Category: Jenayah

  • Tiga ‘doktor’ dadah dicekup

    Tiga ‘doktor’ dadah dicekup

    TIGA pembekal dadah di pusat hiburan di sekitar ibu negara yang digelar ‘doktor’ adalah antara 180 individu ditahan dalam operasi khas pusat hiburan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur.

    Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 20an dan 40an yang terdiri daripada seorang warga tempatan dan dua warga asing itu ditahan dalam operasi tiga hari bermula pada 15 Julai lepas yang turut menyaksikan rampasan beberapa jenis dadah.

    Beliau berkata gelaran ‘doktor’ itu digunakan pelanggan untuk suspek kerana kemahiran mereka mencampurkan beberapa jenis dadah sebelum dijual di pasaran.

    “Mereka ini biasanya mencari pelanggan di pusat-pusat hiburan, bar dan juga pusat karaoke. Mereka sudah aktif sekitar enam bulan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Katanya tindakan tersebut menunjukkan Polis Kuala Lumpur sentiasa mengambil tindakan dalam memastikan tiada pusat hiburan di Kuala Lumpur dijadikan lubuk pengedaran dadah.

    Dalam operasi itu sebanyak 20 pusat hiburan di sekitar Kuala Lumpur telah diserbu.

  • Tipu haji dan umrah: 121 laporan polis, kerugian lebih RM5.1 juta

    Tipu haji dan umrah: 121 laporan polis, kerugian lebih RM5.1 juta

    POLIS Diraja Malaysia menerima 121 laporan berhubung kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji dan umrah menggunakan visa furada terhadap tiga syarikat pelancongan swasta yang melibatkan kerugian lebih RM5.1 juta.

    Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, Kuala Lumpur mencatatkan bilangan laporan tertinggi iaitu 48 laporan membabitkan kerugian kira-kira RM2 juta diikuti Selangor dengan 30 laporan melibatkan kerugian RM956,300.

    Beliau berkata, 18 laporan melibatkan kerugian dianggarkan RM1.2 juta diterima di Pahang manakala masing-masing enam laporan diterima di Kelantan, Perak dan Johor dengan kerugian RM608,000.

    “Kedah mempunyai tiga laporan dengan nilai kerugian RM48,000, Negeri Sembilan merekodkan dua laporan membabitkan kerugian RM170,500 manakala masing-masing satu laporan di Terengganu dan Pulau Pinang yang melibatkan kerugian RM70,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Noorsiah berkata, 22 kertas siasatan berkaitan penipuan itu dibuka, membabitkan 323 mangsa.

    Pada 7 Julai lepas, kira-kira 380 bakal jemaah haji dilaporkan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan swasta.

    Mereka dipercayai menggunakan visa furada, iaitu visa yang diuruskan sendiri tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh Lembaga Tabung Haji (TH). – BERNAMA

  • Ops Hire:SPRM tahan 3 lagi bantu siasatan

    Ops Hire:SPRM tahan 3 lagi bantu siasatan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan remah terhadap tiga lagi individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) membabitkan nilai keseluruhan kira-kira RM100 juta.

    Seorang daripada tiga suspek itu adalah pengarah syarikat ditahan reman selama empat hari mulai hari ini sehingga 22 Julai ini selepas Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab. Shukor membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

    Menurut laporan Harian Metro, sumber memaklumkan, pengarah syarikat berusia 46 tahun berkenaan ditahan di Ibu Pejabat SPRM kira-kira pukul 8.30 malam semalam.

    “Suspek yang juga pengarah syarikat ditahan kerana dipercayai mengemukakan Borang Pengesahan Pekerja secara dalam talian yang mengandungi butir matan palsu berjumlah melebihi RM1 juta kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

    “Ia bagi memperoleh peruntukan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) untuk melaksanakan Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Program Latihan sedangkan program itu tidak dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

    Sementara itu, di Pahang pula, dua suspek adalah pengurus syarikat ditahan reman selama lima hari mulai hari ini sehingga 23 Julai 2022 selepas Majistret Nor Izzati Zakaria membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini.

