zalina Shaharah, 58 dilaporkan hilang  ketika Mikhael cuba menghubunginya sejak 24 Nov 2021 bagi memaklumkan datuk pengadu telah dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi.

    “Pada 29 Nov 2021, pengadu dan pak ciknya sampai di rumah ibunya di Seksyen 3, Shah Alam dan mendapati kereta ibunya berada di rumah,” katanya.

    Katanya pemeriksaan di rumah Zalina yang dipercayai tinggal seorang diri mendapati keadaan di dalam rumah tidak tersusun namun mangsa tiada di rumah.

    “Turut ditemui beg duit milik ibu pengadu mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad bank, kad kredit, wang tunai RM600 serta kunci kereta,” katanya.

    Beliau berkata segala usaha mencari telah dilakukan namun gagal menemui wanita itu.

    Katanya polis membuat hebahan kepada orang awam untuk membantu siasatan dengan ciri-ciri mangsa adalah berketinggian 158 sm, berat 60kg, berkulit hitam manis dan berbadan kurus.

    Orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Sarjan Sabturia Lorong atau Balai Polis Seksyen 6 Shah Alam di talian 03-55194622 jika mempunyai maklumat.

  • Remaja lelaki paksa rakan lakukan seks oral direman empat hari

    Remaja lelaki paksa rakan lakukan seks oral direman empat hari

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Polis menahan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun setelah dia disyaki mencederakan rakannya yang berusia 10 tahun, setelah kehendaknya agar mangsa melakukan seks oral, tidak dipenuhi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 4.30 petang, Ahad lalu dengan suspek dikatakan terlebih dulu membawa mangsa menaiki kereta Perodua Kancil dipandunya ke kedai dalam sebuah taman perumahan di Gurun Kedah.

    Selepas itu katanya, suspek mengarahkan mangsa melakukan seks oral namun mangsa enggan menuruti arahan tersebut.

    “Berang dengan keengganan mangsa, suspek lalu menampar dan memukul rakannya itu. Tidak berakhir di situ, dia lalu membawa mangsa ke rumahnya dan sekali lagi mengarahkan agar kehendaknya dipenuhi.

    “Mangsa bagaimanapun tetap enggan menuruti kehendak suspek. Disebabkan itu, suspek dikatakan mencekik leher mangsa serta turut menggunakan sebilah pisau bagi menakut-nakutkan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Difahamkan akibat kejadian itu, mangsa mengalami lebam di pipi serta calar di badan akibat terkena pisau digunakan suspek.

    Mengulas lanjut katanya, mangsa kemudiannya berlari ke rumahnya dan memaklumkan kejadian tersebut kepada bapanya.

    “Bapa mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Gurun dan suspek ditahan kira-kira pukul 7.19 malam kelmarin di rumahnya.

    “Suspek kini direman selama empat hari bermula semalam dengan mangsa dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan serta mendapatkan rawatan.

    Katanya, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017 serta Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

  • Pembantu kedai runcit ditahan hina polis

    Pembantu kedai runcit ditahan hina polis

    SEORANG lelaki ditahan selepas mengeluarkan kata-kata kesat, selain menghina anggota polis dalam operasi trafik yang dijalankan semalam.

    Pemuda itu yang berusia 27 tahun dan bekerja sebagai pembantu kedai runcit ditahan ketika penguatkuasaan trafik Op Pematuhan di jalan belakang Petron, pukul 8 pagi.

    Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, sebelum itu pihak polis yang bertugas menahan suspek yang menunggang motosikal Honda semasa menjalankan tugas penguatkuasaan trafik Op Pematuhan.

    “Semasa pemeriksaan yang dilakukan, anggota bertugas mendapati suspek melakukan tiga kesalahan lalu lintas iaitu abai isyarat lalu lintas, lesen kenderaan memandu (LKM) tamat tempoh, dan tiada perlindungan insuran.

    “Anggota bertugas kemudiannya mengeluarkan saman Pol 257 terhadap kesalahan yang dilakukan suspek.

