Category: Jenayah

  • Pecah rumah: Pencuri, pembeli hasil curi ditahan

    Pecah rumah: Pencuri, pembeli hasil curi ditahan

    POLIS menahan seorang lelaki berusia 30 tahun Selasa lepas bagi membantu siasatan kes pecah rumah di Sibu Jaya pada 13 Ogos lepas.

    Susulan penahanan pada 11.35 pagi tu, polis berjaya menahan dua lagi lelaki berusia 45 dan 54 tahun di bandar ini yang dipercayai membeli hasil curi daripada suspek.

    Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu berjaya merampas kembali kesemua barangan curi merangkumi selaras senapang patah laras tunggal, 12 butir peluru pelbagai jenis, kain pua kumbu serta aksesori pakaian tradisional Iban bernilai RM2,000 milik pengadu.

    “Polis turut merampas selaras lagi senapang patah laras tunggal daripada suspek terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kejadian pecah rumah itu berlaku ketika pengadu sedang bercuti di Miri bersama keluarganya.

    Katanya pihaknya percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya tiga kes pecah rumah di Sibu Jaya dengan penahanan tersebut dan kesemua lelaki itu direman lima hari untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

  • Polis rampas dadah bernilai RM115,490

    Polis rampas dadah bernilai RM115,490

    POLIS berjaya merampas dadah pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM115,490 dalam satu operasi di Sentul, Selasa lalu.

    Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Ashari Abu Samah berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Wangsa Maju telah bertindak menahan dua lelaki di sebuah kondominium di Jalan Ampang pada jam 1.40 petang.

    “Penahanan itu membawa kepada rampasan sepeket bahan plastik yang mengadungi dua peket lutsinar berisi bahan disyaki dadah.

    “Dadah itu disyaki jenis methamphetamine dengan anggaran berat 6.34 gram dan sepeket plastik lutsinar mengandungi 110 biji pil berwarna hijau disyaki ekstasi dengan anggaran berat 42.96 gram.

    Sebahagian daripada dadah jenis ganja dan methamphetamine bernilai RM115,490.00 yang berjaya dirampas selepas polis menahan tiga lelaki yang dipercayai pengedar dadah ketika Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superitendan Ashari Abu Samah mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Turut dirampas satu beg berwarna merah yang diisi satu balutan salotape membaluti kertas foil warna oren mengandungi ketulan mampat daun-daun kering disyaki jenis ganja, dengan anggaran berat 1.038 kilogram,” katanya memetik laporan Utusan TV.

    Mengulas lanjut, Ashari berkata, pada pukul 2.35 petang hari yang sama, pasukan operasi melakukan tindakan susulan untuk memeriksa sebuah kereta di kondominium yang sama.

    Menurut Ashari, pemeriksaan itu membawa kepada penemuan 45 balutan salotape mengandungi ketulan mampat daun-daun keringa yang disyaki jenis ganja seberat 44.085 kilogram.

    Jelas beliau, polis turut menahan seorang lagi lelaki di kawasan Sentul kerana dipercayai turut terlibat dalam sindiket pengedaran dadah tersebut.

    Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superitendan Ashari Abu Samah (tengah) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada dadah jenis ganja dan methamphetamine bernilai RM115,490.00 yang berjaya dirampas selepas menahan tiga lelaki yang dipercayai pengedar dadah ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Dadah yang dirampas dipercayai boleh nemampung keperluan penagih-penagih sekitar Kuala Lumpur lebih kurang 9,150 orang.

    “Kesemua suspek berusia antara 31 hingga 32 tahun dipercayai aktif dalam sindiket itu sejak awal November 2021.

    “Ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek mendapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine,” katanya.

    Ashari menambah, kesemua suspek telah ditahan reman selama lima hari bermula semalam hingga 11 September untuk siasatan lanjut.

    Jelas beliau, kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum dimajukan ke Pejabat Timbalan Pendakwaraya untuk arahan lanjut.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Tawar aktiviti pelacuran kepada pelanggan rumah urut, salon

    Tawar aktiviti pelacuran kepada pelanggan rumah urut, salon

    SATU sindiket pelacuran yang berselindung di sebalik operasi rumah urut dan salon berjaya dibongkar selepas polis Pulau Pinang menyerbu sebuah premis di Jalan Sungai Dua, Gelugor semalam.

    Dalam serbuan kira-kira pukul 6.45 petang itu, seramai 11 wanita warga asing dan seorang lelaki warga asing dipercayai pelanggan berusia antara 24 hingga 52 tahun turut ditahan.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden V. Saravanan berkata, siasatan pihaknya mendapati premis rumah urut dan salon itu turut dijadikan lokasi aktiviti pelacuran dengan menyediakan khidmat seks pada harga RM50 hingga RM150 bagi tempoh satu jam.

    Jelas beliau, pusat itu dipercayai telah menawarkan aktiviti pelacuran terbabit sejak enam bulan lalu.

    “Premis rumah kedai itu beroperasi sebagai rumah urut di tingkat bawah manakala salon di tingkat atas.

    “Pelanggan dipercayai datang untuk mendapatkan khidmat urut dan salon, namun kemudian ditawarkan khidmat pelacuran,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah (IPD) Timur Laut, Georgetown hari ini.

    Menurut beliau, dalam serbuan sama polis turut merampas pelbagai barangan seperti kondom, buku log pelanggan, tuala, wang tunai bernilai RM600 dan barangan lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pelacuran.

    Jelasnya, kesemua tahanan kini direman selama tiga hari dan disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan (mencari langganan bagi maksud persundalan).

    Selain katanya, suspek juga akan disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 (salah guna pas lawatan sosial) dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/1963 (tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah).

    Dalam perkembangan sama, Saravanan menambah, sebanyak 13 premis telah diserbu dan seramai 53 suspek yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pelacuran telah ditahan menerusi menerusi Ops Noda yang dijalankan polis sejak 30 Ogos lalu hingga semalam.

    “Tangkapan itu melibatkan masing-masing lima lelaki dan wanita tempatan serta enam lelaki dan 37 wanita warga asing,” katanya.

  • Tular lelaki dibelasah didakwa cuba culik kanak-kanak

    Tular lelaki dibelasah didakwa cuba culik kanak-kanak

    TULAR satu video mengenai seorang lelaki dibelasah di Kota Bharu yang didakwa penduduk setempat terbabit dalam kes culik kanak-kanak.

    Video itu yang tular sejak malam tadi dikatakan dirakam orang ramai ketika kejadian di kawasan sekitar Dataran Muhammadi di Kota Bharu.

    Bagaimanapun, setakat ini tiada pengesahan dan maklumat lanjut dari pihak berkuasa, lapor Harian Metro.

    Dalam perkongsian beberapa klip rakaman video itu, dilihat seorang lelaki yang memakai topi keledar dipukul beberapa individu kerana dikatakan adalah seorang daripada individu yang terbabit dalam kejadian penculikan kanak-kanak untuk diambil organ.

    Menerusi rakaman berkenaan, lelaki itu yang dalam keadaan kesakitan memberitahu dia melarikan diri kerana dikejar orang ramai sebelum berjaya ditangkap dan dipukul.

    Insiden itu menerima pelbagai komen daripada warganet yang menyuarakan kebimbangan dengan kejadian yang dikatakan berunsurkan penculikan kanak-kanak itu.

    Menurut komen lain, lelaki itu dikatakan menyasarkan kanak-kanak berusia di bawah sembilan tahun untuk diculik dan menasihatkan agar mengawal pergerakan anak masing-masing.

  • Warga emas jual daging babi hutan, arak seludup ditahan

    Warga emas jual daging babi hutan, arak seludup ditahan

    SEORANG lelaki warga emas ditahan kerana disyaki menjual daging babi hutan tanpa permit yang sah serta menjual arak seludup di Taman Harmoni, Simpang Renggam dekat Kluang, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, lelaki berusia 60-an itu yang ditahan pada pukul 5.09 petang, turut dipercayai memiliki selaras senapang patah yang panjangnya lebih kurang 1.22 meter tanpa lesen.

