Category: Jenayah

  • Penganggur curi kabel ditahan polis tak sampai 24 jam

    Penganggur curi kabel ditahan polis tak sampai 24 jam

    POLIS menahan dua penganggur kerana terlibat dalam kegiatan curi kabel di Jalan Perdana 2/7, Pandan Perdana, Ampang, semalam.

    Suspek ditahan tidak sampai 24 jam selepas mangsa, seorang pengarah syarikat membuat laporan polis pada pukul 11 pagi.

    Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, mangsa memaklumkan segulung wayar kabel bersaiz 50 milimeter bernilai RM2,000 telah dicuri di hadapan kedai.

    “Suspek masing-masing berusia 38 dan 39 tahun ditahan di kawasan Pudu Cheras pada pukul 10 malam

    “Turut dirampas pakaian dan sebuah motosikal yang digunakan semasa kejadian.

    “Bagaimanapun, kabel yang dicuri dipercayai telah dijual di kedai besi buruk dekat Kampung Pandan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

    Mengulas lanjut, semakan rekod lampau mendapati suspek pertama mempunyai 32 rekod lampau pelbagai kesalahan dadah dan jenayah curi.

    Sementara suspek kedua mempunyai 14 rekod lampau pelbagai kesalahan dadah.

    Jelasnya, suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga Sabtu dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

  • Pengurus, ketua pemasaran ditahan beri rasuah RM10 juta, projek pengangkutan awam

    Pengurus, ketua pemasaran ditahan beri rasuah RM10 juta, projek pengangkutan awam

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengurus kewangan dan ketua pemasaran sebuah syarikat bagi membantu siasatan pemberian rasuah lebih RM10 juta membabitkan urusan pengambilalihan kerja melibatkan projek pembinaan sistem pengangkutan awam.

    Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya semasa hadir memberi keterangan pukul 9.30 malam tadi.

    “Suspek wanita yang merupakan pengurus kewangan sebuah syarikat dipercayai melakukan pembayaran rasuah berjumlah lebih RM10 juta bagi memudahkan urusan dan kelulusan pengambilalihan kerja melibatkan projek berkenaan daripada sebuah syarikat lain kepada syarikat suspek bekerja.

    “Sementara suspek lelaki yang merupakan Ketua Bahagian Pemasaran syarikat yang sama pula, disyaki membuat pembayaran kepada enam individu dan entiti yang berbeza yang disyaki palsu,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

    Sumber tersebut memaklumkan, wanita terbabit bertanggungjawab melakukan pembayaran tersebut tanpa mematuhi prosedur kewangan dan perolehan syarikat.

    Katanya, kedua-dua suspek yang berusia dalam lingkungan 40-an direman tiga hari bermula hari ini.

  • PGA rampas vape RM2 juta

    PGA rampas vape RM2 juta

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu merampas pelbagai jenama dan jenis perisa cecair serta pelbagai jenis cartridge vape dalam satu serbuan di Taman Danhwa Kampung Kebakat di Tumpat pada Sabtu.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, rampasan pada pukul 12.30 tengah malam itu dilakukan Batalion 9 PGA Kuala Terengganu yang bertindak atas maklumat risikan.

    “Seorang lelaki berusia 34 tahun yang berada dalam rumah terbabit ditahan.

    “Hasil pemeriksaan terdapat pelbagai perisa dan jenis cecair vape yang disyaki menyalahi undang-undang,” katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) di Kota Bharu hari ini.

    Beliau berkata, suspek turut gagal mengemukakan dokumen berkaitan apabila diminta dan kesemua barangan dirampas diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.

    Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 13(A) Akta Racun 1952, lapor Sinar Harian.

  • Polis Kelantan rampas dadah RM6.4 juta

    Polis Kelantan rampas dadah RM6.4 juta

    LIMA lelaki ditahan kerana terlibat sindiket pengedaran dadah dan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM6.4 juta dirampas di Kota Bharu.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata,s emua suspek berusia antara 27 sehingga 39 tahun ditahan di beberapa lokasi berasingan bermula 29 Ogos lalu.

    “Mereka kini direman selama 13 hari, sehingga 11 September ini. Dadah yang dirampas adalah 624,000 biji pil kuda, 400 biji pil Erimin dan 78,810 gram (g) ganja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kota Bharu, hari ini.

    Katanya, tangkapan pertama membabitkan lelaki berusia 27 di tepi Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

    Menurutnya, pemeriksaan dalam Perodua Viva dipandunya menemui beg plastik berisi pil kuda dan Erimin di tempat duduk penumpang hadapan.