    “Namun, suspek tidak berpuas hati dengan tindakan saman oleh anggota bertugas, dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota bertugas,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Katanya, anggota bertugas menerangkan kepada suspek akibat dari kata-kata kesat yang dikeluarkannya tetapi tidak diendahkannya.

    Beliau berkata, suspek kemudian ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh bersama-samq motosikal suspek untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

    “Hasil ujian saringan awal ke atas suspek mendapati positif dadah jenis Methamphetamine namun tiada rekod lampau direkodkan.

    “Satu kertas siasatan lain juga dibuka dan disiasat dibawah Sek.15 (1) ADB 1952. Suspek akan direman untuk siasatan lanjut,” katanya.

  • Tuntutan palsu PenjanaKerja; CEO dan pengarah syarikat pula ditahan

    Tuntutan palsu PenjanaKerja; CEO dan pengarah syarikat pula ditahan

    SURUHANJAYA  Pencegahan Rasuah (SPRM) menahan ketua pegawai eksekutif dan pengarah syarikat bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu dan penyelewengan dana Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) bernilai RM100 juta.

    Kedua-dua mereka masing-masing wanita dan lelaki berusia 40 dan 41 tahun ditahan di sekitar Kuala Lumpur, 1.30 tengah hari semalam.

    Sumber berkata, suspek lelaki yang juga pengarah syarikat direman empat hari bermula hari ini hingga 21 Julai.

    “Seorang lagi suspek wanita dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan diambil,” katanya lapor FMT.

    Menurut sumber, kedua-dua suspek dipercayai mengemukakan invois PenjanaKerjaya mengandungi butiran palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi memperoleh bayaran bawah peruntukan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bernilai RM700,000 sedangkan program itu tidak dilaksanakan sepenuhnya.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Hishamuddin Hashim, mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

    Katanya, operasi dan siasatan masih diteruskan serta tidak menolak kemungkinan beberapa lagi tangkapan akan dibuat dalam tempoh terdekat.

    Pada 14 Julai lalu, SPRM menahan 37 individu di beberapa negeri bagi membantu siasatan berkait isu tersebut dan tiga lagi individu ditahan di Johor dan Pulau Pinang sehari kemudian bagi membantu siasatan kes sama.

    Setakat ini, jumlah keseluruhan suspek yang ditahan menerusi Op Hire adalah seramai 42 individu.

  • Kastam rampas anggota badan hidupan liar bernilai RM80 juta

    Kastam rampas anggota badan hidupan liar bernilai RM80 juta

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan kegiatan penyeludupan anggota badan hidupan liar bernilai RM80 juta dalam operasi di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada 10 Julai lalu.

    Operasi sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah, Unit II Selangor pada pukul 2.40 petang itu menemui 6,000 kilogram (kg) gading gajah, tengkorak serta tulang haiwan (300kg), sisik tenggiling (100kg), tanduk badak sumbu (29kg) dan tanduk haiwan (14kg).

    Ketua Pengarah Kastam, Datuk Zazuli Johan berkata, rampasan itu dilakukan hasil pemantauan pergerakan kapal yang membawa tiga kontena dipercayai dari Afrika.

    “Pemeriksaan saringan menggunakan mesin pengimbas ke atas sebuah kontena terbabit mengesyaki dikesan membawa barangan larangan sebelum menemui anggota badan hidupan liar itu di belakang timbunan kayu di dalam kontena terbabit.

    “Siasatan awal mendapati kapal tersebut bergerak dari Afrika sebelum ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan sepatutnya berlayar ke Pasir Gudang, Johor namun berhenti di Pelabuhan Klang,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Kastam Selangor, Pelabuhan Klang, hari ini.

    Beliau berkata, dipercayai kesemua anggota hidupan liar itu bukan untuk pasaran di negara ini dan hanya menjadikan pelabuhan sebagai transit untuk pemindahan kontena kepada kapal lain ke negara ketiga.

