Category: Jenayah

  • 1MDB:Jho Low bersuka ria bersama keluarga, rakan di China tanpa ditangkap?

    1MDB:Jho Low bersuka ria bersama keluarga, rakan di China tanpa ditangkap?

    SUDAH tiba masanya Malaysia memburu ahli perniagaan, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low yang didakwa menjadi jerung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan perkara itu dalam rakaman video perbincangan beliau bersama penulis bersama buku ‘Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and the World’, Tom Wright.

    Perbincangan mengenai skandal tersebut yang disiarkan di platform Youtube dan dikongsikan di Facebooknya, hari ini.

    Ahli Parlimen Muar itu berkata, usaha menjejaki Jho Low dan membawanya pulang ke Malaysia dapat merungkai pelbagai kes penyelewengan yang melibatkan aset-aset negara mencecah bilion ringgit.

    Menurutnya, isu tersebut dianggap satu perkara serius memandangkan ia juga berkait dengan pertambahan jumlah hutang negara.

    “Kerajaan harus menuntut penjelasan daripada pihak Republik China tentang status ahli perniagaan tersebut yang dikatakan sedang berada negara terbabit

    “Adakah benar dia (Jho Low) sekarang tinggal di sana? Jika ya, bagaimana dia boleh berada di situ, bersuka ria bersama keluarga dan rakan tanpa ditangkap? Ini adalah satu persoalan dan kita boleh mendapatkan jawapan yang formal daripada mereka (China),” kata beliau.

    Media sebelum ini melaporkan bahawa usaha memburu Jho Low sedang giat dijalankan dengan kerjasama Interpol.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, siasatan itu turut dijalankan pihak berkuasa asing Singapura dan Amerika Syarikat.


    Syed Saddiq menjelaskan, kesepakatan antara Malaysia dan China mampu dicapai dalam usaha memburu Jho Low jika benar dia berada di negara itu kerana kedua-dua negara mempunyai hubungan diplomatik yang baik dan rakan strategik dalam dagangan.

    “Kita mahu saling bekerjasama dan menjadi rakan, namun janganlah memberikan kerjasama itu kepada individu yang telah mengeksploitasi hasil negara ini,” tegas beliau.

  • Maritim Malaysia tahan 2 pekerja sangkar ikan di Pulau Pinang

    Maritim Malaysia tahan 2 pekerja sangkar ikan di Pulau Pinang

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan dua pekerja sangkar ikan selepas didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri malam semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed  berkata, penahanan dibuat berikutan pemeriksaan rutin anggota penguat kuasa bot ronda melalui OP PERTIWI ke atas bot sangkar ikan bernombor PPF (R) 102 di kedudukan 0.18 batu nautika selatan Pulau Jerejak, pukul 9.15 malam.

    Menurut beliau, seorang daripada pekerja sangkar ikan itu merupakan warga Nepal manakala lagi seorang warga tempatan berumur 31 dan 40 tahun.

    “Pekerja sangkar warga Nepal terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri ketika pemeriksaan dilakukan.

    “Kedua Orang Yang Disyaki Salah (OYDS) itu kemudian ditahan dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
     
    Menurut beliau, kes akan disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 melanggar syarat sah Lesen Kultur Laut iaitu tidak menggunakan 100 peratus pekerja warganegara kecuali dengan kelulusan Pengarah Perikanan dan warganegara asing bekerja di tempat yang bukan tertera pada permit kerja bot.
     
    Dalam pada itu, beliau menegaskan kepada semua terutama pemilik sangkar ikan agar tidak sesekali menggajikan warga asing tanpa kebenaran.

    “Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat pemilik sangkar ikan gagal mematuhi undang-undang sedia ada,” katanya.

    Tambah beliau, sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut orang ramai boleh menghubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999.

  • 4 lelaki ‘Geng Pendang’ aktif pecah rumah ditahan polis

    4 lelaki ‘Geng Pendang’ aktif pecah rumah ditahan polis

    POLIS Pulau Pinang berjaya menumpaskan kumpulan ‘Geng Pendang’ yang aktif melalukan jenayah pecah rumah di sekitar Seberang Perai sejak awal tahun ini menerusi Op Pintu di Kedah pada 10 September lalu.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, dalam operasi itu empat suspek warga tempatan berusia antara 29 sehingga 39 tahun turut ditahan di sekitar Pendang, Sungai Petani dan Alor Setar.

