Category: Jenayah

  • Sekumpulan warga emas ditahan berjudi tepi bendang

    Sekumpulan warga emas ditahan berjudi tepi bendang

    POLIS menahan sekumpulan warga emas yang sedang asyik bermain judi Pok Deng di bangsal di tepi sawah berhampiran Taman Bersatu, Kuala Kedah, di Alor Setar, selepas mengepung kawasan itu, pukul 4 petang tadi.

    Semua suspek yang berusia antara 50 hingga 73 tahun itu pada mulanya cuba menyorok di kawasan sawah namun berjaya ditahan pegawai dan anggota Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

    Operasi turut disertai Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

    Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd. Roze Shaari berkata, ketika serbuan dilakukan, terdapat 12 individu terdiri daripada 10 lelaki, seorang wanita tempatan dan seorang wanita Indonesia sedang asyik berjudi disyaki jenis Pok Deng.

    Beliau berkata, turut ditahan seorang lelaki disyaki penganjur berusia 57 tahun untuk membantu siasatan.

    “Polis merampas 52 keping daun terup, empat kerusi plastik hitam dan satu alas meja.

    “Turut dirampas wang tunai berjumlah RM5,948 yang dipercayai berkaitan dengan kegiatan itu.

    “Hasil siasatan mendapati mereka terbabit dalam kegiatan itu sejak tiga bulan lalu tetapi dalam seminggu mereka hanya bermain judi itu dua atau tiga kali,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

    Mohd. Roze berkata, kesemua mereka ditahan dan dibawa ke IPD Kota Setar untuk tindakan lanjut.

  • Kontraktor mengaku lempar mercun dalam sungai, bukan wakil rakyat

    Kontraktor mengaku lempar mercun dalam sungai, bukan wakil rakyat

    SEORANG kontraktor menafikan dakwaan menggunakan peledak letupan untuk menangkap ikan di Sungai Sepia, Ulu Tembeling di Jerantut, Sabtu lalu seperti yang tular dalam media sosial.

    Mohd. Rosli Awang, 44, mengaku melemparkan mercun bola ke sungai terbabit pada 16 Julai lalu dan bukan dilakukan seorang wakil rakyat seperti didakwa.

    “Sebanyak enam biji mercun dilemparkan ke dalam sungai itu tanpa arahan sesiapa dan daripada jumlah tersebut, dua sahaja yang meletup.

    “Saya sebenarnya nak mencuba sahaja tapi tak sangka meletup juga kerana dibaling ke dalam air.

    “Saya ingin memohon maaf kerana perbuatan ini telah menjejaskan ramai pihak, ia adalah kesalahan kali pertama dilakukan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Katanya, baki mercun telah diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Jerantut pada 17 Julai lalu.

    Ujarnya lagi, tindakan tersebut tiada kena-mengena dengan pihak lain khususnya wakil rakyat setempat yang dalam rangka lawatan kerja ke Ulu Tembeling pada 15 dan 16 Julai lalu.

    “Insiden ini tular dalam media sosial pada 18 Julai lalu, saya membuat laporan polis di Balai Polis Nilai, Negeri Sembilan pada Sabtu.

    “Laporan bagi menafikan penggunaan bom peledak untuk mendapatkan ikan dibuat di Negeri Sembilan kerana kebetulan saya ada kerja di sana,” jelasnya.

    Tegasnya, dalam insiden tersebut, wakil rakyat berkenaan langsung tidak terbabit dan tiada arahan untuk melemparkan mercun terbabit.

    Pada Khamis, media melaporkan sekumpulan pemancing kesal dengan tindakan individu yang membaling bahan letupan di Jeram Perahu dekat Sungai Sepia di Taman Negara di Jerantut pada Sabtu lalu.

    Pemancing yang enggan dikenali berkata, pada hari kejadian, tapak kem mereka dikunjungi satu rombongan yang terdiri daripada 20 orang termasuk tokoh-tokoh kenamaan.

  • Pengedar ditahan bersama heroin bernilai RM200,000

    Pengedar ditahan bersama heroin bernilai RM200,000

    POLIS menahan seorang lelaki bersama sejumlah 100 botol dadah disyaki jenis heroin bernilai RM200,000 di sebuah kedai makan di Kampung Gual Sitok, Pasir Mas, dua hari lepas.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata suspek yang berumur 23 tahun dikesan dalam Ops Tapis Sempadan selepas dia dilihat dalam keadaan mencurigakan pada pukul 2.36 pagi di dalam kedai berkenaan.

