Category: Jenayah

  • Mangsa pemerdagangan manusia perlu bantuan dana untuk pulang ke Malaysia

    Mangsa pemerdagangan manusia perlu bantuan dana untuk pulang ke Malaysia

    RAKYAT Malaysia yang berjaya melarikan diri selepas menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia terkandas di kaunter imigresen luar negara, tidak mampu pulang ke tanah air kerana tinggal sehelai sepinggang.

    Menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Hishamuddin Hashim, mangsa penipuan pekerjaan ini akan dicaj bayaran tinggal lebih masa walhal mereka tidak mempunyai apa-apa lagi sama ada pakaian atau wang.

    Disebabkan itu, MHO dan Pertubuhan Keperihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) bersetuju menubuhkan Tabung Kemanusiaan, Selamatkan Rakyat Malaysia untuk membantu menguruskan logistik mangsa selepas diselamatkan sehinggalah melunaskan kompaun tinggal lebih masa kepada imigresen negara terlibat, dan seterusnya berlepas pulang ke tanah air.

    “Ada dua kumpulan mangsa. Pertama, mangsa yang ahli keluarganya mempunyai keupayaan untuk membayar kompaun, membayar duit makan. Alhamdulillah, itu yang kita nampak (mereka) boleh balik sekarang ini.

    “Yang balik ini semua, yang mampu bayar kompaun. Keluarga tolong bayarkan. Ada juga yang tak balik lagi sebab tak mampu bayar kompaun,” katanya kepada media ketika menunggu ketibaan empat mangsa pemerdagangan manusia di KLIA, lapor Free Malaysia Today (FMT), hari ini.

    Hishamuddin dan Presiden MCCC, Musa Hassan kelmarin mengumumkan penubuhan tabung kemanusiaan untuk membantu menguruskan logistik mangsa pemerdagangan manusia sama ada di Laos, Kemboja ataupun Myanmar, yang berjaya melarikan diri sebelum pulang ke negara ini dengan selamat.

    Menurut Hishamuddin, rata-rata mangsa yang berjaya diselamatkan tinggal sehelai sepinggang dan mereka tiada wang untuk membayar hotel (tempat persembunyian) mahupun makan minum, sebelum selamat tiba di Malaysia.

    “Apabila mangsa diselamatkan, mereka akan diletakkan di balai polis tapi tak boleh duduk lama. Mereka boleh duduk satu atau dua hari kemudian mereka perlu dipindahkan dan duduk di hotel. Kebanyakan mangsa ini sehelai sepinggang, mereka tak ada duit.

    “Mereka berhadapan dengan masalah tempat tinggal, makanan (tak ada). Setelah mereka selamat, mereka akan dibawa ke pihak imigresen. Maka, ketika itu akan berlaku kiraan berapa lama mereka ‘overstay’. Sama ada mereka masuk secara tidak sah, mereka kena bayar kompaun tertentu,” tegasnya.

    Hishamuddin memberitahu pihaknya sebelum ini meminta secara terbuka kepada kerajaan Malaysia untuk menyediakan dana bagi membantu pengurusan logistik mangsa yang berjaya diselamatkan, namun tiada perkembangan memberangsangkan.

    “Kerajaan Malaysia (patut) berikan bantuan dana kepada mangsa. Ini situasi yang tak sama dengan orang yang (dengan sengaja) pergi ‘overstay’, ini situasi mereka menjadi mangsa pemerdagangan manusia. Mana ada mangsa yang ada duit,” tegasnya.

    Sementara itu, Musa yang juga bekas Ketua Polis Negara memberitahu, atas keperluan mendesak, tabung kemanusiaan itu terpaksa dilancarkan sebagai inisiatif ‘rakyat menjaga rakyat’.

    “Saya sebagai NGO sebelum ini tak pernah minta duit kat sesiapa pun. Kerajaan pun saya tak pernah minta. Tetapi kerana ini kita nak membantu masyarakat yang telah teraniaya jadi kita terpaksa membuat tabung ini untuk membantu.

    “Duit ini juga boleh bantu orang di Kedutaan Malaysia di negara tertentu, kerana mereka pun kekurangan kewangan nak buat kerja (menyelamatkan mangsa),” katanya.

