Category: Jenayah

  • Pahang rugi RM33.8 juta akibat jenayah komersial

    Pahang rugi RM33.8 juta akibat jenayah komersial

    PAHANG merekodkan kerugian RM33.8 juta yang membabitkan jenayah komersial tempoh lapan bulan sejak 1 Januari lalu.

    Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Abdul Razak Mohd Yusoff berkata, penyumbang utama peningkatan tersebut adalah melibatkan kes penipuan.

    “Dalam tempoh lapan bulan, sebanyak 1,410 kertas siasatan dibuka berbanding 1,141 pada tahun 2021.

    “Daripada jumlah keseluruhan 1,410 itu, sebanyak 1,334 kertas siasatan yang dibuka adalah berkaitan kes penipuan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan bagi bulan September 2022 anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di Kuantan, hari ini.

    Abdul Razak memaklumkan, JSJK telah menunjukkan prestasi memberangsangkan pada tahun ini kerana mencapai kejayaan melepasi sasaran tangkapan ditetapkan oleh JSJK Bukit Aman iaitu sebanyak 150 tangkapan.

    Jelasnya, bagaimanapun JSJK Pahang melepasi sasaran sebanyak 154 tangkapan dalam Op Mule Khas yang dilancarkan semalam sebulan bermula pada 1 Julai lalu yang melibatkan semua daerah dan IPK Pahang.

    Selain itu katanya, JSJK Pahang berjaya mencapai kadar pertuduhan yang telah ditetapkan oleh pucuk pimpinan iaitu 40 peratus.

    “Saya dimaklumkan JSJK Pahang telah mencapai 47.38 peratus dan menduduki tempat keempat di antara kontinjen PDRM.

    “Ini menunjukkan kesedaran orang ramai perlu didedahkan lagi dengan trend-trend terkini kes kes jenayah komersil menerusi aktiviti-aktiviti yang berterusan,” kata beliau sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

    Sementara itu, Abdul Razak mendedahkan, polis telah merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM31.2 juta pada Januari hingga Ogos lalu.

    Tambahnya, nilai rampasan ini meningkat sebanyak RM28 juta berbanding rampasan bernilai RM3 juta tempoh sama tahun lalu.

    “Ini menunjukkan terdapat peningkatan terhadap rampasan yang dibuat dan ia perlu dipertingkatkan lagi operasi-operasi dari semasa ke semasa agar dapat dikurangkan jenayah narkotik ini,” tegas beliau.

  • Pegawai kanan universiti awam direman 7 hari bantu siasatan kes rasuah

    Pegawai kanan universiti awam direman 7 hari bantu siasatan kes rasuah

    SEORANG pengarah bahagian pengurusan fasiliti di sebuah universiti awam direman tujuh hari di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini berhubung dakwaan menerima suapan sebuah kereta bernilai lebih RM170,000.

    Majistret Mazana Sinin membenarkan permohonan reman tersebut terhadap suspek yang berusia 50-an bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Sebelum itu, suspek yang memakai pakaian lokap berwarna jingga dibawa ke perkarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh pukul 9.10 pagi sebelum dibawa keluar 30 minit kemudian, lapor Astro Awani.

    Semalam, media melaporkan suspek ditahan kira-kira jam 3 petang Isnin di pejabat SPRM Melaka di Alai selepas diminta hadir untuk memberi keterangan.

    Pengarah SPRM Melaka, Mohd. Shahril Che Saad berkata, lelaki itu ditahan selepas dipercayai menerima rasuah sebuah kereta jenis Honda Accord yang dianggarkan bernilai RM174,500

    Beliau berkata, suapan itu diterima daripada syarikat kontraktor di Klang, Selangor sebagai dorongan untuk memperoleh tender terbuka bernilai lebih RM1.6 juta.

    Jika sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

  • Isteri rancang, upah 4 lelaki samun, bunuh suami

    Isteri rancang, upah 4 lelaki samun, bunuh suami

    POLIS menahan seorang wanita yang dipercayai mengupah empat lelaki untuk menyamun dan membunuh suaminya di Taman Aneka Baru, Sungai Udang, dekat Klang, Khamis lalu.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, turut ditahan adalah empat lagi suspek dipercayai kenalan wanita berusia 37 tahun terbabit yang terlibat dalam kejadian berkenaan.