    Bercakap kepada pemberita dalam persidangan media di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu hari ini beliau berkata apabila diperiksa, polis menemukan satu beg plastik hitam pada tangan kiri suspek mengandungi 100 botol lutsinar serbuk keputihan disyaki dadah jenis heroin, yang setiap satunya bernilai sekitar RM2,000.

    Antara dadah yang dirampas bernilai RM200,000 di sebuah kedai makan di Kampung Gual Sitok, Pasir Mas, dua hari lepas. – Foto ihsan Facebook Polis Kelantan

    Sementara itu menurutnya Khamis lepas polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun dan merampas 2,000 biji pil Yaba di dalam sebuah kereta di hadapan sebuah rumah pada 5.06 pagi di Kampung Repek, Pasir Mas.

    Beliau berkata suspek yang bekerja sebagai buruh turut positif dadah jenis Methamphetamine serta mempunyai empat rekod jenayah lampau.

    Muhamad Zaki berkata Ops Tapis Sempadan yang dijalankan dari 21 hingga 23 Julai lepas di daerah-daerah bersempadan dengan Thailand, telah membawa kepada penahanan 34 orang atas pelbagai kesalahan, di samping merampas dadah bernilai RM230,165.–Bernama

  • Perhimpunan #Turun: 30 individu dipanggil polis

    Perhimpunan #Turun: 30 individu dipanggil polis

    PIHAK polis memanggil seramai 30 individu termasuk penganjur perhimpunan #Turun pada Sabtu untuk diambil keterangan.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, berkata individu yang dipanggil untuk hadir pada Isnin dan Selasa itu akan dimaklumkan identiti mereka selepas polis selesai merakamkan keterangan masing-masing.

    “Polis akan melengkapkan kertas siasatan sebelum sebarang tindakan lanjut akan diambil,” katanya, lapor Bernama.

    Semalam, media melaporkan polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 terhadap perhimpunan tersebut yang diadakan di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur.

    Perhimpunan yang diadakan semalam dihadiri kira-kira 100 individu terdiri daripada mahasiswa serta ahli politik, dipercayai tidak mematuhi peruntukan undang-undang.

  • Dera kanak-kanak perempuan: 11 individu diambil keterangan

    Dera kanak-kanak perempuan: 11 individu diambil keterangan

    SERAMAI 11 individu sudah diambik keterangan mereka bagi membantu siasatan polis bagi kes dera melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun di sebuah rumah di Beranang di Kajang, pada Isnin lalu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu.

    “Seramai 11 individu telah dirakam keterangan setakat ini, perkara lain masih dalam siasatan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Pada Jumaat, media melaporkan seorang wanita warga tempatan dan suaminya, warga Singapura berumur 28 dan 30-an ditahan bagi membantu siasatan kes terbabit.

    Polis turut bertindak menyelamatkan kanak-kanak perempuan itu pada pukul 2.30 pagi Jumaat.

    Siasatan awal mendapati kejadian berlaku akibat mangsa tidak suka makan nasi sebelum suspek memaksa kanak-kanak itu menelan nasi sehingga termuntah.

    Selain itu, mangsa dipercayai turut dipukul dengan penyangkut baju, batang penyapu dan juga dicucuh dengan pemetik api.

    Kanak-kanak perempuan itu telah dibawa Hospital Kajang bagi mendapatkan rawatan akibat kecederaan di beberapa bahagian tubuh badan.

    Mangsa merupakan anak kepada warga Indonesia dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri sebelum diserahkan di bawah penjagaan suspek sejak April lalu kerana ibu kandung tidak mampu menjaganya.

    Pasangan itu kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

  • Berang tumbuk bekas isteri selepas tak dapat jumpa anak

    Berang tumbuk bekas isteri selepas tak dapat jumpa anak

    SEORANG lelaki menumbuk bekas isterinya di sebuah rumah di Taman Melur, Ampang Jaya, semalam kerana tidak dapat berjumpa anaknya.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian berlaku pada 4.30 petang, ketika mangsa yang juga seorang peniaga pulang ke rumah dan mendapati keadaan di dalam rumahnya berselerak.

