Category: Jenayah

  • 11 mangsa penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja tiba di KLIA2 malam tadi

    11 mangsa penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja tiba di KLIA2 malam tadi

    SERAMAI 11 orang lagi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan warganegara Malaysia di Kemboja selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada pukul 11.55 malam tadi.

    Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini memaklumkan setakat semalam, seramai 123 daripada 153 orang mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja telah berjaya diselamatkan.

    “Kementerian merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan Kemboja melalui pihak berkuasa negara itu atas kerjasama baik yang telah diberikan dalam mengesan serta menyelamatkan mangsa.

    “Kementerian melalui Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh akan terus komited dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Kemboja untuk mengesan serta menyelamatkan mangsa bagi membolehkan mereka pulang ke tanah air dengan selamat,” menurut kenyataan itu.

    Menurut kenyataan itu, individu atau waris kepada warganegara Malaysia yang terlibat dalam sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara boleh berhubung secara terus dengan Kementerian Luar melalui Unit Bantuan Konsular Rakyat Malaysia di Luar Negara menerusi e-mel [email protected].

    “Selain itu, pihak Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh juga boleh dihubungi melalui e-mel [email protected] sekiranya terdapat individu atau waris yang terlibat dalam sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja,” menurut Kementerian Luar.

    — BERNAMA

  • Kastam rampas methamphetamine  RM40.56 juta dalam mesin moulding industri

    Kastam rampas methamphetamine  RM40.56 juta dalam mesin moulding industri

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merekodkan rampasan terbesar tahun ini dengan penemuan 676 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine dianggarkan bernilai RM40.56 juta yang disembunyikan dalam mesin moulding industri.

    Ketua Pengarah Kastam Datuk Zazuli Johan berkata rampasan dilakukan ketika serbuan pasukan Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM terhadap satu kontena bersaiz 12.1 meter di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor pada 10 Sept lepas.

    “Dalam serbuan itu dadah berkenaan ditemukan dalam bungkusan teh dibaluti aluminium dan disembunyikan dalam mesin moulding industri berkapasiti besar, yang kami percaya ini merupakan taktik terbaharu sindiket dadah untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media di Nilai hari ini.

    Beliau berkata siasatan awal mendapati kontena tersebut adalah untuk dieksport ke Australia, namun pihaknya masih menyiasat dari mana dadah itu diperolehi.

    Menurut Zazuli seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun yang merupakan wakil kepada pemilik kontena tersebut telah ditahan bagi membantu siasatan.

     Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hukuman sebat tidak kurang 15 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.

    “Kami tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi akan ditahan dalam masa terdekat,” katanya.

     — BERNAMA

  • Empat bersaudara ditahan bersama dadah bernilai RM90,000

    Empat bersaudara ditahan bersama dadah bernilai RM90,000

    POLIS menahan empat bersaudara termasuk tiga adik-beradik dan merampas dadah jenis ganja seberat lebih 27.31 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM90,000 dalam serbuan di sebuah premis di Kilometer 16, Jalan Apas di Tawau pada Isnin lepas.

    Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tiga beradik iaitu dua wanita dan seorang lelaki serta seorang saudara lelaki mereka itu, yang kesemuanya berusia antara 20 dan 43 tahun ditahan dalam serbuan di premis tersebut pada pukul 5 petang.

    Katanya, serbuan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah itu, adalah hasil maklumat orang awam.

    “Ketika serbuan didapati dua lelaki sedang mengangkat tiga kotak dari sebuah kereta ke premis tersebut. Hasil pemeriksaan menemukan 29 bungkusan yang masing-masing berisi ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja.

    “Dua wanita berada dalam kenderaan itu turut ditahan. Dadah yang dirampas itu disyaki untuk dipasarkan di sekitar Tawau yang mampu dibekalkan kepada 20,000 pembeli,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

    Jasmin berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Polis tahan lelaki cabul anak saudara enam tahun

    Polis tahan lelaki cabul anak saudara enam tahun

    SEORANG lelaki ditahan kerana mencabul anak saudara perempuannya berusia enam tahun dalam kejadian di Kampung Bukit Kuin, Bendang Nyior di Tanah Merah, Isnin lalu.

