Category: Jenayah

  • Laporan polis dakwaan fitnah menteri, polis akan panggil Rafizi

    Laporan polis dakwaan fitnah menteri, polis akan panggil Rafizi

    POLIS akan memanggil Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam masa terdekat berhubung kenyataannya yang didakwa berunsur fitnah terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

    Memetik laporan Malaysiakini, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai mengesahkan menerima laporan yang dibuat malam tadi oleh pegawai khas Abdul Latiff berkenaan tulisan di blog Rafizi yang turut dikongsi di akaun Facebook dan Twitter miliknya.

    “Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 500 KK (kesalahan memfitnah) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik).

    “Penama Rafizi Ramli akan dipanggil dalam masa terdekat untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan,” katanya sebagaimana lapor Malaysiakini.

    Rafizi dalam beberapa siri pendedahan sebelum ini mendakwa Abdul Latiff dan ahli keluarganya mendapat keuntungan daripada projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) bernilai RM6 bilion dan kontrak pertahanan lain semasa dia menjadi timbalan menteri pertahanan .

    Rafizi juga menegaskan bahawa Abdul Latiff mempunyai seorang isteri bernama Zainab Mohd Salleh, yang didakwa terlibat dalam penyelewengan dana daripada projek kapal tersebut.

    Dalam laporan polis yang dilihat Malaysiakini, pegawai khas Latiff, Sayed Ahmad Mu’izzuddin Al-Sayed Mohamad berkata Rafizi tetap mengulangi dakwaannya walaupun menteri berkenaan telah membuat penafian.

    Sayed juga berkata Rafizi mengelirukan orang ramai dengan hanya merujuk draf laporan audit forensik untuk menyokong dakwaannya, sepertimana yang disebut Abdul Latiff.

    Katanya, ia dilakukan dengan mengabaikan penafian yang terkandung dalam laporan berkenaan yang menyatakan juruaudit tidak dapat menentukan kesahihan dakwaan yang dibuat oleh individu yang terlibat dalam projek itu.

    Pada 26 Ogos, Abdul Latiff berkata dia tidak mempunyai peranan dalam projek LCS dan keluarganya juga tidak mendapat sebarang kontrak pertahanan semasa dia menjadi timbalan menteri pertahanan dari tahun 2009 hingga 2013.

    Dia juga menafikan mempunyai isteri atau bekas isteri bernama Zainab Mohd Salleh, dan sebarang perbuatan yang dilakukan individu berkenaan tiada kaitan dengan dirinya.

  • Sorok atas siling, bakal pengantin antara gelagat pasangan dicekup khalwat

    Sorok atas siling, bakal pengantin antara gelagat pasangan dicekup khalwat

    BAKAL pengantin yang akan melangsungkan perkahwinan Oktober ini antara pasangan dicekup berkhalwat di hotel sekitar Sungai Petani, Kedah hari ini.

    Memetik laporan Harian Metro, pasangan yang berasal dari Serdang, Bandar Baharu itu dicekup pada 1 pagi oleh anggota penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Kuala Muda (PADKM).

    Perempuan berusia 19 tahun itu turut memberi alasan sanggup mengambil cuti sakit semata-mata untuk meraikan sambutan Ambang Merdeka malam tadi bersama tunangnya yang berusia 23 tahun .

    Bagaimanapun tindakan mereka menyewa di hotel bajet mengundang padah meskipun memberi alasan sudah dua tahun bertunang dan bakal berkahwin.

    Mereka antara lima pasangan yang ditahan di beberapa hotel bajet di daerah ini ketika operasi dilakukan anggota penguatkuasa PADKM, anggota polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Muda, Cawangan Penyiasatan Khas, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Skuad Badar.

    Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Mohd Noor Ismardi Ismail berkata, operasi 12 tengah malam hingga 5 pagi itu turut menahan lelaki, 20, yang bersembunyi di atas siling.

    Beliau berkata, sebaik pintu bilik hotel dibuka, didapati wanita berusia 20-an yang mengaku berseorangan.

    “Namun selepas pemeriksaan lanjut, kita dapati teman lelakinya bersembunyi di siling sebelum memintanya turun.

    “Mereka gagal menunjukkan sebarang bukti mempunyai sebarang hubungan suami isteri atau mahram sehingga menimbulkan syak mereka berkhalwat.