    Katanya, jika mengikut pasaran gelap, sebatang gading gajah bernilai RM8,000 untuk 1kg dan taring harimau boleh mencecah RM10,000 (1kg) dan paling mahal adalah tanduk badak sumbu dianggarkan RM288,000 untuk 1kg.

    Tambah Zazuli, berdasarkan rekod ini menjadikan rampasan terbesar berbanding tahun 2012 melibatkan 500kg gading gajah bernilai RM2.4 juta dan tahun 2014 membabitkan kulit tenggiling berjumlah RM40 juta.

    “Kita masih mengesan pengimport dan ejen perkapalan terlibat dengan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Dalam perkembangan berlainan, Zazuli memberitahu, Kementerian Kewangan telah membekalkan enam unit mesin pengimbas baharu di pasang di Pelabuhan Klang secara berperingkat dari November tahun lalu hingga Mei ini.

    Jelasnya, Kastam Zon Tengah Unit II (Selangor) telah berjaya menyelesaikan 106 kes dan memungut ketirisan hasil sebanyak RM928,729.08 melalui saringan mesin pengimbas baharu.

    “Sebanyak 18 kes dianggarkan RM3.1 juta dengan nilai cukai terlibat berjumlah RM13.7 juta masih dalam siasatan tidak termasuk kes pada hari ini,” ujarnya.

  • Polis saman ‘Influencer’ tiada lesen memandu

    Polis saman ‘Influencer’ tiada lesen memandu

    SEORANG ‘Influencer’ atau pempengaruh terkenal disaman kerana didapati tidak mempunyai lesen memandu ketika ditahan dalam pemeriksaan di Jalan Raja Laut, di Kuala Lumpur, pukul 11 malam tadi.

    Lelaki berusia 20-an berkenaan ditahan ketika sedang memandu kenderaan jenis Audi.

    Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim ketika dihubungi mengesahkan polis mengeluarkan notis saman terhadap individu berkenaan.

    “Hasil pemeriksaan dilakukan, kami mendapati lelaki terbabit tiada lesen memandu dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.

    “Justeru, polis mengambil tindakan dengan mengeluarkan satu saman atas dua kesalahan berkenaan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

  • Angkara teman wanita, 2 lelaki dipukul sekumpulan remaja

    Angkara teman wanita, 2 lelaki dipukul sekumpulan remaja

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA lelaki dipukul sekumpulan remaja di hadapan sebuah restoran di Jalan Kuning, Taman Bukit Pasir, Batu Pahat, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, susulan kejadian tersebut, dua orang mangsa berusia 22 tahun telah membuat laporan polis.

    Pihaknya turut mengesan kejadian tersebut dikesan menerusi sebuah video yang tular dalam media sosial.

    “Punca kejadian dipercayai kerana berlaku salah faham antara mangsa dan suspek membabitkan teman wanita,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

    Katanya, pihak polis kemudian berjaya menangkap tiga remaja lelaki berusia 18 dan 19 tahun bagi membantu siasatan.

    Semua suspek katanya, dibawa ke hadapan majistret dan tahanan reman dibenarkan selama empat hari sehingga Khamis.

    Polis kini giat mengesan saki-baki suspek yang terlibat katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

  • Polis Kelantan tahan pemuda hina agama Islam di Facebook

    Polis Kelantan tahan pemuda hina agama Islam di Facebook

    (KEMAS KINI) POLIS Kelantan menahan seorang lelaki Melayu berusia 35 tahun yang dipercayai menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW menerusi satu hantaran video dalam media sosial Facebook, hari ini.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata pihaknya telah melakukan serbuan di Kampung Bagan Chekok, Pulai Chondong, Machang pada pukul 11.30 pagi tadi sejurus menerima laporan berkaitan perbuatan lelaki itu yang menghina agama Islam menerusi akaun Facebook Saidinar Dina (Bos Dina).

    “Hasil serbuan, polis telah menangkap individu berkenaan yang merupakan suspek dalam video yang ditularkan itu dan suspek mengaku memuat naik video berdurasi empat minit 14 saat itu.

