Category: Jenayah

  • Sisa buangan tidak diurus dengan baik, 2 kilang proses ikan dikompaun RM10,000

    Sisa buangan tidak diurus dengan baik, 2 kilang proses ikan dikompaun RM10,000

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    JABATAN Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengeluarkan kompaun sebanyak RM10,000 kepada dua buah kilang memproses ikan di Butterworth semalam selepas didapati gagal menguruskan sisa buangan terjadual.

    Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pemeriksaan ke atas kilang-kilang itu dibuat ekoran aduan bau busuk yang diterima daripada penduduk Taman Limbungan Indah.

    Katanya, penduduk mendakwa bau busuk itu mungkin berpunca daripada operasi yang dijalankan oleh kilang mengetin ikan di Limbungan Chain Ferry yang terletak tidak jauh dari kejiranan mereka.

    Bau busuk berpunca daripada operasi dijalankan kilang mengetin ikan di Limbungan Chain Ferry yang terletak tidak jauh dari penempatan

    “Siasatan JAS Pulau Pinang pada hari sama kemudian mendapati aduan penduduk berkenaan adalah berasas dan jarak antara kejiranan penduduk dengan premis kilang itu hanyalah sekitar 30 meter sahaja.

    “Justeru, operasi kilang memproses ikan berkenaan pastinya akan memberi kesan bau apabila angin bertiup ke arah kawasan perumahan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, kedua-dua kilang tersebut dikompaun mengikut Peraturan Buangan Terjadual 2005.

    kedua-dua kilang tersebut dikompaun mengikut Peraturan Buangan Terjadual 2005

    Ujar beliau, Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 juga diambil supaya pihak kilang mengambil tindakan segera bagi mengawal pencemaran bau tersebut.

  • Polis siasat kes kanak-kanak autisme didera di pusat terapi

    Polis siasat kes kanak-kanak autisme didera di pusat terapi

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KANAK-KANAK lelaki autisme yang didakwa ibunya didera seorang guru di pusat terapi di Skudai baru-baru ini sudah dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, langkah tersebut bagi mendapatkan penilaian khusus oleh pakar kanak-kanak terhadap status kesihatannya.

    “Sebelum ini selepas mendapat aduan perkara tersebut kanak-kanak tersebut telah dirujuk di Hospital Kulai untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

    Terdahulu pemilik akaun Facebook Cik Puan Zetty memuat naik hantaran berkenaan pengaduan polis oleh seorang ibu yang menyatakan anak lelaki autismenya didera di pusat berkenaan.

    Rupiah berkata, anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara mengesan hantaran daripada Facebook berkenaan pada semalam.

    Pihaknya sudah memanggil semua pihak yang terlibat dalam kes dera tersebut untuk membantu siasatan sebelum kertas siasatan diserahkan kepada pihak pendakwaraya.

    “Di peringkat ini pihak polis akan mendapatkan laporan perubatan mangsa secara rasmi sebelum kertas siasatan dikemukakan kepada pihak timbalan pendakwaraya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

    Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, jika disabit kesalahan boleh dipenjara maksimum sehingga 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

  • Love Scam:Bekas pengarah syarikat rugi RM5.29 juta

    Love Scam:Bekas pengarah syarikat rugi RM5.29 juta

    SEORANG wanita yang merupakan pengarah syarikat di Ipoh, Perak kerugian RM5.29 juta setelah ditipu seorang lelaki warganegara Amerika Syarikat yang dikenalinya di laman sosial ‘Online Dating’.

    Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata mangsa penipuan ‘Love Scam’ berusia 64 tahun itu telah membuat laporan polis hari ini.

    “Suspek memperkenalkan diri sebagai pekerja paramedik di Hospital California memperdayakan mangsa dengan menyatakan beliau (lelaki itu) menerima kontrak besar pembekalan peralatan perubatan bernilai US$22 juta dan perlukan dana modal permulaan serta berjanji ingin mengahwini mangsa,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

    Terpedaya dengan janji tersebut, Azmi berkata mangsa telah melakukan 120 transaksi pindahan wang ke dalam 14 akaun bank yang diberikan suspek secara berperingkat antara Januari hingga Jun 2022 berjumlah keseluruhan RM5.29 juta.