    “Kelima-lima pasangan itu yang berusia antara 19 hingga 40 tahun itu kemudian dibawa balai polis berhampiran,” katanya di sini, hari ini.

    Mohd Noor berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Kedah (EKJSK) 2014.

  • Wanita baru pulang minum ditemukan maut dalam parit

    Wanita baru pulang minum ditemukan maut dalam parit

    SEORANG wanita ditemukan meninggal dunia dipercayai terjatuh ke dalam parit setelah minum di sebuah restoran dekat rumahnya dalam kejadian di Jalan Kampung Bambangan berhampiran Restoran Gaya Utama, Inanam, Kota Kinabalu, awal pagi ini.

    Memetik laporan Harian Metro, dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, mangsa dipercayai berusia 50-an itu ditemukan rakan yang keluar mencarinya di sekitar kawasan berkenaan.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, siasatan awal mendapati mangsa minum bersama rakannya di sebuah restoran berhampiran.

    Katanya, mangsa kemudiannya dikatakan berjalan seorang diri pulang ke rumahnya.

    “Bimbang keselamatan mangsa yang mabuk, rakannya cuba menjejaki wanita itu sebelum menemuinya tidak sedarkan diri di dalam parit.

    “Rakan mangsa menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan segera,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Kalsom berkata, pemeriksaan awal terhadap tubuh mangsa mendapati tidak ada sebarang kesan yang mencurigakan.

    Katanya, setakat ini, siasatan masih dijalankan.

  • 211 majikan ditahan Imigresen lindungi PATI

    211 majikan ditahan Imigresen lindungi PATI

    JABATAN Imigresen menahan 211 majikan kerana melindungi dan manggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui 5,416 siri operasi di seluruh negara dalam tempoh Januari sehingga 29 Ogos lalu.

    Memetik laporan Berita Harian, Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, majoriti majikan terbabit adalah warga tempatan dengan 203 orang, diikuti tiga warga Pakistan, masing-masing seorang warga Filipina, Vietnam dan Korea Selatan, manakala selebihnya warga lain-lain negara.

    “Pada 2020, sejumlah 389 majikan ditahan, manakala tahun lalu membabitkan 206 majikan. Mereka yang melindungi atau menggajikan warga asing boleh dikenakan denda mencecah RM50,000 mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55B akta sama.

    “Pesalah juga boleh dikenakan hukuman penjara atau enam kali sebatan jika terlibat dengan kegiatan terbabit,” katanya hari ini

    Mengenai operasi tahun ini, beliau berkata, jabatan berkenaan menahan 13,524 warga asing, tertinggi adalah warga Indonesia dengan 6,048 orang, diikuti warga Myanmar seramai aitu 2,093 orang.

    Seterusnya, Bangladesh (1,732), Thailand (969), Filipina (718), India (555), Pakistan (366), Kemboja (253), Nepal (246), Vietnam (235) dan selebihnya warga dari lain-lain negara.

    “Mana-mana pihak yang bersubahat melindungi warga asing akan dikenakan tindakan tegas. Hukuman berat menanti individu, badan bukan kerajaan (NGO) dan majikan yang didapati melindungi golongan itu dan mengambil mereka bekerja tanpa dokumen dan pas yang sah.

    “Tangkapan dan pendakwaan terhadap majikan ini membuktikan bahawa kita (imigresen) tidak berkompromi dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang ke atas mereka yang menyalahi akta dan peraturan Imigresen,” katanya.

  • Padah ugut bapa dengan parang, lelaki ditahan polis

    Padah ugut bapa dengan parang, lelaki ditahan polis

    SEORANG lelaki ditahan selepas mengugut bapa sendiri dengan parang kerana menyangka anaknya dihalau keluar dari sebuah rumah di Kampung Kubang Lintah, mukim Lepai di sini kelmarin.

    Sinar Harian melaporkan, dalam kejadian lebih kurang pukul 3 pagi itu, suspek berusia 48 tahun mengejutkan bapanya berusia 84 tahun sebelum bertanya di mana anaknya.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, suspek yang tidak berpuas hati lalu turun ke bawah rumah serta membawa sebilah parang dan mengeluarkan kata-kata ugutan.

    “Warga emas itu melarikan diri ke rumah seorang lagi anaknya yang lain dan kemudian ke balai polis membuat laporan.

    “Siasatan mendapati punca pertengkaran kerana suspek beranggapan mangsa telah menghalau anaknya keluar dari rumah, sedangkan anak suspek kini tinggal di rumah sewa bersama rakan,” katanya dalam kenyataan semalam.

