Category: Jenayah

  • Lelaki maut dibaham buaya

    Lelaki maut dibaham buaya

    SEORANG pemuda ditemukan maut dibaham buaya awal pagi tadi selepas dilaporkan hilang ketika memancing di Kampung Seberang Meludam, Saratok, Kuching, semalam.

    Mayat mangsa, Abang Mohd. Norazat Abang Salim, 27, ditemui terapung oleh bapanya sendiri bersama tiga lagi penduduk kira-kira pukul 2 pagi berdekatan loji air Meludam di kawasan hulu sungai yang terletak sejauh 2.1 kilometer daripada Pusat Kawalan Bomba (PKB).

    Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pemeriksaan mendapati terdapat kesan gigitan buaya di muka mangsa.

    “Mayat mangsa juga dalam keadaan tidak sempurna apabila kedua-dua kaki serta tangannya hilang. Ia kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya lapor Berita Harian.

    Sebelum itu, mangsa dikatakan keluar memancing di tebing sungai kira-kira pukul 3 petang namun tidak pulang ke rumah hingga malam, menyebabkan keluarganya membuat laporan polis.

    Polis kemudian memaklumkan kejadian itu kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok pada pukul 7.25 pagi semalam sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan dengan menumpukan pencarian di sepanjang Sungai Meludam.

    Pasukan itu hanya menemui kasut serta peralatan memancing serta kasut milik mangsa di tepi sungai dan seekor buaya bersaiz besar turut dilihat berdekatan lokasi itu.

    Sarawak Forestry Corporation (SFC) turut dimaklumkan berhubung penemuan buaya itu kerana dikhuatiri mengancam keselamatan pasukan SAR.

  • Polis siasat Setiausaha Politik ADUN pembangkang Perak

    Polis siasat Setiausaha Politik ADUN pembangkang Perak

    POLIS telah merakam percakapan seorang Setiausaha Politik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada sebuah parti pembangkang di Perak berhubung sebuah video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya mengenai isu kenaikan harga minyak masak.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, proses siasatan ke atas lelaki berkenaan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

    “Kita boleh sahkan memang ada siasatan dijalankan oleh pegawai USJT JSJ Bukit Aman dan mereka menggunakan lokasi di IPD Ipoh untuk merakam percakapan subjek (individu),” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara di Ipoh hari ini. – BERNAMA

  • Penganggur hina agama Islam ditahan reman

    Penganggur hina agama Islam ditahan reman

    SEORANG penganggur direman selama empat hari kerana disyaki menghina agama Islam melalui satu rakaman audio yang tular di aplikasi WhatsApp baru-baru ini.

    Perintah reman bermula hari ini sehingga Sabtu (23 Julai) terhadap lelaki berusia 59 tahun itu dikeluarkan Majistret Nordiana Abd Aziz di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.

    Ia bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

    Sementara itu, menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa, lelaki berkenaan ditahan kira-kira 2 pagi tadi di rumahnya di Kampung Laut, di Chendering dekat sini.

    “Siasatan awal mendapati audio tersebut telah dibuat pada tahun lepas, yang mengandungi kata-kata maki hamun termasuk menghina agama Islam, namun seorang pengadu baru membuat laporan mengenainya pada 19 Julai (semalam).

    “Mungkin laporan dibuat sekarang berikutan trend kes menghina agama Islam yang banyak dilaporkan pada masa ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Rohaimi berkata, suspek juga didapati mempunyai enam rekod lampau membabitkan kes dadah, mencederakan orang serta ugutan terhadap ahli keluarga dan dia telah dihadapkan ke mahkamah tahun lepas.

    “Kami juga syak lelaki ini mengalami gangguan mental akibat ketagihan dadah… Semasa ditahan, ujian saringan urin mendapati dia positif dadah methamphetamine,” katanya.

    Rohaimi berkata, pihaknya memandang serius kes membabitkan penghinaan terhadap agama kerana ia boleh menjejaskan keharmonian dan tidak akan berkompromi dengan pihak terlibat.

    “Jangan sesekali jadikan agama sebagai bahan jenaka kerana ia boleh menyebabkan perpecahan dalam masyarakat,” katanya. – BERNAMA

  • [VIDEO] Salam tak pandang muka, lelaki tampar kepala jemaah masjid

    [VIDEO] Salam tak pandang muka, lelaki tampar kepala jemaah masjid

    HANYA kerana tidak memandang muka semasa bersalaman, seorang lelaki bertindak menampar belakang kepala seorang jemaah di Masjid An-Nur Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, pada Isnin lepas.

    Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Nor Omar Sappi berkata, laporan diterima pihaknya daripada mangsa lelaki berusia lingkungan 30-an yang berkhidmat sebagai tentera, menyatakan dia bersalaman dengan suspek yang tidak dikenali selepas selesai solat asar kira-kira 5.10 petang.

    “Secara tiba-tiba, suspek telah menampar belakang kepala mangsa dan terkena telinga sebelah kanan dengan kuat menyebabkan dia mengalami kesakitan di bahagian tersebut.

    “Siasatan awal mendapati insiden itu berlaku gara-gara mangsa tidak memandang muka lelaki tersebut semasa bersalaman menyebabkan dia berang dan beranggapan mangsa bersikap kurang ajar dengannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Nor Omar berkata, kedua-dua pihak telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Manjung untuk dirakam percakapan mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.

    “Hasil rakaman percakapan yang diberikan, anggota tentera itu tidak mahu untuk meneruskan siasatan dan menarik semula laporan tersebut. Kes telah diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut,” katanya.

    Sebelum ini, tular di Twitter menerusi sebuah video berdurasi 37 saat itu yang memaparkan kejadian seorang lelaki memukul kepala seorang jemaah di sebuah masjid. – BERNAMA

  • Scammer, carilah kerja lain, jangan menipu – Awie

    Scammer, carilah kerja lain, jangan menipu – Awie

    LEGENDA rock negara, Datuk Awie menasihati belia yang terlibat dengan sindiket penipuan atau scammer agar segera mencari pekerjaan lain yang menjamin masa depan.

    Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata, daripada maklumat polis kebanyakan scammer terdiri daripada belia dan telah dilatih oleh sindiket untuk menipu mangsa menerusi panggilan telefon.

    “Sebelum ini saya pernah beberapa kali cuba dihubungi mereka menerusi panggilan telefon yang terdiri daripada golongan belia dalam lingkungan umur 21 hingga 23 tahun.

    “Apabila gagal mempengaruhi saya, mereka bergaduh dengan saya dan mengeluarkan kata-kata kesat,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Kempen Anti-Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2022 Polis Kontinjen Perlis, di Kuala Perlis.

    Awie berkata, sebelum mengakhiri perbualan telefon beliau sempat menasihati mereka untuk berhenti melakukan kerja tersebut dan bayangkan sekiranya ahli keluarga terdekat sendiri mengalami kerugian puluhan ribuan ringgit akibat menjadi mangsa sindiket penipuan.

    “Tidak puas hati dengan nasihat saya, mereka mengganggu saya 20 hingga 30 kali sehari namun saya tidak melayannya,” kata pelakon dan penyanyi itu yang dilantik sebagai duta anti-scam.

    Beliau berkata, tugas membanteras kegiatan jenayah penipuan tidak wajar hanya diletakkan pada bahu pihak polis sebaliknya ia adalah tanggungjawab semua rakyat Malaysia.

    Awie bersama 35 penunggang motosikal berkuasa tinggi menyertai jelajah kempen kesedaran anti-scam ke seluruh Semenanjung yang berlangsung dalam tiga fasa dengan fasa pertama bermula semalam (19 Julai) sehingga 22 Julai meliputi empat negeri di utara semenanjung iaitu Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Perlis.

    Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Perlis, SAC Baderulhisham Baharudin dalam ucapan pada majlis itu berkata, mengikut statistik yang direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil kontinjen Perlis, 998 kes jenayah komersial telah dicatatkan pada tahun 2020 hingga Jun 2022 dengan kerugian RM15.8 juta dan daripada jumlah tersebut 969 kes merupakan jenayah penipuan dalam talian.

    Beliau berkata, penggunaan teknologi dalam urusan seharian ini secara tidak langsung telah mengakibatkan wujudnya bentuk jenayah baharu yang lebih kompleks dan global serta memerlukan perhatian lebih serius daripada masyarakat.

    “Kempen Anti-Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2022 merupakan kesinambungan kepada program pencegahan jenayah penipuan yang dilaksanakan secara berterusan oleh pihak polis yang bertujuan memberi pendedahan dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap ancaman scammer agar tidak menjadi mangsa atau terlibat dengan aktiviti sindiket berkenaan,” katanya.

