Category: Jenayah

  • Dera anak angkat, polis tahan wanita warga emas

    Dera anak angkat, polis tahan wanita warga emas

    POLIS menahan seorang wanita warga emas tengah malam tadi kerana disyaki mendera anak angkatnya secara mengheret kanak-kanak itu dengan menarik rambutnya, di atas jalan berhadapan rumahnya di Tanjung Sepat, Kuala Langat.

    Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @Saleh berkata wanita itu ditahan di rumahnya pada pukul 12.10 tengah malam tadi selepas pihaknya menerima laporan orang awam, di samping mengesan klip video berdurasi 33 saat melalui aplikasi Whatsapp berhubung kejadian itu.

    Beliau berkata video itu memaparkan suspek menarik rambut kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun yang memakai baju sekolah dengan tangan dan mengheretnya di atas jalan berhadapan rumahnya.

    “Suspek merupakan warga tempatan dan kanak-kanak itu adalah anak angkat berdaftar kepada suspek serta dipercayai tinggal bersamanya sejak kecil,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Menurutnya soal siasat mendapati kejadian berlaku kerana suspek dikatakan marah terhadap kanak-kanak itu kerana dipercayai beberapa kali telah mencuri wang suspek.

    Ahmad Ridhwan berkata kanak-kanak itu telah dibawa ke Hospital Banting untuk mendapatkan rawatan dan pegawai perubatan mengesahkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala. 

    “Suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah  Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.- BERNAMA

  • Tiga lelaki gagal curi 11 tual cengal bernilai RM80,000

    Tiga lelaki gagal curi 11 tual cengal bernilai RM80,000

    JABATAN Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) berjaya menggagalkan cubaan tiga lelaki untuk membelah 11 tual balak spesies cengal bernilai lebih RM80,000 secara haram di Kuantan, semalam.

    Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa) JPNP Nor Azirim Ahmad berkata, tiga lelaki berusia 34 hingga 55 tahun itu dipercayai mahu menggunakan kayu berkenaan bagi menghasilkan pelbagai produk hiasan seperti meja dan kerusi.

    “Hasil aduan awam pasukan Unit Penguat kuasa (UPK) Zon Pahang Timur JPNP melakukan semakan di kawasan terbabit yang terletak dalam hutan tanah kerajaan berhampiran dengan padang golf bertaraf antarabangsa.

    “Pemeriksaan pihaknya menemui beberapa longgok balak yang tidak mempunyai dokumen yang mengesahkan hasil hutan berkenaan dimiliki secara sah oleh pihak tertentu,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Katanya, pada masa sama ketika serbuan dilakukan dua lelaki terbabit sedang melakukan aktiviti membelah balak bernilai tinggi itu dengan menggunakan dua unit mesin gergaji berantai yang telah diubah suai.

    Jelasnya, teknik membelah balak digunakan ialah dengan menggunakan batang besi bagi menyokong serta menampung mesin gergaji berantai yang digerakkan secara manual.

    Beliau berkata, salah seorang lelaki yang ditahan mendakwa dia mengusahakan tapak semaian dan mengupah dua lelaki untuk melakukan kerja membelah balak terbabit.

    Nor Azirim berkata, soal siasat dilakukan terhadap tiga lelaki terbabit mendapati 11 tual balak yang ditemui tidak mempunyai dokumen yang dapat mengesahkan hasil hutan itu milik mereka secara sah.

    “Aduan awam diterima mendakwa melihat sebuah lori membawa muatan balak berkenaan pada malam kelmarin secara haram.

    “Anggota UPK Timur akan membuat pemeriksaan lokasi hutan tempat pokok Cengal berkenaan ditebang, kita percaya ia terletak hampir dengan tempat penemuan longgokan balak terbabit,” katanya.

    Beliau berkata, laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan 11 tual balak disita, pemantau barang kes dilakukan UPK Pejabat Hutan Daerah (PHD) Kuantan, Pekan dan Maran.

  • Remaja 17 tahun ‘buku lima’ pemain lawan ketika bermain futsal

    Remaja 17 tahun ‘buku lima’ pemain lawan ketika bermain futsal

    HANYA kerana tidak puas hati semasa bermain futsal, seorang pelajar lelaki cedera di badan dan tangan dalam kejadian pergaduhan di gelanggang futsal di Tasik Tambahan, Ampang, kelmarin.

    Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, remaja berusia 17 tahun ditumbuk suspek berusia 17 tahun menggunakan senjata ‘buku lima’.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, berdasarkan siasatan mangsa bersama rakan sekolah bermain futsal dengan satu kumpulan dari sekolah yang lain.