    Tambah beliau, turut dirampas daripada suspek adalah pelbagai barangan antaranya beg tangan berjenama, wang tunai, telefon bimbit, peralatan pecah rumah dan kereta sewa Perodua Bezza yang digunakan untuk aktiviti pecah rumah.

    Ujarnya, susulan operasi itu polis turut menahan seorang pemilik kedai emas berusia 52 tahun di Alor Setar, Kedah yang mengakui membeli dan meleburkan barangan kemas yang dijual keempat-empat suspek berkenaan.

    “Ekoran operasi ini juga, kita percaya dapat menyelesaikan lima kes pecah rumah yang dilaporkan di daerah Seberang Perai sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Tanbah Mohd. Radzi, semakan mendapati kesemua suspek memiliki rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah dan kini direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

    Dalam perkembangan berasingan katanya, polis turut berjaya menahan seorang ahli kongsi gelap dan merampas pelbagai senjata termasuk sepucuk pistol di kawasan perindustrian Mak Mandin semalam.

    Ujarnya, suspek berusia 40 tahun itu ditahan selepas kereta jenis Toyota Vios yang dipandunya dikesan dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 7.30 malam.

    Kata beliau, pemeriksaan lanjut polis kemudiannya menjumpai sepucuk pistol jenis Zoraki dan satu kelopak berisi empat butir peluru di bahagian kiri pinggang suspek.

    “Turut dirampas adalah sebilah parang, kapak kecil, pisau lipat dan keris yang ditemui di bahagian bawah tempat duduk pemandu.

    “Selain itu, kita turut merampas dua peket lutsinar yang mengandungi serbuk jenis syabu dan ganja yang dianggarkan bernilai kira-kira RM300,” katanya.

    Mengulas lanjut beliau berkata, semakan lanjut mendapati suspek yang juga pelabur mata wang kripto turut memiliki lima rekod lampau berkaitan jenayah dan turut dikehendaki kerana terbabit dalam kes merusuh dengan senjata.

    “Suspek kini direman sehingga 19 September ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.

  • Bapa pelakon direman lagi berhubung kes pukul guna penyangkut baju

    Bapa pelakon direman lagi berhubung kes pukul guna penyangkut baju

    BAPA kepada pelakon remaja perempuan yang sebelum ini direman atas dakwaan serangan seksual terhadap anaknya kini direman sekali lagi selama empat hari bagi membantu siasatan kes memukul remaja itu menggunakan penyangkut baju pada 2014.

    Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, tempoh reman terhadap suspek berusia 43 tahun itu diperolehi selepas permohonan dilakukan di Mahkamah Majistret Shah Alam, tadi.

    “Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 31 (1) (A) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya ketika ditemui selepas program townhall Polis Selangor di Dewan D’Cerana, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.

    Difahamkan, pelakon remaja perempuan berusia 15 tahun itu membuat laporan polis pada 8 September lalu mendakwa suspek memukul mangsa menggunakan penyangkut baju pada tahun 2014.

    Sebelum ini, suspek itu ditahan sekitar pukul 2.25 petang pada 6 September lalu di kediamannya di Kedah sebelum dibawa dan direman sehingga semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

    Suspek lelaki terbabit disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencabul, Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001 atas kesalahan mengabaikan seorang kanak-kanak dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan atas kesalahan memiliki bahan lucah.

    Mengulas lanjut, Arjunadi berkata, pihaknya kini dalam proses melengkapkan siasatan berhubung kes suspek di IPD Subang Jaya.

    “Kita sudah mengambil keterangan daripada saksi berkenaan bagi membantu siasatan tersebut bagaimanapun, jumlah saksi itu saya tidak boleh nyatakan,” katanya.

    Baru-baru ini, pelakon remaja itu mendedahkan sikap buruk bapanya ketika ditemubual dalam satu program di YouTube.

    Pelakon remaja itu mendakwa bapanya melakukan gangguan seksual terhadapnya, selain turut memperlakukan ibunya dengan teruk.

    Selepas kisah itu tular, suspek yang menetap di Kedah ada membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Bandar Baharu pada Ahad lalu untuk menafikan dakwaan anaknya itu.

