SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan remah terhadap tiga lagi individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) membabitkan nilai keseluruhan kira-kira RM100 juta.

Seorang daripada tiga suspek itu adalah pengarah syarikat ditahan reman selama empat hari mulai hari ini sehingga 22 Julai ini selepas Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab. Shukor membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Menurut laporan Harian Metro, sumber memaklumkan, pengarah syarikat berusia 46 tahun berkenaan ditahan di Ibu Pejabat SPRM kira-kira pukul 8.30 malam semalam.

“Suspek yang juga pengarah syarikat ditahan kerana dipercayai mengemukakan Borang Pengesahan Pekerja secara dalam talian yang mengandungi butir matan palsu berjumlah melebihi RM1 juta kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Ia bagi memperoleh peruntukan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) untuk melaksanakan Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Program Latihan sedangkan program itu tidak dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, di Pahang pula, dua suspek adalah pengurus syarikat ditahan reman selama lima hari mulai hari ini sehingga 23 Julai 2022 selepas Majistret Nor Izzati Zakaria membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini.

Sumber berkata, dua lagi suspek yang masing-masing berusia 46 dan 35 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Pahang pukul 4.30 petang semalam kerana terbabit dengan kesalahan mengemukakan tuntutan palsu kepada Perkeso bagi tujuan sama membabitkan nilai lebih RM600,000.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, operasi dan siasatan masih diteruskan serta tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan lagi akan dibuat dalam masa terdekat.

Pada 14 Julai lalu, SPRM menahan 37 individu di beberapa negeri bagi membantu siasatan berkaitan isu berkenaan dan tiga lagi individu ditahan di Johor dan Pulau Pinang sehari kemudian bagi membantu siasatan kes yang sama.

Semalam, dua lagi individu yang juga ketua pegawai eksekutif serta pengarah syarikat ditahan bagi membantu siasatan dan setakat ini, jumlah keseluruhan suspek yang ditahan menerusi Ops Hire adalah seramai 45 individu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here