Category: Jenayah

  • Perompak bakar kedai, pukul pekerja hingga cedera parah

    Perompak bakar kedai, pukul pekerja hingga cedera parah

    SEORANG warga Indonesia yang bekerja di sebuah kedai runcit cedera parah dalam kejadian rompakan di Felda Tersang 1 di Raub pukul 2 pagi tadi.

    Pemilik kedai runcit, Ika Jalal, 38, berkata, pekerjanya Nur Hasanah, 42, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan muka akibat dipukul dengan besi oleh perompak yang memecah masuk ke kedainya. 

     Menurutnya, lebih menyayat hati apabila Nur Hasanah turut ditumbuk, dicampak ke dinding dan lantai, dijerut di leher serta tangan diikat dengan menggunakan pita pelekat.

    “Ketika kejadian Nur Hasanah tidur di kedai manakala saya berada di Temerloh untuk menghantar barang sebelum jiran menghubungi saya bagi memaklumkan kejadian kebakaran terbabit.

    “Saya bergegas pulang ke kampung dan terkejut apabila melihat kedai runcit yang diusahakan sekian lama musnah terbakar selain pekerja mengalami kecederaan parah akibat dipukul,” katanya kepada Astro AWANI

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed yang mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya menerima maklumat berlaku kejadian kebakaran kedai runcit dan terdapat seorang wanita meminta bantuan dengan kecederaan di kepala serta muka.

    “Mangsa mengatakan antara pukul 1 pagi hingga 2 pagi, terdapat seorang lelaki bertopeng memanjat bumbung dan masuk ke dalam kedai sebelum bertindak menyerangnya dengan menggunakan sebatang besi hingga menyebabkan kecederaan di kepala.

    “Suspek kemudiannya melarikan wang tunai sebanyak RM1,700 yang berada di kaunter kedai dan dua utas gelang emas milik mangsa. Mangsa diikat di tangan menggunakan pita pelekat dan melihat suspek bertindak membakar kedai. Mangsa berjaya melarikan diri dan meminta bantuan,” katanya.

    Beliau berkata, pihak polis giat menjalankan siasatan bagi mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 394/435 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merompak hingga mendatangkan cedera dan khianat dengan api.

    Sementara itu, Ketua Zon 3 Bomba Pahang, Shahrulnizam Nasir berkata, sebaik menerima panggilan sepasukan 15 pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub dan BBP Sungai Koyan bergegas ke tempat kejadian bagi membantu memadam kebakaran.

    “Setiba di lokasi kebakaran, kita mendapati terdapat dua buah kedai musnah terbakar.

    “Anggota bomba berusaha memadamkan api dengan menggunakan dua aliran hos dan satu aliran salur air tangki pam jentera bagi mengelak api dari merebak ke deretan kedai yang lain,” katanya.

    Beliau berkata, api dapat dikawal dalam tempoh 15 minit dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

  • 60 PATI ditahan, lima laras senapang angin rampas

    60 PATI ditahan, lima laras senapang angin rampas

    JABATAN Imigresen menahan 60 pendatang tanpa izin dan merampas lima laras senapang angin serta peluru bebola besi dalam satu operasi penguatkuasaan di Perkampungan Nelayan Kuala Gula, Bagan Serai tengah malam tadi.

    Ketua Pengarahnya Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata operasi itu dijalankan susulan aduan awam diterima mengenai kegiatan pendatang tanpa izin yang menjalankan tangkapan ikan di persisiran pantai sehingga menjejaskan nelayan tempatan.

    “Berdasarkan aduan itu kami telah menjalankan risikan, pemerhatian dan membuat penyamaran serta menggunakan dron untuk mengambil gambar di kawasan sukar ditembusi,” katanya pada sidang media operasi berkenaan, malam tadi.

    Operasi pada 11.30 malam itu membabitkan 90 anggota dan pegawai Imigresen Putrajaya dan Perak.

    Beliau berkata pihaknya menyerbu 15 premis diduduki 63 warga asing dan menahan 60 orang terdiri daripada 48 lelaki dan 11 wanita termasuk seorang kanak-kanak berusia 10 tahun tanpa dokumen pengenalan yang sah.

    “Daripada jumlah itu 37 orang adalah warganegara Myanmar dan 23 warganegara Indonesia berumur 25 hingga 50 tahun,” katanya.

    Khairul Dzaimee berkata 20 lagi pendatang asing berjaya meloloskan diri dengan menaiki dua bot berada kira-kira 400 meter dari perkampungan itu, di samping ada yang terjun ke laut untuk mengelak daripada ditahan.

