Category: Jenayah

  • Polis berkas lelaki toreh tangan kiri kenalan

    Polis berkas lelaki toreh tangan kiri kenalan

    POLIS menahan seorang lelaki selepas dipercayai menoreh tangan kiri kenalan lelakinya dengan pisau akibat perselisihan faham di hadapan sebuah salun di Batu 5, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai, pihaknya menerima laporan itu pada 9.17 malam dan siasatan mendapati ketika mangsa, 42, berselisih faham dengan seorang lelaki yang dikenalinya, 36.

    “Kejadian berlaku pada 4 petang semalam di mana punca kejadian adalah disebabkan suspek tidak berpuas hati dengan aduan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan penyelewengan wang yang dibuat oleh mangsa ke atas suspek.

    “Semasa pertelingkahan di tempat kejadian, suspek bertindak menoreh tangan kiri mangsa dengan menggunakan sebilah pisau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Eng Lai berkata, mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan.

    “Pemeriksaan pegawai perubatan mendapati mangsa mengalami kesan luka sedalam tiga sentimeter dan perlu menjalani pembedahan.

    “Bertindak atas siasatan, jam 11.50 malam tadi, polis menangkap suspek terbabit dalam kes ini di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul,” katanya sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

    Beliau berkata, suspek yang ditangkap mempunyai tiga rekod pelbagai kesalahan jenayah lampau.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.

    “Suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman bagi membantu siasatan,” katanya.

  • Suami isteri diberkas cuba seludup keluar 15.88 kg dadah ke Indonesia

    Suami isteri diberkas cuba seludup keluar 15.88 kg dadah ke Indonesia

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan suami isteri yang cuba menyeludup keluar sejumlah dadah ke Indonesia menerusi perairan Morib, Klang, pada 29 Julai lalu.

    Pihak APMM menemukan 15.88 kilogram (kg) dadah dipercayai jenis syabu yang dibungkus dalam bungkusan teh cina.

    Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim V. Siva Kumar berkata, pasangan warga tempatan berusia 46 dan 44 tahun itu ditahan pada 5.50 petang hasil risikan Maritim Selangor dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

    Menurutnya, ketika ditahan, pasangan berkenaan dipercayai sedang memindahkan dadah ke bot pancung yang akan menuju ke Indonesia menerusi perairan Morib.

    “Ketika pemeriksaan awal, pasukan operasi menemui sebuah kotak mengandungi 15 bungkusan teh cina berwarna hijau di dalam kenderaan yang digunakan pasangan berkenaan.

    “Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, bungkusan itu mengandungi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 15.88 kg yang dianggarkan bernilai RM 670,000,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, pasangan suami isteri itu dan kesemua bungkusan yang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Selangor untuk tindakan lanjut, sebelum diserahkan kepada Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan pengedaran dadah, jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup, yang mana boleh juga dikenakan hukuman sebat.

    “APMM memandang serius sebarang pelanggaran undang-undang dan tindakan tegas akan diambil demi memastikan kesejahteraan perairan negara sentiasa terpelihara.

    “Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, orang awam boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03- 31760627 atau talian kecemasan MERS 999 untuk tindakan segera,” katanya.

  • Pengawal keselamatan parah dilibas pedang

    Pengawal keselamatan parah dilibas pedang

    SEORANG pengawal keselamatan parah apabila kepalanya dilibas pedang oleh sekumpulan tiga lelaki dalam kejadian di tapak projek perumahan di Bukit Banyan dekat Sungai Petani, semalam.

    Mangsa yang berusia 58 tahun sebelum itu dikatakan menegur seorang lelaki dipercayai pekerja di tapak projek berkenaan dengan perkataan ‘hoi’ kerana dia menunggang secara berbahaya di kawasan terbabit.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, teguran itu dikatakan membuatkan suspek berang sebelum mangsa didatangi tiga lelaki tidak lama kemudian dalam kejadian pada 4.15 petang.

    “Ketika itu berlaku pertengkaran antara kedua-dua lelaki berkenaan dan suspek yang berang dikatakan mengambil sebilah pedang sebelum melibas kepala mangsa.