  • Disyaki minta rasuah RM180,000, 3 polis direman

    Disyaki minta rasuah RM180,000, 3 polis direman

    SEBANYAK dua pegawai polis dan seorang anggota ditahan reman tiga hari bagi membantu siasatan satu kes meminta rasuah berjumlah RM180,000, bulan lalu.

    Memetik laporan Harian Metro, perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret R Salini selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor.

    Perintah itu diberikan bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat ke atas ketiga-tiga suspek mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

    Suspek terdiri daripada seorang ketua bahagian dari sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini dan seorang inspektor masing-masing berusia 36 tahun serta seorang sarjan 33 tahun.

    Ketiga-tiga mereka ditahan antara 4.25 petang hingga 5 petang semalam di IPD itu.

    Terdahulu, mereka tiba di mahkamah kira-kira pukul 8.15 pagi dengan berpakaian lokap dan tangan bergari diiringi pegawai SPRM.

    Difahamkan, seorang pemilik sebuah kilang kayu berusia 50-an membuat laporan sebaik seorang pegawai polis meminta wang rasuah berjumlah RM160,000 pada 29 Ogos lalu.

    Wang itu dipercayai bagi menyelesaikan kes pengadu dan isterinya yang terbabit dalam satu kes penipuan.

    Sehari sebelum itu, pengadu mendakwa dia ada menyerahkan RM20,000 kepada seorang anggota polis wanita untuk tujuan yang sama.

  • Ugut gambar bogel disebar jika tak bayar RM1,000

    Ugut gambar bogel disebar jika tak bayar RM1,000

    SEORANG wanita diperdaya ejen tawaran biasiswa palsu selepas menerima ugutan video bogel miliknya akan disebarkan jika tidak memasukkan RM1,000 ke dalam satu akaun.

    Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, mangsa sebelum itu berkenalan dengan seorang wanita melalui aplikasi Telegram pada Jumaat yang menawarkan biasiswa untuk mangsa melanjutkan pelajaran.

    “Sebagai syaratnya, mangsa perlu menghantar beberapa dokumen dan juga perlu membuat pemeriksaan kesihatan dan fizikal secara dalam talian.

    “Mangsa juga dikehendaki memuat naik gambarnya berpakaian dan tidak berpakaian iaitu video dalam keadaan berbogel.

    “Selepas itu, mangsa diminta memasukkan wang RM600 ke dalam satu akaun sebagai wang proses pinjaman dan mangsa mematuhi semua arahan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

    Beliau berkata, mangsa kemudian menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mengugut akan menyebarkan video bogel yang dihantar jika tidak memasukkan RM1,000 dalam akaun diberikan.

    Katanya, menyedari ditipu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pada Ahad sebelum lelaki berkenaan yang berusia 30 tahun berjaya diberkas pada Isnin untuk siasatan lanjut.

    “Sebuah telefon bimbit dan kad ATM telah dirampas, dengan tertangkap lelaki tersebut polis Batu Pahat berjaya menyelesaikan dua kes peras ugut menggunakan modus operandi yang sama,” ujar beliau.

    Tambah beliau, suspek akan dibawa ke mahkamah majistret pada Selasa untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau disebat,” katanya.

  • Kemuka tuntutan palsu hampir RM900,000, enam individu ditahan

    Kemuka tuntutan palsu hampir RM900,000, enam individu ditahan

    SURUHANJAYA  Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan enam individu termasuk empat wanita bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai hampir RM900,000 sekitar tahun 2016 hingga tahun lepas.

    Menurut sumber,  keenam-enam suspek berusia antara 30 hingga 59 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Selangor sekitar 5 petang tadi ketika hadir memberi keterangan.

    Katanya, tiga suspek berkenaan merupakan ketua pegawai operasi, pengarah dan akauntan sebuah syarikat pembinaan dipercayai berpakat untuk meluluskan pembayaran kepada dua syarikat yang terbabit dalam kerja-kerja menaik taraf saliran dan projek tebatan banjir di Selangor sedangkan kerja berkenaan tidak dilaksanakan.

    “Projek pertama iaitu kerja-kerja menaik taraf saliran membabitkan nilai lebih RM250,000 manakala projek tebatan banjir pula bernilai lebih RM600,000.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

    Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pagi esok untuk permohonan reman, katanya.