    “Semasa permainan, mangsa melihat salah seorang pemain dari pasukan lawan membuat serangan di bahagian kaki menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka.

    “Suspek yang juga rakan kepada pemain itu kemudian menghampiri mangsa sambil memegang buku lima, lalu menumbuk bahagian rusuk kiri dan siku mangsa.

    “Suspek sama juga dikatakan cuba menumbuk adik mangsa namun sempat ditarik oleh mangsa,” katanya, lapor Harian Metro.

    Bertindak atas laporan, beliau berkata, sepasukan polis ke lokasi dan menahan suspek serta merampas satu rantai basikal yang sudah diubah suai.

    Mohamad Farouk berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan masih bersekolah.

    “Siasatan mendapati, punca kejadian itu adalah disebabkan tidak berpuas hati kerana menendang kaki semasa bermain futsal,

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya sekali,” katanya.

  • 6 PATI dicekup selepas MPV dinaiki gagal melarikan diri

    6 PATI dicekup selepas MPV dinaiki gagal melarikan diri

    SEORANG tekong darat yang dipercayai membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza diberkas polis dalam kejadian di Taman Mesra, Gua Musang, pukul 9.30 pagi semalam.

    Semua suspek diberkas semasa anggota polis menjalankan pemeriksaan mengejut di Jalan Gua Musang-Lepan Jaya yang ternampak sebuah MPV jenis Perodua Alza membuat pusingan U dalam keadaan mencurigakan.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, anggota bertugas telah mengekori kenderaan yang dipandu suspek berusia 45 tahun itu sehingga berjaya ditahan di Taman Mesra.

    “Semasa proses tangkapan dibuat telah berlaku pergelutan antara polis dan suspek.

    “Hasil pemeriksaan menjumpai dua wanita dan empat lelaki warga Myanmar berusia 19 hingga 30 tahun di bahagian penumpang belakang.

    “Kesemua mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan masuk ke negara ini secara sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Katanya, suspek dipercayai dalam perjalanan membawa PATI tersebut ke Kuala Lumpur.

    Kes tersebut disiasat bawah Seksyen 26 J Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007, Seksyen 6(1) ( c) Akta Imigresen dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Isu LCS: SPRM lengkapkan siasatan, saran pertuduhan beberapa individu

    Isu LCS: SPRM lengkapkan siasatan, saran pertuduhan beberapa individu

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah pun melengkapkan siasatan terhadap beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan dakwaan penyelewengan projek kapal tempur pesisir (LCS).

    SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan, kertas siasatan tersebut telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

    “SPRM turut menyarankan kepada AGC untuk mempertimbangkan pertuduhan terhadap beberapa individu.

    “SPRM akan menerima arahan lanjut hasil daripada kajian AGC terhadap kertas siasatan tersebut,” katanya dalam kenyataan itu, lapor Utusan TV.

    Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta SPRM menyegerakan siasatan berhubung isu LCS yang hangat diperkatakan.

    Perkara tersebut dibincang secara terperinci dan diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

    Sekiranya terdapat bukti kukuh, Perdana Menteri menegaskan Peguam Negara perlu membuat pendakwaan dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

    Malah, Perdana Menteri memaklumkan telah memanggil Peguam negara, Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki selepas mesyuarat Jemaah Menteri untuk segera bertindak selaras keputusan mesyuarat.

    Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam kapal LCS bagi kegunaan TLDM bernilai RM9 bilion.

    Melalui laporan PAC itu, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

    PAC dalam laporannya berhubung projek itu turut memaklumkan kajian daya maju (due diligence) yang dilakukan kerajaan terhadap syarikat BNS untuk pembinaan lima kapal LCS TLDM gagal mengesan masalah kewangan syarikat itu.

    Ia dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu.

  • Syarikat pembungkus diserbu, minyak masak bernilai RM150,000 dirampas

    Syarikat pembungkus diserbu, minyak masak bernilai RM150,000 dirampas

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan merampas 60,000 kilogram (kg) minyak masak bernilai RM150,000 dalam serbuan ke sebuah syarikat pembungkus minyak masak polibeg bersubsidi di Senawang, di sini semalam.

    Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri Abd Muis Samsudin berkata serbuan menerusi Op ATM (ayam, telur, minyak masak) dan Op Anti Sorok kira-kira 11.30 malam itu turut menyita sebuah lori tangki yang berada di tempat kejadian dengan keseluruhan rampasan berjumlah RM400,000.