    “Susulan penahanannya, polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Pasir Jelatang, Kubang Kerian dan menemukan 100 lagi bungkusan pil kuda dan 80 bungkusan ganja.

    “Hasil siasatan, pihak kami berjaya menahan tiga lagi lelaki di di Pengkalan Chepa, Kampung Ketapang dan Pasir Tumboh yang disyaki terbabit dengan kumpulan dadah,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Muhamad Zaki berkata, suspek kelima ditahan di Seri Kembangan, Selangor, manakala ujian saringan air kencing ke atas mereka semua mendapati negatif dadah.

    Katanya, semakan rekod menunjukkan suspek masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau termasuk penyalahgunaan dadah.

    “Rampasan dadah itu boleh digunakan 703,210 penagih dan kami percaya ia untuk pasaran tempatan Kelantan dan Lembah Klang,” katanya yang memberitahu usaha memburu saki baki suspek sedang giat dilakukan.

    Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, manakala rampasan dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

  • Pasangan kekasih ditemui mati dalam Perodua Kancil

    Pasangan kekasih ditemui mati dalam Perodua Kancil

    SEPASANG kekasih muda ditemui maut dalam sebuah kereta jenis Perodua Kancil di pekarangan Kompleks Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Limau, di Masjid Tanah, hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 pagi itu, pelajar perempuan tingkatan empat dan teman lelakinya yang berusia 20 tahun disahkan maut selepas dipercayai terhidu karbon monoksida.

    Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah berkata, kedua-dua mereka ditemui lengkap berpakaian di bahagian pemandu dan penumpang hadapan selain kenderaan itu turut diselubung menggunakan kanvas.

     “Siasatan awal polis mendapati, pasangan ini dipercayai berada di pekarangan kompleks JAPERUN ini sejak petang semalam selepas remaja perempuan itu difahamkan dihantar ke kawasan berkenaan oleh rakannya untuk bertemu mangsa lelaki yang juga teman lelakinya.

    “Setakat ini kita tidak kesan apa-apa unsur jenayah yang mana mereka ini lengkap berpakaian dan kepala remaja perempuan itu dilentokkan di bahu lelaki berkenaan,” katanya lapor Astro Awani.

    Mengulas lanjut katanya, pihaknya bagaimanapun percaya tidak berlaku sebarang perbuatan sumbang dan pasangan itu dipercayai sengaja duduk di kawasan berkenaan dalam keadaan enjin kenderaan dihidupkan sebelum tertidur.

    “Remaja perempuan yang berasal dari Lubok China ini masih bersekolah manakala remaja lelaki yang berasal dari Kuala Sungai Baru pula baharu menamatkan pengajian dari sebuah Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Kelantan.

    “Pihak polis juga percaya kereta Perodua Kancil yang merupakan milik bapa mangsa lelaki itu telah kehabisan minyak memandangkan ia dihidupkan dalam tempoh masa yang lama,” kata beliau.

    Katanya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Melaka bagi proses bedah siasat.

  • Suami isteri ditahan bersama ganja hampir 20kg

    Suami isteri ditahan bersama ganja hampir 20kg

    POLIS menahan sepasang suami isteri dan merampas dadah jenis ganja seberat hampir 20 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM50,000 dalam serbuan di Kuala Kedah, Ahad lepas.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata kedua-duanya yang berusia 33 dan 29 tahun ditahan ketika melakukan kegiatan pengedaran dadah di pekarangan parkir sebuah premis di kawasan berkenaan.

    “Sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah telah menjalankan pemerhatian selama 20 minit sebelum melihat sebuah kereta jenis Proton Saga memasuki kawasan itu.

    “Polis menahan lelaki dan wanita itu serta melakukan pemeriksaan sebelum menjumpai dua beg kanvas di atas kerusi penumpang belakang yang mengandungi 20 bungkusan plastik lut sinar berisi ketulan mampat tumbuh-tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja seberat hampir 20kg,” katanya pada sidang media, hari ini.

    Beliau berkata kedua-duanya yang merupakan nelayan dan tukang cuci didapati menggunakan kereta sewa untuk menjalankan kegiatan tersebut bagi mengelak dikesan polis.

    Beliau berkata pasangan terbabit yang dipercayai menjadi pengedar sejak setahun lepas mendapat bekalan dadah dari selatan negeri itu sebelum dipasarkan di sekitar Kota Setar.

    “Sekiranya dadah ini terlepas di pasaran, ia boleh digunakan oleh 20,000 penagih. Polis turut menyita sebuah kereta jenis Chevrolet dan motosikal jenis Yamaha milik suspek, dengan keseluruhan rampasan dianggar berjumlah lebih RM68,000.