    Kejadian tersebut dipercayai berlaku semasa mangsa sedang tidur apabila suspek yang berusia 34 tahun telah bertindak memasukkan jari ke dalam kemaluan kanak-kanak berkenaan.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintanden Mohd. Razi Rosli berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian terbabit daripada seorang wanita yang mendakwa anak saudara perempuannya telah dicabul.

    “Mangsa merupakan anak tunggal dan tinggal bersama nenek yang merupakan ibu kepada bapa mangsa selepas kedua ibu bapanya bercerai.

    “Berdasarkan keterangan, mangsa memberitahu pada Isnin semasa sedang tidur, suspek telah bertindak memasukkan jari ke dalam kemaluannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, mangsa telah dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk pemeriksaan lanjut dan pada pukul 11.45 malam kelmarin, suspek telah berjaya ditangkap.

    “Suspek kini ditahan reman sehingga 20 September bagi membantu siasatan,” katanya sebagaiman dilaporkan Sinar Harian.

    Menurutnya, berdasarkan semakan rekod, suspek tidak mempunyai kesalahan lampau dan hasil ujian saringan awal air kencing juga negatif.

  • Henti buat andaian, keluarga tunggu kepulangan setiap saat- Adik wanita diculik

    Henti buat andaian, keluarga tunggu kepulangan setiap saat- Adik wanita diculik

    ADIK lelaki kepada kepada seorang wanita yang diculik oleh sekumpulan anggota sindiket pengedaran dadah di Kampung Semat Jal, Palekbang di Tumpat, kelmarin, mengharapkan kakaknya ditemukan selamat.

    Lelaki itu yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamed berkata, keluarganya kini menanti sebarang perkembangan daripada pihak polis dengan harapan kakaknya itu tidak diapa-apakan.

    “Kami menunggu apa punca yang terjadi dan apa yang dikatakan netizen itu nyawa kakak saya terancam.

    “Kami tak dapat (maklumat) apa-apa, saya merayu rakyat Malaysia sama-sama kita doakan agar keselamatan kakak saya, agar selamat dan cepat dijumpai. Kami sentiasa berdoa dan tunggu panggilan polis. Berhenti buat andaian, kami tunggu setiap saat,” katanya memetik laporan Astro Awani hari ini.

    Mohamed berkata, walaupun pelbagai tanggapan serta spekulasi tentang kejadian itu, dia sekeluarga hanya mengharapkan kakaknya pulang dalam keadaan selamat.

    “Saya sempat berselisih dengan kereta yang dipandu individu berkenaan ketika hari kejadian,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan seorang wanita berusia 36 tahun dilarikan empat individu yang menaiki sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna perak.

    Insiden berkenaan turut berjaya dirakam oleh kamera litar tertutup sebelum tular dalam media sosial.

  • Bot bawa 22 nelayan Indonesia ditahan ceroboh perairan negara  

    Bot bawa 22 nelayan Indonesia ditahan ceroboh perairan negara  

    KAPAL Maritim (KM) Nyalau Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) semalam menahan sebuah bot nelayan asing Indonesia yang menceroboh perairan negara di kedudukan 51.9 batu nautika barat daya Pulau Kendi, Pulau Pinang.

    Bot nelayan asing, KM Sumber Lestari yang dikendalikan oleh 22 kru termasuk tekong warga Indonesia berumur lingkungan 20 hingga 56 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2.50 petang dalam rondaan rutin operasi bersepadu OP Benteng Laut.

    Menurut Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed, bot nelayan asing itu ditahan ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.

    Bot nelayan asing itu ditahan ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.

    “Ketika diperiksa kesemua mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri  iaitu pasport dan ditahan serta dibawa ke Maritim Negeri Pulau Pinang sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Abd. Razak, kes itu akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti perikanan dalam perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu berada di Malaysia tanpa suatu pas yang sah.

    Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai dan persatuan-persatuan nelayan memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan sebarang aktiviti kesalahan di laut kepada pihak Maritim Malaysia.

    “Sebarang aduan boleh disalurkan ke talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang 04-2626146,” katanya.

  • Lelaki ditahan berkaitan hantaran terhadap pegawai kanan pejabat PM

    Lelaki ditahan berkaitan hantaran terhadap pegawai kanan pejabat PM

    SEORANG lelaki ditahan polis hari ini selepas dipercayai melakukan hantaran terhadap pegawai kanan di pejabat Perdana Menteri yang tular dalam Telegram, baru-baru ini.