    “Mangsa telah menggunakan kesemua wang simpanan dan membuat pinjaman dengan Pemberi Pinjam Wang Berlesen. Semakan awal mendapati akaun bank yang terlibat (akaun lelaki itu) juga mempunyai rekod untuk beberapa kes penipuan menggunakan modus operandi yang sama,” katanya.

    Azmi berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – Bernama

  • Polis nafi terdapat usaha waris Sulu rekrut warga Lahad Datu

    Polis nafi terdapat usaha waris Sulu rekrut warga Lahad Datu

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan waris Kesultanan Sulu sedang aktif merekrut warga tempatan di Daerah Lahad Datu.

    Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, hasil siasatan dan risikan polis mengesahkan tidak wujud sebarang kumpulan yang merekrut rakyat warga Filipina berketurunan Sulu di Sabah.

    “Kita memandang serius isu tular dalam media sosial akhir-akhir ini berhubung dakwaan berkenaan.

    “Polis Sabah sedang menjalankan siasatan berkaitan satu kumpulan yang mengeluarkan dokumen diri Sulu Sultaniah Darul Islam (SSDI) dengan mengenakan bayaran tertentu.

    “Kumpulan ini adalah tindakan orang perseorangan yang mengambil kesempatan atas tujuan keuntungan peribadi,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Sehubungan itu, Idris berkata, PDRM Sabah meminta mana-mana pihak atau individu supaya tidak menyebarkan sebarang berita atau maklumat tidak sahih.

    Katanya, ia dibimbangi boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang awam di negeri ini.

    Sebelum ini, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendakwa terdapat kegiatan aktif yang dilakukan oleh pihak tertentu untuk merekrut warga tempatan di Lahad Datu.

    Ia didakwa merekrut dengan memberikan dokumen pengenalan diri yang dipercayai bagi kesultanan Sulu.

    Menurut Setiausaha MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, sukarelawan MHO di Sabah dimaklumkan berhubung perkara berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp.

    “Gerakan berkenaan memberikan dokumen pengenalan diri yang dipercayai bagi kesultanan Sulu dan juga perakuan taat setia individu-individu penduduk Sabah kepada kesultanan Sulu.

    “Hantaran WhatsApp itu turut mengandungi gambar seakan-akan dokumen identiti diri bagi Kesultanan Sulu dan juga perakuan taat setia individu-individu penduduk Sabah kepada Kesultanan Sulu,” katanya.

  • Polis tahan empat pengedar dadah anak beranak

    Polis tahan empat pengedar dadah anak beranak

    POLIS menahan empat beranak secara berasingan selepas disyaki terbabit dengan sindiket pengedaran dadah di Kuala Lumpur, pada Isnin.

    Pihak polis turut merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM328,385.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai memberitahu, menerusi serbuan pertama, pihaknya menahan seorang lelaki dan seorang wanita di sebuah unit kondominium di Jalan Kuching pukul 1.45 pagi.

    “Kami merampas 400 biji pil erimin 5, 140 biji ekstasi dan 5.9 gram ketamin selain merampas wang tunai berjumlah RM2,057 dipercayai hasil penjualan dadah.

    “Hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek, polis kemudian melakukan serbuan lagi di tempat letak kereta kondominium sama kira-kira pukul 4.30 petang, hari yang sama.

    “Kami menahan seorang lelaki berusia 47 tahun dan anak perempuan tirinya berusia 18 tahun dan pemeriksaan ke atas sebuah kereta, kami merampas 11,000 pil erimin 5, 200 pil ekstasi dan 250 gram ketamin,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di Kuala Lumpur, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Pihaknya turut merampas wang tunai RM7,000 dan hasil ujian air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah.

    Eng Lai berkata, serbuan ketiga dilakukan di sebuah rumah di Taman Indah Perdana, Kepong pada pukul 6.30 petang.

    “Kami menahan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun dan seorang wanita berusia 38 tahun yang juga isteri dan anak tiri suspek.

    “Kami turut merampas 200 gram ketamin dan 90 gram methylnedioxymethamphetamine (MDMA). Kami turut merampas wang tunai berjumlah RM40,000 yang dipercayai hasil jualan dadah,” katanya.

    Eng Lai berkata, siasatan awal mendapati empat beranak itu disyaki membekalkan dadah kepada suspek lelaki dan wanita yang ditahan dalam serbuan pertama.