    “Suspek lelaki mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala suspek wanita tidak mempunyai sebarang rekod lampau. Saringan urin terhadap kedua-dua suspek juga negatif,” katanya.

    Ahmad Shukri berkata pasangan itu direman hingga 11 Sept ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B ADB 1952.

  • Terima upah RM200 seludup diesel bernilai RM5,000

    Terima upah RM200 seludup diesel bernilai RM5,000

    TINDAKAN seorang pemandu lori yang singgah di beberapa stesen minyak berbeza untuk membeli diesel melebihi had dibenarkan menjerat diri apabila dia ditahan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang petang semalam.

    Ketika ditahan di sekitar Permatang Pauh pukul 6.45 petang semalam, lelaki warga tempatan berusia 40-an itu dipercayai sedang membeli minyak diesel di stesen minyak keempat bagi mengelak tindakannya itu dikesan pihak berkuasa.

    Menurut Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Pulau Pinang, A. Mogan, suspek ditahan selepas dikesan mengisi tangki minyak berkapasiti 20,000 liter yang telah diubah suai di atas lori yang dipandunya.

    Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati suspek akan mengepam minyak yang diisi ke dalam tangki asal ke dalam tangki tambahan menerusi motor pam.

    Jelas beliau, siasatan mendapati pemandu lori berkenaan perlu mengisi 2,500 liter diesel bernilai RM5,000 yang diberi majikannya dan perlu menghantar bekalan diesel itu ke sebuah stor di Sungai Dua sebelum menerima upah sebanyak RM200.

    “Disebabkan had pembelian yang ditetapkan hanya 250 liter diesel sehari, maka lelaki berkenaan akan mengisi diesel di 10 stesen minyak berdekatan dalam lingkungan jarak lima kilometer,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu malam tadi.

    Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya merampas kira-kira 1,810 liter minyak diesel bernilai RM3,892 dalam operasi itu dan menyita lori dan tangki minyak yang telah diubah suai dengan nilai sitaan keseluruhan bernilai RM69,192.70.

    Jelasnya, suspek turut mengaku kali pertama melakukan kerja sampingan terbabit dan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

  • Lelaki intai guru wanita di tandas diburu

    Lelaki intai guru wanita di tandas diburu

    SEORANG lelaki yang mengintai seorang guru wanita di tandas Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic), pada 15 Ogos lalu kini diburu.

    Pihak polis telah menerima laporan daripada mangsa yang berusia 32 tahun, pada hari yang sama.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim, perbuatan suspek itu turut dirakam dalam kamera litar tertutup (CCTV) dan tular dalam media sosial.

    “Hasil siasatan mendapati, mangsa ke Kompleks Sukan Negara untuk membawa pelajar bagi menyertai latihan perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan.

    “Bagaimanapun, semasa berada di dalam tandas wanita, mangsa menyedari kehadiran seorang lelaki yang sedang mengintainya dari bilik tandas sebelah.

    “Mangsa kemudian menjerit sehingga menyebabkan suspek bertindak melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohd. Iqbal berkata, mangsa menceritakan dia hanya sempat melihat paras kepala hingga mata suspek sahaja.

    Katanya lagi, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.

    “Siasatan masih diteruskan untuk mendapatkan rakaman CCTV di lain-lain lokasi berhampiran,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Sebarang maklumat lanjut berhubung kes iitu katanya, boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat kes Insp Hadi di talian 016-2745515.

  • Forensik Bukit Aman periksa rumah Zalina Azman

    Forensik Bukit Aman periksa rumah Zalina Azman

    PASUKAN forensik dari Bukit Aman hari ini memeriksa rumah bekas pembaca berita sebuah stesen televisyen, Zalina Shaharah Azman atau dikenali sebagai Zalina Azman bagi meneruskan siasatan kes kehilangan wanita itu.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata bagaimanapun hasil pemeriksaan tidak menemukan sebarang petunjuk bagi perkembangan siasatan kes itu.

    “Pemeriksaan pada kira-kira 10 pagi tadi dilakukan bagi mencari jika terdapat bukti-bukti baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Polis menerima laporan mengenai kehilangan Zalina, 58, daripada anak lelakinya Mikhael Norman, 33, pada 29 Nov tahun lepas yang cuba menghubunginya sejak 24 Nov bagi memaklumkan datuk pengadu telah dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi.