    Mereka yang berminat membuat sumbangan, boleh menghubungi talian hotline MCCC 01129050000.

    MHO sebelum ini lantang mendesak kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob lebih proaktif menyelamat dan membebaskan kira-kira 3,000 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Laos, Kemboja dan Myanmar.

    Mereka juga menghantar memorandum membantah tindakan berdiam diri kerajaan Myanmar berhubung isu berkenaan, namun tidak mendapat respons positif setakat ini.

    NGO itu dan MCCCC juga bercadang ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Putrajaya hari ini untuk melaporkan berkaitan sikap Myanmar yang seolah-olah membenarkan negaranya menjadi hab pemerdagangan manusia di rantau Asean.

  • Polis tahan wanita bergelar Datuk Seri menyamar Pengarah Bahagian Kewangan KDN

    Polis tahan wanita bergelar Datuk Seri menyamar Pengarah Bahagian Kewangan KDN

    POLIS menahan seorang wanita yang bergelar ‘Datuk Seri’ kerana disyaki menyamar sebagai penjawat awam iaitu Pengarah Bahagian Kewangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui rakaman video yang tular dalam media sosial, baru-baru ini.

    Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita yang juga Setiausaha Bahagian KDN berhubung penularan video berkenaan.

    “Menurut pengadu, dia menerima mesej aplikasi daripada kumpulan ‘Pegawai KDN’ bahawa terdapat satu pautan hantaran video dari laman sosial Facebook yang dimuat naik oleh pemilik akaun bernama ‘pseudoscience watch’ pada 3 September lalu.

    “Pengadu kemudian membuka pautan itu dan melihat satu rakaman video yang memaparkan seorang wanita yang mendakwa beliau dilantik sebagai Pengarah Kewangan KDN.

    “Dalam mesej itu juga mengandungi tangkap layar laman sesawang KDN yang diubah suai dengan menyatakan penama ‘Dato Sri Siti Nur Atiqah Baba’ sebagai Pengarah Bahagian Kewangan KDN,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Wan Kamarul berkata, hasil siasatan dilakukan mendapati pengadu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.

    “Pegawai penyiasat sudah menghubungi pengadu dan memaklumkan dia akan hadir memberikan keterangan di IPD Sepang pukul 9 pagi, hari ini.

    “Hasil semakan dilakukan terhadap pautan itu mendapati terdapat satu rakaman video berdurasi satu minit 40 saat yang mendakwa bahawa dirinya dilantik sebagai Pengarah Bahagian Kewangan KDN.

    “Semalam semakan dilakukan juga mendapati rakaman itu dimuat naik kira-kira 21 jam lalu dan menerima kira-kira 1,000 komen serta 50,600 tontonan,” katanya.

    Beliau berkata, tujuan pengadu membuat laporan adalah bagi menafikan bahawa pihak KDN tidak pernah melantik mana-mana individu secara langsung sebagai Pengarah Bahagian Kewangan KDN dan jawatan itu tidak pernah wujud.

    “Susulan itu, suspek berusia 33 tahun ditahan oleh pihak IPD Klang Utara, semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    “Suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 7 Oktober nanti bagi membantu siasatan,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

  • 18 individu culik lelaki warga Palestin diberkas polis

    18 individu culik lelaki warga Palestin diberkas polis

    POLIS menahan 18 individu kerana menculik seorang lelaki warga Palestin di Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur pada 28 September lalu.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, suspek terdiri daripada lelaki dan wanita warga tempatan serta warga Indonesia.

    “Mangsa yang dipercayai ahli perniagaan itu berjaya diselamatkan menerusi serbuan berasingan yang dijalankan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 29 September.

    “Operasi dijalankan berjaya menahan 18 individu terdiri daripada lelaki dan wanita warga tempatan serta warga Indonesia,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelupusan Barang Kes Dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di Kuala Lumpur hari ini.

    Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, mangsa yang berumur 31 tahun sedang berbual bersama seorang rakan yang juga warga Palestin di hadapan sebuah premis di lokasi kejadian.

