Category: Jenayah

  • Pemandu lori ditahan, cubaan seleweng 1,000 liter diesel gagal

    Pemandu lori ditahan, cubaan seleweng 1,000 liter diesel gagal

    SEORANG lelaki ditahan bersama sebuah lori yang ditutup dengan kanvas dipercayai terbabit dalam kegiatan penyelewengan diesel di sebuah stesen minyak Jalan Sultan Iskandar Shah, Ipoh, pada petang semalam.

    Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Perak (KPDNHEP), Saifullizan Kamarul Zaman berkata pemandu lori berusia 24 tahun itu ditahan ketika sedang mengisi minyak diesel di stesen minyak tersebut pada 2.30 petang.

    Menurutnya, operasi itu adalah hasil pemantauan harian yang dijalankan oleh anggota penguat kuasa di stesen minyak sekitar Ipoh.

    “Hasil pemeriksaan mendapati sebuah lori bertutup kanvas sedang mengisi minyak diesel di stesen minyak tersebut, terdapat empat tangki fiber yang disyaki berisi minyak diesel disimpan di dalam lori berkenaan.

    “Pemeriksaan lanjut juga mendapati saluran tangki asal minyak lori itu telah diubah suai dan disambungkan dengan empat buah tangki fiber berkenaan.

    “Semakan juga mendapati pemandu lori itu tidak mempunyai sebarang dokumen atau permit yang sah bagi membeli minyak diesel,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat, lapor Astro Awani.

    Oleh itu, pasukan pegawai KPDNHEP Perak telah mengambil tindakan dengan menyita hampir 1,000 liter minyak diesel dari lori berkenaan di lokasi tersebut.

    Saifullizan berkata kesemua barang rampasan ini dianggarkan bernilai RM45,850 manakala pemandu lori itu telah ditahan untuk diambil keterangan dan siasatan lanjut.

    “Pemandu kenderaan ini tidak mempunyai sebarang kebenaran bertulis untuk membeli barang kawalan petrol/diesel dalam kuantiti yang banyak daripada Pengawal Bekalan Malaysia.

    “Dianggarkan hampir 1,000 liter disyaki diesel telah diisi ke dalam tangki-tangki berkenaan.

    “Selain itu lori berkenaan dipercayai mengumpul minyak diesel dengan mengisi di beberapa stesen sebelum dijual kepada pihak industri,” katanya lagi.

    Tambahnya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

    Beliau turut menegaskan Kementerian melarang pembelian diesel dan petrol menggunakan tong, botol plastik atau mana-mana bekas melebihi 20 liter tanpa kebenaran Pegawai Bekalan.

  • Sampan hanyut berisi dadah ditemukan

    Sampan hanyut berisi dadah ditemukan

    PASUKAN Polis Marin (PPM) Langkawi Wilayah Satu menemukan satu sampan kayu hanyut di perairan Kuala Perlis, Kangar, pada pukul 2 pagi tadi.

    Penemuan itu sekali gus membongkar cubaan sindiket pengedaran dadah menyeludup tujuh bungkusan ketulan dadah jenis ganja bernilai RM17,500.

    Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata, PPM tersebut mengesan sebuah sampan kayu tidak bernombor pendaftaran sedang hanyut tanpa dikemudi di kedudukan 0.5 batu nautika dari Pulau Brasmana di sempadan maritim Malaysia-Thailand.

    “Pemeriksaan dilakukan mendapati terdapat satu bungkusan guni berwarna putih dalam sampan itu.

    “Anggota polis marin kemudian menjumpai tujuh bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 7,000 gram disimpan dalam guni putih berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

    Katanya, selepas dipastikan tiada sesiapa sekitar kawasan perairan itu, sampan kayu berkenaan ditunda pulang ke Jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Kuala Perlis untuk siasatan lanjut sekitar pukul 2.30 pagi.

    “Jumlah keseluruhan anggaran harga rampasan dadah adalah bernilai RM17,500.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Surina menyeru kepada orang ramai mempunyai sebarang pertanyaan dan maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Perlis di talian04-987 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

  • Tiga anggota buskers ditahan miliki, tanam ganja dalam pasu

    Tiga anggota buskers ditahan miliki, tanam ganja dalam pasu

    DUA lelaki dan seorang wanita yang juga ahli sebuah kumpulan pemuzik jalanan (busker) ditahan atas kesalahan memiliki pokok ganja dan mengambil ganja.

