Category: Jenayah

  • Tiga lelaki ditahan, rokok RM2.8 juta dirampas

    Tiga lelaki ditahan, rokok RM2.8 juta dirampas

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor menahan tiga lelaki dan merampas barangan kontraban, minuman keras dan rokok dianggarkan bernilai lebih RM2.8 juta menerusi enam serbuan bermula 9 Jun hingga 2 Ogos lalu.

    Pengarah Kastam Johor, Sazali Mohamad berkata, semua rampasan dan tangkapan dilakukan di enam lokasi termasuk gudang dan pelabuhan di sekitar negeri itu dan Selangor.

    “Rampasan pertama membabitkan 9,240 liter minuman keras dalam kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas pada 9 Jun lalu.

    “Rampasan kedua pada hari dan lokasi yang sama melibatkan 10,048 liter minuman keras di dalam kontena yang diimport dari luar negara dengan mengikrarkan urusan import dipercayai tidak benar,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KDRM Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Katanya, rampasan ketiga pula melibatkan 3,020 liter minuman keras dalam kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas pada 22 Jun lalu.

    Jelasnya, sindiket menggunakan modus operandi menyeludup minuman keras dipercayai dari China dengan menyembunyikannya di bahagian tengah kontena bersama dagangan lain seperti kabinet, beg, lampu, kasut dan mesin basuh.

    Menurut Sazali, rampasan keempat pula melibatkan 5,594 liter minuman keras dan 33,600 batang rokok membabitkan nilai cukai RM22,600.

    Rampasan kelima pula katanya, melibatkan sebuah premis tempat penyimpanan minuman keras pelbagai jenama di Jalan Bukit Kemuning, Shah Alam, Selangor pada 1 Ogos lalu.

    Hasil pemeriksaan ke atas premis yang tidak berpenghuni itu katanya, terdapat 33,125 liter minuman keras pelbagai jenama disembunyikan di dalam sebuah lori kontena dan dua buah lori.

    “Seterusnya, rampasan keenam pada 2 Ogos lalu pula, 9,223 liter minuman keras berjaya dirampas hasil serbuan di sebuah gudang di kawasan Zon Bebas di Pelabuhan Johor Pasir Gudang,” ujarnya.

    Tambah beliau, tiga lelaki yang ditahan merupakan wakil pengimport dan ejen penghantar berusia 32 hingga 36 tahun.

    “Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967,” katanya.

  • Bukan lumba haram, tapi tunggang motosikal dalam kumpulan besar

    Bukan lumba haram, tapi tunggang motosikal dalam kumpulan besar

    POLIS Pulau Pinang menafikan berlakunya kegiatan lumba haram membabitkan beberapa kumpulan motosikal di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu dan Padang Kota Lama seperti yang tular dalam media sosial hari ini.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kumpulan membabitkan lebih 200 penunggang motosikal dari Johor, Kedah dan Pulau Pinang itu hanya bersantai dan bersiar-siar.

    Menurut beliau, pergerakan kumpulan-kumpulan bermotosikal itu turut dipantau sepasukan polis daerah Timur Laut selepas mengesan mereka memasuki bahagian pulau bermula pukul 12 tengah malam.

    “Polis telah mengekori pergerakan kumpulan motosikal ini dan mendapati mereka bergerak ke arah Padang Kota Lama dan kemudian memasuki sebuah stesen minyak di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu kira-kira pukul 1.30 pagi,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut hari ini.

    Terdahulu awal hari ini beberapa gambar dan video kumpulan penunggang motosikal itu tular di media sosial dan mendakwa mereka mahu berlumba haram.

    Kehadiran mereka mengundang rasa bimbang dan gusar dalam kalangan orang ramai selepas insiden lima penunggang motosikal maut dalam kemalangan melibatkan beberapa buah motosikal dan dua buah kereta di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu pada 17 Julai lalu.

    Dalam pada itu Soffian berkata, polis bagaimanapun menahan seramai 23 penunggang motosikal berusia 16 hingga 25 tahun dan mengeluarkan 48 saman termasuk menyita sembilan buah motosikal atas pelbagai kesalahan.

    Kesalah itu menurut beliau, termasuk mengubah suai eksos; tidak mempunyai lesen; tidak mempamerkan plat motosikal; tidak mempunyai cermin sisi dan sebagainya.