    “Mangsa kemudiannya didatangi beberapa individu menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire sebelum suspek bertindak menarik mangsa masuk sebelum melarikannya.

    “Rakan mangsa yang berada di lokasi tidak sempat berbuat apa-apa dan kemudiannya tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sejurus selepas kejadian,” katanya.

    Beliau berkata, susulan itu, satu pasukan diatur gerak bagi memburu individu yang terlibat serta menyelamatkan mangsa.

    “Operasi dijalankan pada 29 September memberkas seramai 13 lelaki terdiri daripada 12 lelaki tempatan di Kuala Langat sekali gus berjaya menyelamatkan mangsa.

    “Hasil tangkapan itu, polis kemudian berjaya memberkas tiga lelaki dan dua wanita di Ampang, Beranang dan Melaka beberapa hari selepas itu,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Menurutnya, kesemua 18 suspek ditahan berumur antara 21 hingga 42 tahun.

    “Semakan dijalankan mendapati tujuh daripada 18 individu ditahan mempunyai rekod jenayah. Selain itu, saringan air kencing dijalankan mendapati empat daripada 18 suspek positif dadah jenis syabu,” katanya.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961.

  • Remaja 16 tahun antara 4 ditahan aktif pecah rumah

    Remaja 16 tahun antara 4 ditahan aktif pecah rumah

    SEORANG remaja bawah umur berusia 16 tahun antara empat individu ditahan dipercayai anggota ‘Geng Mawar’ yang aktif melakukan jenayah pecah rumah di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) ditahan polis Rabu lalu.

    Kesemua mereka yang berusia antara 16 hingga 37 tahun termasuk seorang wanita itu ditahan dalam serbuan berasingan di Taman Bertam Perdana dan Sungai Petani, Kedah kira-kira pukul 3.40 pagi.

    Ketua Polis SPU, Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, siasatan mendapati kumpulan terbabit aktif memecah masuk rumah di beberapa taman perumahan antaranya di Bertam Perdana, Kubang Menerong dan Tasek Gelugor.

    Ujar beliau, modus operandi kumpulan itu adalah dengan memerhatikan rumah yang tidak berlampu dalam tempoh sehari dua.

    “Mereka kemudiannya akan memecah masuk rumah yang disasarkan pada hari ketiga melalui pintu belakang atau laluan yang terlindung daripada penglihatan umum,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah SPU hari ini.

    Menurut Mohd. Radzi, dalam operasi sama pihaknya merampas pelbagai barangan antaranya kasut dan beg berjenama, telefon bimbit, komputer riba, pelbagai mata wang asing, barang kemas dan wang tunai yang dianggarkan bernilai RM250,000.

    Selain itu katanya, polis turut menyita sebuah Proton Wira yang digunakan kumpulan itu untuk menjalankan kegiatan terbabit.

    Tambah beliau, kesemua suspek termasuk remaja yang masih bersekolah itu juga didapati memiliki pelbagai rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.

    “Dengan tertumpasnya Geng Mawar ini, polis yakin berjaya menyelesaikan sebanyak 16 kes pecah rumah yang dilaporkan di daerah ini,” katanya.

    Tambah beliau, kesemua suspek direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah dan curi.

  • Nafi kes culik untuk ambil organ, jual di hospital-Polis Johor

    Nafi kes culik untuk ambil organ, jual di hospital-Polis Johor

    Oleh ABU UBADILLAH RAHMAN

    POLIS Johor hari ini menafikan dakwaan berlaku kes penculikan untuk mengambil organ sebelum dijual kepada pihak hospital di negeri itu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat menegaskan, tidak berlaku kes seperti yang sedang tular menerusi satu video berdurasi tujuh minit dimuat naik dalam aplikasi Tik Tok oleh pemilik akaun bernama Aesthethicharu.

    Jelasnya, hasil semakan mengesahkan tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan insiden jenayah sepertimana ditularkan pemilik akaun tersebut.

    “Hal ini dilihat sebagai satu cubaan untuk menimbulkan ketakutan dan kebimbangan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau menegaskan, perbuatan menyebarkan dan membuat spekulasi palsu adalah menyalahi undang-undang dan boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    Jelasnya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

    “Polis kontinjen Johor menasihatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai dakwaan diperoleh daripada sumber yang tidak sah dan menggunakan maklumat palsu,” tegasnya.