    Katanya, kempen akan berlangsung sepanjang Julai 2022 dengan pengisian melalui pameran, ceramah, wawancara serta memberikan tips cara terbaik mengelak daripada menjadi mangsa.

    “Penglibatan langsung komuniti dalam kempen ini amat penting dalam meningkatkan lagi kefahaman mengenai pencegahan jenayah komersial khususnya jenayah penipuan dalam talian. Informasi dan nasihat pencegahan jenayah yang diberikan oleh pihak polis perlu dimanfaatkan sepenuhnya, supaya tidak mudah panik dan terpedaya dengan pelbagai helah serta taktik kreatif penipuan yang digunakan oleh sindiket,” katanya.

    Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Operasi Darat, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, SAC Jamel Salleh dan Penolong Pengarah Siasatan Jenayah Kewangan/Koperasi/Insurans/Perbankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, ACP Mazelan Paijan. – BERNAMA

  • Lelaki ditahan bersama dadah hampir RM1 juta

    Lelaki ditahan bersama dadah hampir RM1 juta

    POLIS menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah seberat 9.7 kilogram (kg) bernilai hampir RM1 juta dalam satu serbuan Isnin lepas di Changkat Kruing, Pantai Remis dekat Manjung.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, lelaki yang tidak bekerja berusia 56 tahun itu ditahan di sebuah rumah pada 10 malam dan pihaknya menemukan satu paket plastik disyaki dadah jenis heroin dan methamphetamine.

    “Pemeriksaan di dalam sebuah kereta dan luar kawasan rumah tersebut turut menemukan beberapa lagi paket plastik mengandungi dadah dipercayai methamphetamine,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara di Ipoh hari ini.

    Beliau berkata, pihaknya turut merampas sebuah motosikal bernilai RM3,500 dan nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM973,598.

    Mior Faridalathrash berkata, suspek didapati positif dadah jenis morfin hasil saringan air kencing serta mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah.

    “Jumlah dadah yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada kira-kira 100,000 penagih yang dipercayai diedarkan di sekitar Manjung dan kawasan berhampiran.

    “Suspek yang aktif mengedar dadah sejak enam bulan lalu direman selama seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – BERNAMA

  • Zalina dipercayai masih berada dalam negara – Polis

    Zalina dipercayai masih berada dalam negara – Polis

    BEKAS pembaca berita sebuah stesen televisyen, Zalina Shaharah Azman atau lebih dikenali sebagai Zalina Azman yang dilaporkan hilang sejak November tahun lepas dipercayai masih berada dalam negara.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata, ia susulan setelah pihaknya mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Imigresen.

    Mohd Iqbal berkata, setakat ini pihaknya turut mengesahkan bahawa tidak ada sebarang laporan polis dibuat oleh orang awam selepas hebahan berhubung kehilangan Zalina Shaharah, 58, dilakukan polis.

    Pagi tadi, sebuah portal hiburan tempatan melaporkan terdapat individu yang mendakwa melihat seorang wanita seperti Zalina Shaharah pada Ahad lepas menerusi Twitter miliknya.

    Wanita yang didakwa mirip Zalina Shaharah itu muncul di kafe miliknya di Seksyen 9, Shah Alam kira-kira 1 tengah hari dalam keadaan seperti cemas dan menggigil ketakutan.

    Isnin lepas, Mohd Iqbal dalam satu kenyataan berkata pihaknya menerima laporan daripada anak lelaki Zalina Shaharah, Mikhael Norman, 33, berkenaan kehilangan ibunya pada 29 Nov tahun lepas.

    Zalina Shaharah dilaporkan hilang ketika Mikhael cuba menghubunginya sejak 24 Nov 2021 bagi memaklumkan datuk pengadu telah dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi. – BERNAMA

  • Trend media sosial ‘New Malaysia’ semakin membimbangkan – PDRM

    Trend media sosial ‘New Malaysia’ semakin membimbangkan – PDRM

    SERANGAN pihak tidak bertanggungjawab dalam menyuntik agenda baharu iaitu “New Malaysia” yang mampu mencetuskan konflik terbuka antara kaum melalui penggunaan media sosial semakin membimbangkan, kata Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Zamri Yahya.

    “Trend semasa penyalahgunaan media sosial semakin membimbangkan iaitu bagi penyebaran berita palsu, salah faham dan untuk mencapai pemutarbalikan kebenaran. Penyalahgunaan ini akan menyemai pemikiran baharu kepada orang ramai untuk menolak sistem sedia ada.