    “Berikutan itu, mangsa mengalami kecederaan di kepala serta tangan kiri dan polis yang menerima maklumat bergegas ke lokasi kejadian,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Menurutnya, susulan daripada itu seorang lelaki berusia 41 tahun berjaya ditahan pada 8 malam hari yang sama dan siasatan lanjut membawa kepada rampasan sebilah pedang dan pakaian yang digunakan suspek ketika kejadian.

    “Selain daripada itu, kita juga menahan seorang lelaki dipercayai rakan suspek berusia 37 tahun yang turut berada di lokasi kejadian ketika itu bagi membantu siasatan kes terbabit.

    “Bagaimanapun, siasatan lanjut untuk mengenalpasti motif sebenar kejadian masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Sementara itu, seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan selepas disyaki melibas kapak terhadap seorang lelaki ketika perarakan Chariot (pedati berhias) di Taman Ria Jaya di sini, awal pagi semalam dalam kejadian berasingan.

    Sumber berkata, suspek ditahan pada 1 pagi dan siasatan mendapati suspek ketika itu mencabut bunga pada patung kuil yang berada bawah khemah sebelum perbuatannya ditegur mangsa.

    “Berlaku pergaduhan antara mereka sebelum suspek yang berang dan tidak dapat mengawal diri mengambil kapak yang diselit di pinggang dan melibas ke arah mangsa.

    “Mangsa bagaimanapun sempat mengelak namun libasan kapak itu terkena bahu kanannya dan suspek juga turut mengugut akan mencederakan sekiranya terserempak mangsa di mana-mana tempat selepas itu,” katanya.

    Menurut sumber, suspek berjaya ditahan tidak jauh dari lokasi kejadian oleh sepasukan polis namun dia pada mulanya cuba bertindak agresif kerana mahu melarikan diri dan berlaku pergelutan.

    “Ketika ditahan suspek masih memegang kapak berkenaan dan tindakan pantas anggota polis berjaya menghalang lelaki terbabit daripada mencetuskan keadaan lebih buruk.

    “Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • 11,367 kes jenayah siber dari Januari hingga Julai tahun ini -Polis

    11,367 kes jenayah siber dari Januari hingga Julai tahun ini -Polis

    SEBANYAK  11,367 kes atau 61 peratus jenayah siber direkodkan dari Januari hingga Julai tahun ini, kata Timbalan Pengarah (Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial SAC Victor Sanjos. 

    Beliau berkata trend jenayah siber dari 2016 hingga Julai 2022 menunjukkan peningkatan daripada 39 peratus kepada 61 peratus.

    Terdapat enam jenis penipuan dalam talian iaitu Macau Scam, jenayah e-dagang, pinjaman tidak wujud, pelaburan tidak wujud, 419 scam atau love scam, dan memancing data (phishing).

    “Macau Scam atau panggilan penyamaran/penipuan sehingga kini merekodkan 4,912 kes melibatkan kerugian RM199.8 juta, jenayah e-dagang mencatatkan 5,397 kes dengan kerugian RM71.6 juta, dan e-financial fraud (penipuan kewangan dalam talian) atau phishing pula sebanyak 543 kes dengan kerugian RM40.5 juta,” katanya dalam webinar bertajuk ‘Duit dalam akaun bank anda lesap. Apakah puncanya dan langkah mencegahnya’ semalam.  

    Victor berkata wang dalam akaun bank hilang ini berlaku sejak wujudnya phishing dan internet selain pihak bank juga menawarkan perkhidmatan secara dalam talian.

     “Jadi apa yang dibuat oleh scammer adalah mereka mencipta satu laman web seakan-akan bank berkenaan.

    “Selaras dengan perkembangan teknologi, scammer terfikir untuk buat apps scam (aplikasi scam), ini biasanya satu taktik phishing yang digunakan scammers untuk mendapatkan nama, kata laluan dan maklumat lain tentang pengguna,” katanya.

    Beliau berkata selepas pengguna memuat naik aplikasi scam ini, aplikasi tersebut akan minta untuk mengambil alih peranan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan sekiranya pengguna membenarkan perkara tersebut maka ia memudahkan scammers untuk menjalankan aktiviti.

    Menurut Victor, antara modus operandi yang biasa digunakan scammers ialah iklan-iklan di platform media sosial – apps scam merekodkan 39 kes melibatkan kerugian RM721,728.69 oleh individu tertentu dari Januari hingga Julai 2022.