    “Motif kejadian itu dipercayai disebabkan dendam dan kepentingan diri. Terdahulu polis menerima panggilan orang awam pada pukul 1.15 pagi Khamis, memaklumkan terdapat pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki sehingga menyebabkan mangsa terbaring di hadapan sebuah rumah.

    “Polis kemudian menemui mangsa lelaki warga tempatan berusia 41 tahun dalam keadaan terbaring berlumuran darah dan disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, berdasarkan keterangan isteri mangsa, terdapat dua lelaki berpakaian serba hitam dan bertopeng serta bersenjata pisau telah memasuki rumah melalui pintu hadapan.

    “Dakwanya, suspek telah menikam suaminya sehingga menyebabkan kematian, selain menggeledah rumah mereka serta mengambil pelbagai beg tangan yang berjenama, barang kemas dan juga sejumlah wang tunai RM40,000 sebelum melarikan diri menggunakan kenderaan jenis BMW.

    “Jumlah kerugian mencecah RM100,000. Kejadian turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian,” katanya lapor Astro Awani.

    Hasil bedah siasat ke atas mangsa katanya, mendapati terdapat 14 tikaman di badannya menggunakan senjata tajam yang menjadi punca kematiannya.

    Beliau berkata, polis kemudian mendapati keterangan isteri mangsa mencurigakan sebelum menahannya untuk siasatan lanjut.

    Katanya, siasatan kemudian mendapati wanita itu merancang dan membuat persiapan untuk membunuh suaminya sendiri.

    “Isteri mangsa juga telah memberikan maklumat individu lain yang turut terlibat sama dan polis menahan semua empat suspek lelaki berusia 20 hingga 36 tahun di Klang dan Negeri Sembilan pada hari sama.

    “Empat lelaki terbabit didapati mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau.

    “Polis turut merampas kereta BMW yang digunakan semasa kejadian serta barangan samun,” katanya.

    Beliau berkata, kesemua mereka direman lima hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 302, 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

  • SPRM tahan pengarah universiti awam terima suapan kereta

    SPRM tahan pengarah universiti awam terima suapan kereta

    SEORANG pengarah bahagian pengurusan fasiliti sebuah universiti awam di Melaka ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka hari ini atas dakwaan menerima suapan.

    Pengarah SPRM Melaka Mohd Shahril Che Saad berkata lelaki berusia 50-an itu ditahan pada kira-kira 3 petang ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM.

    “Lelaki berkenaan ditahan atas dakwaan menerima satu suapan harta alih iaitu sebuah kenderaan jenis Honda Accord 2.4 i-vtec yang dianggarkan bernilai RM174,500 daripada seorang pemilik syarikat kontraktor di Klang, Selangor sebagai dorongan untuk memperoleh tender terbuka bernilai RM1,654,350.

    “Dia ditangkap bagi tujuan siasatan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” menurutnya dalam satu kenyataan di Melaka.

    Beliau berkata permohonan reman ke atas lelaki itu akan dibuat di Mahkamah Majistret Ayer Keroh esok.

  • Lelaki cederakan peniaga selepas kereta bergesel ditahan polis

    Lelaki cederakan peniaga selepas kereta bergesel ditahan polis

    POLIS menahan seorang lelaki dipercayai mencederakan seorang peniaga selepas kereta mereka bergesel di Kilometer 18, Jalan Johor Bahru-Air Hitam, Johor Bahru, semalam, setelah rakaman video insiden itu tular di media sosial sejak kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan di tepi Jalan Putih, di Johor Bahru pada jam 4.50 petang bagi membantu siasatan.

    “Sabtu lepas tular video berdurasi sembilan saat memaparkan seorang individu dipukul di tengah lebuh raya, dan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara mengesahkan telah menerima laporan berhubung kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku pada 3.10 petang Jumaat lepas, ketika seorang lelaki berumur 57 tahun memandu kereta Mercedes-Benz yang dalam perjalanan dari Muar menghala ke Bukit Indah, apabila sebuah kereta Proton Saga di lorong mengubah laluan dan kedua-dua kenderaan itu bergesel.

