Category: Jenayah

  • Polis tahan pengawal peribadi miliki senjata api tiruan

    Polis tahan pengawal peribadi miliki senjata api tiruan

    POLIS menahan seorang pengawal peribadi di sebuah stesen minyak di Ukay Perdana di Ampang dan merampas senjata tajam termasuk senjata api tiruan, awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata lelaki berumur 21 tahun itu yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan ditahan pada 1.56 pagi.

    Beliau berkata pemeriksaan ke atas suspek menemukan sebilah kerambit, sebuah objek menyerupai pistol dan satu walkie-talkie di dalam beg silang miliknya.

    “Suspek dipercayai menyimpan senjata berkenaan untuk kegunaan pekerjaannya sebagai pengawal peribadi kepada seorang individu berstatus Datuk,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

    Mohamad Farouk berkata siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau atas kesalahan dadah dan hasil ujian air kencing bagaimanapun negatif.

    Beliau berkata suspek direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 36 Akta Senjata 1960.

  • Wanita ditikam bekas kekasih kerana mahu putus hubungan

    Wanita ditikam bekas kekasih kerana mahu putus hubungan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG wanita luka di muka, lengan kanan, pergelangan tangan dan rusuk kanan ditikam kerana mahu berpisah dengan bekas kekasihnya, dalam kejadian di sebuah apartment di Masai, Johor Bahru, semalam.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kejadian itu disedari seorang pengawal keselamatan yang bekerja di situ pada pukul 12 tengah hari selepas mendengar jeritan mangsa.

    “Semasa membuat pemeriksaan di rumah tersebut pengawal keselamatan warga asing berusia 31 tahun itu melihat mangsa dalam keadaan berlumuran darah dan terdapat seorang lelaki tempatan sedang memegang pisau.

    “Pengawal keselamatan tersebut memaklumkan insiden tersebut sebelum membuat laporan polis pada pukul 1.44 petang. Sepasukan anggota dari Balai Polis Masai ke tempat kejadian dan menahan suspek, 30, di rumah mangsa, 34, pada pukul 1 petang.

    Seorang wanita dicederakan bekas kekasihnya kerana mahu berpisah dengan bekas kekasihnya.

    “Suspek didapati bertindak mencederakan mangsa dengan menetak di beberapa bahagian badan dan menikam mangsa. Mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, pihak polis turut merampas pisau sepanjang 19 sentimeter yang digunakan dalam kejadian tersebut.

    Katanya, siasatan awal mendapati suspek bertindak sedemikian kerana marah terhadap mangsa yang enggan meneruskan hubungan percintaan antara mereka.

    “Pemeriksaan awal ke atas suspek mendapati lelaki berkenaan mempunyai satu rekod lampau bersabit kesalahan jenayah,” katanya dan memberitahu suspek bekerja sebagai pemandu grab.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

    Suspek direman enam hari bermula hari ini hingga 6 September ini selepas permohonan reman dikeluarkan Penolong Pendaftar, Khalida Farhana Abu Bakar, di Mahkamah Majistret Joho Bahru, hari ini.

    Tertuduh tiba ke pekarangan mahkamah pada pukul 8.30 pagi dengan lengkap berpakaian lokap berwarna ungu.

  • Pegawai khas PM buat laporan polis terhadap Lokman Adam

    Pegawai khas PM buat laporan polis terhadap Lokman Adam

    PEGAWAI Khas Perdana Menteri pada Khamis membuat laporan polis terhadap bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam kerana didakwa membuat kenyataan fitnah terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Dr Kamarul Zaman Yusoff membuat laporan polis itu di Balai Polis Presint 7 di Putrajaya pada pukul 12.30 tengah hari tadi.

    Bercakap kepada media selepas membuat laporan polis, Kamarul Zaman mendakwa Lokman Noor Adam telah membuat fitnah terhadap Perdana Menteri menerusi satu siaran langsung Facebook mengenai kandungan ‘perjanjian’ Ismail Sabri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Kes berkenaan dirujuk ke Ibu Pejabat Daerah Sepang dan Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof ketika dihubungi mengesahkan terdapat laporan berkaitan kes berkenaan.