    “Mangsa sebenarnya yang melibatkan diri mereka tetapi kadang-kadang lupa bahawa mereka yang mendedahkan diri mereka,” katanya.

    Sementara itu, Pengurus (Bahagian Pertanyaan dan Aduan) Bank Negara Malaysia Vijayadurai Singgatore berkata BNM sentiasa menyeru orang ramai untuk cakna dengan tipu helah atau tawaran dibuat oleh scammer sama ada ia logik atau tidak.

    “Kita kena bijak guna teknologi, applikasi yang diberi melalui WhatsApp jangan mudah percaya, hyperlink yang diberi jangan main klik dan buat transaksi, itu mungkin perangkap,” katanya.

    BNM dan pihak industri perbankan juga sentiasa meningkatkan taraf keselamatan supaya pengguna yakin dengan keselamatan sistem yang ditawarkan.

    “Sekarang perbankan internet siap dengan gambar kena sepadan, captcha. Dalam masa sama ada banyak bank sudah meningkatkan tahap keselamatan dengan membuat ikatan peranti (device binding) iaitu sekiranya pengguna mahu buat perbankan internet, mesti guna peranti yang didaftarkan,” katanya.

    Ketua pegawai eksekutif AmBank Islamic Eqhwan Mokhzanee Muhammad berkata sekiranya pengguna terlibat dengan aktiviti scam, mereka harus menghubungi pihak bank terlebih dahulu supaya akaun mereka dapat dibekukan serta-merta sebelum membuat laporan polis.

    “Apabila pelanggan mengesyaki dia ditipu, lihat duit sudah hilang, saya menyarankan pelanggan untuk menghubungi pihak bank di talian khidmat pelanggan dan pada masa sama saya menyeru pelanggan untuk tukar nombor pin kad ATM dan juga kata laluan akses perbankan internet,” katanya. – Bernama

  • Polis kesan pelajar bergaduh di perhentian bas

    Polis kesan pelajar bergaduh di perhentian bas

    POLIS sedang mengesan sekumpulan pelajar yang dirakam terbabit dalam pergaduhan di perhentian bas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Usukan Kota Belud, Sabah.

    Ketua Polis Daerah Kota Belud, Suprintedan Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya mengesan video berdurasi 36 saat berkaitan pergaduhan yang kini tular itu, semalam.

    Menurutnya, hasil siasatan awal dijalankan mendapati kejadian tersebut berlaku kelmarin kira-kira pukul 1.30 petang.

    “Pihak IPD Kota Belud mengambil tindakan mengesan semua pelajar terbabit bagi memberi keterangan dan membantu siasatan.

    “Punca sebenar pergaduhan masih dalam siasatan da kes disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Shahrudin menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu.

    Tambahnya, ini bagi mengelak sebarang kekeliruan dan kegusaran masyarakat serta dikhuatiri boleh mengganggu siasatan polis.

  • Polis tumpaskan geng pecah masuk premis

    Polis tumpaskan geng pecah masuk premis

    POLIS berjaya menumpaskan geng pecah masuk premis perniagaan susulan tertangkapnya lima lelaki di sekitar Klang semalam.

    Semua suspek itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis (IPD) Klang Selatan di dua rumah di Bandar Bukit Tinggi, Klang dan Taman Saujana Jati pukul 8 malam.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, selain peralatan alat pecah rumah, polis merampas pelbagai barangan disyaki hasil jenayah antaranya minuman keras.

    “Semakan mendapati kesemua suspek berusia lingkungan 36 hingga 56 tahun itu mempunyai pelbagai rekod lampau atas kesalahan jenayah dan dadah.

    “Suspek kini direman enam hari sehingga Rabu depan untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti pembabitan dalam kes-kes lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

    “Peniaga dinasihatkan untuk meningkatkan kualiti keselamatan termasuklah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di premis masing-masing,” katanya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

  • Waspada penipuan SMS guna ‘GOV’

    Waspada penipuan SMS guna ‘GOV’

    ORANG ramai diminta berwaspada dan tidak terpedaya jika menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada ID penghantar ‘GOV’ menggunakan nama organisasi MySejahtera yang memaklumkan pengguna bahawa bantuan khas kewangan telah dikreditkan ke akaun Touch ‘n Go (TNG) eWallet mereka.

    Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata terdapat penyalahgunaan ID penghantar ‘GOV’ apabila pihak tidak bertanggungjawab telah memanipulasikan ID penghantar tersebut untuk tujuan penipuan. 

    “Peringatan ini dikeluarkan sejajar dengan penafian oleh pihak MySejahtera berkenaan pesanan SMS palsu berkaitan pemberian bantuan kewangan kepada orang ramai,” kata MCMC dalam kenyataan hari ini.

    Untuk makluman, hebahan SMS melalui ID penghantar ‘GOV’ dikhususkan bagi membuat pesanan khidmat awam (PKA) berkenaan inisiatif oleh kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat.

    MCMC berkata tindakan sekatan telah diambil ke atas akses pautan palsu tersebut.

    MCMC berkata individu yang didapati menyebarkan maklumat palsu boleh dikenakan tindakan perundangan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.- BERNAMA

  • KPDNHEP rampas diesel bersubsidi RM186,000

    KPDNHEP rampas diesel bersubsidi RM186,000

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka melakukan serbuan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Krubong, di Melaka, semalam dan merampas diesel bersubsidi dianggarkan bernilai RM186,000.

    Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, serbuan pada pukul 2 petang itu diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan premis berkennaan dipercayai dijadikan stor haram bagi penyimpanan diesel.

    “Menerusi serbuan itu lima pekerja premis terdiri daripada tiga lelaki tempatan dan dua warga asing berusia 20-an hingga 40-an ditahan ketika leka memindahkan diesel ke dalam tangki utama simpanan di stor berkenaan.

    “Semasa serbuan semua suspek bertempiaran cuba meloloskan diri melalui pintu khas di belakang kabin yang dijadikan tempat tinggal, namun gagal berikutan premis itu dikepung polis.

    “Siasatan mendapati modus operandi digunakan adalah membuat isian antara RM300 hingga RM500 di stesen minyak sekitar Melaka dengan menggunakan lori satu atau tiga tan yang dipasang tangki khas berkapasiti 1,000 liter serta ditutup menggunakan kanvas.

    “Tangki itu kemudian akan diisi diesel bersubsidi sebelum dijual di pasaran gelap pada harga lebih RM4 seliter berbanding harga industri RM5.15 seliter dan mengaut keuntungan mudah lebih RM2 seliter,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Katanya, pekerja terbabit mendakwa premis baru beroperasi kira-kira tiga bulan, namun hasil pemantauan dan risikan sejak dua minggu lalu, premis itu disyaki aktif sejak enam bulan lalu.

    Malah katanya, premis tersebut turut mempunyai rumah pekerja yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk pendingin hawa.

    Norena berkata, keseluruhan rampasan membabitkan 12,000 liter diesel bernilai RM25,800, sebuah lori tangki berkapasiti 10,000 liter, dua tangki simpanan minyak kapasiti 20,000 liter setiap satu, paip penyambung dan 20 tangki tambahan berkapasti 20,000 liter.

    Katanya, diesel yang disita itu ditemui dalam tangki tambahan lori yang digunakan serta tangki minyak (skid tank) dan semua barangan disita dibawa ke stor KPDNHEP Melaka.

    “Kita syaki premis itu bukan saja stor simpanan, malah tempat jualan yang mana prosesnya cukup mudah, lori sampai terus sambung pada hos untuk sedut minyak dari tangki diesel.

    “Justeru KPDNHEP Melaka memberi amaran tegas kepada pihak industri agar tidak membeli diesel secara haram kerana kami tahu siapa mereka.

    “Beberapa stesen minyak di negeri ini kini di bawah ‘radar’ KPDNHEP kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket penyeludupan minyak,” katanya.

    Norena berkata, pekerja stesen minyak juga diminta peka untuk memeriksa jika melihat lori sama berulang kali membuat isian di premis mereka kerana modus operandi sindiket ini menggunakan lori ditutup dengan kanvas bagi melindungi tangki tambahan.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

  • Cubaan seludup 3 kontena minuman keras RM1.57 juta gagal

    Cubaan seludup 3 kontena minuman keras RM1.57 juta gagal

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah, berjaya mematahkan satu cubaan menyeludup tiga kontena minuman keras dalam pemeriksaan di Pelabuhan Sepanggar, di Kota Kinabalu pada 29 Julai lalu.