    “Kesemua suspek direman tujuh hari bermula Rabu hingga Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

  • Indeks jenayah Johor turun 13.68 peratus

    Indeks jenayah Johor turun 13.68 peratus

    INDEKS jenayah di Johor mencatatkan penurunan sebanyak 13.68 peratus atau 42 kes dari Januari hingga Jun tahun ini iaitu 265 kes berbanding 307 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

    Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Zamri Yahya berkata, kejayaan itu membuktikan bahawa usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke arah penurunan kadar jenayah tercapai.

    “Daripada jumlah (265 kes) tersebut, sebanyak 130 kes juga telah berjaya diselesaikan,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Balai Polis Tampoi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara, Johor Bahru, hari ini.

    Turut hadir, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat.

    Zamri turut meminta semua pihak terutama orang awam supaya bersama-sama memainkan peranan membantu pihak polis menjaga keamanan dan ketenteraman awam.

    Beliau berkata, ini kerana usaha mencegah jenayah perlu dilakukan dengan kerjasama semua pihak dan tidak hanya diletakkan di bahu pihak polis semata-mata.

    “Masyarakat setempat, jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, jawatankuasa kerja kampung dan persatuan penduduk memainkan peranan masing-masing dalam mencegah jenayah.

    “Polis amat mengalu-alukan semua pihak untuk bekerjasama dalam menganjurkan aktiviti cegah jenayah bersama, sekali gus memupuk kesedaran ancaman jenayah kepada masyarakat,” katanya. – Bernama

  • Kes dua remaja mati dalam Alphard tiada kaitan penghuni kondo-Polis

    Kes dua remaja mati dalam Alphard tiada kaitan penghuni kondo-Polis

    POLIS mendapati dua remaja yang ditemukan mati dalam Toyota Alphard di ruang parkir sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras pada 29 Mei lalu, tiada kaitan dengan mana-mana penghuni kondominium berkenaan.

    Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, ini berdasarkan siasatan dan rakaman keterangan lebih 15 individu sepanjang tempoh siasatan dijalankan.

    Pihaknya setakat ini mendapati kedua-dua mangsa tiada kena-mengena dengan pemilik parkir atau penghuni di kondominium itu.

    “Kita sudah merakam keterangan ramai pihak termasuk ahli keluarga kedua-dua mangsa, kenalan mereka, pihak kondominium dan individu sekelilingnya yang dipercayai boleh membantu siasatan.

    “Semua keterangan itu perlu untuk kita mendapatkan kesimpulan kes bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR),” katanya pada sidang media selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Kontinjen Kuala Lumpur di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di Kuala Lumpur, hari ini.

    Istiadat penganugerahan itu disempurnakan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

    Mengulas lanjut, Azmi berkata, pihaknya juga masih menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Kimia mengenai punca kematian dua remaja terbabit.

    Beliau berkata, laporan itu mengambil masa memandangkan ia membabitkan agensi berbeza.

    Sebelum ini media melaporkan, polis menerima laporan kehilangan dua remaja yang masing-masing dibuat ahli keluarga di Klang dan Shah Alam, Selangor pada 23 dan 24 Mei lalu.

    Dua remaja itu kemudian ditemukan meninggal dunia dalam Toyota Alphard hasil maklumat daripada orang awam pada pukul 8.26 malam.

    Siasatan di lokasi menemukan mayat remaja perempuan di bahagian penumpang hadapan, manakala lelaki terbabit berada di bahagian penumpang belakang kenderaan pelbagai guna (MPV).

  • Selepas Selangor dan KL, penceramah bebas disyaki rogol gadis bawah umur direman di Perak

    Selepas Selangor dan KL, penceramah bebas disyaki rogol gadis bawah umur direman di Perak

    PENCERAMAH bebas yang disyaki merogol seorang remaja berumur 14 tahun diserahkan kepada polis Kontinjen Perak semalam, untuk tindakan lanjut.

    Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata ini susulan tempoh reman terhadap lelaki berusia lingkungan 30 an itu tamat semalam.

    “Individu itu telah dihantar ke Perak atas keperluan siasatan lanjut kes di sana dan kita akan melengkapkan siasatan sebelum dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam minggu ini,” katanya pada sidang media selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Kontinjen Kuala Lumpur di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur hari ini.

    Istiadat penganugerahan itu disempurnakan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

    Pada 18 Julai lepas, penceramah bebas itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor pada 4.50 petang dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

    DI IPOH penceramah itu direman selama lima hari bagi membantu siasatan kes tersebut.