    Beliau berkata pendatang tanpa izin berkenaan dipercayai dibawa masuk melalui jalan laut dan diambil bekerja sebagai nelayan serta pekerja kilang proses belacan di sini.

    “Kesemua mereka dibawa ke Depot Jabatan Imigresen di Langkap untuk siasatan lanjut,” katanya.

    Menurut Khairul Dzaimee, kesemua pendatang tanpa izin itu didakwa mengikut Seksyen 6(1) (c)Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini tanpa dokumen sah dan siasatan ke atas majikan mengikut Seksyen 56 (1) akta sama.

    — BERNAMA

  • Polis sahkan terima laporan ADUN Pahang guna bom ikan

    Polis sahkan terima laporan ADUN Pahang guna bom ikan

    POLIS mengesahkan menerima laporan berkaitan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pahang yang didakwa menggunakan bahan letupan untuk menangkap ikan di Sungai Sepia, Ulu Tembeling baru-baru ini.

    Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, laporan diterima pihaknya berkenaan kes itu yang tular dalam media sosial.

    Bagaimanapun pihaknya menyerahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk melakukan siasatan awal berhubung kes itu.

    “Pihak polis sedia maklum dan menyerahkan siasatan awal kepada Perhilitan. Kita hanya mengetahui kejadian ini menerusi media sosial,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Kejadian seorang pemimpin di negeri ini menggunakan bahan letupan untuk menangkap ikan di Sungai Sepia tular dalam Facebook baru-baru ini, dan membangkitkan kemarahan orang ramai.

    Netizen membidas perbuatan yang tidak beretika dan bertanggungjawab dilakukan ADUN bersama rakannya itu yang dipercayai ‘ketua’ dari sebuah agensi kerajaan menggunakan bahan letupan untuk menangkap ikan di sungai berkenaan.

    Sementara itu, pemilik akaun Facebook Pokmaq Kelah Emas dalam hantarannya mendakwa, ketika perjalanan untuk memancing ke Jeram Perahu dan Sungai Sepia pada 15 hingga 18 Julai lalu ‘terganggu’ apabila ada beberapa ‘orang kuat Pahang’ membaling bahan letupan ke dalam sungai.

    Katanya, Sungai Sepia antara anak sungai di Ulu Tembeling yang pernah menjadi laluan Pahlawan Melayu Mat Kilau ketika dikejar askar British dan kini menjadi syurga bagi pemancing ikan seperti kelah dan ikan liar lain.

    “Kejadian itu betul-betul di hadapan tapak khemah kami di Jeram Perahu. Selepas memarahi dan ditegur, mereka pulang semula ke tapak khemah mereka di bahagian hilir sungai,” katanya.

  • Tokan tak sempat ‘tolak barang’ dicekup

    Tokan tak sempat ‘tolak barang’ dicekup

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG lelaki disyaki pengedar dadah ditahan polis ketika sedang menunggu pelanggan di Kedawang, Langkawi kira-kira pukul 10 malam, kelmarin.

    Suspek berusia 50 tahun yang merupakan penganggur itu disyaki menjalankan pengedaran di sekitar Kampung Berjaya, di Langkawi.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata suspek berjaya ditangkap hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Langkawi.

    “Terdahulu sepasukan polis yang menjalankan Op Tapis terserempak dengan seorang lelaki yang mencurigakan di tepi dinding batu sebuah premis di kampung itu.

    “Suspek dipercayai pengedar dadah dan ditahan ketika menunggu pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan di Langkawi, hari ini.

    Shariman berkata, pemeriksaan menemukan tujuh peket plastik lutsinar berisi serbuk disyaki dadah jenis heroin seberat 212.96 gram (g) dan syabu 61g,” katanya.

    “Ujian saringan air kencing mendapati suspek yang juga penduduk tempatan positif dadah jenis morfin.

    “Suspek kini ditahan reman dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Penceramah bebas disyaki rogol remaja bawah umur diserah kepada polis KL

    Penceramah bebas disyaki rogol remaja bawah umur diserah kepada polis KL

    PENCERAMAH bebas yang disyaki merogol remaja perempuan berusia 14 tahun di negeri ini, akan diserah kepada Polis Kuala Lumpur esok, untuk siasatan lanjut berhubung kejadian rogol yang dilaporkan berlaku di Kuala Lumpur pula.

    Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi, berkata tempoh reman yang dipohon pihaknya terhadap lelaki berusia 30an itu, akan tamat esok.

    “Setakat ini laporan polis yang diterima membabitkan kes itu masih kekal empat iaitu dua di Selangor dan masing-masing satu di Kuala Lumpur dan Perak.

    “Polis menggesa sekiranya ada mangsa lain yang mendakwa menjadi mangsa, untuk tampil membantu siasatan pihak polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Berita Harian melaporkan, berdasarkan siasatan awal, perkenalan di antara suspek dan remaja bawah umur itu dipercayai bermula apabila mangsa menghubungi lelaki terbabit di media sosial bagi bertanyakan masalah agama sebelum hubungan terjalin sejak Mei tahun lalu.

    Katanya, polis turut menjalankan siasatan bagi melihat sama ada wujud unsur ugutan dilakukan suspek terhadap mangsa, susulan berlakunya beberapa hubungan intim sebelum ini.

    Jelasnya, polis juga masih menyiasat sama ada perwatakan baik suspek membuatkan mangsa percaya kepada lelaki itu sehingga disyaki berlakunya kejadian berkenaan (rogol).

    Media sebelum ini melaporkan seorang penceramah bebas popular ditahan pada Isnin selepas dipercayai terbabit dalam kes merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.

    Lelaki itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor pada pukul 4.50 petang.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

  • JPJ keluar 1,294 notis dalam Ops Khas Rentas Sempadan

    JPJ keluar 1,294 notis dalam Ops Khas Rentas Sempadan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 1,294 notis melibatkan pelbagai kesalahan menerusi Op Khas Rentas Sempadan JPJ di negeri ini dari 19 Julai hingga hari ini.

    Pengarah JPJ Johor, Azmin Zainal Adnan berkata, operasi selama empat hari itu diadakan hampir di semua daerah di negeri itu terutama di Johor Bahru, Muar, Segamat dan sepanjang Lebuhraya Utara Selatan.

    “Sebanyak 968 daripada 1,070 kenderaan yang diperiksa dalam operasi itu yang memfokuskan kenderaan perdagangan itu dikenakan tindakan.

    “Sebanyak 384 daripadanya membabitkan pemandu kenderaan perdagangan yang melakukan kesalahan seperti membawa lebih muatan atau muatan berbahaya, kesalahan teknikal dan memandu kenderaan berat di lorong kanan secara berterusan,” katanya.

    Sebanyak 968 daripada 1,070 kenderaan yang diperiksa dalam operasi itu yang memfokuskan kenderaan perdagangan itu dikenakan tindakan

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Op Khas Rentas Sempadan di tol Skudai, Johor Bahru, hari ini.

    Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusof dan Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff.

    Operasi yang julung kali diadakan itu membabitkan tiga negeri di selatan Semenanjung iaitu Johor, Negeri Sembilan dan Melaka dengan memfokuskan kenderaan perdagangan.

    Katanya, kesalahan membawa lebih muatan dan muatan berbahaya dikenal pasti paling tinggi dilakukan oleh pemandu kenderaan barangan.

    Kesalahan membawa lebih muatan dan muatan berbahaya dikenal pasti paling tinggi dilakukan oleh pemandu kenderaan barangan

    Katanya, kesalahan lain melibatkan memandu kenderaan berat di lorong kanan secara berterusan amat membahayakan pengguna jalan raya lain dan boleh menyebabkan kemalangan maut.

    Menurutnya, operasi itu turut memberi tumpuan kepada pemandu warga asing yang tidak mempunyai lesen memandu sah serta menyalahgunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) untuk tujuan perniagaan.

    Beliau berkata sebanyak 37 kenderaan dipandu warga asing melibatkan 19 warga Myanmar, Pakistan (lapan), Bangladesh (enam) dan Nepal (empat) disita.

  • Misteri kehilangan Zalina Azman: 20 November kali terakhir telefon bimbit aktif

    Misteri kehilangan Zalina Azman: 20 November kali terakhir telefon bimbit aktif

    KALI terakhir telefon bimbit bekas pembaca berita sebuah stesen televisyen, Zalina Shaharah Azman atau dikenali sebagai Zalina Azman dikesan aktif adalah pada 20 Nov tahun lepas, empat hari sebelum anak lelakinya cuba membuat panggilan kepada wanita itu. 

    Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata menerusi semakan dan siasatan dibuat, pihak polis berpendapat berkemungkinan Zalina hilang lebih awal daripada tarikh yang dilaporkan. 

