Category: Jenayah

  • Peniaga Pakistan didenda jual minyak masak botol lebih harga siling

    Peniaga Pakistan didenda jual minyak masak botol lebih harga siling

    TINDAKAN seorang pemilik sebuah kedai runcit warga Pakistan di Ketereh Kelantan menjual minyak masak botol melebihi harga siling runcit mengundang padah apabila didenda pihak berkuasa semalam.

    Lelaki warga Pakistan yang juga pemilik sebuah kedai runcit di Ketereh di sini, didenda kerana menjual minyak masak botol melebihi harga siling runcit.

    Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Kelantan Aswadi Jaafar menerusi kenyataannya berkata, operasi dibuat ke atas premis itu berdasarkan aduan pengguna yang diterima.

    Katanya, anggota KPDNHEP kemudian menyamar sebagai pembeli dan membeli sebotol minyak masak lima kilogram.

    “Pemeriksaan mendapati minyak masak botol itu dijual pada harga RM41.90 dan ia melebihi harga siling runcit ditetapkan kerajaan.

    “Melalui bukti termasuk resit pembelian, kami menyita lima botol minyak masak lima kilogram berjumlah RM209.50. Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan2011,” katanya hari ini.

    Mengulas lanjut, Aswadi memberitahu, lelaki itu perlu mengemukakan maklum balas dalam masa yang ditetapkan berkaitan kes terbabit.

    Harga siling runcit minyak masak botol ketika ini ditetapkan kerajaan pada RM7.70 untuk sekilogram, RM14.70 (dua kilogram), RM21.70 (tiga kilogram) dan RM 34.70 untuk lima kilogram.

  • Alza bawa 10 PATI terbabit kemalangan, pemandu ditahan

    Alza bawa 10 PATI terbabit kemalangan, pemandu ditahan

    SEORANG lelaki tidak sempat menerima habuan membawa 10 pendatang asing tanpa izin (PATI), apabila dia ditahan polis selepas kereta Perodua Alza dipandunya terbabit kemalangan jalan raya di Kampung Tok Dor dekat sini semalam.

    Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata dalam kejadian pada 7.20 pagi itu, suspek yang ‘menyumbat’ 10 penumpang (semua lelaki) dalam kereta tersebut, dikatakan ditawarkan upah RM1,200 bagi membawa pendatang asing itu dari Chiku di Gua Musang, Kelantan ke Gambang, Pahang.

    “Suspek dikatakan terlelap semasa memandu menyebabkan keretanya melanggar belakang sebuah kereta Proton Persona di hadapannya. Kereta yang dilanggar tersebut kemudian hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah kereta Proton Wira dari arah bertentangan.

    “Tiga pendatang asing tanpa izin yang cuba melarikan diri dari tempat kemalangan berjaya diberkas oleh orang awam, manakala pemandu dan seorang lagi pendatang asing yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Besut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Menurutnya empat pendatang asing tanpa izin (termasuk seorang yang cedera) yang gagal melarikan diri berusia 19 hingga 47 tahun ditahan bersama pemandu berusia 34 tahun itu, dan pihaknya masih mengesan enam lagi yang masih lolos.

    Abdul Rozak berkata siasatan awal ke atas pemandu kereta itu mendapati pada Isnin lepas dia dihubungi seorang lelaki warganegara Thailand dikenali sebagai ‘Pak Do’ yang menawarkan upah untuk memandu dan membawa pendatang asing tanpa izin menggunakan kereta Perodua Alza yang disediakan Pak Do.

    “Hasil semakan kesalahan lampau pemandu itu mempunyai dua rekod kesalahan dadah, manakala ujian saringan air kencing pula mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

    “Polis turut merampas empat biji pil berwarna kemerahan dipercayai pil kuda dan enam unit telefon bimbit,” katanya.

    Abdul Rozak berkata lelaki itu ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, manakala pendatang asing tanpa izin ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

    Menurutnya kes turut disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA

  • Angkara minta wang perlindungan RM100, buruh dicekup polis

    Angkara minta wang perlindungan RM100, buruh dicekup polis

    TINDAKAN seorang lelaki memeras ugut pemilik kedai runcit di Pandan Perdana untuk membayar wang perlindungan RM100 mengundang padah apabila dia ditahan polis semalam.

    Difahamkan, suspek berusia 41 tahun bekerja sebagai buruh itu tinggal berhampiran kedai runcit terbabit mencuba nasib dengan memeras ugut lelaki berusia 64 tahun itu.

    Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian 6 petang Sabtu lalu, mangsa berada di kedai didatangi suspek seorang diri yang meminta untuk membayar wang bulanan RM100 sebagai wang perlindungan.

    “Suspek turut mengugut akan rosakkan barangan kedai milik mangsa, malah sewaktu kejadian, suspek turut menendang barangan milik kedai dan menggugut akan datang memukul mangsa di kemudian hari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, susulan laporan polis dibuat mangsa, polis mengesan suspek sebelum menahannya pada pukul 12.05 tengah malam di Pandan Perdana.

    “Suspek mempunyai lapan rekod lampau dalam kesalahan jenayah dan dadah.

    “Turut dirampas, sebuah telefon bimbit untuk membantu siasatann,” katanya.

    Katanya, suspek direman empat hari sehingga 26 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

  • Ugut bunuh bekas teman wanita, mekanik 19 tahun ditahan

    Ugut bunuh bekas teman wanita, mekanik 19 tahun ditahan

    POLIS menahan seorang mekanik semalam selepas lelaki itu disyaki mengugut bekas teman wanitanya dengan pisau dan cota kerana enggan meneruskan hubungan mereka.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak dalam satu kenyataan berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari Sabtu lalu, remaja perempuan berusia 17 tahun pergi ke rumah suspek berusia 19 tahun di Taman Ukay Bistari.

    Katanya, mangsa mahu menuntut ganti rugi perbelanjaan RM700 ketika mereka menjadi pasangan kekasih.

    Namun katanya, semasa di dalam rumah, suspek bertindak kasar dengan menolak mangsa lalu mengacu dua bilah pisau berlainan sebanyak dua kali.

    “Suspek juga mengeluarkan kata ugutan bunuh kerana pengadu tidak mahu meneruskan hubungan dengan suspek

    “Suspek juga merampas telefon bimbit dan menghempaskan ke lantai menyebabkan telefon remaja terbabit rosak,” katanya.

    Mengulas lanjut, Mohamad Farouk berkata, berikutan laporan dibuat mangsa, sepasukan polis kira-kira pukul 8.30 malam tadi menahan suspek berusia 19 tahun di Taman Ukay Bistari.

    Katanya, polis turut merampas sebatang cota, dua pisau dan sebuah telefon bimbit yang digunakan ketika kejadian.

    “Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah.

    “Reman terhadap suspek akan dipohon hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” tambahnya.

  • 10 pelajar kolej ditahan pukul rakan hingga cedera

    10 pelajar kolej ditahan pukul rakan hingga cedera

    POLIS menahan 10 pelajar lelaki di sebuah kolej vokasional di Wangsa Maju, di Kuala Lumpur semalam kerana disyaki memukul seorang pelajar lain hingga mencederakan pelajar itu.

    Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah berkata penahanan kesemua pelajar berusia 16 hingga 20 tahun itu susulan daripada laporan polis dibuat seorang wanita semalam berkenaan kes itu.

    Beliau berkata pengadu seorang wanita tempatan yang merupakan ibu mangsa telah menerima makluman daripada warden asrama mengatakan anaknya tidak sihat dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan. 

    “Mangsa (lelaki) memaklumkan bahawa beliau telah dipukul beramai-ramai oleh rakan-rakan senior kolej semasa berada di surau asrama. 

    Mangsa mengalami kecederaan di bahagian tulang rusuk, pinggang serta sakit di keseluruhan badan akibat dipukul,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

    Beliau berkata sehubungan itu, pihak polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan merusuh yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara atau denda atau kedua-duanya. 

    Ashari berkata kes ini masih dalam siasatan dan menasihatkan orang ramai supaya mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan. 

    “Tindakan akan diambil kepada mana-mana individu yang melanggar undang-undang tanpa mengira pesalah itu berstatus pelajar,” katanya.- BERNAMA  

  • Hantaran Facecook ‘Zamani Ibrahim: Polis tidak buka kertas siasatan

    Hantaran Facecook ‘Zamani Ibrahim: Polis tidak buka kertas siasatan

    POLIS tidak membuka kertas siasatan terhadap pemilik akaun Facebook ‘Zamani Ibrahim’ memandangkan hantaran dibuatnya hanya pandangan peribadi mengenai politik dan bukan satu jenayah.

    Ketua Polis Cheras Halim Jamaludin, berkata kenyataan pemilik akaun itu berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 18 Mei 2018, sekadar pandangan berunsur peribadi.

    Katanya, polis telah menerima aduan daripada orang awam mengenai hantaran itu, pada 18 Ogos, kira-kira 9.30 pagi.