    “Orang ramai semakin keliru dan jadi tidak menentu kerana maklumat telah diselewengkan sekali gus timbulkan kegusaran dan mengancam keharmonian negara,” katanya.

    Zamri berkata demikian semasa menjadi panel jemputan bertajuk “Landskap Keselamatan Negara: Mendepani Cabaran Semasa & Akan Datang” pada Persidangan Keselamatan Negara 2022, di Kuala Lumpur, hari ini.

    Menurutnya, serangan sedemikian amat berbahaya kerana boleh mengundang provokasi perkauman, keagamaan sekiranya tidak dikawal.

    “Misalnya insiden di Puchong baru-baru ini di mana seorang individu dibelasah orang ramai susulan kenyataan dibuatnya yang menghina Nabi Muhammad SAW,” katanya.

    Pada Ahad lepas, polis menahan seorang lelaki berumur 39 tahun yang disyaki menghina agama Islam di media sosial, di sebuah rumah di Puchong. – BERNAMA

  • Lelaki dibelasah, motosikal dibakar selepas dituduh curi getah sekerap

    Lelaki dibelasah, motosikal dibakar selepas dituduh curi getah sekerap

    DUA video tular yang memaparkan seorang lelaki cedera dipercayai dibelasah penduduk kampung kerana didakwa mencuri getah sekerap dalam kejadian di Kuala Nerang, Alor Setar, semalam.

    Video berdurasi 30 saat itu memaparkan seorang lelaki yang berlumuran darah di kepala, manakala satu lagi video juga berdurasi 30 saat menunjukkan motosikal lelaki tersebut dibakar beberapa individu.

    Pihak polis mengesan dua video berkaitan kejadian yang tular itu pukul 2.26 petang tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar, video dimuat naik seorang pemilik Twitter itu memaparkan kejadian dipercayai seorang lelaki dibelasah akibat mencuri hasil kebun getah milik individu lain.

    “Hasil siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku pukul 8.10 malam semalam di tepi jalan Kampung Nai Teh, Kuala Nerang dan satu laporan polis diterima bersabit kes curi tersebut.

    “Suspek telah diserahkan orang awam kepada pihak polis dalam keadaan cedera di beberapa bahagian badan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, suspek juga telah dirujuk kepada pihak hospital disebabkan kecederaan dialami.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

    Dalam perkembangan sama, Mulkiaman memberitahu, pihak polis turut menerima dua laporan polis berkaitan kes yang ditularkan.

    Susulan itu katanya, dua kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api, serta Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

    Beliau menasihatkan orang ramai dan masyarakat setempat agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes berkenaan dan menyebarkannya kerana kes masih dalam siasatan pihak polis.

  • 7 kereta mewah nombor plat asing dipandu secara berbahaya

    7 kereta mewah nombor plat asing dipandu secara berbahaya

    POLIS sedang mengesan tujuh pemandu kereta mewah bernombor pendaftaran asing yang didapati memandu dan memotong secara berbahaya di Kilometer 42 Jalan Sungai Rengit – Kota Tinggi menghala Bandar Penawar di Kota Tinggi, Ahad lepas.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Hussin Zamora berkata, polis mengesan rakaman video sekumpulan kereta mewah yang sedang berkonvoi itu di laman Facebook kira-kira pukul 8.55 malam.

    “Polis telah mengenal pasti kesemua kenderaan terlibat dan memohon kerjasama pemilik kenderaan ini untuk hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau turut menyenaraikan nombor pendaftaran dan warna kereta mewah yang terlibat dalam kejadian berkenaan iaitu SLW3839P berwarna kuning, EN403M (putih), SKH3888M (merah), SMG80C (merah), SBA479Z (hitam), SMZ986P (kuning) dan SNF19A (putih).

    Katanya, kes disiasat mengikut Kaedah 6(1) LN166/59 bagi kesalahan memotong secara berbahaya.

    Hussin turut menasihatkan orang ramai agar lebih bersabar dalam pemanduan dan menjadi pemandu berhemah tanpa melakukan aksi yang boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri dan juga pengguna jalan raya lain.

    Terdahulu, dua video berdurasi 1 minit 17 saat dan 1 minit 58 saat tular di media sosial menunjukkan rakaman sekumpulan tujuh kereta mewah berkonvoi dan memotong kenderaan lain sehingga mendatangkan bahaya terhadap pengguna jalan raya. – BERNAMA