    “Ketika serbuan didapati sebuah lori tangki mengandungi kira-kira 30,000kg minyak masak sedang menunggu untuk dipindahkan ke tangki simpanan. Pemeriksaan lanjut turut mendapati terdapat stok simpanan minyak masak sebanyak 30,000kg dalam tangki di premis tersebut.

    “Bagaimanapun, apabila semakan terhadap buku penyata stok bekalan minyak masak dilakukan, jumlah baki dalam simpanan yang dinyatakan hanya sebanyak 5,350kg,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata susulan itu syarikat terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu gagal menyelenggara buku penyata stok barang kawalan bersubsidi serta memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual melebihi had kuantiti dibenarkan dalam lesen.

    Abd Muis berkata siasatan menyeluruh juga akan dilakukan untuk mengesan sekiranya terdapat unsur penyelewengan dalam rantaian pengedaran minyak masak polibeg satu kg daripada syarikat itu.

    Menurutnya, kejayaan kes itu hasil pemantauan dan risikan yang dijalankan KPDNHEP Negeri Sembilan bagi membanteras aktiviti penyelewengan dan ketirisan barang kawalan bersubsidi terutama minyak masak polibeg satu kg sekali gus memastikan ia boleh dinikmati golongan sasaran.

    Beliau mengingatkan para peniaga supaya mematuhi undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan selain pengguna juga diminta menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan peniaga yang tidak mematuhi undang-undang kepada pihak berkaitan. – BERNAMA

  • Amar Singh nafi dakwaan RPK bawa teman wanita serbu rumah Najib

    Amar Singh nafi dakwaan RPK bawa teman wanita serbu rumah Najib

    BEKAS pegawai polis berpangkat tinggi, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh menafikan dakwaan teman wanitanya hadir dalam serbuan di rumah Datuk Seri Najib Razak pada Mei 2018 dan mengambil sebuah beg yang dirampas polis.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman itu berkata, beliau akan membuat laporan polis terhadap Raja Petra Kamaruddin, susulan dakwaan penulis blog kontroversi itu yang dikenali sebagai RPK di portalnya, Malaysia Today.

    Menyifatkan rampasan di rumah bekas perdana menteri itu sebagai “serbuan terbesar dalam sejarah polis”, Amar Singh berkata, rekod terperinci dibuat berhubung barang yang dirampas polis dan tiada wanita awam berada di sana atau sebarang barang dikeluarkan.

    Beliau dalam kenyataan berkata, serbuan itu dijalankan bersama beberapa timbalan dan penolong pengarah polis serta kira-kira 70 pegawai dari pelbagai jabatan seperti JSJK, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Unit Tindakan Khas (UTK).

    Katanya, beliau sengaja menubuhkan pasukan serbuan itu yang terdiri daripada jabatan berbeza bagi mengelakkan dakwaan palsu dibuat kelak.

    “Tidak mungkin ada apa-apa boleh melalui pasukan ini tanpa disedari sesiapa. Lebih-lebih lagi pasukan ini baru bertemu pada hari serbuan dijalankan. Oleh itu, tiada kemungkinan untuk menutup sebarang konspirasi.

    “Tambahan, keseluruhan proses serbuan diambil gambar dan dirakam video dari awal hingga akhir oleh oleh pasukan bebas dari JSJ. Gambar dan video ini masih dalam simpanan JSJ.

    “Tidak mungkin orang awam dapat mengelak rakaman kamera dan video ini tanpa disedari sesiapa, melainkan orang ini mempunyai ‘ilmu ghaib’ dan tidak kelihatan,” katanya.

    Amar Singh berkata, bangunan yang diserbu itu dilengkapi lebih 100 kamera litar tertutup (CCTV) dan lebih 50 wartawan berkumpul di lobi, yang merupakan satu-satunya pintu keluar ketika itu.

    “Tiada wartawan melihat seorang wanita awam berjalan keluar dari serbuan itu dengan beg pakaian besar seperti didakwa. Jelas sekali dakwaan Raja Petra palsu sama sekali,” katanya.

    Katanya, beberapa pegawai kanan lain akan turut membuat laporan polis terhadap Raja Petra berhubung dakwaan itu.

    Amar Singh turut menafikan dakwaan beliau berhijrah ke Kanada dan memaklumkan penulis blog itu dirinya “masih berada di Malaysia dan akan terus tinggal di negara ini sehingga saya mati.”

    Beliau mengetuai serbuan di beberapa premis yang dikaitkan dengan Najib selepas Barisan Nasional (BN) tewas dalam pilihan raya umum ke-14 pada Mei 2018. Beliau berkata, wang tunai berjumlah RM116.7 juta ditemui dalam 35 beg yang diambil dari premis itu.