    Lelaki berusia 48 tahun itu ditahan di rumahnya di Lembah Pantai, Kuala Lumpur pukul 10 malam tadi sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya untuk siasatan lanjut.

    Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki berkenaan.

    Beliau berkata, lelaki yang bekerja sendiri itu direman selama tiga hari hingga 17 September ini.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

  • Suami isteri antara 6 individu ditahan bersama ganja bernilai RM20,000

    Suami isteri antara 6 individu ditahan bersama ganja bernilai RM20,000

    SEPASANG suami isteri antara enam individu warga tempatan yang ditahan polis dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah yang dikesan aktif di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Pulau Pinang sejak awal tahun ini.

    Turut dirampas dalam tiga serbuan berbeza itu adalah ketulan mampat ganja seberat 7,640.45 gram yang dianggarkan bernilai RM19,346.12.

    Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, tiga daripada suspek berkenaan yang bekerja sebagai mekanik ditangkap dalam serbuan pertama di sebuah bengkel kereta di Permatang Rawa, pukul 8.30 malam pada Isnin lalu.

    Katanya, dalam serbuan itu polis menjumpai sembilan ketulan mampat ganja seberat kira-kira 6,350 gram bernilai RM15,875 selain merampas selaras senapang buatan sendiri bersama 19 butir peluru.

    Tambah beliau, serbuan kedua pula dilakukan di tepi jalan berhampiran sebuah pangsapuri di Permatang Pauh kira-kira pukul 9.30 malam pada hari sama.

    “Dalam serbuan itu, seorang lelaki yang bekerja sebagai tukang cuci ditahan manakala satu ketulan mampat daun kering disyaki berisi ganja dengan anggaran berat 244.77 gram bernilai RM611.92 dirampas,” katanya dalam sidang akhbar di IPD SPT, Bukit Mertajam hari ini.

    Cheng San berkata, serbuan ketiga dilakukan pukul 12.30 malam di Kubang Semang yang mana sepasang suami isteri ditahan bersama dua bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan mampat ganja seberat 1,045.68 gram bernilai RM2,614.20.

    Katanya, turut dirampas daripada pasangan itu adalah satu plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan dadah heroin seberat 7.00 gram bernilai RM245.

    Ujar beliau, selain dadah polis turut menyita dua buah kereta dan tiga motosikal pelbagai jenama serta wang tunai berjumlah RM11,400 sekali gus menjadikan keseluruhan rampasan dan sitaan bernilai RM96,546.12.

    “Kesemua suspek yang berusia antara 31 hingga 56 tahun itu telah direman selama tujuh hari bermula Selasa lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya.

    Sementara itu Cheng San memberitahu, secara keseluruhan pihaknya berjaya membuat 2,528 tangkapan berkaitan kes jensyah dadah di daerah SPT sepanjang tahun ini setakat semalam.

  • Perselisihan sindiket dadah punca ejen kosmetik diculik

    Perselisihan sindiket dadah punca ejen kosmetik diculik

    PERSELISIHAN antara ahli sindiket dadah dipercayai punca utama seorang wanita yang juga ejen jualan kosmetik dilarikan sekumpulan lelaki dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Tumpat petang kelmarin.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata siasatan awal pihaknya mendapati suami Rosnazirah Mohd Naim terbabit dalam aktiviti sindiket dadah.

    Susulan itu katanya, polis sudah menahan tiga individu termasuk suami mangsa dan seorang wanita berusia 35 hingga 47 tahun semalam berkait kes penyeludupan dadah.

    “Kita sudah memohon bantuan daripada pihak berkuasa Thailand bagi menyelamatkan mangsa berusia 36 tahun dan usaha ke arah itu giat dilakukan. Bagi kes ini, polis percaya tiada pembabitan pihak lain kerana kita percaya kejadian ini berlaku akibat perselisihan di kalangan ahli sindiket.

    “Kita juga sudah memohon bantuan daripada pihak berkuasa Thailand bagi menyelamatkan mangsa dan usaha ke arah itu giat dilakukan.

    “Suami mangsa berusia 36 tahun yang bekerja sebagai nelayan mempunyai dua rekod jenayah lampau, manakala seorang lagi lelaki mempunyai tujuh rekod jenayah. Kesemua mereka ditahan reman selama empat hari sehingga Sabtu ini” katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini, lapor Berita Harian.