    “Kalau anaknya tidak cuba telefon, kita pun tidak tahu dia hilang. Berkemungkinan Zalina telah hilang lebih awal, tapi tidaklah awal sangat sebab kita dah semak dan pada 20 Nov didapati telefonnya telah dimatikan (tiada rekod panggilan keluar atau masuk).

    “Sama ada kerana sudah habis bateri itu kita tidak dapat pastikan,” katanya kepada Bernama ketika melakukan lawatan di rumah wanita berusia 58 tahun itu bersama Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Senator Datuk Ras Adiba Radzi. 

    Mohd Iqbal berkata keadaan rumah Zalina Shaharah yang didapati tidak tersusun adalah disebabkan kediaman itu sedang dalam proses pengubahsuaian untuk menjadi sebuah galeri. 

    Sementara itu, dalam kenyataan beliau berkata polis kini sedang mengesan pekerja yang pernah melakukan kerja pengubahsuaian bagi membantu siasatan kes kehilangan bekas personaliti televisyen itu. 

    “Kita masih menjalankan siasatan, kini sedang mengesan pekerja-pekerja yang terlibat dalam pengubahsuaian kediaman itu (rumah Zalina) yang mungkin boleh membantu siasatan,” katanya.

    Beliau berkata setakat ini, seramai enam individu telah dipanggil dan dirakam keterangan sejak laporan polis mengenai kehilangan itu dibuat.

    Sebelum ini, Mohd Iqbal dilapor berkata Zalina Shaharah dipercayai masih berada di dalam negara susulan tiada pergerakan keluar membabitkan wanita itu yang dikesan pihak berkuasa setakat ini. 

    Pihak polis menerima laporan mengenai kehilangan itu daripada anak lelaki Zalina Shaharah, Mikhael Norman, 33, pada 29 Nov tahun lepas yang cuba menghubunginya sejak 24 Nov 2021 bagi memaklumkan datuk pengadu telah dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi. – Bernama

  • Ras Adiba akan minta kerjasama syarikat e-hailing cari Zalina Azman

    Ras Adiba akan minta kerjasama syarikat e-hailing cari Zalina Azman

    PENGERUSI Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Senator Datuk Ras Adiba Radzi akan mendapatkan kerjasama daripada syarikat e-hailing bagi membantu usaha pencarian rakan baiknya Zalina Shaharah Azman atau lebih dikenali sebagai Zalina Azman. 

    “Saya bersama suami dan beberapa sahabat ada berusaha dengan cara tersendiri bagi mencari Zal (Zalina Shaharah) tetapi selepas ini saya akan bersama syarikat e-hailing untuk mereka menguar-uarkan mengenai kehilangannya,” katanya kepada Bernama dan TV3. 

    Beliau ditemui ketika melakukan lawatan ke rumah bekas pembaca berita sebuah stesen televisyen itu di Seksyen 3 di Sham Alam bersama Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten komisioner Mohd Iqbal Ibrahim. 

    “Saya datang hari ini nak periksa sekiranya Zal ada pulang, tetapi ternyata rumah ini sama seperti yang mereka jumpa tahun lepas dan akan terus berdoa agar beliau masih selamat di luar sana,” katanya. 

    Ras Adiba ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pagi tadi bagi memberikan sedikit informasi kepada pihak polis berkenaan wanita berusia 58 tahun itu dan berharap sahabat yang lain dapat juga memberi kerjasama agar dapat memberi jawapan mengenai kehilangan bekas rakan sekerjanya itu.

    “Ramai yang cakap sudah terlalu lama (hilang) tapi bukan mudah untuk dapatkan jawapannya kalau ada orang hilang secepat mungkin tapi dengan sokongan semua, insya-Allah kita akan dapat sedikit maklumat di mana Zalina Azman berada dan bagaimana keadaannya. 

    “Sejak saya kenal dia dari awal 90-an beliau tidak ada sakit apa-apa. Memang sentiasa gembira tapi kita boleh lihat daripada gambar-gambar yang dikongsi nampak badannya telah susut.

    “Jadi ramai yang tanya sakit apa, adakah dia dalam kegusaran tapi saya kata tidak tahu sebab saya pun dah lama tak bertemu beliau seperti sahabat-sahabat yang lain jadi mereka yang prihatin di luar sana bantulah sama-sama mencari Zalina Azman,” katanya. 