    Katanya, sejurus kejadian, berlaku pertengkaran mulut dan pergaduhan yang mengakibatkan pemandu Mercedes itu dipukul dengan satu objek tumpul sehingga menyebabkan dia cedera di bahagian kepala dan lebam di tangan kiri.

    Rupiah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Peraturan 6 (1) Kaedah-kaedah lalulintas 1959.

  • 22 warga Myanmar ditahan, dua berjaya melarikan diri

    22 warga Myanmar ditahan, dua berjaya melarikan diri

    POLIS menahan 22 warga Myanmar ditahan dalam pemeriksaan ke atas dua buah kenderaan yang dilihat mencurigakan di hadapan sebuah premis perkhidmatan tayar di Taman Raub Jaya 5, Raub semalam.

    Pemeriksaan itu dilakukan pada pukul 10.30 pagi, kata Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abd Rahman.

    “Bagaimanapun pemandu kenderaan jenis Toyota Vellfire dan Perodua Alza terbabit berjaya melarikan diri ke dalam ladang sawit berhampiran.

    “Hasil pemeriksaan anggota kereta peronda polis (MPV) Raub, terdapat 14 warga Myanmar iaitu sembilan lelaki dan lima wanita dalam Vellfire manakala lapan orang terdiri daripada enam lelaki dan dua wanita ditemui dalam Alza.

    “Kesemuanya berusia dalam lingkungan 19 hingga 39 tahun.

    “Kesemua warga asing terbabit ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan disiasat di bawah Seksyen 55 E/6(1)(c) akta sama serta di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Mohd. Shahril berkata, polis sedang giat melaksanakan Op Tutup bagi mengesan dua pemandu kenderaan terbabit.

  • Pinda perlembagaan untuk gugur segera kelayakan Najib sebagai MP

    Pinda perlembagaan untuk gugur segera kelayakan Najib sebagai MP

    SEKUMPULAN NGO mendesak kerajaan memansuhkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kekal sebagai anggota parlimen sehingga permohonan pengampunan diraja selesai.

    Empat kumpulan itu menggesa Perkara 48(4)(c), yang menyatakan bahawa kehilangan kelayakan hanya akan berkuat kuasa selepas petisyen pengampunan dibereskan, dimansuhkan.

    Kenyataan media itu dikeluarkan oleh aktivis hak asasi manusia Charles Hector bagi pihak Aliran, Malaysians Against Death Penalty and Torture (Madpet), Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM) and Workers Hub for Change (WH4C).

    “Kami berpendirian bahawa ahli Parlimen yang disabitkan atas kesalahan jenayah seperti Najib patut dihilangkan kelayakan sebagai anggota parlimen selepas semua rayuan terhadap sabitan kes selesai,” kata Hector.

    Hector daripada Madpet berkata, rakyat Malaysia telah menunggu selama empat tahun selepas Najib didakwa kali pertama di mahkamah pada  Julai 2018 dalam kes melibatkan SRC International Sdn. Bhd.

    Katanya, tiada lagi kewajaran yang munasabah untuk menangguhkan kehilangan kelayakan itu selepas proses rayuan berakhir, walaupun permohonan pengampunan diraja difailkan kemudiannya.

    “Pengampunan diraja itu tiada kena mengena dengan fakta bahawa anggota Parlimen tersebut telah dibuktikan bersalah melebihi keraguan munasabah, disabitkan dan dijatuhi hukuman,” katanya lapor MalaysiaKini.

    Mahkamah Persekutuan pada pada 23 Ogos mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC bernilai RM42 juta.

    Dia sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang perlu dibayar sebelum selesai menjalani hukuman.

    Dia memfailkan permohonan pengampunan diraja pada 2 September.

  • Dua lelaki berpakaian taktikal anime ditahan polis

    Dua lelaki berpakaian taktikal anime ditahan polis

    DUA lelaki lengkap berpakaian taktikal Let’s Anime Cosplay ditahan kerana disyaki memiliki senjata api dan bom tangan tiruan di sebuah pusat beli-belah, Damansara Jaya, di sini, semalam.