    “Semakan mendapati kenyataan ini telah dimuat naik pada 11 Mei 2018 dan merupakan kenyataan persendirian pemilik akaun tersebut.

    “Hasil siasatan lanjut mendapati kenyataan yang dimuat naik oleh pemilik akaun Zamani Ibrahim ini adalah berunsurkan pandangan politik peribadi semasa dan tidak berlaku sebarang kesalahan jenayah,” katanya dalam kenyataan,lapor FMT.

    Halim berkata, pihaknya tidak membuka kertas siasatan berkenaan aduan terbabit kerana ia adalah kenyataan lama yang ditularkan semula menerusi media sosial oleh pihak tidak bertanggungjawab.

    Katanya, tindakan berkenaan telah mengundang pelbagai reaksi daripada netizen.

    “Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan gambar, video serta kenyataan lama bagi mengelak kekeliruan dan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya.

    Hantaran dibuat pemilik akaun Zamani Ibrahim itu dikatakan suami kepada Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, menjadi tular di media sosial.

    Hari ini, Najib memohon Tengku Maimun menarik diri daripada mendengar rayuannya atas alasan suaminya, Zamani Ibrahim, mempunyai “sentimen negatif” terhadap kepimpinannya, yang dinyatakan di Facebook selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

    Zamani menulis tentang kejatuhan kerajaan Barisan Nasional pada 9 Mei 2018 dan didakwa gembira Najib digulingkan.

    Mahkamah Persekutuan, hari ini, mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib selepas mahkamah tertinggi itu menolak rayuan akhirnya bagi mengenepikan sabitan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah berjumlah RM42 juta milik SRC International.

    Bekas Presiden UMNO itu diarah menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

  • Lelaki ditemui maut depan rumah akibat diserang haiwan

    Lelaki ditemui maut depan rumah akibat diserang haiwan

    POLIS mengesahkan punca kematian seorang lelaki yang ditemui maut dengan luka pada leher di hadapan rumahnya di Kampung Merua, dekat Ipoh, semalam, akibat serangan haiwan.

    Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh hari ini mendapati mangsa mengalami kehilangan darah yang serius disebabkan luka serangan itu.

    “Selain itu lelaki berusia 58 tahun itu juga didapati positif Covid-19 dan mengalami saluran darah jantung tersumbat.

    “Sehubungan itu, kes berkenaan yang sebelum ini disiasat sebagai bunuh, diklasifikasikan semula sebagai kematian mengejut (SDR).

    “Pemeriksaan luaran si mati dapati terdapat luka di bahagian muka kiri dan leher dan beberapa helai bulu di sekeliling luka tersebut. Luka pada si mati berpadanan dengan haiwan seperti anjing atau seumpamanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, pemeriksaan dalaman pula menunjukkan dua saluran darah jantung mangsa telah tersumbat dengan keadaan yang teruk selain juga mengalami jangkitan Covid-19.

    Media sebelum ini melaporkan, mayat Norzi Jaafar ditemui dalam keadaan terlentang dengan kesan luka di leher dipercayai akibat dilibas senjata tajam.

    Siasatan mendapati lelaki itu masih bujang dan tinggal seorang diri di rumahnya.

  • Mekanik tunggang motosikal maut diseret kereta

    Mekanik tunggang motosikal maut diseret kereta

    SEORANG mekanik maut selepas motosikal ditunggani terjatuh ke laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah kereta lalu diseret di hadapan sebuah stesen minyak di Tendong, Pasir Mas, pukul 2 pagi tadi.

    Mangsa, Muhammad Yazid Zakaria, 33, meninggal dunia di lokasi kejadian dalam kemalangan akibat cedera parah.

    Polis menerima maklumat daripada Gerakan Pasir Mas berkaitan satu kemalangan maut melibatkan sebuah motosikal dan sebuah kereta di hadapan Caltex Tendong, Pasir Mas.

    Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, seorang buruh lelaki yang berusia 45 tahun juga pemandu kereta yang terbabit dengan kemalangan itu bagaimanapun tidak cedera.

    “Siasatan awal mendapati pemandu kereta tersebut memandu dari arah Wakaf Bharu menghala ke Pasir Mas.

    “Sampai di tempat kejadian, penunggang motosikal itu dipercayai terjatuh lalu memasuki laluan bertentangan. Oleh sebab jarak yang dekat, pemandu tersebut tidak dapat mengelak dan terseret mangsa,” katanya memetik laporan Sinar Harian

    Menurut beliau, pemeriksaan di lokasi itu mendapati keadaan jalan basah dan gelap kerana tidak berlampu.