    Dalam operasi pukul 10.50 pagi itu, semua minuman keras sebanyak 9,000 kotak yang berjaya dirampas dianggarkan bernilai keseluruhan RM1.568 juta termasuk cukai.

    Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Sabah, Julaiman Soimin berkata, kejayaan adalah hasil daripada pemeriksaan yang dibuat menerusi mesin pengimbas terhadap ketiga-tiga kontena berkenaan.

    Katanya, semua ketiga-tiga kontena berkenaan diisytiharkan sebagai barang dagangan lain temasuk tisu dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

    “Bagaimanapun, hasil imbasan imej yang meragukan, semua kontena berkenaan didapati berisi minuman keras yang dianggarkan bernilai RM658,000 dan melibatkan jumlah cukai RM910,000 juta.

    “Setakat ini, tiada sebarang tangkapan berjaya dilakukan dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967,” katanya lapor Berita Harian.

    Julaiman berkata, JKDM Sabah amat komited dalam usaha menangani sebarang aktiviti yang melibatkan penyeludupan.

    Sementara itu, Julaiman berkata, masyarakat digesa supaya membantu pihak JKDM dalam usaha memerangi jenayah penyeludupan khususnya membabitkan rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.

    Katanya, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membabitkan diri dengan aktiviti penyeludupan yang bukan saja merugikan hasil negara tetapi juga mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

    “JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau hadir ke mana-mana pejabat JKDM yang terdekat.

    “Pihak JKDM juga memberi jaminan, identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya.

  • Bestinet nafi CEO,pegawai ditahan SPRM

    Bestinet nafi CEO,pegawai ditahan SPRM

    BESTINET Sdn Bhd menafikan dakwaan bahawa pengasasnya, Amin Abdul Nor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dalam siasatan terhadap syarikat teknologi maklumat (IT) itu.

    Ia berikutan mesej tular di WhatsApp yang mendakwa Ketua Pegawai Eksekutif, ketua pegawai teknologi firma itu serta Amin ditahan pihak berkuasa.

    Dalam kenyataan media syarikat itu menegaskan untuk tidak mengulas mengenai siasatan sedang dijalankan.

    “Bestinet juga ingin menyatakan bahawa dakwaan yang anda kongsikan mengenai Dato Sri Amin Abdul Nor adalah palsu dan tidak tepat,” kata kenyataan itu lapor FMT.

    Pihaknya yakin, syarikat dan kakitangannya bersih daripada segala dakwaan dibuat terhadap firma itu, dengan menyatakan, ia mengekalkan tadbir urus sangat ketat mengenai etika perniagaan dan tidak bertolak ansur terhadap rasuah.

    “Syarikat mementingkan akauntabiliti dan ketelusan dalam menjalankan aktiviti perniagaannya pada setiap masa, komited sepenuhnya untuk bertindak sebagai kuasa positif dalam semua pasaran yang diusahakannya.”

    Pada 6 Julai, Bestinet mengesahkan SPRM menyerbu pejabatnya sehari sebelumnya dan berkata, mereka memberi kerjasama sepenuhnya terhadap siasatan pihak berkuasa mengenai dakwaan rasuah dan salah guna kuasa berhubung pemilihan 25 agensi Bangladesh untuk pengambilan pekerja asing.

    Bestinet ialah pembekal sistem IT untuk pengambilan pekerja dari semua negara sumber.

    Sebuah agensi buruh di Dhaka sebelum ini menuduh pengasas Bestinet “memujuk” kerajaan untuk mengehadkan bilangan agensi yang membekalkan buruh kepada 25 sahaja.

    Semalam, SPRM menahan lapan individu termasuk ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat IT kerana didakwa menerima rasuah daripada majikan dan ejen berhubung pengambilan pekerja asing.

    Hari ini, agensi anti-rasuah itu menahan dua lagi individu termasuk pemilik sebuah agensi pekerjaan, berhubung siasatan sedang dijalankan.