    “Kumpulan motosikal itu juga didapati menganggu pengguna jalan raya lain kerana menunggang dalam satu kumpulan yang ramai di semua lorong,” katanya.

  • Pesara tentera mati terkena 13 das ditembak rakan sendiri

    Pesara tentera mati terkena 13 das ditembak rakan sendiri

    PESARA tentera maut dipercayai ditembak rakan sendiri ketika keluar memburu babi hutan di kawasan hutan perkuburan lama Kampung Giam, di Kuching, semalam.

    Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mangsa, Gadin ak Gambong, 64, maut di tempat kejadian selepas terkena 13 das tembakan.

    “Mangsa bersama-sama adiknya serta dua rakan keluar berburu pada 8 pagi di hutan itu dengan membawa anjing.

    “Pada pukul 11.30 pagi, mereka mengesan babi hutan pada jarak satu kilometer dan mengejarnya dengan bantuan anjing itu.

    “Dua pemburu membawa anjing bagi mengepung binatang tersebut, manakala mangsa dan seorang lagi rakan menunggu di tempat jangkaan binatang buruan akan keluar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, pada pukul 11.45 pagi, suspek berusia 70 tahun ternampak pergerakan seperti binatang dan dalam jarak 20 meter dan melepaskan tembakan.

    “Menyangka binatang tersebut seperti mahu melarikan diri, suspek sekali lagi melepaskan tembakan kedua,” katanya.

    Abang Zainal Abidin berkata, apabila suspek menghampiri dia mendapati bahawa telah tertembak rakannya dan menjerit bagi memanggil rakan lain untuk memaklumkan kejadian.

    “Seorang rakan berlari keluar dari hutan itu dan menghubungi anak mangsa untuk memaklumkan perkara itu kepada polis,” katanya.

    Menurutnya, siasatan mendapati suspek mempunyai lesen sah membeli dan memiliki senjata itu, namun ia telah tamat tempoh sejak 30 Jun 2012.

    Katanya, suspek dan dua rakan ditahan untuk siasatan lanjut dan tiga laras senapang patah, dua kelongsong peluru telah digunakan tertera GB Buckshot dan sebutir peluru jenama Sellier dan Bellot 12 dirampas.

    “Pemeriksaan awal forensik mendapati jarak suspek dengan mangsa dalam tembakan pertama adalah kira-kira 16 meter, manakala tembakan kedua dilepaskan daripada jarak tiga meter.

    “Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak(HUS) untuk tindakan lanjut, sementara kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960,” katanya memetik laporan Harian Metro.

  • Kantoi sorok 82 PATI bawah timbunan barangan syarikat kurier

    Kantoi sorok 82 PATI bawah timbunan barangan syarikat kurier

    JABATAN Imigresen Selangor berjaya mematahkan cubaan menyorok pendatang asing tanpa izin (PATI) di bawah timbunan barangan terbongkar dalam serbuan di sebuah syarikat kurier di Shah Alam, Rabu lalu.

    Jabatan Imigresen Selangor dalam satu kenyataabn memberitahu, seramai 106 individu yang bekerja sebagai pekerja am dan tukang susun barangan untuk penghantaran di syarikat berkenaan telah diperiksa dalam operasi pada jam 11.40 pagi.

    “Hasil pemeriksaan seramai 71 lelaki dan 10 wanita warga Myanmar serta seorang lelaki warga India berusia 17 hingga 50 tahun telah ditahan dalam operasi tersebut,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Tambah kenyataan itu, berkemungkinan ada ejen yang menyeludup PATI dari Myanmar melalui utara tanah air untuk dijadikan sebagai pekerja kilang.

    “Kesemua 82 PATI telah ditahan reman selama 14 hari bagi membantu siasatan.

    “Kes disiasat mengikut seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) akta yang sama dan Peraturan 39(B), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

  • Pejabat PKR Johor Bahru terbakar, dipercayai perbuatan khianat

    Pejabat PKR Johor Bahru terbakar, dipercayai perbuatan khianat

    Oleh ABU UBADILLAH RAHMAN

    PEJABAT Parti Keadialan Rakyat (PKR) Cabang Johor Bahru di Taman Larkin, Johor Bahru terbakar dalam kejadian pada tengah malam tadi.

    Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir memaklumkan perkara tersebut dalam ciapan dalam tweeter miliknya pada pagi ini.

    “Satu kejadian kebakaran telah berlaku di Pejabat Cabang KEADILAN Johor Bahru lewat malam/awal pagi tadi.