    Bekas pegawai polis tinggi itu mengetuai siasatan berhubung 1MDB.

  • LCS:SPRM perlu telus tanpa lindungi sesiapa

    LCS:SPRM perlu telus tanpa lindungi sesiapa

    NAIB Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar mahu kerajaan bersikap telus dan tidak melindungi sesiapa dalam isu penyelewengan projek kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

    Beliau menegaskan, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu berani dan tidak memihak dalam memikul tanggungjawab itu.

    Jelasnya, ini memandangkan integriti SPRM dipersoalkan banyak pihak sehingga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terpaksa memberikan arahan supaya siasatan yang lebih menyeluruh disegerakan.

    Menurutnya, SPRM sepatutnya berfungsi secara bebas tanpa memerlukan arahan daripada Perdana Menteri.

    “Bagi saya, ini satu perkara yang sangat menjelikkan dan tidak seharusnya berlaku. Tapi tindakan untuk menyegerakan siasatan itu adalah tepat.

    “Cuma dalam soal ini, kita nak tahu sejauh mana kejujuran PM, sama ada siasat secara telus atau ada unsur nak melindungi.

    “Saya harap SPRM perlu lebih bebas dan PM juga harus telus dengan kenyataannya dan tidak mengganggu gugat.

    “Saya minta SPRM sepatutnya tidak perlu tunggu dalam kes besar sebegini yang membabitkan pengurusan dan pentadbiran pimpinan kerajaan kerana memang itu peranan mereka sebagai badan bebas,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Mahfuz turut menggesa agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi melihat kepada keseluruhan masalah perolehan kerajaan.

    “Siasatan SPRM dan RCI perlu berjalan serentak. SPRM mesti menumpukan kepada isu LCS ini manakala RCI pula bagi melihat keseluruhan masalah perolehan kerajaan dalam Kementerian Pertahanan.

    “Seterusnya jika ada bukti kukuh, mereka yang bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan kerana ia melibatkan kepentingan rakyat dan keselamatan negara,” katanya.

  • Polis kesan individu terlibat insiden pukul tular

    Polis kesan individu terlibat insiden pukul tular

    SUSULAN tular video yang merakamkan serangan terhadap dua lelaki dalam kejadian dipercayai berlaku berdekatan sebuah pusat beli-belah di Jalan Hang Tuah, polis sedang mengesan semua individu terlibat dalam klip berkenaan.

    Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellham Yahaya, pihaknya mengesan video berdurasi satu minit 27 saat itu yang memaparkan kejadian tersebut di Facebook.

    Beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menerima laporan berkaitan kejadian tersebut pada 10 Ogos kira-kira pukul 9.17 malam.

    “Siasatan awal mendapati, kejadian tersebut berlaku lebih kurang jam 4.45 petang susulan satu kemalangan melibatkan tiga kereta dan tiga motosikal,” katanya dalam satu kenyataan.

    Noor Dellhan bagaimanapun berkata, punca kemalangan masih dalam siasatan dan kesemua individu terlibat sedang dikesan polis.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

    Beliau meminta mana-mana individu atau saksi mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut supaya tampil membantu siasatan.

    Mereka boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03 26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur 03 21159999.

  • KPDNHEP rampas 600 minyak masak peket

    KPDNHEP rampas 600 minyak masak peket

    SATU sindiket yang melakukan kegiatan menyorok minyak masak peket bersubsidi di Kuching terbongkar selepas anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarikei di Jalan Jelutong Barat, Kuching semalam.

    Serbuan tersebut dilakukan di sebuah kediaman dan hasilnya berjaya merampas 600 kilogram minyak masak peket dengan nilai pasaran RM1,500.

    Ketua KPNHEP Cawangan Sarikei, Mohamad Zawawi berkata, siasatan awal kita mendapati premis kediaman tersebut tidak memiliki lesen sebagai stor simpanan minyak masak.

    “Malah premis berkenaan tidak mempunyai lesen sah untuk menyimpan barangan kawalan dalam kuantiti yang banyak.

    “Serbuan tersebut turut disertai pihak Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan bekalan barang kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung gandum serta barang keperluan asas mencukupi di pasaran,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Katanya, operasi itu juga bertujuan mengelak berlakunya aktiviti penyelewengan melalui aktiviti menyembunyi barang-barang kawalan.

    Mana-mana individu atau peniaga yang melanggar undang-undang terutamanya melibatkan penyelewengan barang kawalan bersubsidi katanya, boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

    “Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak lebih RM1,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000.

    “Bagi orang perseorangan, mereka berhadapan penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat, denda tidak melebihi RM2,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000,” katanya.