  • 20 tentera ditahan, disyaki terlibat rompakan di Semporna – Hamzah

    20 tentera ditahan, disyaki terlibat rompakan di Semporna – Hamzah

    SERAMAI 20 anggota tentera ditahan kerana disyaki terlibat dalam dua rompakan laut di Semporna, Sabah.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata penahanan itu dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa melakukan siasatan kes rompakan yang berlaku di Pulau Siamil Ogos lalu.

    “Terdapat dua kes rompakan di laut yang disyaki dilakukan oleh anggota keselamatan pada 15 dan 18 Ogos lalu di perairan Pulau Siamil.

    “Kedua-dua kes telah diklasifikasikan bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rompakan berkumpulan. Tangkapan seramai 20 orang anggota tentera dan suspek-suspek telah dijamin pada 25 Sept 2022. Kes masih dalam siasatan,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat, lapor FMT.

    Hamzah berkata demikian menjawab pertayaan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) yang meminta menteri dalam negeri menyatakan secara terperinci kejadian rompakan berkumpulan itu yang didakwa dilakukan anggota keselamatan negara.

    Mengulas lanjut Hamzah berkata, kes itu masih dalam siasatan dan pihak kementerian perlu menunggu sehingga ia selesai.

  • Polis buru dua lelaki samun warga emas

    Polis buru dua lelaki samun warga emas

    POLIS kini memburu dua lelaki yang bertindak melakukan jenayah samun terhadap seorang warga emas di Jalan Kasuarina, Bandar Botanik, Klang, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, dalam kejadian puku 10.25 pagi itu, pengadu telah meletakkan beg bimbit di tempat duduk belakang sebelum disamun.

    Beliau berkata, dua suspek yang menaiki motosikal telah berhenti berdekatan kereta pengadu sebelum salah seorang bertindak membuka pintu kereta dan mengambil beg bimbit lalu melarikan diri.

    “Siasatan mendapati suspek berpakaian jaket hitam dan topi keledar bervisor gelap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor UtusanTV.

    Jelasnya, tiada sebarang senjata yang digunakan semasa kejadian, tetapi pengadu berusia 66 tahun mengalami kecederaan ringan akibat terjatuh semasa cuba mengejar suspek.

    “Pengadu mengalami kerugian sebanyak RM 350 dimana terdapat sebuah telefon bimbit dan dokumen kerja yang disimpan di dalam beg,” ujarnya.

    Hoong Fong berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan samun berkumpulan.

    “Polis sedang mempergiatkan usaha untuk mengesan dan menangkap suspek yang terlibat dalam kes ini,” ujarnya.

    Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat apa jua spekulasi dan boleh menyalurkan maklumat di talian 03- 33762222 bagi membantu siasatan.

  • Polis kesan 2 hingga 3 individu kes culik Azie

    Polis kesan 2 hingga 3 individu kes culik Azie

    SERAMAI dua hingga tiga individu masih dikesan polis bagi membantu siasatan berhubung kes penculikan ejen jualan barangan kosmetik, Rosnazirah Mohd. Naim.

    Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, identiti kesemua individu terbabit sudah dikenal pasti namun polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mendapatkan pengesahan sebelum dapat dikongsikan dengan pihak berkuasa di Thailand.

    Beliau berkata, kesemua mereka yang merupakan warga tempatan itu dipercayai mempunyai kaitan dalam kes penculikan tersebut.

    “PDRM masih lagi menjalankan siasatan dan memeriksa segala keterangan yang ada untuk memastikan duduk sebenar kes ini.

    “Kita memohon media bersabar dan memberi sedikit masa lagi supaya kita betul-betul dapat ‘establish’ motif sebenar di sebalik kejadian melarikan mangsa ini,” katanya hari ini.

    Pada soalan sama ada PDRM akan memohon supaya suspek kes berkenaan yang ditahan di negara jiran akan diekstradisi, Acryl Sani berkata, proses tersebut akan dibuat menerusi saluran undang-undang.

