Category: Jenayah

  • Inspektor, Sarjan ditahan minta suapan daripada pegawai polis guna nama SPRM

    Inspektor, Sarjan ditahan minta suapan daripada pegawai polis guna nama SPRM

    TIGA Individu termasuk Inspektor dan Sarjan ditahan kerana menggunakan nama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta suapan sejumlah RM100,000 daripada seorang pegawai polis kononnya bagi menutup kes yang sedang disiasat SPRM.

    Astro AWANO melaporkan, menurut sumber, seorang lagi suspek yang ditahan merupakan pengurus pentadbiran syarikat yang berperanan sebagai orang tengah bagi ‘urusan’ itu.

    Katanya, pengurus syarikat itu ditahan pagi Jumaat di sekitar Kuala Lumpur ketika sedang menerima wang rasuah berjumlah RM50,000 iaitu sebahagian daripada jumlah yang diminta daripada mangsa.

    Susulan itu, SPRM menahan inspektor dan sarjan polis yang berusia lingkungan 30-an itu antara pukul 7 petang dan 12 tengah malam pada hari yang sama.

    Pengurus syarikat tersebut direman selama empat hari sehingga 12 September depan selepas pihak SPRM membuat permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya.

    Bagaimanapun, difahamkan pegawai dan anggota polis tersebut telah dibebaskan setelah keterangan mereka diambil.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi pada Sabtu mengesahkan mengenai penahanan tersebut.

    Kes itu katanya, disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

  • Kedai emas disamun, kerugian dianggarkan lebih setengah sejuta

    Kedai emas disamun, kerugian dianggarkan lebih setengah sejuta

    TIGA pekerja sebuah kedai emas berdepan detik cemas sewaktu baru memulakan operasi perniagaan apabila disamun dua lelaki yang melarikan barang kemas dan wang tunai bernilai kira-kira RM660,000 dalam satu rompakan di Selasar Rokam, Taman Ipoh Jaya hari ini.

    Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya dimaklumkan mengenai rompakan itu kira-kira 10.15 pagi dan polis bergegas ke tempat kejadian untuk siasatan lanjut.

    “Hasil siasatan awal mendapati dua lelaki telah mengacukan senjata menyerupai pistol kepada tiga pekerja semasa mereka hendak membuka kedai lalu melarikan sejumlah barang kemas dan wang tunai.

    “Namun ketiga-tiga mangsa tidak mengalami kecederaan semasa kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Beliau berkata pihaknya sedang giat memburu dua suspek berkenaan dan orang awam yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Fadli Ahmad 019-2500019 untuk membantu siasatan polis.

    Tinjauan Bernama ditempat kejadian mendapati pasukan forensik sedang menjalankan siasatan di lokasi tersebut yang terletak dalam kawasan lot perniagaan.

  • Polis selesai rekod keterangan pelakon remaja dakwa diganggu secara seksual oleh bapa kandung 

    Polis selesai rekod keterangan pelakon remaja dakwa diganggu secara seksual oleh bapa kandung 

    PIHAK polis telah selesai merakamkan keterangan seorang pelakon remaja perempuan yang mendakwa dia diganggu secara seksual oleh bapa kandungnya. 

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat memberitahu, selain remaja itu, polis turut merekodkan percakapan ibu mangsa, pegawai perubatan dan individu dari program YouTube yang telah menemu bual remaja terbabit.

    “Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya telah menjalankan siasatan bersabit aduan yang dibuat oleh mangsa dan telah merakam semua keterangan saksi yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini, memetik laporan Astro Awani.

    Wan Azlan memaklumkan, dengan keterangan saksi-saksi itu, kertas siasatan akan dilengkapkan dalam masa terdekat dan akan dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

    Sebelum ini, pelakon itu menerusi satu temu bual membuat pendedahan mengejutkan mengenai sikap sebenar bapa kandungnya yang didakwa suka menonton filem lucah.

    Menerusi temu bual itu, pelakon itu turut mendakwa dia sering diraba dan dicium bapa kandungnya, ketika dia berusia lima hingga enam tahun.

    Susulan itu, polis menahan bapa kandung remaja terbabit Selasa lalu. 

    Polis turut merampas sebuah telefon bimbit daripada suspek yang kemudian dihantar ke Jabatan Forensik PDRM untuk dianalisis.

    Bapa mangsa juga difahamkan turut telah membuat laporan polis bagi menafikan segala pertuduhan yang dilemparkan oleh anaknya itu.

  • Tiga termasuk bekas Pengerusi PIBG, pemilik syarikat antara ditahan SPRM

    Tiga termasuk bekas Pengerusi PIBG, pemilik syarikat antara ditahan SPRM

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM300,000 pada 2016.