  • Polis tahan tokan, rampas dadah RM611,515

    Polis tahan tokan, rampas dadah RM611,515

    SEORANG lelaki ditahan dan dadah berjumlah 11.5 kilogram (kg) jenis ketamin bernilai RM611,515 dirampas polis dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Persiaran You City, Cheras pada Ahad lalu.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, rumah berkenaan dijadikan lokasi pembungkusan dadah secara pukal.

    Katanya, sebelum itu suspek yang ditahan itu merupakan lelaki warga tempatan berusia 34 tahun selepas dilihat berada dalam mencurigakan di sebuah kereta jenis Proton Saga BLM di tepi Jalan Gasing, Petaling Jaya.

    “Lelaki yang bekerja sebagai pembeli peribadi itu ditahan kira-kira pukul 3.30 petang.

    “Hasil pemeriksaan dijalankan menemui beberapa bungkusan dipercayai mengandungi dadah jenis ketamin.

    “Antara yang ditemui adalah satu beg berwarna kuning mengandungi tiga peket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis ketamin,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.

    Polis turut merampas sebuah kereta, wang tunai sebanyak RM600 dan satu beg silang mengandungi kad pengenalan, kad akses dan beberapa barangan milik lelaki terbabit.

    Kata Mohamad Fakhrudin, siasatan lanjut kemudian membawa kepada satu serbuan rumah di Jalan Persiaran You City pukul 5.18 petang.

    “Antara yang dirampas adalah dua peket plastik berwarna merah dan hitam seberat lima kilogram dan lima peket plastik mengandungi dadah jenis ketamin.

    “Selain itu, turut dirampas adalah peralatan dipercayai digunakan untuk membungkus dadah seperti alat penimbang, mesin pembungkusan vakum, bekas plastik, acuan plastik dan pelbagai peralatan lain,” katanya.

    Menurut beliau, siasatan dijalankan mendapati suspek merupakan pengedar dadah secara besar-besaran.

    “Suspek ini menjual dadah dalam kuantiti yang banyak berdasarkan rampasan yang dijalankan.

    “Suspek dipercayai bergiat aktif dalam aktiviti pengedaran dadah ini sejak enam bulan lalu,” jelasnya.

    Ujar Fakhrudin, semakan rekod mendapati suspek mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan dadah.

    “Polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sama ada terdapat individu lain terlibat bersama suspek menjalankan aktiviti pengedaran dadah ini.

    “Siasatan turut dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan dadah diperoleh suspek,” katanya.

    Tambahnya, suspek kini direman empat hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Jho Low: Kenapa tak maklum kepada KDN – Hamzah

    Jho Low: Kenapa tak maklum kepada KDN – Hamzah

    MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mempersoalkan individu yang mendakwa mengetahui keberadaan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low tidak memaklumkan perkara itu kepada pihaknya.

    “Pihak terbabit sepatutnya memberikan maklumat tersebut kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk siasatan lanjut dilakukan.

    “Dia tahu? Pasal apa dia tak maklumkan pada kita di mana tempat itu di China, apa semua tolong bagi tahu,” katanya menjawab soalan media ketika ditanya pada sidang media Program Visa Premium di Putrajaya, hari ini, lapor Astro Awani.

    Beliau berkata demikian menjawab soalan pemberita berhubung keberadaan Jho Low di Disneyland, Shanghai pada malam Krismas, 2019.

    Jho Low yang terbabit dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) didakwa bersembunyi di negara tersebut.

    Memetik laporan Malaysiakini, perkara itu didedahkan penulis bersama buku Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and the World, Bradley Hope menerusi episod pertama program Di Mana Jho Low yang disiarkan di aplikasi YouTube, semalam.

    Hope bersama penulis, Tom Wright turut berkongsi sekeping gambar memaparkan Jho Low bersama dua individu tidak dikenali di sebuah restoran di Disneyland Shanghai yang dikatakan diambil pada malam Krismas 2019.

    Rakaman wajah yang dilihat mirip Jho Low itu didakwa diterimanya daripada sumber boleh dipercayai.

  • 2 anggota polis tahan ugut orang awam

    2 anggota polis tahan ugut orang awam

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) direman empat hari bermula hari ini hingga 4 September depan kerana melakukan pemerasan terhadap orang awam.