    Polis percaya Zalina masih berada di dalam negara susulan tiada pergerakan keluar membabitkannya yang dikesan pihak berkuasa setakat ini.- BERNAMA

  • 12 lelaki joli hasil pecah rumah lebih setengah juta dicekup

    12 lelaki joli hasil pecah rumah lebih setengah juta dicekup

    POLIS berjaya menahan 12 lelaki warga tempatan masing-masing berusia dalam lingkungan 19 hingga 23 tahun yang disyaki terbabit dalam kes pecah rumah dan curi di Petaling Jaya 24 Ogos lalu.

    Memetik laporan UtusanTV, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, pengadu menyedari kejadian curi itu semasa ingin mengambil peti besi yang disimpan di ruang dapur rumah tersebut.

    Jelasnya, pengadu kemudian membuat laporan polis pada 25 Ogos dan memaklumkan anggaran kerugian sebanyak RM430,000 wang tunai dan barangan kemas bernilai RM200,000.

    Mohamad Fakhruddin berkata, pengadu memaklumkan wang tersebut adalah hasil pelaburan matawang asing bersama isteri sejak 2020 hingga Januari 2022.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Bertindak atas maklumat risikan, pasukan polis Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Selangor memulakan operasi pada 31 Ogos jam 3.30 petang.

    “Pasukan operasi melakukan serbuan ke atas sekumpulan 11 lelaki warga tempatan yang sedang berhenti rehat di sebuah stesen minyak di Seremban.

    “Hasil pemeriksaan ke atas kesemua suspek, pasukan telah merampas pelbagai barangan disyaki dibeli menggunakan wang hasil curi,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohamad Fakhruddin berkata, antara barangan yang dirampas adalah dua buah motosikal jenis Yamaha dan Kawasaki, enam buah telefon bimbit jenis Iphone 13 Pro Max dan satu beg silang jenama Coach.

    Tambah Mohamad Fakhruddin, hasil siasatan terhadap suspek telah membawa kepada tangkapan seorang lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 20-an di sebuah rumah di Klang, Selangor.

    Jelas beliau, pemeriksaan ke atas suspek telah berjaya membawa kepada rampasan pelbagai barangan yang disyaki dibeli menggunakan wang hasil curi.

    “Barangan yang dirampas adalah seuah telefon bimbit jenis Iphone 13 Pro Max, dua utas jam tangan jenama G-Shock, sebuah kamera Insta 360 One X2, sebuah motosikal jenis Kawasaki 150RR, sepasang selipar jenama Skechers, sekeping kad pendaftaran motosikal dan wang tunai berjumlah RM1,000.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada telefon pintar, barang kemas, aksesori motosikal serta wang tunai yang berjaya dirampas selepas menahan 12 suspek yang dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah dan curi ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPD) Petaling Jaya, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Siasatan lanjut terhadap 11 orang kena tangkap (OKT) telah pandu arah ke rumah masing-masing di Klang dan membawa kepada rampasan pelbagai barangan disyaki dibeli menggunakan wang hasil curi.

    “Barangan itu adalah enam utas gelang tangan emas, satu anting-anting, sebuah kereta jenis Honda Civic FD 2.0, dua set alat ganti motosikal Yamaha (cover set), satu set lampu kereta Perodua, dua beg pelbagai jenama, dua buah motosikal jenama Kawasaki dan NVX, empat buah topi keledar jenama KYT, empat kad pendaftaran kenderaan dan wang tunai berjumlah RM55,950,” katanya.

    Mohamad Fakhruddin berkata, hasil semakan rekod jenayah lampau ke atas kesemua 12 OKT mendapati tiada rekod jenayah lampau dan tiada rekod dikehendaki.

    Katanya, anggaran jumlah nilai rampasan adalah sebanyak RM271,209 manakala baki berjumlah RM158,791 adalah perbelanjaan suspek yang tidak dapat dirampas seperti pembelian aplikasi permainan atas talian, pembayaran bil, bayaran upah pembaikan rumah dan lain-lain perbelanjaan tunai.

    Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan curi.

    Katanya, kesemua suspek telah ditahan reman selama tujuh hari bermula 1 September hingga 7 September untuk siasatan lanjut.

    Menurutnya, dua daripada suspek adalah penganggur, dua bekerja sebagai pemandu lori, seorang bekerja sebagai operator kilang manakala tujuh lagi adalah penghantar makanan (rider).

    “Lain-lain wang tunai yang tidak dirampas telah dibelanjakan suspek untuk mengunjungi pusat hiburan dan melanggan pelacur.

    “Wang tunai yang diserahkan keada ahli keluarga mereka juga telah habis dibelanjakan,” katanya.