    “Motosikal mangsa mempunyai kesan calar di bahagian sebelah kanan, manakala kereta buruh tersebut tercabut penghadang di bahagian hadapan,” katanya.

    Mohd. Nasaruddin berkata, punca kemalangan disebabkan oleh penunggang motosikal yang hilang kawalan dan terjatuh lalu masuk ke laluan bertentangan serta diseret oleh kereta sehingga menyebabkan kematian mangsa.

    “Bedah siasat akan dijalankan dan siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

  • Lelaki asing serang dua anggota polis diberkas

    Lelaki asing serang dua anggota polis diberkas

    SEORANG lelaki warga Algeria ditahan selepas menyerang dua anggota polis di pondok pengawal dan menceroboh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, pukul 1.40 pagi tadi.

    Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, suspek datang ke pondok pengawal dan cuba bertanyakan sesuatu kepada salah seorang anggota polis yang bertugas.

    “Suspek tiba-tiba mengeluarkan tukul besi dan mengetuk kepala anggota terbabit sebelum mengejar seorang lagi anggota polis lain dipercayai untuk merampas senjata api jenis HK MP5 yang dibawa oleh anggota terbabit.

    “Suspek turut mengetuk belakang badan anggota polis terbabit dengan tukul besi yang dibawanya.

    “Beberapa anggota polis lain datang serta menghalang tindakan agresif suspek,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Azmi berkata, suspek berkemungkinan berada dalam keadaan mabuk atau kurang siuman itu berjaya diberkas untuk tindakan lanjut.

    “Suspek kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan akibat kecederaan semasa pergelutan, manakala dua lagi anggota juga turut dihantar ke hospital sama juga untuk rawatan lanjut,” ujarnya.

  • Polis rampas 1 tan syabu bernilai RM50 juta

    Polis rampas 1 tan syabu bernilai RM50 juta

    POLIS melakukan rampasan terbesar dalam tahun ini apabila merampas dadah jenis syabu seberat lebih 1 tan dengan nilai mencecah RM50 juta.

    Dadah syabu yang boleh mencapai harga pasaran sehingga RM60,000 sekilogram dirampas susulan penahanan tiga ‘jutawan’ dadah di Bentong, Pahang, kelmarin.

    Sumber berkata, kejayaan membongkar kegiatan pengedaran dadah skala besar itu dilakukan Pasukan Tindakan Khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJN) Bukit Aman susulan rampasan syabu seberat lebih 350 kilogram (kg) di Ampang, Selangor, baru-baru ini.

    “Susulan kejayaan pertama itu, pihak JSJN Bukit Aman meneruskan risikan sebelum menahan dua lelaki tempatan berusia 60-an di sebuah kedai makan di Kampung Bukit Tinggi, Bentong, Pahang, pukul 7 malam kelmarin.

    “Hasil dari soal siasat, suspek membawa polis ke sebuah rumah di Taman Anggerik, Bentong, Pahang yang dijadikan stor sindiket.

    “Pemeriksaan polis di ruang tamu menemui lebih 97 plastik lut sinar berisi serbuk kristal disyaki syabu seberat lebih 97kg. Pemeriksaan lanjut menemui berpuluh lagi bungkusan berisi syabu dianggarkan seberat lebih 740kg.

    “Semua syabu boleh menjangkau harga melebihi RM50 juta berdasarkan nilai pasaran semasa,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Difahamkan hasil serbuan itu, polis turut menemui pistol model Glock, sepucuk senjata api tiruan dan sejumlah peluru hidup.

    Menurutnya, semua dadah syabu itu kemudian dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong.

    Difahamkan setakat ini, tiga individu ditahan reman di IPD Bentong untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Siasatan masih dilakukan polis bagi mengesan punca dadah syabu itu diperoleh sama ada diseludup dari negara jiran atau dikilangkan di makmal haram tempatan,” katanya.

    Pada 3 Jun lalu, polis turut berjaya melumpuhkan dua sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah menerusi tiga serbuan selain merampas 696kg dadah bernilai RM25.3 juta di Selangor dan Kedah.

    Hasil operasi itu, polis merampas syabu 404.3kg, heroin (7.7kg) dan pil ekstasi (35.3kg) selain menahan empat suspek termasuk wanita berusia 25 hingga 39.

    Sementara pada 25 April lalu, polis turut merampas 287kg dadah syabu bernilai RM10.3 juta dan menahan empat lelaki, termasuk dalang utama, seorang jurulatih renang hasil serbuan di Selangor dan Johor.