    Perintah reman terhadap anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Khalida Farhana Abu Bakar, di Johor Bahru hari ini.

    Kedua-dua anggota berpangkat Koperal dan Lans Koperal yang berusia 32 dan 35 tahun itu ditahan reman untuk membantu siasatan berhubung kesalahan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

    Terdahulu kedua-dua tertuduh sebelum itu tiba ke pekarangan mahkamah pada pukul 8.30 lagi lengkap berpakaian lokap berwarna ungu.

    Sekiranya disabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak ketika dihubungi pemberita mengesahkan penahanan kedua-dua anggota berkenaan.

    Kedua-dua anggota berkenaan memeras ugut seorang individu sebanyak RM200 dalam satu kejadian di Taman Kota Masai, Pasir Gudang pada pukul 9.40 malam Khamis lalu.

    Seorang anggota berkenaan bertindak merempuh pagar kediaman rumah mangsa sebelum mengugut mangsa dan anak lelakinya.

    Kedua-dua anggota berkenaan telah ditahan pada pukul 1.46 pagi semalam.

  • Merusuh di tengah malam, polis Temerloh tahan 7 suspek

    Merusuh di tengah malam, polis Temerloh tahan 7 suspek

    POLIS Temerloh berjaya menahan tujuh lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian pergaduhan di tepi jalan di Mentakab, Pahang, pada awal pagi 31 Ogos.

    Suspek berusia antara 19 dan 35 tahun, ditahan sekitar bandar Mentakab, susulan pergaduhan yang dipercayai berlaku antara pukul 12.05 tengah malam dan 12.20 tengah malam semalam.

    Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Mohd. Yusoff berkata, pihak polis mengesan suspek selepas rakaman video berdurasi lapan saat tersebar melalui media sosial.

    “Di dalam tayangan video itu, menunjukkan beberapa orang lelaki sedang bergaduh berhampiran tepi jalan di bandar Mentakab.

    “Sehingga hari ini, pihak polis tidak menerima sebarang aduan atau laporan berkaitan kejadian tersebut,” katanya, lapor Astro Awani.

    Menurut Mohd. Azhar, polis membuat laporan maklumat pertama untuk memulakan siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan, iaitu merusuh di tempat awam, dan di bawah Seksyen 160 kanun sama, kerana melakukan gaduh gempur.

    “Saya memohon bantuan orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut tampil memberi maklumat untuk membantu siasatan.

    “Mereka yang menyaksikan kejadian itu boleh salurkan maklumat kepada pegawai penyiasat ASP Irmawathy Mohamad Yusof di talian 012-2822874 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

  • Duda maut dipukul rakan serumah

    Duda maut dipukul rakan serumah

    SEORANG duda meninggal dunia selepas dipercayai menjadi mangsa belasahan rakan serumah sejak sebulan lalu, dalam kejadian di Taman Gemilang Sungai Lalang, Bedong, Sungai Petani.

    Mangsa meninggal dunia dalam perjalanan ketika dikejarkan untuk rawatan kecemasan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani, Kedah semalam.

    Kematian lelaki berusia 39 tahun itu disahkan pegawai perubatan sejurus tiba di Zon Merah Jabatan Kecemasan HSAH pada 3.40 petang.

    Memetik laporan BH Online, sumber berkata, susulan pemeriksaan perubatan mendapati mangsa mengalami kecederaan di seluruh badan, menyebabkan pegawai perubatan terbabit melaporkannya kepada polis.

    “Susulan itu, sepasukan anggota polis bergegas ke hospital menjalankan siasatan dan doktor yang membuat pemeriksaan mendapati kesan kecederaan di tubuh mangsa berlaku akibat dia dipukul sejak sebulan lalu.

    “Pemeriksaan perubatan turut mendapati telinga kanan mangsa bengkak, kesan luka tangan kanan dan kiri, kesan pukul di kedua-dua peha serta luka di badan,” katanya.

    Katanya, susulan kejadian itu, polis mengambil keterangan daripada ahli keluarga mangsa dan seorang wanita yang juga bekas isterinya.