    Kedua-dua suspek warga tempatan masing-masing berumur 15 dan 24 tahun itu ditahan pada 4.30 petang selepas polis menerima laporan mengenai mereka.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt Ku Mashariman Ku Mahmood berkata pemeriksaan dilakukan ke atas suspek, polis menemukan satu laras senjata jenis M4, sepucuk pistol jenis Glock dan dua butir bom tangan yang kesemuanya tiruan.

    Beliau berkata kedua-dua suspek tidak memiliki sebarang rekod kesalahan lampau.

    “Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

    “Kedua-dua mereka direman selama tiga hari mulai hari ini sehingga Selasa ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya dalam kenyataan malam ini.

    Ku Mashariman menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli atau memiliki senjata tiruan dengan sengaja kerana ia menyalahi undang-undang dan tindakan boleh diambil di bawah Akta Senjata 1960.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang di sekitar daerah Petaling Jaya boleh menghubungi Hotline Polis Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.- BERNAMA

  • Tular peniaga dipukul gara-gara kereta bergesel

    Tular peniaga dipukul gara-gara kereta bergesel

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG peniaga cedera dipukul seorang lelaki dalam pergaduhan selepas kereta bergesel di Kilometer 18 Jalan Ayer Hitam-Johor Bahru, Johor Bahru kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara menerima aduan kejadian itu pada pukul 5.19 petang kelmarin.

    “Kejadian ini berlaku pada 3.10 petang Jumaat semasa mangsa yang berusia 57 tahun itu dan memandu kereta Mercedez-Benz dalam perjalanan dari Muar ke Bukit Indah.

    “Ketika memandu di lorong tengah tiba-tiba sebuah kereta Proton Waja warna perak dipandu seorang lelaki warga tempatan yang memandu di lorong kanan telah mengubah haluan dan masuk di hadapan kereta mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Rupiah berkata, tindakan itu menyebabkan kedua-dua kereta tersebut bergesel sebelum memberhentikan kenderaan masing-masing di tepi jalan.

    Menurutnya, kemudian berlaku pertengkaran mulut sehingga mencetuskan pergaduhan sebelum mangsa dipukul dengan objek tumpul.

    “Akibat kejadian tersebut mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan lebam di tangan kiri. Dia mendapat rawatan di klinik swasta,” ujar beliau.

    Jelasnya, kejadian berkenaan menerusi video berdurasi sembilan saat tular dalam media sosial.

    “Suspek sudah ditahan pada hari ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

    Katanya, kes disiasat di bawah Sekysen 343 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau sebat atau kedua-duanya.

    Kes tersebut katanya, turut disiasat di bawah Peraturan 6 (1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 atas kesalahan memotong kenderaan lain dalam keadaan boleh menyebabkan bahaya dan boleh disaman maksimum RM300.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta berhubung dengan IPD Johor Bahru Utara menerusi talian 07-55631222.

  • Pusat hiburan tanpa lesen diserbu, 16 GRO warga asing ditahan

    Pusat hiburan tanpa lesen diserbu, 16 GRO warga asing ditahan

    POLIS menyerbu sebuah pusat hiburan tidak berlesen di Jalan Metro Perdana Barat, Taman Usahawan Kepong dekat sini semalam dan menahan 16 warga asing dipercayai bekerja sebagai wanita pelayan pelanggan (GRO).

    Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata serbuan pada 10.50 malam itu dijalankan oleh sepasukan pegawai serta anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hasil maklumat dan risikan. 

    “Pusat hiburan berkenaan didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen dan pasukan kita telah menahan 16 wanita warga asing itu serta seorang lelaki berusia 21 tahun yang merupakan penjaga premis berkenaan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Beliau berkata turut diperiksa 50 pelanggan berusia di 23 hingga 57 tahun yang berada di pusat berkenaan dan mereka telah dibebaskan tanpa syarat manakala peralatan audio yang digunakan untuk tujuan hiburan antara yang dirampas.

    Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kerana menjalankan aktivi pusat hiburan tanpa lesen perniagaan yang sah, Seksyen 55B Akta Imigresen kerana mengajikan warga asing tanpa permit yang sah, Seksyen 6(1) (c) AKta Imigresen kerana tiada dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 39b Peraturan Imigresen kerana kesalahan menyalahgunakan pas lawatan.- BERNAMA