PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menuntut pihak berkuasa menghentikan segera ancaman ‘mat rempit’ untuk selama-lamanya memandangkan aktiviti lumba haram telah berlangsung selama beberapa dekad tanpa sebarang penyelesaian kukuh dalam menyelesaikan masalah sosial itu.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, kemalangan melibatkan kumpulan motosikal di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu baru-baru ini seharusnya menjadi masa yang sesuai untuk kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan bersama-sama mencari penyelesaian yang kekal bagi masalah itu.

Jelas beliau, kebanyakan pelumba haram jalanan (mat rempit) itu ialah golongan belia dan melakukan semua aksi di atas motosikal tanpa mengambil kira keselamatan mereka dan pengguna jalan raya lain.

Selain itu ujarnya, pelumba jalanan itu juga cenderung mengubah suai motosikal mereka menjadi mesin lumba dan pengubahsuaian tersebut dilakukan oleh pengusaha kedai motosikal.

“Oleh sebab itu, kerajaan mesti melihat untuk tidak membenarkan kedai-kedai ini daripada melakukan sebarang pengubahsuaian.

“Pasukan petugas pelbagai agensi perlu ditubuhkan untuk mempertimbangkan bagi menjenayahkan pengubahsuaian motosikal oleh pengusaha kedai.

“Motosikal yang dirampas yang terlibat dalam perlumbaan haram pula perlu dimusnahkan dan mat rempit mestilah diarahkan untuk melakukan tugas sosial seperti mana yang diamalkan oleh Singapura di bawah Perintah Kerja Pemulihan (CWO),” katanya dalam kenyataan hari ini.

jurucakap
Mohideen Abdul Kader

Menurut beliau, kebanyakan orang menyalahkan mat rempit kerana disiplin yang lemah di sekolah mahupun di rumah dan perkara itu boleh dikesan kembali kepada jenis sistem pendidikan yang dimiliki negara hari ini.

Katanya, disiplin perlu dipupuk sejak kecil sehinggalah anak-anak menjadi dewasa dan mereka membawa semua yang diperolehi di sekolah dan di rumah ke alam dewasa mereka dan ke dunia luar.

“Hari ini pihak polis menghadapi kesukaran untuk menguatkuasakan undang-undang kerana penguatkuasaan yang lemah selama ini dan kerana sikap berpuas hati dalam mendisiplinkan anak-anak oleh ibu bapa.

“Ibu bapa perlu bertanggungjawab terhadap anak-anak mereka dan mengambil tahu apa yang anak-anak mereka lakukan sepanjang masa.

“Mereka tidak boleh mengaku tidak tahu jika anak-anak mereka tidak tidur pada lewat malam sehingga awal pagi,” katanya.

Dalam pada itu tambah Mohideen, pihak berkuasa juga perlu mendidik ibu bapa muda mengenai perancangan keluarga dan keibubapaan yang baik.

Katanya, mereka mungkin bergelut untuk mencari nafkah demi memastikan kebajikan keluarga atau jika tidak anak-anak ini adalah daripada keluarga yang bermasalah.

“Pihak berkuasa juga perlu tegas dengan para ibu bapa dan menguatkuasakan undang-undang dengan sewajarnya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here