GURU wanita mengalami kerugian RM448,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kejadian di Setiu.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, kejadian bermula pada 22 Mac lalu apabila mangsa berusia 45 tahun yang berada di sebuah sekolah menerima panggilan daripada individu tidak dikenali mengaku sebagai pegawai LHDN.

“Suspek mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai dan mempunyai syarikat yang didaftarkan di bawah namanya namun mangsa menafikan perkara berkenaan.

“Panggilan mangsa kemudian disambungkan dengan seorang lagi individu yang mengaku daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuantan dan dimaklumkan kononnya pegawai polis dari Bukit Aman menyatakan dia terbabit dalam pengubahan wang haram.

“Mangsa juga didakwa terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah sebelum diarahkan memuat turun aplikasi Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

Katanya, mangsa diminta mengisi maklumat peribadi termasuk maklumat mengenai bank-bank miliknya di dalam aplikasi berkenaan sebelum diarahkan membuat pinjaman kononnya wang berkenaan adalah dana bersih untuk siasatan yang dinyatakan.

Tanpa mengesyaki apa-apa katanya, mangsa membuka akaun sebelum pinjamannya diluluskan dan sekali lagi diminta mengisi maklumat peribadi ke dalam aplikasi BNM.

Afandi berkata, mangsa mengesyaki menjadi mangsa penipuan selepas melayari laman web IPK Kuantan yang memaparkan terdapat aktiviti penipuan seperti dialaminya pada 11 Ogos lalu.

Mangsa yang mengalami kerugian sebanyak RM448,000 katanya, kemudian membuat laporan di Balai Polis Penarik dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak mudah percaya sekiranya menerima panggilan telefon daripada individu yang mengaku daripada mana-mana agensi kerajaan atau bank.

“Jangan panik sekiranya menerima panggilan sedemikian dan buat semakan dengan pihak yang berkenaan terlebih dulu selain tidak sewenang-wenangnya memberikan maklumat peribadi dan perbankan kepada individu tidak dikenali,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here