    Sumber berkata, dua lagi suspek yang masing-masing berusia 46 dan 35 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Pahang pukul 4.30 petang semalam kerana terbabit dengan kesalahan mengemukakan tuntutan palsu kepada Perkeso bagi tujuan sama membabitkan nilai lebih RM600,000.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

    Beliau berkata, operasi dan siasatan masih diteruskan serta tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan lagi akan dibuat dalam masa terdekat.

    Pada 14 Julai lalu, SPRM menahan 37 individu di beberapa negeri bagi membantu siasatan berkaitan isu berkenaan dan tiga lagi individu ditahan di Johor dan Pulau Pinang sehari kemudian bagi membantu siasatan kes yang sama.

    Semalam, dua lagi individu yang juga ketua pegawai eksekutif serta pengarah syarikat ditahan bagi membantu siasatan dan setakat ini, jumlah keseluruhan suspek yang ditahan menerusi Ops Hire adalah seramai 45 individu.

  • Kes bekas ahli perniagaan ditembak mati:Tujuh lelaki ditahan

    Kes bekas ahli perniagaan ditembak mati:Tujuh lelaki ditahan

    POLIS menahan tujuh lelaki bagi membantu siasatan berkaitan kes bekas ahli perniagaan ditembak mati selepas pulang bermain mahjong dari rumah rakannya di Amarin Kiara, Kuala Lumpur pada 11 Julai lalu.

    Semua suspek berusia 27 hingga 43 tahun itu ditahan secara berasingan di Johor Bahru, Johor dan Ipoh, Perak pada Khamis dan Jumaat lalu.

    Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, empat lelaki ditahan di hadapan sebuah restoran di Taman Nusa Bayu lskandar Putri, Johor Bahru, pukul 1.30 petang Khamis.

    “Kita kemudian menahan tiga lelaki pada jam 3.45 pagi di Taman Pulai Jaya dan Bandar Baru Putra, Ipoh Perak.

    “Kita turut merampas enam buah telefon bimbit, sebuah kereta jenis Kia Optima K5 warna putih dan sebuah kereta Proton wira warna hijau.

    “Motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, semakan lanjut mendapati tiga daripada empat suspek itu mempunyai rekod berkaitan kes jenayah dan narkotik.

    “Kesemua suspek telah direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Azmi berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi bilik Gerakan Siasatan Jenayah di talian 03-21460685, pegawai penyiasat Asisten Superintendan Haljah Ajar di talian 019-6018267 dan Hotine Polis Kuala Lumpur 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

    Pada 12 Julai lalu, media melaporkan bekas ahli perniagaan ditembak mati selepas pulang bermain mahjong dari rumah rakannya di Amarin Kiara.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 12.09 tengah malam.

    Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa selesai bermain mahjong dan keluar dari rumah terbabit menuju ke kereta jenis Toyota Vellfire miliknya yang diparkir di luar kawasan perumahan berkenaan.

  • Mayat warga emas dengan kesan calar ditemukan

    Mayat warga emas dengan kesan calar ditemukan

    MAYAT seorang lelaki warga emas ditemukan di sebuah kawasan berbukit berhampiran Lebuh Raya Senai-Desaru menghala ke Desaru, Kota Tinggi pada pukul 8 pagi tadi.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mayat lelaki tempatan berusia 74 tahun itu ditemukan orang awam yang melalui kawasan tersebut.

    “Mayat ditemukan dengan beberapa kesan kecederaan dan calar di bahagian kaki dan belakang kepala. Setakat ini kita tidak dapat memberikan sebarang kemungkinan sama ada mangsa merupakan mangsa bunuh atau terlibat dalam pergaduhan.

    “Hasil pemeriksaan dua hari (telah meninggal dunia), belum kembung, belum ada lalat tempoh belum 48 jam.

    “Ada sikit kecederaan di beberapa tempat kaki dan kepala belakang. Kita akan siasat lanjut. Jenazah dibawa ke hospital untuk buat post-mortem. Kita akan tahu punca kematian. Kecederaan itu ada sikit di bahu, calar kemungkinan jatuh dan sebagainya,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika melawat lokasi kejadian, hari ini, lapor Astro Awani.