    Menurut sumber, perintah reman semala tiga hari bermula hari ini sehingga 12 September itu dikeluarkan Majistret Nor Azean Mohd. Sohaini ketika SPRM mengemukakan permohonan berkenaan di Mahkamah Shah Alam hari ini.

    “Ketiga-tiga suspek termasuk seorang wanita berusia antara 34 hingga 56 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Selangor semalam ketika hadir memberi keterangan.

    “Mereka yang ditahan adalah kontraktor, pemilik syarikat pembekal bahan pembinaan serta bekas pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah di Selangor.

    “Mereka dipercayai mengemukakan tuntutan yang mengandungi butiran palsu bernilai kira-kira RM300,000 kepada PIBG sekolah salah seorang suspek bagi kerja pembinaan blok baharu di sekolah berkenaan sedangkan kerja-kerja itu tidak disempurnakan,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

  • Penceramah bebas kenal mangsa melalui program motivasi: Polis

    Penceramah bebas kenal mangsa melalui program motivasi: Polis

    SEORANG penceramah bebas yang ditahan kerana disyaki melakukan amang seksual fizikal telah berkenalan dengan kesemua pengadu menerusi program motivasi di sekolah sekitar Selangor.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, siasatan mendapati suspek berusia 40-an itu melakukan perbuatan tersebut ke atas empat mangsa berumur lingkungan 17 hingga 18 tahun.

    “Siasatan awal pihak polis mendapati suspek telah berkenalan dengan kesemua pengadu dalam program motivasi yang diadakan di sekolah sekitar Selangor. Hasil perkenalan itu, suspek didakwa telah bertindak melakukan jenayah amang seksual fizikal ke atas semua pengadu,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata hasil siasatan itu berdasarkan laporan yang diterima pihaknya pada 30 Ogos lepas iaitu dua di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan serta masing-masing satu di IPD Shah Alam dan IPD Kajang.

    Arjunaidi berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Selangor telah membuat tangkapan ke atas suspek sekitar 4 petang pada 8 September lepas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri itu.

    “Kebenaran tahanan reman selama enam hari bermula semalam hingga 14 September ini juga telah diperoleh daripada Mahkamah Majistret Klang bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut ke atas suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

    Arjunaidi turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu kerana ia akan menjejaskan siasatan dan menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

    “Pihak polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan secara tegas mengikut peruntukan undang-undang ke atas mana-mana pihak yang didapati cuba mengelirukan masyarakat dengan menyebarkan sesuatu berita atau isu yang tidak tepat,” katanya.

  • 3 PATI Myanmar bekerja di sangkar ikan ditahan

    3 PATI Myanmar bekerja di sangkar ikan ditahan

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan tiga pekerja sangkar ikan selepas didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri petang semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, anggota penguat kuasa bot ronda Maritim Malaysia melakukan pemeriksaan ke atas sangkar ikan PP-S72 di kedudukan 0.4 batu nautika tenggara Batu Maung pukul 6.05 petang semalam ketika melaksanakan OP PERTIWI.

    Jelas beliau, hasil pemeriksaan mendapati lesen kultur laut sangkar tersebut telah tamat tempoh dan disyaki lesen palsu.

    Selain itu katanya, tiga pekerja sangkar warga Myanmar masing-masing berumur 24 hingga 26 tahun turut gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta permit kerja.
     
    “Ketiga-tiga pekerja sangkar itu kemudian ditahan dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Abd. Razak, kes itu akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985 iaitu tiada dokumen pengenalan diri yang sah dan lesen sangkar ikan tamat tempoh.

    Dalam pada itu, beliau menasihati pemilik sangkar ikan supaya mematuhi peraturan dan undang-undang sedia ada bagi mengelakkan sebarang tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa.

    Katanya, sebarang aduan salah laku jenayah maritim di laut atau sebarang kecemasan boleh menghubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999.

  • Pelakon Lufya, anak hadir beri keterangan di IPD Petaling Jaya

    Pelakon Lufya, anak hadir beri keterangan di IPD Petaling Jaya

    PELAKON Lutfyah Sheikh Omar atau Lufya Omar telah hadir memberi keterangan bersama anaknya berhubung kes cubaan culik di sebuah taman permainan di Kota Damansara di Petaling Jaya, pada 26 Jun lalu.

    Perkara berkenaan disahkan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

    Menurutnya, Lufya hadir bersama anaknya pada Rabu untuk proses keterangan lanjut dan lakaran fotofit wajah suspek.

    “Polis sudah sudah selesai mengambil keterangan daripada pelakon wanita terbabit selepas dia sendiri tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan memberi kerjasama baik untuk merakam keterangan bagi membantu siasatan.