    “Bekas isteri lelaki itu memberitahu yang mangsa bersama seorang anak mereka tinggal di rumah rakan yang juga suspek kes terbabit.

    “Hasil siasatan lanjut, beberapa jiran juga mendakwa ada terdengar pergaduhan di antara dua rakan terbabit, namun takut untuk membuat laporan polis kerana bimbang diancam suspek yang juga ahli kongsi gelap,” katanya.

    Sumber berkata, susulan daripada itu polis menahan suspek yang berusia 36 tahun dan hasil siasatan awal dia mengaku pernah memukul mangsa menggunakan kayu dan tangan sejak sebulan lalu.

    “Suspek mendakwa dia bertindak begitu terhadap mangsa yang juga rakan serumahnya itu kerana si mati tidak mahu bekerja, selain kerap memukul anaknya sendiri.

    “Pemeriksaan awal mendapati suspek mempunyai lima rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah dan dia kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat.

  • Sambutan Hari Kebangsaan: Pengawal keselamatan disiasat terbangkan dron

    Sambutan Hari Kebangsaan: Pengawal keselamatan disiasat terbangkan dron

    SEORANG pengawal keselamatan disiasat selepas disyaki menerbangkan dron tanpa kelulusan pihak berkuasa pada sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka,hari ini.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya, berkata keterangan daripada lelaki berusia 50 tahun itu diambil selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada  jam 1.54 tengah hari tadi.

    “Sebelum itu, Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menurunkan satu dron secara ‘force landing’ iaitu balik ke tempat asal dron itu dinaikkan di tepi jalan berhampiran sebuah restoran di Bulatan Dato Onn pada jam 9.30 pagi.

    “Keterangan daripada lelaki itu sudah diambil dan siasatan lanjut akan dijalankan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM),” katanya kepada Bernama.

    Noor Dellhan berkata laporan tersebut diklasifikasikan sebagai merujuk kepada agensi lain (ROA) iaitu pihak CAAM untuk siasatan di bawah Peraturan 143 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

    Sebelum ini, CAAM menasihatkan orang ramai untuk tidak menerbangkan dron tanpa kelulusan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini membabitkan keselamatan orang awam serta mengundang risiko kemalangan terhadap pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menjalankan penerbangan formasi rendah pada sambutan tersebut.- BERNAMA

  • Pengadil bola sepak diserang penyokong di Pasir Mas

    Pengadil bola sepak diserang penyokong di Pasir Mas

    SEORANG pengadil berdepan detik cemas diserang beberapa lelaki semasa mengendalikan perlawanan bola sepak di Stadium Mini Pasir Mas Ahad lalu.

    Sinar Harian melaporkan, tindakan itu dipercayai berpunca daripada sikap tidak puas hati penyokong berkait dengan keputusan yang dibuat oleh pengadil berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan terhadap insiden berkenaan selepas video berdurasi 39 saat itu tular apabila dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook Kongsi Segala Info.

    “Dalam insiden berkenaan tiada sebarang kecederaan dialami oleh kedua-dua belah pihak yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

    Beliau berkata, bagaimanapun insiden tersebut telah berjaya dileraikan secara aman oleh anggota unit kereta peronda polis (MPV) yang secara kebetulan berada di kawasan berkenaan semasa kejadian.

    Menurutnya, video berdurasi 39 saat itu memaparkan beberapa orang lelaki sedang mengasari pengadil perlawanan dalam pertandingan bola sepak antara mukim dalam daerah Pasir Mas.

    Mohd Nasaruddin berkata, polis menasihatkan kepada orang ramai supaya sentiasa mengamalkan semangat kesukanan yang tinggi dalam menghadiri apa jua jenis perlawanan sukan yang dianjurkan.

    “Hal ini bagi mengelakkan sebarang kecederaan atau kesalahan yang lebih serius dari berlaku pada masa akan datang.

    “Orang ramai juga dinasihati supaya tidak mudah menyebarkan sebarang berita atau perkara yang tidak pasti bagi mengelakkan kebimbangan dan salah faham dalam kalangan orang awam,” katanya.

    Beliau berkata, sekiranya terdapat maklumat berhubung sesuatu insiden jenayah, orang ramai diminta supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di talian 09-793 2222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.