    “Berdasarkan maklum balas awal, terdapat unsur-unsur khianat dan sabotaj.

    “Insyallah, saya akan adakan sidang media di tempat kejadian jam 3 petang ini,” katanya menerusi ciapan tersebut.

  • Kes Ebit Lew dibicara 27 Sept depan

    Kes Ebit Lew dibicara 27 Sept depan

    POLIS Bukit Aman mengesahkan prosiding perbicaraan membabitkan pendakwah terkenal, Ebit Irawan Ibrahim atau Ebit Lew akan bermula 27 hingga 30 September depan di Mahkamah Majistret Tenom, Sabah.

    Memetik laporan Berita Harian, Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata, Ebit Lew didakwa atas 11 pertuduhan gangguan seksual di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

    “Beliau akan dibicarakan pada 27 hingga 30 September di mahkamah yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Februari lalu, Ebit Lew mengaku tidak bersalah di Mahkamah Litar Tenom atas 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual.

    Ebit, 37, didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya dalam semua 11 pertuduhan terbabit.

    Ebit dibebaskan dengan jaminan RM1,000 bagi setiap pertuduhan dan dua penjamin.

    Pada 18 Februari lalu, Ebit Lew, yang juga seorang usahawan didakwa di Mahkamah Majistret Tenom terhadap 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual.

    Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan, sebelum ini dilaporkan berkata, Ebit Lew berdepan pertuduhan membuat penghantaran gambar dan perkataan lucah dengan bermaksud mengaibkan kehormatan seseorang melalui aplikasi WhatsApp.

    Katanya, semua pertuduhan adalah bagi kesalahan yang didakwa berlaku di daerah Tenom, Sabah, di antara Mac hingga Jun 2021 terhadap seorang perempuan Melayu.

    Pada Julai tahun lalu, siasatan terhadap Ebit Lew dilakukan selepas polis menerima laporan daripada beberapa individu mendakwa pendakwah itu melakukan gangguan seksual.

    Susulan laporan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    Ebit Lew dirakam percakapan bagi membantu siasatan pada Ogos dan Oktober tahun lalu dan beliau berkata, dakwaan itu berunsur fitnah kejam ke atas dirinya.

  • Remaja perempuan 14 tahun larikan bayi tiada masalah mental

    Remaja perempuan 14 tahun larikan bayi tiada masalah mental

    POLIS Pulau Pinang mengesahkan remaja perempuan berusia 14 tahun yang melarikan bayi dalam kejadian di Bukit Mertajam pada Selalu lalu tidak mempunyai sebarang masalah atau gangguan mental.

    Sebaliknya kata Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, suspek utama berkenaan bertindak demikian hanya kerana tertarik dan mahu menjaga bayi perempuan berkenaan seperti anak sendiri.

    Sehubungan itu tambah beliau, polis mendapati tiada unsur cuba menjual bayi berkenaan kepada mana-mana sindiket dalam kejadian penculikan tersebut.

    “Hasil soal siasat mendapati, suspek tidak sakit sebaliknya datang daripada keluarga yang berpecah-belah dan tidak membesar seperti remaja lain,” katanya kepada pemberita selepas mengunjungi keluarga bayi berkenaan di rumah mereka di Taman Pauh, Bukit Mertajam hari ini.

    Dalam kejadian pukul 5.30 petang Selasa lalu, bayi berusia sembilan bulan itu dilarikan dari rumah pengasuhnya oleh remaja perempuan terbabit dengan sebuah motosikal.

    Mangsa kemudian berjaya diselamatkan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Pulau Pinang dan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah.

    Mengulas lanjut, Mohd. Shuhaily berkata, suspek utama dan teman lelakinya yang berusia 18 tahun kini disambung reman selama empat hari sehingga 30 Ogos ini mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.

    Jelas beliau, mereka akan didakwa di mahkamah manakala tiga lagi individu yang turut ditahan bersabit kes itu akan menjadi saksi pendakwaan.

  • Tular dokumen didakwa keputusan kes Rosmah, pejabat ketua pendaftar mahkamah lapor polis

    Tular dokumen didakwa keputusan kes Rosmah, pejabat ketua pendaftar mahkamah lapor polis

    PEJABAT Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia membuat laporan polis berhubung laporan sebuah portal berita berkaitan dokumen didakwa keputusan perbicaraan rasuah Datin Seri Rosmah Mansor.