    “Kanak-kanak itu telah dirujuk kepada Pusat Temubual Kanak-kanak (CIC) untuk diambil keterangan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Forum Kesedaran Anti-Scam ‘Jangan Jadi Mangsa Scam’ di Dewan Komuniti Bandar Utama 11, di Petaling Jaya, hari ini.

    Beliau berkata, lakaran fotofit suspek juga sudah diambil dan polis sedang mengesan lelaki terbabit.

    “Setakat ini suspek hanya seorang dan usaha mengesannya sedang dijalankan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

  • Selebriti popular disiasat kes amang seksual, JAIS masih tunggu laporan lengkap

    Selebriti popular disiasat kes amang seksual, JAIS masih tunggu laporan lengkap

    JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) masih menunggu laporan lengkap berhubung seorang selebriti lelaki yang direman enam hari bagi membantu siasatan kes amang seksual fizikal yang didakwa dilakukannya terhadap beberapa remaja lelaki bawah umur.

    Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad, berkata pihaknya maklum mengenai kes selebriti itu dan laporan lengkap berhubung kejadian membabitkan pelajar tahfiz berkenaan masih belum diperoleh daripada pihak sekolah tahfiz terbabit.

    “JAIS maklum (mengenai kes berkenaan)… saya sedang menunggu laporan lengkap dari pihak sekolah tahfiz berkenaan,” katanya memetik laporan Berita Harian.

    Media melaporkan, selebriti berumur 40-an itu dibawa ke Mahkamah Klang untuk permohonan tahanan reman semalam.

    Perbuatan selebriti terbabit terbongkar susulan dakwaan mangsa yang tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

    Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed mengesahkan penahanan suspek dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

    Dalam media sosial pula, isu berkenaan turut tular malah netizen dikatakan mula menyerang Instagram selebriti berkenaan dengan pelbagai pertanyaan.

    Ada juga mendakwa suspek adalah seorang penceramah bebas, pengacara program televisyen dan pelakon.

  • Polis kesan saksi kemalangan maut di Lebuhraya Utara-Selatan

    Polis kesan saksi kemalangan maut di Lebuhraya Utara-Selatan

    Polis sedang mengesan saksi kemalangan melibatkan seorang penunggang motosikal yang maut di Kilometer 184.7, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Alor Pongsu di Bagan Sertai pagi ini.

    Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi, mangsa, Muhammad Syafiq Abu Bakar, 28 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di bahagian kepala.

    Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Mazuki Mat berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa sedang dalam perjalanan pulang dari Cameron Highlands ke rumahnya di Bandar Baharu, Kedah.

    Menurutnya, apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Honda EX5 ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan menyebabkannya dia terjatuh ke atas jalan.

    “Mangsa mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

    “Berdasarkan siasatan awal, nahas dipercayai berlaku selepas motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan dan terjatuh sendiri,” katanya dalam kenyataan sepertimana dilaporkan Astro AWANI.

    Menurut Mazuki, pihaknya memohon saksi yang melihat dan mempunyai maklumat kejadian itu supaya tampil membantu siasatan polis.

    “Orang ramai juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Khairul Hanafi Hanapi di talian 013-6200564 untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Imigresen gempur 55 PATI ketika sedang tidur

    Imigresen gempur 55 PATI ketika sedang tidur

    JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan 55 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Sapu di kawasan rumah pekerja di Batu 19 Sungai Tiram, Sandakan, pukul 1.10 pagi semalam.

    Sinar Harian melaporkan, semua PATI warga Filipina berusia antara empat bulan hingga 52 tahun itu sedang tidur di rumah pekerja terbabit.

    Pengarah JIM Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yusof berkata, dalam operasi itu seramai 88 individu telah diperiksa.

    “Semasa serbuan kesemua mereka sedang tidur di rumah kongsi pekerja dan hasil pemeriksaan seramai 55 individu terdiri daripada 19 lelaki dan 13 wanita dewasa serta 23 kanak-kanak disyaki melakukan kesalahan di bawah seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

    “Turut ditahan ketika serbuan adalah seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun disyaki sebagai majikan dan akan disiasat di bawah seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

    “Ini kerana melakukan kesalahan mengambil pekerja warga asing yang tidak memiliki pas yang sah di bawah Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63 serta turut disyaki membenarkan imigran haram untuk masuk dan berada di permis itu, ” katanya dalam kenyataan malam tadi.

    Katanya lagi, operasi itu akan terus dipergiat dan diteruskan oleh Imigresen Malaysia di negeri ini untuk membanteras PATI khususnya yang disyaki bekerja tanpa pas dan permit yang sah.