    Beliau berkata, pihaknya juga menemukan enam butir peluru tertera tulisan ‘GB Buck Shot’, empat butir peluru tertera tulisan ‘SB Corona’ dan sebutir peluru tertera tulisan ‘Kerambit 1’.

    “Sebanyak 83 bungkusan plastik dipercayai mengandungi daging babi hutan yang akan dijual kepada warga asing di sekitar kawasan berkenaan dan sebuah peti ais.

    “Polis juga merampas 28 karton arak tanpa cukai pelbagai jenis yang juga dipercayai dijual kepada warga asing di kawasan terbabit serta sebuah kereta Proton Saga, dengan jumlah rampasan RM27,935,” katanya dalam sidang media hari ini.

    Bahrin berkata, lelaki itu ditahan reman selama empat hari sehingga Sabtu untuk siasatan lanjut.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000.

    Selain itu, lelaki berkenaan turut disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967, yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tiga tahun selain Seksyen 60(1)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, sekiranya bersalah boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun.

  • JKM kunseling pelakon remaja dakwa dicabul bapa-Rina Harun

    JKM kunseling pelakon remaja dakwa dicabul bapa-Rina Harun

    JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah mengadakan sesi kaunseling bersama pelakon remaja yang mendakwa dicabul bapanya, Isnin lalu.

    Pihak JKM turut membawa seorang kaunselor pada sesi menyantuni pelakon berkenaan di kediaman mangsa.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, JKM sudah mengadakan sesi kaunseling dengan menyantuni pelakon itu dan mengambil beberapa tindakan susulan dari segi emosi dan sebagainya.

    “Pihak JKM juga akan mengadakan sesi kaunseling susulan selepas ini. Saya kira bapa dan pelakon itu juga masing-masing sudah membuat laporan polis, jadi biar pihak berkuasa jalankan siasatan mereka,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan (Pekerti) 2022-2025 di Putrajaya, hari ini.

    Sementara itu, Ketua Pengarah JKM, Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, pihaknya akan mengadakan sesi kaunseling seterusnya dalam masa terdekat.

    “JKM juga akan melihat bantuan lain yang sewajarnya kepada pelakon berkenaan yang turut memaklumkan pendapatannya ketika ini hanya ‘cukup makan’,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Ditanya desakan Presiden Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia, Datuk Dr. Raj Karim supaya pihak menemubual pelakon remaja itu dikenakan tindakan kerana mengeksploitasi golongan berkenaan demi mengejar tontonan yang tinggi, Shaharuddin berkata, perkara itu perlu diajukan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

    “Untuk tindakan mengikut Akta Kanak-Kanak, kita perlu memperhalusi dan bekerjasama dengan SKMM yang mempunyai bidang kuasa menyekat kandungan tertentu,” katanya.

    Baru-baru ini, pelakon remaja itu mendedahkan sikap buruk bapanya ketika ditemubual dalam satu program di YouTube.

    Pelakon remaja itu mendakwa bapanya melakukan gangguan seksual terhadapnya, selain turut memperlakukan ibunya dengan teruk.

    Selepas kisah itu tular, suspek yang menetap di Kedah membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Baharu pada Ahad lalu untuk menafikan dakwaan anaknya itu.

    Semalam, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat mengesahkan bapa pelakon terbabit ditahan pada pukul 2.25 petang, Selasa lalu.

    Wan Azlan berkata, suspek yang berusia 43 tahun ditahan di kediamannya di Kedah sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

    Katanya, polis turut merampas telefon bimbit milik suspek dan akan dihantar ke Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dianalisa.

  • APMM tahan 2 bot tunda dikendali warga Myanmar, Indonesia

    APMM tahan 2 bot tunda dikendali warga Myanmar, Indonesia

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Perak menahan dua bot nelayan tempatan (BNT) kelas B, pada kedudukan 5.3 dan 5.2 batu nautika barat daya Tanjung Lomba-Lomba, Isnin lalu.

    Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata, tangkapan dilakukan semasa pihaknya melakukan rondaan rutin di sekitar perairan Pulau Sembilan.

    Menurutnya, hasil pemeriksaan awal pukul 7.15 pagi Isnin mendapati, bot pertama dikendalikan tiga kru termasuk tekong warga tempatan.

    “Seorang kru warga Indonesia dan seorang Myanmar, berumur lingkungan 41 hingga 49 tahun, sedang menangkap ikan kurang dari lapan batu nautika.

    “Pemeriksaan lanjut mendapati, kedua-dua kru warga asing itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Beliau berkata, hasil pemeriksaan bagi tangkapan bot kedua pula mendapati, bot yang dikendalikan tiga kru termasuk tekong warga tempatan dan dua orang kru warga Indonesia berumur lingkungan 38 hingga 55 tahun juga melakukan kesalahan yang sama.

    “Tekong dan kru disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dengan melakukan aktiviti menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan dan Akta Imigresen 1959/63.

    “Kesemua kru, bot serta 300 kilogram ikan pelbagai jenis dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh, Sitiawan untuk proses penahanan, siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, APMM Perak berjaya menahan sebuah bot pukat tunda kelas B pada kedudukan 8.8 batu nautika barat Pulau Talang, Perak sekitar pukul 10.30 pagi pada 2 September lalu.

    Katanya, bot berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/63.

  • Polis tahan bapa pelakon remaja didakwa lakukan gangguan seksual

    Polis tahan bapa pelakon remaja didakwa lakukan gangguan seksual

    POLIS telah menahan bapa kepada seorang pelakon remaja perempuan yang didakwa membuat gangguan seksual terhadap anaknya, pada Rabu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, permohonan reman telah diperoleh daripada mahkamah sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut.

    “Polis membuat tangkapan pada 2.25 petang dan turut merampas sebuah telefon bimbit daripada suspek yang kemudian dihantar ke Jabatan Forensik PDRM untuk dianalisa.

     “Saringan air kencing ke atas suspek adalah negatif serta tidak mempunyai sebarang rekod lampau,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Astro AWANI.

    Semalam, polis menerima laporan daripada mangsa yang mendakwa diganggu secara seksual oleh bapa kandungnya serta tidak menjaga kebajikan mangsa.

    Dalam satu kenyataan terdahulu, Wan Azlan berkata, mangsa juga sering dipertontonkan dengan video lucah dalam telefon bimbit bapa kandungnya.

    Kejadian itu dipercayai berlaku sejak 2013 sehingga 2017.

    Tambah Wan Azlan, mangsa turut menyatakan kejadian itu berlaku ketika mangsa berusia enam tahun dan ketika itu mereka tinggal di kawasan Subang Jaya.

    Baru-baru ini, pelakon berusia 15 tahun menerusi satu temu bual di YouTube ‘Bros Gang TV’ membuat pendedahan mengejutkan mengenai sikap sebenar bapa kandungnya yang didakwa suka menonton filem lucah.

    Menerusi temu bual itu, pelakon itu turut mendakwa dia sering diraba dan dicium bapa kandungnya, ketika dia berusia lima hingga enam tahun.

    Lelaki itu juga didakwa melakukan gangguan seksual terhadap pelakon remaja itu termasuk melakukan onani di hadapannya.

    Malah dia dikatakan mengajak anak perempuannya itu menonton video lucah bersama-sama.

    Bapa mangsa juga difahamkan turut telah membuat laporan polis bagi menafikan segala pertuduhan yang dilemparkan oleh anaknya itu.

  • Pengurus kedai tersepit, ah long buru bekas pekerja

    Pengurus kedai tersepit, ah long buru bekas pekerja

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    “AH long mengugut supaya mengesan bekas pekerja kami atau melangsaikan hutangnya dengan kadar segera.”