    Jelas Kamarul Zaman lagi, mangsa merupakan penduduk kampung di kawasan itu.

    Pihaknya akan menyiasat punca kematian mangsa kerana barangan mangsa masih ada bersamanya seperti wang tunai, telefon bimbit, rokok dan kunci kenderaan.

    Namun kenderaan mangsa tiada di lokasi.

    “Pihak polis juga tiada menerima laporan kehilangan mangsa dari ahli keluarga,” katanya.

    Mayat dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat dan kes disiasat sebagai mati mengejut.

  • Kelab komedi disimbah cat merah, hitam

    Kelab komedi disimbah cat merah, hitam

    SEBUAH kelab komedi di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) di Kuala Lumpur disimbah cat berwarna merah dan hitam kira-kria pukul 4 pagi tadi.

    Sinar Harian melaporkan, sumber memaklumkan, kejadian itu disedari selepas pihak polis menerima panggilan berhubung insiden berkenaan daripada orang awam pada pukul 7 pagi.

    “Kejadian itu dipercayai berlaku apabila dua individu tidak dikenali menyimbah premis berkenaan dengan cat berwarna merah dan hitam.

    “Cat itu disimbah pada papan tanda serta pintu masuk kelab komedi berkenaan serta mengenai sebuah premis yang terletak bersebelahan kelab komedi tersebut,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

    Terdahulu, video berdurasi 54 saat memaparkan seorang wanita menanggalkan tudung dan pakaian ketika membuat persembahan stand up comedy (komedi solo) sekali gus menerima kecaman daripada orang ramai.

    Pada 13 Julai lalu, media melaporkan Siti Nuramira Abdullah, 26, mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menimbulkan rasa tidak harmoni dalam kalangn masyarakat Islam ketika melakukan persembahan di kelab komedi berkenaan pada 4 Jun lalu.

  • Pemuda disyaki hina Islam, Nabi Muhammad direman

    Pemuda disyaki hina Islam, Nabi Muhammad direman

    SEORANG penganggur yang dipercayai menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW menerusi satu hantaran video, direman empat hari bermula hari ini.

    Lelaki berusia 35 tahun itu tiba di Mahkamah Majistret Kuala Krai kira-kira 9.45 pagi diiringi anggota polis.

    Perintah reman sehingga 22 Julai itu dikeluarkan oleh Majistret Amal Razim Alias bagi siasatan mengikut Seksyen 298 dan 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

    Semalam lelaki itu ditahan di Kampung Bagan Chekok, Pulai Chondong, Machang, selepas polis menerima laporan suspek menghina agama Islam menerusi akaun Facebook Saidinar Dina (Bos Dina). – BERNAMA

  • 4 keldai akaun ditahan babitkan kerugian mangsa hingga RM400,000

    4 keldai akaun ditahan babitkan kerugian mangsa hingga RM400,000

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    POLIS Pulau Pinang menahan empat lelaki yang dipercayai bertindak sebagai keldai akaun oleh sindiket pinjaman online dan pelaburan tidak wujud serta Macau Scam dalam serbuan berasingan di negeri itu dan di Perak, semalam.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, kesemua suspek lelaki berusia 25 hingga 48 tahun itu ditahan hasil risikan polis terhadap kegiatan mereka sejak seminggu lalu.

    Menurut beliau, dua daripada suspek itu ditahan di Batu Maung dan Bukit Mertajam, Pulau Pinang manakala dua lagi suspek ditangkap di Taiping dan Bagan Serai, Perak.

    “Berdasarkan siasatan awal, jumlah kerugian yang dialami mangsa adalah antara RM13,000 hingga RM400,000 dan melibatkan kes yang dilaporkan sejak 2019 hingga tahun ini.

    Kamarul Rizal Jenal

    “Empat suspek ini kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu, Kamarul Rizal menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat sindiket penipuan jual beli di laman sosial, pinjaman tidak wujud, tawaran pekerjaan luar negara (sambilan), Macau Scam dan sebagainya.

