HANYA kerana tidak puas hati semasa bermain futsal, seorang pelajar lelaki cedera di badan dan tangan dalam kejadian pergaduhan di gelanggang futsal di Tasik Tambahan, Ampang, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, remaja berusia 17 tahun ditumbuk suspek berusia 17 tahun menggunakan senjata ‘buku lima’.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, berdasarkan siasatan mangsa bersama rakan sekolah bermain futsal dengan satu kumpulan dari sekolah yang lain.

“Semasa permainan, mangsa melihat salah seorang pemain dari pasukan lawan membuat serangan di bahagian kaki menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka.

“Suspek yang juga rakan kepada pemain itu kemudian menghampiri mangsa sambil memegang buku lima, lalu menumbuk bahagian rusuk kiri dan siku mangsa.

“Suspek sama juga dikatakan cuba menumbuk adik mangsa namun sempat ditarik oleh mangsa,” katanya, lapor Harian Metro.

Bertindak atas laporan, beliau berkata, sepasukan polis ke lokasi dan menahan suspek serta merampas satu rantai basikal yang sudah diubah suai.

Mohamad Farouk berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan masih bersekolah.

“Siasatan mendapati, punca kejadian itu adalah disebabkan tidak berpuas hati kerana menendang kaki semasa bermain futsal,

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya sekali,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here