    Katanya, wanita berusia 47 itu kemudian pergi ke Balai Polis Pandan Indah untuk membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

    “Namun dia dimaklumkan oleh anaknya bahawa bekas suaminya berada di rumah. Pergaduhan berlaku selepas wanita berkenaan pulang semula ke rumah dan mangsa ditumbuk oleh suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohamad Farouk berkata, mangsa mengalami kecederaan di bahagian rahang kanan, kepala dan tengkuk.

    “Mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Ampang,” katanya.

    Beliau berkata, susulan daripada kejadian itu, sepasukan anggota polis dari unit kereta peronda (MPV) menahan suspek berusia 57 tahun pada 7.38 malam di rumah terbabit.

    “Polis turut merampas tiga paket plastik lut sinar disyaki dadah ganja dan hasil ujian air kencing ke atas dapati suspek positif dadah tetrahydrocannabinol (THC).

    “Suspek kini direman selama empat hari sehingga 27 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 18A 323 Kanun Keseksaan/ 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Sorok minyak masak peket, pasar raya diserbu

    Sorok minyak masak peket, pasar raya diserbu

    SEBUAH pasar raya di Kota Warisan, Sepang diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selepas dipercayai menyorok minyak masak bersubsidi kelmarin.

    Ketua Pengarah Penguat Kuasa Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, serbuan dijalankan berdasarkan aduan yang diterima daripada orang ramai berkaitan kegiatan pasar raya tersebut yang menyorok barang kawalan itu.

    “Pemeriksaan awal mulanya dilakukan oleh anggota penguat kuasa KPDNHEP yang berpakaian preman dan berjaya merungkai kegiatan pihak pasar raya tersebut.

    “Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati wujud perlakuan tidak beretika oleh peniaga iaitu menjual/membekalkan barang kawalan bersubsidi minyak masak peket secara penjualan bersyarat kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

    Katanya, pemeriksaan dijalankan turut mendapati pasar raya tersebut menyimpan sejumlah minyak masak bersubsidi peket 1kg di stor.

    “Sebanyak 1,944 unit minyak masak dan beberapa dokumen urus niaga berkaitan kemudiannya dirampas dengan melibatkan nilai sebanyak RM4,860.

    “Tindakan dijalankan di bawah Seksyen 19, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 13(1)&(2) Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.

  • Restoran hidang daging buaya seludup diserbu Perhilitan

    Restoran hidang daging buaya seludup diserbu Perhilitan

    SEPASUKAN pegawai Jabatan Taman Negara dan Hidupan Liar Semenanjung Malaysia (Perhilitan) menyerbu sebuah restoran di Bentong, Pahang kerana disyaki menawarkan hidangan istimewa daging buaya seludup dengan harga ratusan ringgit bagi setiap hidangan.

    Dalam operasi pada Jumaat, empat bungkusan yang disyaki berisi daging buaya ditemui dalam peti sejuk premis terbabit.

    Ketua Pengarah Perhilitan, Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kejayaan rampasan itu hasil Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) membabitkan 14 anggota Jabatan Perhilitan serta Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) Pahang.

    “Pemilik premis berusia 48 tahun gagal menunjukkan sebarang lesen sah memiliki daging haiwan dilindungi itu dari Jabatan Perhilitan.

    “Individu terbabit didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010. Susulan itu semua daging buaya itu dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya menurut FMT yang memetik laporan Harian Metro.

    Dalam kes berasingan, tiga lelaki tempatan ditahan di Bera, Pahang dan dua senapang angin buatan sendiri yang disyaki digunakan untuk aktiviti pemburuan haram dirampas.

    Kadir berkata, ketiga-tiganya ditahan dalam operasi di kawasan Tapak Ramsar dan rampasan itu hasil rondaan OBK membabitkan anggota Perhilitan Semenanjung Malaysia, JPSM Pahang, veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Orang Asli.

    “Ketika ditahan, mereka didapati menyimpan dua ekor hidupan liar disyaki pelanduk tanpa kebenaran Jabatan Perhilitan.