    Lelaki berusia lingkungan 30-an itu yang memakai kemeja-T tiba dengan tangan bergari dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh pada kira-kira 1 tengah hari.

    Tempoh reman bermula hari ini sehingga Isnin dikeluarkan oleh Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut.

    Polis Perak sebelum ini mengesahkan menerima satu laporan berhubung kes rogol remaja perempuan dipercayai membabitkan seorang penceramah bebas popular, yang ditahan di Selangor pada 18 Julai lepas melibatkan mangsa sama dan siasatan sedang dijalankan berhubung laporan itu.

    Berdasarkan siasatan awal, perkenalan antara suspek dan remaja bawah umur itu dipercayai bermula apabila mangsa menghubungi lelaki terbabit di media sosial bagi bertanyakan masalah agama sebelum hubungan terjalin sejak Mei tahun lepas.

    Setakat ini terdapat empat laporan polis membabitkan individu itu iaitu dua di Selangor dan masing-masing satu di Kuala Lumpur dan Perak. – Bernama

  • 22 kakitangan awam rasuah di Melaka dikenakan tindakan

    22 kakitangan awam rasuah di Melaka dikenakan tindakan

    KETUA Menteri Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, sehingga kelmarin, seramai 22 penjawat awam pelbagai peringkat di Melaka sudah dikenakan tindakan selepas disahkan terbabit dengan rasuah.

    Katanya, daripada jumlah itu, 13 orang daripadanya ditahan pada tahun lalu manakala selebihnya tahun ini.

    “Jumlah yang terbabit rasuah itu kurang satu peratus daripada 5,675 penjawat awam di negeri ini, namun ia mampu memberi kesan negatif kepada nama baik kerajaan negeri.

    “Saya berharap semua penjawat awam supaya lebih menitikberatkan integriti dalam menjalankan tugas selain mempertingkatkan kualiti kerja demi kepentingan negeri dan rakyat keseluruhannya,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pelan Anti Rasuah Negeri Melaka (MACP) 2022-2026 sempena perhimpunan bulanan penjawat awam negeri di Auditorium Seri Negeri, di Melaka, semalam.

    Menurutnya, tindakan tegas termasuk menamatkan perkhidmatan akan dikenakan ke atas penjawat awam yang disahkan bersalah dalam kegiatan rasuah di Melaka.

    Sulaiman berkata, penjawat awam yang terpalit secara langsung atau tidak langsung dengan perbuatan rasuah bakal berhadapan dengan tindakan sejajar kesalahan dilakukan.

    “Kerajaan negeri tidak akan berkrompomi dengan penjawat awam yang didapati menggunakan kedudukan atau pengaruh untuk mengambil rasuah,” katanya sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

  • Kelindan lori hantar dadah ditahan polis

    Kelindan lori hantar dadah ditahan polis

    POLIS menahan seorang lelaki selepas didapati membawa dadah disyaki ganja menggunakan sebuah kereta di KM311.4 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, Selasa lepas.

    Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, lelaki berusia 44 tahun itu yang bekerja sebagai kelindan lori ditahan Polis Peronda Lebuhraya kira-kira pukul 3 petang selepas dikesan memandu secara berbahaya.

    “Hasil pemeriksaan ke atas kereta jenis Honda Accord berwarna putih itu menemukan bungkusan berwarna hitam yang di dalamnya mengandungi empat ketulan mampat berbalut plastik lut sinar berisi tumbuh-tumbuhan kering disyaki ganja.

    “Suspek berasal dari Bagan Serai itu dikenal pasti sebagai penghantar dadah dan disyaki dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Lembah Klang bagi menghantar dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah di Tapah, hari ini.

    Beliau berkata, lelaki itu direman hingga 2 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Siasatan sedang dilakukan bagi mengenal pasti ahli sindiket terlibat dan sumber dadah diperoleh.

    “Hasil saringan air kencing mendapati lelaki itu negatif dadah dan mempunyai satu rekod lampau berkaitan pengedaran dadah selain dua rekod berkaitan jenayah di bawah Seksyen 302 dan 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Beliau berkata, polis turut menyita kereta Honda Accord berkenaan untuk siasatan lanjut. manakala dadah seberat kira-kira empat kilogram itu dianggar bernilai RM10,000 dan boleh digunakan seramai 2,684 penagih. – Bernama