    Ahmad Shukri berkata, tiada sebarang kecederaan dialami oleh mangsa dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

    Katanya, suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula Selasa hingga Jumaat.

  • Pengurus kilang rugi lebih RM30,000 diugut video bogelnya disebar

    Pengurus kilang rugi lebih RM30,000 diugut video bogelnya disebar

    SEORANG pengurus kilang kerugian lebih RM30,000 selepas menerima ugutan penyebaran video bogelnya melalui aplikasi WhatsApp oleh kenalan wanita di Taman Langkap, di Teluk Intan, semalam.

    Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata mangsa, 55 tahun telah berkenalan dengan suspek wanita yang menggunakan nama panggilan “Lulu” pada 10 Ogos lepas.

    Menurutnya, suspek telah mengajak lelaki itu membuat panggilan video melalui WhatsApp dan menunjukkan tubuh bogel tanpa muka lalu mengajak mangsa melakukan perkara yang sama kira-kira pukul 1 pagi lima hari kemudian.

    “Suspek telah mengugut mangsa untuk memasukkan bayaran dan sekiranya tidak ditunaikan suspek akan menyebarkan gambar dan video bogel mangsa menerusi WhatsApp, Facebook dan Instagram.

    “Mangsa kemudiannya telah membuat beberapa transaksi secara dalam talian mencecah sebanyak RM33,516 kerana bimbang dengan ugutan bersiri itu,” katanya dalam satu kenyataan.

    Menurut Ahmad Adnan, mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Langkap kira-kira jam 6.54 petang semalam apabila menyedari dirinya tertipu dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan peras ugut.

    Justeru, orang ramai diingatkan supaya tidak melayan sebarang mesej yang diterima dari mana-mana orang yang tidak dikenali bagi mengelakkan mereka terpedaya dengan sindiket sebegini.- BERNAMA

  • Ahli Majlis PBT ditahan disyaki pukul adik OKU

    Ahli Majlis PBT ditahan disyaki pukul adik OKU

    SEORANG ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) direman hingga Rabu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan memukul adik lelakinya yang juga merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) di Bandar Sri Jempol, dekat sini pada Jumaat lepas.

    Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata lelaki berusia 40-an itu ditahan pada 4 petang Ahad lepas selepas pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung perkara itu.

    Mangsa yang berusia 39 tahun mendakwa dipukul oleh abang kandungnya dengan menggunakan objek dan dicucuh dengan api.

    “Dia kemudian dibawa ke Hospital Jempol untuk pemeriksaan doktor dan disahkan mempunyai kecederaan pada bahagian perut serta belakang badan sebelum menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Hoo berkata kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan siasatan masih dijalankan.

    Justeru, menurutnya orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan dan menyeru jika ada pihak yang mempunyai maklumat berkenaan kes tersebut agar tampil ke balai polis berdekatan.- BERNAMA

  • Warga emas berputih mata RM1.8 juta lesap diperdaya Macau Scam

    Warga emas berputih mata RM1.8 juta lesap diperdaya Macau Scam

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki warga emas berputih mata apabila wang simpanan lebih RM1.8 juta lesap selepas diperdaya sindiket penipuan dalam talian melalui kaedah penghantaran barangan baru-baru ini.

    Mangsa merupakan pesara swasta berusia 67 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid, mangsa memaklumkan telah mengenali seorang wanita yang mendakwa seorang warganegara Brazil dan bekerja sebagai doktor di United Kingdom melalui Facebook pada Mei lalu.

    “Setelah mangsa dan wanita itu berkenalan kira-kira dua minggu, suspek berjanji untuk mengirimkan barangan dan wang tunai berjumlah USD2.8 juta kepada mangsa.

    “Namun pada 13 Jun, seorang wanita lain yang mengaku sebagai ejen penghantaran barang menghubungi mangsa dan meminta bayaran cas servis penghantaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, mangsa kemudiannya melakukan 11 transaksi pemindahan wang dalam talian ke dalam beberapa akaun bank diberikan suspek membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM1,871,540.

    Menurut Rupiah, mangsa yang merupakan seorang pesara swasta hanya menyedari ditipu setelah tidak menerimanya barang yang dijanjikan sehingga kini, selain kedua-dua wanita yang berurusan dengannya sebelum ini gagal dihubungi.