    Itu kata dua yang diterima pengurus sebuah kedai cermin kereta di Taman Johor Jaya, Johor Bahru kerana bekas pekerjanya, Cheah Wei Keong menghilangkan diri selepas meminjam wang ah long.

    Menurut Tay Poi Kiang, 53, ugutan tersebut turut disusuli dengan tindakan apabila kedai cermin kereta tersebut disimbah cat merah.

    “Kejadian ini disedari sekumpulan pekerja kami pada jam 5.45 petang Isnin lalu apabila mendapati premis dicemari dengan cat merah.

    “Malah terdapat nota ditinggalkan di hadapan premis perniagaan berkenaan bertujuan menuntut hutang dan juga tercatat nama salah seorang bekas pekerja dan nombor kad pengenalan lelaki itu,” katanya.

    Dia berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadu masalah berkenaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung di premis perniagaan berkenaan, pada Rabu.

    Poi Kiang berkata, susulan itu pihaknya bertindak menghubungi nombor telefon tersebut menerusi WhatsApp bagi mendapatkan penjelasan.

    Menerusi perbualan itu pihaknya dimaklumkan bahawa ah long tersebut sebenarnya memburu Wei Kiong kerana tidak melunaskan hutang.

    “Kami dimaklum dia meminjam SGD800 (RM2,554) dan memiliki rekod pinjaman lain namun mereka enggan beritahu tarikh pinjaman itu dilakukan.

    “Mereka juga menyatakan memiliki maklumat beberapa ahli keluarga Wei Kiong yang berasal dari Pulau Pinang termasuk nombor pendaftaran kereta, nombor telefon dan alamat,” katanya.

    Poi Kiang berkata, walaupun pihaknya menjelaskan bekas pekerja mereka sudah lama berhenti kerja lapan tahun lalu pada 2014 dan tidak memiliki sebarang maklumat berkaitan lelaki berkenaan, ah long tidak mempedulikannya.

    Susulan itu dia membuat laporan di Balai Polis Taman Johor Jaya pada 5 September lalu selain mengadu masalah itu kepada Cai Tung.

    “Kejadian seumpama ini adalah serius dan perlu diambil tindakan kerana terdapat banyak kes ceti haram bebas melakukan apa saja bagi menuntut hutang,” katanya.

    Tambahan pula kata Poi Kiang, mereka turut mengancam individu yang tidak membuat pinjaman dan seolah-olah menunjukkan mereka berkuasa melakukan apa sahaja bagi menuntut hutang.

    “Ketika bekerja di premis perniagaan ini, Wei Kiong yang berusia 30 tahun ketika itu tinggal di tingkat atas bangunan rumah kedai ini dan mungkin membuat pinjaman dengan menjadikan alamat kami sebagai rujukan,” katanya.

  • Lelaki warga asing cedera ditikam

    Lelaki warga asing cedera ditikam

    SEORANG lelaki warga asing cedera ditikam dalam pergaduhan di Jalan Radin Bagus 8, Sri Petaling, di Kuala Lumpur, pukul 3.49 pagi tadi.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Superintendan Basri Sagoni berkata, anggota Unit Rondaan Bermotorsikal (URB) Balai Polis Sri Petaling menjumpai mangsa berusia 30an terbaring di tepi jalan itu.

    Menurut beliau, berdasarkan pemeriksaan awal, terdapat kesan tikaman pada pinggang sebelah kiri mangsa.

    “Mangsa merupakan warganegara asing dipercayai dalam keadaan mabuk telah dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Mukriz Universiti Kebangsaan Malaysia untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Basri berkata, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields bersama Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pergi ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut.

    “Pihak polis tidak menemui sebarang senjata yang digunakan semasa kejadian, namun hasil rakaman kamera litar tertutup, kami berjaya menahan lima lelaki berusia 20an hingga 30an disyaki terlibat dalam pergaduhan terbabit.

    “Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam di muka dua daripada semua suspek,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Menurutnya, kesemua suspek ditahan reman di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes boleh menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berdekatan.