    “Turut dijumpai bersama suspek ialah dua laras senapang angin dan sebilah pisau. Satu laporan dibuat di Balai Polis Triang dan semua suspek serta barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan dan tindakan lanjut.”

    Dalam satu lagi serbuan di ladang sawit di Mersing, Johor pada Khamis lalu, tiga lelaki tempatan ditahan dan bahagian badan hidupan liar disyaki babi bodoh yang sudah dilapah dirampas.

    “Turut dirampas bahagian kepala hidupan liar disyaki babi bodoh itu. Semua suspek gagal menunjukkan dokumen kebenaran dari Jabatan Perhilitan untuk menyimpan bahagian hidupan liar berkenaan. Barang kes yang disita dibawa ke Pejabat Perhilitan Daerah Mersing untuk tindakan lanjut.”

  • 5 lelaki proses, bungkus air ketum ditahan polis

    5 lelaki proses, bungkus air ketum ditahan polis

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SERAMAI lima lelaki tempatan berusia antara 29 hingga 37 tahun ditahan polis di sebuah rumah di Sungai Ara, Bayan Lepas, Pulau Pinang semalam kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti memproses dan membungkus air ketum.

    Pejabat Polis Daerah Barat Daya dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook berkata, dalam serbuan ke atas rumah itu, pihaknya turut merampas sebanyak 200 bungkus disyaki air ketum yang siap diproses.

    Tambahnya, turut dirampas sebanyak dua bungkusan plastik hitam berisi daun ketum seberat 10 kilogram serta alat-alat untuk memproses dan membungkus air ketum.

    ”Beberapa batang pokok ketum yang ditanam berhampiran rumah terbabit turut ditebang,” demikian menurut kenyataan itu.

    Tambah kenyataan itu, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

    Jelasnya, orang ramai boleh menyalurkan maklumat sebarang kegiatan atau kejadian jenayah ke bilik Gerakan Polis Barat Daya ditalian 04-8664122, 0192238169 (WhatsApp) atau Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya melalui ‘messenger’.

  • Rasuah RM24 juta: Bekas CEO bank bergelar Datuk direman SPRM

    Rasuah RM24 juta: Bekas CEO bank bergelar Datuk direman SPRM

    SURUHANJAYA  Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah bank yang bergelar Datuk bagi membantu siasatan kes menerima rasuah berjumlah lebih RM24 juta sebagai balasan meluluskan pinjaman lebih RM294 juta yang dibuat sebuah syarikat tempatan.

    Suspek lelaki berusia lingkungan 50an itu merupakan suspek keempat yang ditahan selepas tiga individu termasuk seorang CEO wanita direman berkaitan kes sama pada 19 Julai lalu.

    Majistret R. Prabakaran telah membenarkan suspek keempat tersebut direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 25 Julai 2022 setelah pihak SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini.

    Di mahkamah sama, Majistret turut membenarkan suspek CEO wanita tersebut disambung reman selama tiga hari bermula hari ini manakala dua lagi suspek dibebaskan dengan wang jaminan RM15,000 setiap seorang, lapor Astro AWANI.

    Menurut sumber, bekas CEO lelaki berkenaan telah ditahan di rumahnya di Ipoh semalam (22 Julai) kira-kira jam 4 petang.

     Dalam pada itu, sumber sama berkata, setakat ini pasukan siasatan dikatakan telah berjaya mendapatkan kembali hampir keseluruhan wang berjumlah RM24 juta tersebut hasil sitaan wang serta aset walaupun kegiatan tersebut berlaku kira-kira 10 tahun lalu.

    Katanya, difahamkan pihak SPRM telah membekukan sebanyak 22 akaun bank milik individu dan syarikat berjumlah kira-kira RM6.3 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dalam kes ini.

    “Pasukan siasatan juga dikatakan telah berjaya mengesan wang milik suspek utama yang disimpan di negara jiran berjumlah kira-kira RM16.3 juta,” ujar sumber.

    Kata sumber lagi, kesemua wang berjumlah RM22.6 juta telah dibekukan untuk tindakan selanjutnya dan operasi ini masih giat dijalankan di sekitar Kuala Lumpur, Perak dan Sabah.

    Tambah sumber, wang tersebut berjaya dikesan setelah pasukan siasatan melakukan analisa data menjejak aset.

    Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLA) SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin, ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.