    Dalam perkembangan berasingan, ketika ditanya berkenaan situasi kes penculikan kanak-kanak dan penjualan organ yang disensasikan di media sosial, Acryl Sani berkata, siasatan polis mendapati kebanyakan kes tersebut adalah palsu.

    Jelas beliau, maklumat lanjut mendapati kes-kes tersebut adalah tidak benar dan sengaja diada-adakan serta disebarkan oleh pihak tertentu bagi tujuan yang tidak dapat dipastikan.

    “Melainkan kes penculikan di Genting Highlands, itu pun saya tidak boleh komen kerana sekarang sedang melalui proses perbicaraan, jadi biar mahkamah tentukan motif sebenar di sebalik kejadian itu.

    “Tetapi selain kes itu, semua laporan yang berkaitan kes culik kanak-kanak dan penjualan organ yang kita terima adalah tidak berasas,” katanya.

    Bagaimanapun Acry Sani berkata, beliau melihat penyebaran kes-kes sebegitu secara tidak langsung telah meningkatkan kesedaran ibu bapa dan masyarakat terhadap keselamatan kanak-kanak dan anak-anak masing-masing.

    “Tetapi jangan sampai pula kita terbabit dalam menyebar luas berita tidak benar yang boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat umum,” katanya.

  • Palsukan dokumen: Setiausaha GLC di Johor direman

    Palsukan dokumen: Setiausaha GLC di Johor direman

    SETIAUSAHA sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Johor direman dua hari selepas disyaki memalsukan dokumen bagi mendapatkan kelulusan bayaran daripada pihak pengurusan, akhir tahun lalu.

    Perintah tahanan reman terhadap tertuduh yang berusia 35 tahun itu dikeluarkan Majistret R Salini hari ini selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor.

    Lapor Harian Metro, permohonan reman itu dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat ke atas suspek mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

    Terdahulu, suspek tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 9 pagi dengan berpakaian lokap SPRM berwarna jingga serta tangan bergari.

    Difahamkan, lelaki berkenaan menyediakan minit ahli lembaga pengarah palsu dengan tujuan mendapatkan kelulusan bayaran dividen dengan kadar yang tinggi, bayaran elaun pengarah dan bayaran insentif kepada setiausaha syarikat dan pegawai akaun bagi pihak syarikat terbabit.

    Pada masa sama, suspek juga disyaki mendapatkan tandatangan daripada bekas pengarahnya dengan tujuan mengelirukan pihak pengurusan GLC terbabit supaya permohonan semua bayaran itu diluluskan.

  • Tiga lelaki disyaki penyeludup minyak ditahan ubah suai tangki bot

    Tiga lelaki disyaki penyeludup minyak ditahan ubah suai tangki bot

    Oleh BADLISHAH MAT

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah menahan sebuah bot pukat tunda kelas C bersama tiga lelaki tempatan selepas dipercayai melakukan pengubahsuaian tangki minyak bot berkenaan.

    Bot pukat tunda digunakan suspek

    Ketiga-tiga mereka yang berusia 22 hingga 58 tahun itu ditahan bersama bot berkenaan di kedudukan empat batu nautika barat Kuala Kuar berhampiran Kuala Kedah di Kedah, pada pukul 2.30 pagi semalam.

    Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, bot nelayan tempatan terbabit ditahan ketika sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan.

    “Mereka dihampiri bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan Op Aman di perairan Kedah. Ketika pemeriksaan ke atas bot berkenaan, terdapat satu ruang asing yang dibuat di bawah rumah bot dan ditutupi dengan kayu papan lapis.

    “Anggota penguat kuasa kemudian bertindak membongkar kayu papan tersebut dan menemukan dua tangki minyak yang telah diubahsuai dan mengesyaki bot berkenaan terlibat dalam aktiviti penyeludupan minyak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Justeru itu, ketiga-tiga lelaki berkenaan ditahan bersama bot terbabit sebelum dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut.

    Kes disiasat dibawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen seperti yang ditetapkan di dalam buku lesen yan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Pengusaha bot nelayan tempatan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan.

    “Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan negara, sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579,” katanya.