    Beliau berkata, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

    Pihaknya menggesa orang ramai yang menerima tawaran meragukan daripada mana-mana pihak agar berhati-hati dan melaporkan kepada polis bagi mengelak diri mereka menjadi mangsa penipuan.

  • Sindiket seleweng diesel subsidi tumpas, 21,000 liter diesel dirampas

    Sindiket seleweng diesel subsidi tumpas, 21,000 liter diesel dirampas

    SEBANYAK 21,000 liter minyak diesel bersubsidi bernilai RM45,150 yang cuba diseleweng satu sindiket dirampas dalam serbuan di sebuah bengkel membaiki kenderaan di Jalan Paboi, Simpang Ampat, Pulau Pinang malam tadi.

    Rampasan itu susulan satu serbuan dibuat anggota Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang kira-kira pukul 11.30 malam tadi.

    Menurut Pengarahnya, S.Jegan, dalam operasi hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan sejak seminggu lepas itu, pihaknya turut menahan empat lelaki berusia antara 30 hingga 50-an.

    Jelas beliau, ketika serbuan empat suspek berkenaan sedang memindahkan minyak diesel bersubsidi dari sebuah lori berkapasiti 10 tan yang telah diubah suai di bahagian belakang dengan tangki-tangki aluminium ke sebuah lori tangki lain.

    “Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kira-kira 5,000 liter minyak diesel di dalam lori itu manakala 10,000 liter yang telah dipindahkan ke dalam lori tangki,” katanya dalam sidang akhbar di Stor PPDNHEP Pulau Pinang di Bukit Minyak hari ini.

    Jelas beliau, pemeriksaan lanjut turut menemukan sebuah lagi lori yang juga telah diubah suai dan dianggarkan mengandungi sebanyak 6,000 minyak diesel bersubsidi di dalam tangki di bahagian belakang lori itu.

    Katanya, bengkel membaiki kenderaan itu tidak dilesenkan untuk menyimpan barang kawalan iaitu minyak diesel dan dipercayai sindiket tersebut menjadikan premis berkenaan sebagai lokasi untuk kegiatan pemindahan bahan api itu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

    Ujarnya, sindiket itu menggunakan dua buah lori yang telah diubah suai tersebut untuk membeli diesel bersubsidi di stesen-stesen minyak di seluruh Pulau Pinang sebelum memindahknya ke lori tangki dan menjual kepada pihak industri dengan harga lebih mahal.

    “Minyak diesel itu dibeli di stesen-stesen minyak pada waktu lewat malam hingga awal pagi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dan mereka dipercayai mampu mengaut keuntungan puluhan ribuan ringgit setiap bulan,” katanya.

    Tambah Jegan, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan sindiket itu turut menyeludup bahan api tersebut ke negeri jiran yang dijual lebih mahal.

    “Dalam serbuan ini juga kita turut menyita dua buah lori dan sebuah lori tangki yang kesemuanya bernilai RM70,000 serta giat mengesan dalang rangkaian sindiket ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

    Tambah beliau, kesemua empat suspek termasuk dua pemandu lori itu ditahan untuk siasatan lanjut dan kes tersebut disiasat menurut Akta Kawalan Bekalan 1961.

  • Mayat lelaki dalam bonet kereta: Tujuh warga asing direman

    Mayat lelaki dalam bonet kereta: Tujuh warga asing direman

    TUJUH warga asing direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan penemuan mayat seorang lelaki tempatan dalam bonet kereta di Jalan Tugu di sini, semalam.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata permohonan reman sehingga 5 Sept itu dibenarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi ini.

    “Kebenaran reman ini akan membantu polis dalam menyiasat motif pembunuhan dan setakat hari ini tiada tangkapan baharu dilakukan,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Dalam pada itu, Noor Dellhan berkata proses bedah siasat mayat mangsa belum selesai dan punca kematian belum dapat dikenal pasti.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Semalam polis menahan lima lelaki dan dua wanita, kesemuanya warga asing berusia 20 hingga 26 tahun bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat lelaki berusia 41 tahun itu.

    Media melaporkan mayat lelaki dipercayai pemandu e-hailing ditemukan dengan kaki diikat menggunakan kain serta kesan cedera pada muka dan telinga dalam bonet Perodua Bezza yang ditinggalkan di Jalan Tugu kira-kira 6.30 pagi. – BERNAMA