    Isnin lepas, Mohd Iqbal dalam satu kenyataan berkata pihaknya menerima laporan daripada anak lelaki Zalina Shaharah, Mikhael Norman, 33, berkenaan kehilangan ibunya pada 29 Nov tahun lepas.  – Bernama

  • Polis cari pekerja ubah suai rumah Zalina

    Polis cari pekerja ubah suai rumah Zalina

    POLIS sedang mengesan beberapa pekerja yang dipercayai melaksanakan pengubahsuaian kediaman bekas personaliti TV3, Zalina Azman, di Shah Alam, sebelum ini.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim, berkata ia bagi membantu siasatan kes kehilangan Zalina atau turut dikenali sebagai Zally sejak November tahun lalu.

    Dalam usaha siasatan itu, beliau berkata, polis telah mengambil keterangan enam ahli keluarga Zalina, setakat ini.

    “Enam ahli keluarga (diambil keterangan bagi membantu siasatan) selepas laporan polis dibuat (berhubung kehilangan Zalina).

    “Bagaimanapun, (polis) masih menjalankan siasatan dan mengesan pekerja terbabit,” katanya kepada media, hari ini.

    Hasil tinjauan Berita Hariandi Jalan Ketiau, Seksyen 3, Shah Alam, Selasa lalu, mendapati keadaan rumah terbabit seolah-olah sudah lama ditinggalkan, manakala pagar kediaman itu dilihat seperti belum siap dibina.

    Pemilik pusat tahfiz yang berjiran dengan rumah Zalina, Mohammad Bokhari Shariff, 76, memaklumkan kerja pengubahsuaian kediaman berkenaan terhenti beberapa bulan sebelum kehilangan wanita itu dilaporkan.

    “Sebelum itu, saya melihat rumah terbabit sedang melalui proses ubah suai seakan-akan untuk dijadikan pejabat, namun kerja berkenaan terhenti beberapa bulan sebelum beliau dilaporkan hilang pada tahun lalu.

    “Saya mengetahui mengenai kehilangannya selepas polis datang menemui saya untuk mendapatkan maklumat berkaitan,” katanya.

    Malah, Mohammad Bokhari berkata, beliau dan jiran lain dapat melihat lampu di rumah Zalina terpasang seperti biasa setiap malam meskipun tiada penghuni, dipercayai kerana sudah dibuat tetapan automatik.

    Media sebelum ini melaporkan polis sedang giat mencari Zalina, 58, yang dilaporkan hilang selepas anak lelakinya, Mikhael Norman, 33, gagal menghubungi beliau sejak 24 November 2021 bagi memaklumkan bahawa bapa personaliti televisyen itu dimasukkan ke hospital.

  • Kanak-kanak didera guna penyangkut baju, penyapu dan pencucuh api

    Kanak-kanak didera guna penyangkut baju, penyapu dan pencucuh api

    DIPUKUL menggunakan penyangkut baju, kayu penyapu selain dicucuh pemetik api.

    Itu tindakan kejam pasangan suami isteri yang mencederakan anak angkatnya yang berusia empat tahun hanya kerana enggan makan nasi.

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit dari seorang lelaki pada pukul 12.40 tengah malam tadi.

    “Kejadian dipercayai berlaku pada 18 Julai lalu di sebuah rumah di Taman Perumahan di Beranang. Mangsa adalah anak angkat kepada pasangan suami isteri dicederakan atau didera oleh pasangan berkenaan.

    “Siasatan awal mendapati kejadian disebabkan mangsa tidak suka makan nasi dan suspek memaksa mangsa untuk menelan nasi sehingga termuntah serta kanak-kanak ini dikatakan hyper-aktif,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

    Mohd. Zaid berkata, mangsa adalah kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dan anak kepada warga Indonesia.

    “Kelahiran mangsa tidak pernah didaftarkan dan tiada apa-apa dokumen pengenalan diri. Mangsa kemudian diserahkan kepada suspek untuk dijaga sejak April lalu kerana ibu kandungnya tidak mampu menjaganya.

    “Mangsa dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan, doktor mengesahkan mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan,” katanya.

    Menurutnya, susulan laporan polis yang dibuat, pihaknya kemudian menahan pasangan suami isteri berusia 28 dan 30-an hari ini.

    “Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak kanak 2001.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor K Suresh ditalian 017-433 3795,” katanya.

    Terdahulu, tular video berdurasi 27 saat memaparkan seorang wanita memukul kanak-kanak menggunakan kayu penyapu.

    Kanak-kanak terbabit juga didapati mengalami lebam di bahagian badan.