    Ketiga-tiga mereka ditahan dalam serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi di Kampung Lembu dekat Kedawang sekitar pukul 1.30 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Shariman Ashari, berkata ketiga-tiga suspek berusia antara 24 hingga 26 tahun itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Langkawi pada pukul 1.30 pagi.

    “Hasil pemeriksaan di bahagian ruang tamu rumah itu telah menjumpai satu beg yang mengandungi 17 peket plastik lut sinar berisi ketulan mampat daun kering dipercayai dadah jenis ganja seberat 178.14 gram dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk menghisap dadah.

    “Turut dijumpai tiga pasu yang ditanam tumbuhan disyaki pokok ganja di kawasan hadapan rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis Tetra Hydrocannibol (THC).

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2), Seksyen 6B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.– Bernama

  • Arak tidak bercukai bernilai lebih RM1 juta dirampas

    Arak tidak bercukai bernilai lebih RM1 juta dirampas

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menahan empat buah kontena berisi minuman keras yang disyaki cuba diseludup masuk ke negeri itu melalui di Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu.

    Menurut Penolong Ketua Pengarah Kastam, Zon Sabah Cheong Yu Min, semua rampasan dianggarkan bernilai RM1,136,413 itu melibatkan tiga kes tahanan minuman keras sejak 11 Ogos lalu.

    Rampasan pertama katanya, dilakukan pada 11 Ogos 2022, kira-kira 9.45 pagi selepas bertindak berdasarkan penemuan imej imbasan mesin pengimbas yang meragukan dan penahanan terhadap sebuah kontena berisi minuman keras yang disyaki cuba diseludup.

    “Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kontena yang ditahan tersebut mendapati sejumlah lebih kurang 18,236 liter minuman keras yang disyaki tidak berkastam dengan anggaran nilai harga sebanyak RM69,458.88, manakala anggaran duti dan cukai sebanyak RM284,139.95.

    “Rampasan kedua pada 16 Ogos 2022, lebih kurang 9.05 pagi, mendapati kedua-dua buah kontena tersebut mengandungi minuman keras pelbagai jenama dengan nilai RM594,410.86.

    “Sementara rampasan ketiga pada 17 Ogos lalu kira-kira 11.10 pagi selepas pihaknya menahan sebuah kontena disyaki digunakan untuk menyeludup masuk minuman keras dengan penemuan 16,632 liter berjumlah RM267,882.63,” katanya dalam sidang media JKDM Zon Sabah, hari ini.

    Beliau berkata, modus operandi bagi ketiga-tiga kes berkenaan adalah mengikrar dagangan import dengan barang lain untuk tujuan menyeludup bagi mengaburi pihak berkuasa.

    “Sehubungan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (a) Akta Kastam 1967,” katanya memetik laporan Astro Awani.

  • Lelaki ugut bunuh isteri fail cerai ditahan

    Lelaki ugut bunuh isteri fail cerai ditahan

    POLIS menahan seorang lelaki yang mengugut mahu membunuh dan menjadikan isterinya  cacat seumur hidup dalam satu serbuan, semalam.

    Suspek berusia 35 tahun itu ditahan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas Ampang pada pukul 9 malam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak,  lelaki yang mempunyai satu rekod lampau dadah itu ditahan selepas polis menerima laporan daripada wanita terbabit.

    Katanya, sebelum itu, suspek menghubungi mangsa menyatakan ketidakpuashatiannya dengan tindakan wanita tersebut memfailkan cerai.

    “Lelaki itu mengugut mahu membunuh dan menjadikan isterinya cacat seumur hidup. Mangsa yang ketakutan kemudiannya membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mohamad Farouk berkata, suspek dibawa ke Mahkamah Ampang hari ini bagi permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. 

    “Jika disabitkan kesalahan suspek boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

  • Tabung masjid terus jadi sasaran pencuri

    Tabung masjid terus jadi sasaran pencuri

    TABUNG masjid terus jadi mangsa curi. Terbaharu kejadian dilaporkan berlaku di sebuah masjid di Seksyen 18, Shah Alam.

    Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian itu yang tular menunjukkan seorang lelaki mencuri wang tabung masjid berkenaan.

    Menerusi rakaman tersebut, lelaki tersebut mengenakan baju hitam berbelang kelabu dan topeng muka, memasuki ruang solat masjid dengan kasut hitam sambil menyalakan lampu penyuluh dari telefon bimbitnya.