    Memetik laporan Berita Harian, ia merujuk laporan bertajuk ‘Rosmah Mansor Will Be Pronounced Guilty On 1st September 2022’ dan ‘Download Or View The 71-Page Judgement And Guilty Verdict On Rosmah Mansor Here’ yang disiarkan pada 26 Ogos lalu.

    Laporan itu mendakwa dokumen berkenaan adalah kertas keputusan penghakiman kes rasuah Rosmah, membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion yang tular di media sosial.

    Keputusan berhubung kes terbabit dijadual dibacakan di Mahkamah Tinggi di sini pada 1 September ini.

    Pejabat berkenaan menegaskan, perbuatan itu sebagai tindakan sengaja untuk menjejaskan integriti pengoperasian mahkamah dan pentadbiran keadilan.

    “Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat berkenaan laporan-laporan portal itu,” menurut kenyataan berkenaan.

    Menurut pejabat berkenaan, Badan Kehakiman tidak akan diganggu gugat oleh perbuatan-perbuatan yang menyalahi undang-undang dan tidak bertanggungjawab bagi menjejaskan integriti sistem kehakiman negara.

    Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim dilaporkan meminta pihak berkaitan membuat laporan mengenai dokumen terbabit bagi membolehkan polis memulakan siasatan lanjut mengenai perkara terbabit.

    Ini kes kedua selepas dokumen didakwa penghakiman kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membabitkan dana SRC International Sdn Bhd turut tular sebelum keputusan rasmi dibacakan di Mahkamah Persekutuan, 23 Ogos lalu.

    Susulan itu, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan menjelaskan dokumen didakwa kertas keputusan kehakiman berkaitan kes rayuan Najib adalah draf yang belum dimuktamadkan, sebaliknya berupa draf kerja penghakiman diubah suai.

    Pada Selasa lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

  • Tiga lelaki curi komponen kereta dicekup polis

    Tiga lelaki curi komponen kereta dicekup polis

    TIGA lelaki disyaki terlibat dalam kejadian mencuri komponen kenderaan di sebuah bengkel kereta dekat Jalan Bukit Permai Utama, ditahan awal pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, kesemua suspek berusia 32 hingga 41 tahun itu ditahan di stesen minyak dan sebuah kediaman di Jalan Pandan Indah pada pukul 5.10 pagi hingga 6 pagi.

    Beliau berkata, pemilik bengkel menyedari kejadian curi apabila membuat pemeriksaan terhadap tiga buah kereta milik pelanggannya dan mendapati bateri serta tayar ganti telah hilang, pada 12 Ogos lalu.

    “Turut dirampas sebuah lori jenis Toyota Hiace, sehelai baju-T putih dan beberapa alatan membuka komponen kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

    Mengulas lanjut, semakan mendapati suspek pertama mempunyai 10 rekod lampau manakala suspek kedua dengan satu rekod telah ditahan reman selama tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan

    Suspek ketiga ketiga pula dengan 12 rekod lampau kesalahan jenayah dan narkotik, ditahan reman selama empat hari sehingga Ahad.

    Katanya, kes kini disiasat dibawah Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan.

  • Dokumen kes Rosmah tular: Polis gesa laporan dibuat

    Dokumen kes Rosmah tular: Polis gesa laporan dibuat

    POLIS meminta individu berkaitan tampil membuat laporan mengenai penularan dokumen yang didakwa kertas keputusan penghakiman berkaitan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, setakat ini tiada laporan polis diterima pihaknya mengenai perkara tersebut.

    “Saya minta mana-mana pihak untuk tampil buat laporan polis agar siasatan dapat dijalankan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Difahamkan, dokumen terdiri daripada tiga muka surat kertas keputusan kes berkenaan tersebar dalam sebuah laman web, pada Jumaat, yang sepatutnya akan diputuskan di Mahkamah Tinggi pada 1 September ini.

    Ini adalah kejadian kedua dalam minggu ini selepas polis mengesahkan menerima laporan mengenai dokumen tular yang didakwa kertas keputusan penghakiman berkaitan kes rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

    Sebelum ini Rosmah diperintah membela diri pada 18 Februari tahun lalu terhadap tiga tuduhan rasuah.

    Rosmah mengaku tidak bersalah atas satu tuduhan meminta RM187.5 juta dan dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd ketika itu, Saidi Abang Samsuddin.