    Katanya, orang ramai juga diminta membuat semakan terlebih dahulu ke atas nombor akaun yang diberikan oleh suspek di Portal Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui pautan https://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau memuat turun di Aplikasi Google Play Semak Mule CCID sebelum membuat sebarang transaksi.

  • Polis tumpaskan sindiket seludup diesel terbesar di Johor

    Polis tumpaskan sindiket seludup diesel terbesar di Johor

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) Johor berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan diesel bersubsidi terbesar di negeri itu selepas menahan 19 lelaki di sebuah jeti di Sungai Tiram, Kota Tinggi, kelmarin.

    Menerusi serbuan pada pukul 1 pagi itu, sebanyak 122,000 liter diesel dan sebuah kapal tangki, tiga buah tangki treler, tujuh hos minyak beserta enjin dan sistem GPS kapal dirampas.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ia membabitkan jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan bernilai lebih RM10.7 juta.

    “Sindiket ini menjadikan lokasi sunyi dan jauh di pedalaman serta sukar dimasuki dengan kenderaan sebagai modus operandi mereka. Dalam kes ini, sindiket memilih lokasi berhampiran sebuah jeti di Sungai Tiram.

    “Ia dijadikan sebagai tempat transit penyeludupan minyak dari treler minyak ke kapal tangki sebelum dibawa ke perairan antarabangsa.

    “Minyak diesel berkenaan dibeli pada harga subsidi RM2.15 seliter sebelum ia dijual pada harga RM3.50 di pasaran gelap antarabangsa. Polis percaya sindiket ini sudah beroperasi sejak sebulan lalu,” katanya pada sidang media di sebuah jeti di Sungai Tiram, Kota Tinggi, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin dan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora.

    Katanya, 19 suspek yang ditahan itu membabitkan 11 lelaki tempatan dan lapan lelaki warga asing berusia antara 26 hingga 58 tahun.

    “Semakan rekod ke atas semua suspek mendapati enam daripada suspek tempatan mempunyai rekod lampau dan pernah dihukum dibawah Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala lapan lelaki warga asing itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan tiada rekod lampau.

    “Kes disiasat dibawah Sekyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 61(c) Akta Imigresen 1959/1953,” katanya.

    Kamarul Zaman turut menggesa penduduk tempatan agar membantu dan menyalurkan maklumat kepada pihak polis berhubung kegiatan penyelewengan diesel.

    “Kalau dilihat hendak ke jeti di sini, cukup jauh dan perjalanan menaiki kenderaan memakan masa hampir sejam dengan keadaan berliku dan kecil.

    “Namun di sini ada perkampungan, justeru saya menggesa agar masyarakat mainkan peranan membanteras ketirisan diesel yang merupakan hasil negara, penyeludup memang cari peluang untuk menangguk di air keruh. Jadi kita semua perlu benteras bersama” katanya.

  • Penceramah popular disyaki rogol remaja ditahan

    Penceramah popular disyaki rogol remaja ditahan

    POLIS menahan seorang penceramah bebas popular kerana dipercayai terbabit kes rogol remaja perempuan berusia 14 tahun.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Selangor, S. Sasikala Devi Subramaniam, suspek berusia 30-an ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor pada 4.50 petang semalam.

    Katanya, suspek kemudian direman lima hari hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

    “Kebenaran reman itu diperoleh dari Mahkamah Majistret Sungai Besar bagi membolehkan siasatan lanjut ke atas suspek dijalankan,” katanya menurut Berita Harian.

    Beliau berkata, sebelum itu polis menerima laporan berhubung kejadian berkenaan daripada remaja perempuan terbabit pada 11.15 malam, 16 Julai lalu.

    Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa berkenalan dengan suspek yang juga warga tempatan sejak Mei tahun lalu.

    “Bermula daripada perkenalan itu, pengadu dan suspek beberapa kali melakukan hubungan intim di beberapa lokasi berbeza.

    “Polis setakat ini telah membuka empat kertas siasatan iaitu dua di Selangor, satu di Kuala Lumpur dan satu di Perak membabitkan pengadu sama,” katanya.