    “Suspek yang ditahan itu tidak bekerja dan hasil ujian saringan air kencing dijalankan didapati positif dadah jenis methamphetamine,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 298 dan 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan juga Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995.

    Permohonan reman terhadap suspek akan dilakukan esok, katanya. – Bernama

  • Polis rampas ketum bernilai RM10,140 di rumah flat

    Polis rampas ketum bernilai RM10,140 di rumah flat

    TAKTIK licik dua lelaki tempatan yang menjadikan sebuah rumah flat di Kelana Jaya sebagai tempat simpanan ketum terbongkar dalam serbuan yang dilakukan Jumaat lalu.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya melakukan serbuan itu dan merampas ketum keseluruhan bernilai RM10,140.

    “Dua lelaki tempatan masing berusia 51 dan 47 tahun ditahan dalam operasi tersebut.

    “Kita melakukan tiga serbuan dalam operasi ini yang mana dalam serbuan pertama adalah berdasarkan daripada maklumat penjualan air ketum,” katanya dalam sidang akhbar hari ini, lapor Utusan Tv.

    Katanya, dalam serbuan pertama di sebuah flat di kawasan Kelana Jaya, pihaknya telah menahan seorang lelaki berusia 57 tahun.

    “Polis menjumpai satu bekas plastik berisi cecair disyaki air ketum dengan anggaran berat 1,500 miligram (mg) bernilai RM20 di bahagian dapur rumah,” katanya.

    Sebahagian daripada bungkusan air ketum dengan keseluruhan rampasan bernilai RM10,140.00 yang berjaya dirampas selepas polis menahan dua suspek yang dipercayai terlibat dalam aktiviti memproses serta menjual air ketum ketika Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPD) Petaling Jaya, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Mohamad Fakhrudin berkata, polis kemudian melakukan serbuan kedua di sebuah lagi rumah selepas mendapat maklumat daripada suspek pertama.

    Dalam serbuan itu, beliau berkata, pasukan bertugas berjaya menahan seorang lagi lelaki warga tempatan berusia 47 tahun.

    Katanya, hasil pemeriksaan menemukan satu bekas plastik berisi cecair disyaki air ketum dengan anggaran berat 1,500mg bernilai RM20.

    Menurut Mohamad Fakhrudin, hasil siasatan lanjut terhadap kedua-dua suspek, polis kemudian melakukan serbuan di sebuah rumah di tingkat 17 di Kelana Jaya pada hari yang sama.

    “Hasil pemeriksaan di bahagian bilik rumah tersebut, polis menemukan 100 bungkusan plastik biru berisi daun-daun hijau disyaki daun ketum dengan anggaran berat 1kg setiap bungkusan.

    Sebahagian daripada daun ketum dengan keseluruhan rampasan bernilai RM10,140.00 yang berjaya dirampas selepas polis menahan dua suspek yang dipercayai terlibat dalam aktiviti memproses serta menjual air ketum ketika Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPD) Petaling Jaya, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Kita juga menemukan empat bungkusan plastik berwarna hitam yang berisi daun-daun hijau disyaki ketum dengan anggaran berat 10kg setiap bungkusan serta dua alat penimbang,” katanya.

    Mohamad Fakhrudin berkata, pemeriksaan di bahagian dapur rumah itu pula menemukan 300 paket plastik lutsinar berisi cecair disyaki air ketum di dalam tiga tong ais berwarna oren.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid. GAMBAR: Warta Rakyat

    Jelas beliau, polis juga menemukan 80 paket pastik lutsinar berisi cecair disyaki air ketum di dalam sebuah tong berwarna oren.

    “Beberapa peralatan yang digunakan untuk memproses daun ketum ini juga ditemui di rumah tersebut.

    “Hasil analisa rampasan daun dan air ketum ini boleh dibekalkan kepada 2,000 orang pengguna,” katanya.

    Tambahnya, kedua-dua suspek telah ditahan reman selama empat hari dan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 (Pindaan 1980).