    — BERNAMA

  • Curi barang kemas majikan bernilai RM69,000 amah kini diburu polis

    Curi barang kemas majikan bernilai RM69,000 amah kini diburu polis

    SEORANG pembantu rumah warga asing kini menjadi buruan polis selepas disyaki melarikan barang kemas milik majikannya dianggarkan bernilai sehingga RM69,000 dalam kejadian di sebuah rumah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Khamis lalu.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek berusia 27 tahun itu dilihat keluar dari rumah berkenaan kira-kira pukul 1 pagi sebelum melarikan diri menaiki sebuah kereta.

    Tambah beliau, majikan suspek kemudian membuat laporan polis selepas menyedari kehilangan pembantu rumah terbabit kira-kira pukul 6 pagi hari sama tanpa menyedari barangan kemas milik mereka turut dilarikan.

    Jelasnya, antara barangan kemas yang didapati hilang ialah dua pasang gelang bernilai RM12,000; satu set rantai (RM22,000) dan rantai kahwin (RM15,000).

    Turut dilaporkan hilang ujar beliau, empat pasang subang emas kecil bernilai RM6,000; dua utas rantai kecil (RM3,000) serta sebuah loket dan seutas rantai panjang masing-masing bernilai RM1,000 dan RM10,000.

    “Barang kemas itu disimpan di dalam sebuah almari yang berkunci, namun tiada sebarang kesan umpil pada almari tersebut,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Cheng San menambah, ketika kejadian mangsa berada di rumah bersama dua anak, namun tidak menyedari kehilangan barangan kemas itu yang disimpan di dalam bilik berasingan.

    Sehubungan itu ujarnya, susulan kehilangan barang kemas tersebut mangsa kemudian membuat satu lagi laporan polis Khamis lalu di Balai Polis Bukit Mertajam.

    “Kes ini disiasat di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan kita meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian ini menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Shuhaimi Ismail di talian 019-2909231,” katanya.

  • Enam lelaki bergaduh di Jalan Wayang, Kuching ditangkap

    Enam lelaki bergaduh di Jalan Wayang, Kuching ditangkap

    SERAMAI enam lelaki ditangkap dipercayai terlibat dalam kejadian pergaduhan di Jalan Wayang, Kuching, malam kelmarin.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan L. Merbin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung pergaduhan sekumpulan lelaki tempatan pada pukul 7.49 malam.

    Beliau berkata, setakat ini enam suspek berusia 25 hingga 57 tahun ditangkap bagi membantu siasatan.

    Katanya, polis kini giat mengesan saki baki suspek yang masih bebas.

    “Kejadian pergaduhan berpunca daripada salah faham semasa berhibur di sebuah premis berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Utusan TV.

    Merbin berkata, kertas siasatan dibuka dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

    Sehubungan itu, polis mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh menganggu siasatan.

  • Kes amang seksual penceramah bebas: Dua lagi laporan diterima polis

    Kes amang seksual penceramah bebas: Dua lagi laporan diterima polis

    POLIS Negeri Sembilan mengesahkan menerima dua laporan berhubung dakwaan kes amang seksual fizikal membabitkan seorang penceramah bebas.

    Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ruslan Khalid berkata laporan dibuat dua mangsa yang berusia dalam lingkungan 17 tahun pada bulan ini di Seremban.

    “Pada masa ini, siasatan selari dijalankan bersama Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor. Polis sedang melengkapkan siasatan dan perkembangannya akan dirujuk ke Bukit Aman, untuk dikemukakan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

    Justeru, Ruslan berkata orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan mendatangkan fitnah kepada mana-mana pihak serta menimbukan kegusaran kepada masyarakat.

    Terdahulu, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed memaklumkan, pihaknya menerima empat laporan berkaitan kes itu pada 30 Ogos lepas iaitu dua di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, serta masing-masing satu di IPD Shah Alam dan IPD Kajang.

    Hasil siasatan mendapati penceramah berusia 40-an itu, mengenali empat mangsa berumur lingkungan 17 hingga 18 tahun menerusi program motivasi di sekolah sekitar Selangor.

    Susulan itu, lelaki terbabit ditahan pada 4 petang pada Khamis dan kemudian direman selama enam hari sehingga 14 Sept ini bagi membantu siasatan.- BERNAMA