    Video berdurasi 1 minit 31 saat itu menunjukkan suspek menggunakan besi nipis yang panjang untuk mengaut wang kertas satu persatu daripada tabung derma orang ramai dan sentiasa mengawasi keadaan sekitar.

    Difahamkan kejadian berlaku sekitar pukul 4.10 pagi tadi dan laporan polis telah dibuat.

    Jurucakap masjid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan enggan mengulas lanjut kerana kes kini dalam siasatan polis.

  • Polis tahan seorang lelaki, bongkar kegiatan seleweng diesel

    Polis tahan seorang lelaki, bongkar kegiatan seleweng diesel

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS menahan seorang lelaki yang sedang mengisi minyak ke dalam sebuah lori selepas dipercayai terlibat kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi di stesen minyak di Ulu Tiram, Johor Bahru, semalam.

    Polis terlebih dulu melihat lelaki tempatan tersebut mengisi diesel ke dalam lori itu dalam keadaan mencurigakan sebelum melakukan serbuan pada pukul 12.30 tengah hari.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, ketika pemeriksaan dilakukan, pihaknya mendapati tangki minyak pada lori berkenaan sudah diubah suai.

    “Kita turut menemui dua tong berisi diesel dianggarkan 200 liter setiap satu di bahagian belakang kenderaan itu.

    “Susulan itu polis menahan seorang lelaki yang berusia 36 tahun yang juga pemandu lori itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Polis menemui dua tong berisi diesel dianggarkan 200 liter setiap satu di bahagian belakang lori berkenaan

    Katanya, dalam serbuan itu, polis merampas lori, dua tong diesel dianggarkan 272.93 liter diesel serta resit pembelian berjumlah RM186.

    Menurut beliau, nilai keseluruhan barang rampasan mencecah RM20,500.

    Mohd Sohaimi berkata, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

    “Kita akan terus membanteras dan memastikan kegiatan penyelewengan atau ketirisan diesel atau minyak lain disekat.

    “Kita juga mengharapkan orang ramai terus menyalurkan maklumat mengenai apa jua aktiviti yang menyalahi undang-undang supaya keselamatan negara dan ketenteraman awam terpelihara,” katanya.

  • Guru wanita rugi RM448,000 diperdaya Macau Scam

    Guru wanita rugi RM448,000 diperdaya Macau Scam

    GURU wanita mengalami kerugian RM448,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kejadian di Setiu.

    Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, kejadian bermula pada 22 Mac lalu apabila mangsa berusia 45 tahun yang berada di sebuah sekolah menerima panggilan daripada individu tidak dikenali mengaku sebagai pegawai LHDN.

    “Suspek mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai dan mempunyai syarikat yang didaftarkan di bawah namanya namun mangsa menafikan perkara berkenaan.

    “Panggilan mangsa kemudian disambungkan dengan seorang lagi individu yang mengaku daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuantan dan dimaklumkan kononnya pegawai polis dari Bukit Aman menyatakan dia terbabit dalam pengubahan wang haram.

    “Mangsa juga didakwa terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah sebelum diarahkan memuat turun aplikasi Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Katanya, mangsa diminta mengisi maklumat peribadi termasuk maklumat mengenai bank-bank miliknya di dalam aplikasi berkenaan sebelum diarahkan membuat pinjaman kononnya wang berkenaan adalah dana bersih untuk siasatan yang dinyatakan.

    Tanpa mengesyaki apa-apa katanya, mangsa membuka akaun sebelum pinjamannya diluluskan dan sekali lagi diminta mengisi maklumat peribadi ke dalam aplikasi BNM.

    Afandi berkata, mangsa mengesyaki menjadi mangsa penipuan selepas melayari laman web IPK Kuantan yang memaparkan terdapat aktiviti penipuan seperti dialaminya pada 11 Ogos lalu.

    Mangsa yang mengalami kerugian sebanyak RM448,000 katanya, kemudian membuat laporan di Balai Polis Penarik dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    “Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak mudah percaya sekiranya menerima panggilan telefon daripada individu yang mengaku daripada mana-mana agensi kerajaan atau bank.

    “Jangan panik sekiranya menerima panggilan sedemikian dan buat semakan dengan pihak yang berkenaan terlebih dulu selain tidak sewenang-wenangnya memberikan maklumat peribadi dan perbankan kepada individu tidak dikenali,” katanya.