    Dalam kejadian jam 5.10 petang kelmarin, Rosnazirah, 36, ejen jualan kosmetik dipercayai dilarikan sekumpulan lelaki dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, di sini.

    Wanita itu dilarikan dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios dan terdapat penduduk memaklumkan melihat mangsa dibawa menaiki bot ke Thailand, sebelum kereta terbabit ditemui jam 10 malam kelmarin di Kampung Kuala Jambu.

    Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata, pihaknya percaya mangsa mengetahui aktiviti yang dilakukan suaminya selain mengenali suspek yang menculiknya petang kelmarin.

    “Kita sudah mengadakan perbincangan dan satu operasi khas dilancarkan bagi menyelamatkan wanita berkenaan. Kita percaya wanita berkenaan dalam keadaan selamat.

    “Pihak berkuasa Thailand juga memberi maklum balas positif bagi mengesan mangsa yang dipercayai berada di negara berkenaan,” katanya.

    Beliau turut menasihatkan penduduk kampung supaya tidak bimbang dan takut dengan apa yang berlaku kerana insiden seperti itu bukan berlaku kepada semua orang.

    “Ini kerana apa yang berlaku di antara ahli sindiket dan mereka mengenali antara satu sama lain.

    “Sehingga kini, keluarga mangsa juga tidak menerima sebarang panggilan daripada suspek dan siasatan terhadap nombor kenderaan Toyota Vios yang digunakan suspek adalah nombor pendaftaran palsu,” katanya.

  • JKJN bongkar kegiatan pasang pendakap gigi secara haram di rumah

    JKJN bongkar kegiatan pasang pendakap gigi secara haram di rumah

    JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Pahang membongkar kegiatan doktor gigi palsu yang menjalankan perkhidmatan pemasangan pendakap gigi di sebuah rumah di Kempadang, di Kuantan, malam tadi.

    Pengarah JKN Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, perkhidmatan secara haram yang dilakukan wanita berumur lingkungan 20-an itu terbongkar hasil daripada maklumat orang awam.

    “Serbuan yang dijalankan pada pukul 9 malam itu susulan daripada aduan diterima berkaitan pengamal pergigian haram atau doktor gigi palsu yang menjalankan perkhidmatan pemasangan pendakap gigi di sekitar daerah ini.

    “Hasil maklumat daripada pengadu, perkhidmatan pemasangan pendakap gigi ini dipromosikan melalui kumpulan WhatsApp dan dipercayai dilakukan di rumah doktor palsu ini.

    “Harga pemasangan pendakap gigi adalah antara RM100 dan RM200.


    “Doktor palsu ini dipercayai telah menjalankan amalan pergigian secara haram sejak 2020. Janji temu boleh dibuat melalui aplikasi WhatsApp,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Katanya, selain pemasangan pendakap gigi, wanita itu juga mempromosikan rawatan pemutihan gigi di Instagram.

    Dr. Nor Azimi berkata, serbuan itu dilakukan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) dan Unit Penguatkuasaan Pergigian JKNP.

    Katanya, ketika serbuan, seorang wanita sedang menjalankan amalan pergigian ke atas seorang pelanggan di rumah itu.

    “Dalam serbuan itu, kami merampas peralatan pergigian yang disyaki digunakan dalam menjalankan rawatan pergigian.

    “Siasatan lanjut dijalankan mengikut Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) dan Akta Pergigian 2018 (Akta 804) di mana amalan pergigian dilakukan oleh orang yang tidak berdaftar.

    “Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya,” katanya sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

    Dalam kes itu, beliau berkata, orang awam diminta mendapatkan rawatan pergigian atau perubatan di klinik pergigian atau perubatan yang berdaftar sama ada kerajaan atau swasta.

    “Orang awam boleh menyemak kesahihan pengamal pergigian berdaftar melalui laman sesawang www.dpims.moh.gov.my dan semakan terhadap klinik pergigian atau klinik perubatan yang berdaftar dengan KKM boleh dibuat di laman sesawang www.medicalprac.moh.gov.my.

    Beliau berkata, kerjasama orang ramai dalam memboikot kegiatan haram ini dapat membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam membanteras kegiatan itu.