  • Bayi 4 bulan maut selepas kain lampin tutup muka

    Bayi 4 bulan maut selepas kain lampin tutup muka

    BAYI lelaki berusia empat bulan maut selepas mengalami sesak nafas akibat kain lampin berada di muka ketika berada dalam buaian di rumah pengasuhnya di Taman Cempaka, Ampang Jaya, semalam.

    Kejadian tersebut diketahui apabila Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Ampang menerima pesakit bayi berusia empat bulan pada pukul 6.30 petang,

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pesakit dibawa dari klinik di Pandan Indah dengan ambulans Hospital Ampang.

    “Semasa tiba di Hospital Ampang, pesakit sudah tidak bernyawa. Bantuan kecemasan diberikan tetapi mangsa menunjukkan tanda-tanda kematian.

    “Bayi terbabit tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia pada pukul 6.35 petang. Punca kematian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Mohamad Farouk berkata, susulan itu, pada pukul 10.30 malam tadi, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ampang Jaya membuat tangkapan terhadap wanita warga Indonesia berusia 26 tahun yang juga pengasuh bayi itu.

    Beliau berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah atau dadah.

    “Keterangan awal suspek memaklumkan mangsa sesak nafas kerana kain lampin dalam buai menutup muka.

    “Ketika kejadian ibu bapa mangsa sedang bekerja manakala bayi itu dihantar ke rumah suspek untuk dijaga,” katanya.

    Katanya, suspek dibawa ke Mahkamah Ampang pagi ini untuk direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang merujuk kepada penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak,” katanya.

  • Kilang kitar semula bateri haram diarah henti operasi, dikompaun RM186,000

    Kilang kitar semula bateri haram diarah henti operasi, dikompaun RM186,000

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEBUAH kilang kitar semula bateri kadmium dan lithium terpakai yang beroperasi secara haram di dalam kilang plastik di Ara Kuda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) serta 93 kompaun berjumlah RM186,000.

    Kilang yang dipercayai dimiliki warga China itu diserbu sekumpulan pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang semalam yang mendapati wujud perlanggaran di bawah Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

    Menurut Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab, tindakan POK diambil selepas kilang terbabit didapati menjalankan aktiviti pengolahan dan pemerolehan kembali bateri kadmium dan lithium terpakai tanpa mendapat lesen terlebih dahulu.

    Kilang terbabit didapati menjalankan aktiviti pengolahan dan pemerolehan kembali bateri kadmium dan lithium terpakai tanpa mendapat lesen terlebih dahulu

    Katanya, tindakan POK juga bagi menghentikan pencemaran serta-merta akibat aktiviti pemanasan serta pembakaran buangan terjadual daripada terus berlaku yang boleh mengakibatkan pencemaran udara.

    “Kompaun dikeluarkan kepada pemilik premis atas kesalahan menjalankan pemerolehan kembali buangan terjadual bukan di premis yang ditetapkan di bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

    “Selain itu, kita turut menyita sebanyak 250 bekas yang mengandungi buangan bateri lithium dan kadmium terpakai dalam operasi tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sebanyak 250 bekas yang mengandungi buangan bateri lithium dan kadmium terpakai disita dalam operasi tersebut

    Menurut beliau, siasatan awal mendapati bahan buangan itu dibawa masuk melalui kargo udara dipercayai bagi mengelakkan pemeriksaan ketat kontena melalui jalan laut.

    Tambahnya, kes itu disiasat di bawah beberapa peruntukan termasuk Seksyen 18(1) iaitu beroperasi tanpa lesen yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 dan/atau maksimum dua tahun penjara.

    Selain itu ujar beliau, kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 34A(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu menjalankan aktiviti kitar semula buangan terjadual tanpa mengemukakan laporan kajian dan memperolehi kelulusan impak alam sekitar (EIA) terlebih dahulu.

    Tegasnya, kesalahan dibawah seksyen itu memperuntukkan denda maksimum sebanyak RM500,000 dan/atau penjara maksimum selama lima tahun.

    Kilang terbabit didapati melakukan perlanggaran di bawah Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974

    “Selain itu, premis ini juga akan disiasat di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 dan hukuman penjara maksimum selama lima tahun,” katanya.

    Dalam masa sama, beliau mengingatkan yang mana tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab dalam melakukan jenayah alam sekitar atau pelanggaran Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya.