Category: Jenayah

  • Wanita bergelar Datuk dan penjawat awam  ditahan  bantu siasatan kes dokumen palsu

    Wanita bergelar Datuk dan penjawat awam  ditahan  bantu siasatan kes dokumen palsu

    SEORANG wanita bergelar Datuk dan seorang lelaki yang merupakan penjawat awam negeri direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu kepada Majlis Datuk-Datuk Negeri Melaka.

    Perintah reman hingga Jumaat (21 Okt) terhadap kedua-dua suspek, masing-masing berusia 30-an dan 40-an itu dikeluarkan Majistret Nabihah Mohd Noor hari ini.

    Jurucakap SPRM Melaka berkata kedua-dua suspek iaitu seorang pengurus syarikat pelancongan dan penjawat awam itu didakwa mengemukakan Surat Pengesahan Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Melaka kepada Majlis Datuk-Datuk Negeri Melaka bagi mendaftarkan diri sebagai Ahli Majlis tersebut.

    Kedua-dua suspek masing-masing ditahan pada pukul 8 malam dan 8.15 malam semalam ketika memberikan keterangan di pejabat SPRM Melaka bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana mengemukakan atau mengesahkan dokumen mengandungi butiran palsu.

    Pengarah SPRM Melaka Mohd Shahril Che Saad ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.

    — BERNAMA

  • Polis panggil Tommy Thomas, Jeyakumar rakam percakapan

    Polis panggil Tommy Thomas, Jeyakumar rakam percakapan

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Michael Jeyakumar Devaraj yang didakwa menyentuh isu berbaur perkauman dalam sebuah forum, bulan lepas.

    Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Saaduddin berkata mereka akan dipanggil untuk dirakam percakapan dalam masa terdekat.

    “Siasatan akan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

    Sebelum ini, dilaporkan polis menerima aduan mengenai kenyataan Tommy dan Dr Jeyakumar dalam ucapan mereka di forum bertajuk Dark Forces Towards GE15 yang diadakan pada 17 Sept lepas anjuran Dewan Perniagaan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di sini.

    Kedua-duanya merupakan antara ahli panel forum itu. – BERNAMA

  • Imigresen cekup ejen seludup PATI negara jiran

    Imigresen cekup ejen seludup PATI negara jiran

    JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menahan seorang lelaki warga Kemboja disyaki ejen penyeludup migran ditahan bersama lima pendatang asing tanpa izin (PATI) di Terminal Bas Shah Alam, Shah Alam, kelmarin.

    Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, mereka semua ditahan dalam satu operasi khas.

    “PATI berkenaan dikenakan bayaran sekitar RM5,000 ke RM6,000 setiap seorang oleh ejen di negara jiran.

    “PATI yang diseludup dipercayai baharu masuk ke negara ini secara tidak sah melalui ‘lorong tikus’ di sempadan Malaysia-Thailand.

    “Pasukan operasi telah mengesan sekumpulan 6 orang warga asing yang disyaki ejen dan PATI yang diseludup berada di dalam terminal bas dan menahan mereka sejurus keluar dari terminal sekitar jam 7 petang,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Khairul Dzaimee berkata, kesemua PATI berkenaan menaiki bas ekspres dari negeri berhampiran sempadan ke Shah Alam sebelum dibawa ke Kuala Lumpur.

    Menurutnya, hasil soal siasat mendapati mereka masuk ke dalam negara pada 15 Oktober lalu menggunakan jalan yang tidak diwartakan.

    “Semakan ke atas ejen warga Kemboja mendapati beliau telah masuk ke negara ini pada Julai dengan menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS).

    “Sindiket ini dikesan mula beroperasi sejak pintu sempadan negara mula dibuka semula selepas ditutup akibat pandemik Covid-19,” jelasnya.

    Beliau berkata, lelaki warga Kemboja berusia 47 tahun itu dipercayai menerima upah sekitar RM300 hingga RM500 daripada ejen di negara jiran untuk menguruskan kemasukan PATI terbabit.

    “Kesemua PATI berusia lingkungan 18 hingga 44 tahun dan ejen berkenaan ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1959/63,” ujar beliau.

  • ‘Tak perlu heboh diri keturunan nabi’ – Idris

    ‘Tak perlu heboh diri keturunan nabi’ – Idris

    TIADA keperluan untuk individu yang mendakwa dirinya berketurunan Rasulullah SAW untuk memaklumkan identitinya di khalayak ramai, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

    Menurutnya, tidak mendatangkan sebarang kesan signifikan jika bertemu dengan individu tersebut.

    Beliau berkata, masyarakat sepatutnya belajar untuk menyayangi Rasulullah SAW, keluarga baginda dan mencintai al-Quran seperti yang diajarkan.

    “Tiada makna pun kalau kita dapat bertemu anaknya, tidak memberikan apa-apa kesan pun.

    “Jadi perkara ini menimbulkan kekeliruan, kekeruhan dan kadang-kadang tidak mempunyai faedah dari segi konsep.

    “Sepatutnya kita bincang bagaimana untuk sayangi nabi, keluarga baginda dan baca al-Quran,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian selepas program Multaqa Murabbi Ummah (MMU) Peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

    Dalam pada itu, Idris menasihatkan golongan yang dikatakan taksub kepada individu terbabit untuk memahami ilmu asas agama dengan betul.

    “Yang penting, kita berselawat kepada nabi dan sayangkan keluarganya.

    “Jangan kita hina isteri dan keluarga nabi, jadi bila ada polemik begini, ia menyusahkan semua orang,” katanya.

    Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan pihaknya masih belum mendapatkan laporan lengkap daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung golongan agama yang mendakwa dirinya keturunan nabi.

    “Perkara ini banyak dibincangkan secara meluas tapi kita perlu buat siasatan yang adil. Saya percaya kredibiliti pegawai kita (JAIS),” katanya.

    Sebelum ini media melaporkan JAIS akan menyiasat kumpulan agamawan yang didakwa datang daripada keturunan Rasulullah SAW.

    Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, ia susulan pembatalan majlis agama daripada kumpulan berkenaan di negeri-negeri lain seperti Terengganu, Kelantan, Kedah dan Melaka yang didakwa meragukan.

  • Ceramah politik kecoh: Polis Johor terima 5 laporan

    Ceramah politik kecoh: Polis Johor terima 5 laporan

    POLIS Johor telah menerima lima laporan polis setakat hari ini berhubung kekecohan dalam satu ceramah politik anjuran parti MUDA di Parit Jawa, Muar, Ahad lalu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, yang mengesahkan perkara itu, berkata pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung insiden tersebut.

    “Kita akan maklum nanti (perkembangan). Buat masa ini, polis akan jalankan siasatan,” katanya ringkas menerusi Whatsapp kepada Bernama, hari ini. 

    Terdahulu, ceramah yang membariskan kepemimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) dan MUDA itu diganggu oleh sekumpulan anak muda menaiki motosikal yang didakwa cuba menimbulkan provokasi.

    Difahamkan beberapa parti politik telah membuat laporan polis berhubung insiden kekecohan tersebut. – BERNAMA

  • Polis kesan pemandu Myvi lawan arus

    Polis kesan pemandu Myvi lawan arus

    POLIS sedang mengesan pemandu Perodua Myvi yang tular memandu melawan arus dengan memasang lampu kecemasan (hazard lights) di Kilometer 31.2 Lebuhraya Utara Selatan menghala Kulai, Johor.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Suprintendan Tok Beng Yeow berkata satu video berdurasi 11 saat dimuat naik dalam Facebook dikesan pada Selasa memaparkan sebuah kereta Myvi dipandu melawan arus.

    “Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku di Kilometer 31.2 Lebuhraya Utara Selatan menghala Kulai.

    “Susulan video tersebut, bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik daerah Kulai telah membuat semakan ke atas kamera litar tertutup (CCTV) di Plaza Tol Kulai mendapati kenderaan tersebut telah melalui plaza tol berkenaan pada kira-kira pukul 10 pagi Selasa,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beng Yeow memberitahu, usaha mengesan pemandu Myvi tersebut sedang dilakukan untuk tindakan selanjutnya.

    “Orang ramai diingatkan supaya mematuhi undang-undang jalan raya agar kemalangan dapat dielakkan dan seterusnya menjamin keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

    “Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang dikesan sengaja melanggar undang-undang,” katanya.

  • Rogol berkumpulan remaja 14 tahun, 8 direman tujuh hari

    Rogol berkumpulan remaja 14 tahun, 8 direman tujuh hari

    LAPAN remaja lelaki yang ditahan semalam kerana dipercayai merogol seorang remaja perempuan bawah umur direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

    Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Mohd. Fauzan Mohd. Suhairi di Mahkamah Majistret Bachok pagi tadi.

    Lapan remaja berusia dari 14 hingga 18 tahun itu sebelum ini ditahan selepas disyaki merogol pelajar perempuan Tingkatan Dua sebuah sekolah menengah di Bachok.

    Kesemua remaja berkenaan dipercayai melakukan perbuatan itu di Kampung Tawang, Bachok kelmarin.

    Kes disiasat mengikut seksyen 375B Kanun Keseksaan.

    Penahanan remaja berkenaan selepas polis menerima laporan berkait kes rogol melibatkan mangsa yang berusia 14 tahun 11 bulan itu lapor Astro Awani.

  • Ketua jabatan bergelar ‘Datuk’ ditahan terima rasuah, salah guna kuasa

    Ketua jabatan bergelar ‘Datuk’ ditahan terima rasuah, salah guna kuasa

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan ketua jabatan sebuah agensi kerajaan bergelar ‘Datuk’ kerana disyaki terlibat menerima rasuah dan menyalahgunakan kuasa berhubung pelantikan sebuah syarikat bagi tujuan perolehan empat kenderaan pada 2017.

    Lelaki berumur 40 tahun itu ditahan selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada pukul 8 malam semalam, dan kini direman selama empat hari hingga 21 Okt ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

    Menurut sumber SPRM, perolehan empat kenderaan itu bernilai lebih RM290,000 untuk kegunaan sebuah program yang dilaksanakan oleh agensi berkenaan.

    Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim yang mengesahkan penahanan lelaki berkenaan ketika dihubungi hari ini berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

  • Pemandu lori terima upah RM150 seludup diesel

    Pemandu lori terima upah RM150 seludup diesel

    BARU sehari bekerja dengan upah RM150, namun sudah ditahan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti menyeludup diesel bersubsidi.

    Malah, pemandu lori warga tempatan berusia 40-an itu turut menangis dan merayu kepada anggota penguat kuasa PPDNHEP supaya dilepaskan kerana terpaksa bekerja untuk menanggung empat anak selain menyesal di atas perbuatannya.

    Ketua Pegawai Penguat Kuasa PPDNHEP Pulau Pinang, A. Mogan berkata, lelaki berkenaan ditahan di Jalan Baru, Bukit Mertajam pukul 3.45 petang semalam selepas dipercayai baru selesai mengisi diesel di dua buah stesen minyak.

    Menurut beliau, siasatan lanjut mendapati terdapat kira-kira 800 liter minyak diesel di dalam dua tangki simpanan berkapasiti 2,000 liter yang telah diubah suai di atas lori berjenama Toyota seberat satu tan yang dipandu lelaki itu.

    “Nilai keseluruhan rampasan dan sitaan dianggarkan RM11,520,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Penyimpanan Stor Eksibit PPDNHEP Pulau Pinang, Bukit Minyak hari ini.

    Sementara itu tambah beliau, satu serbuan berasingan turut dilakukan kira-kira pukul 9 pagi hari sama oleh sepasukan empat pegawai penguatkuasa PPDNHEP negeri di sebuah stesen minyak di Auto City Juru.

    Dalam serbuan itu jelasnya, seorang lelaki warga emas berusia 60-an ditahan bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang mempunyai dua tangki simpanan fiber diubah suai berkapasiti 550 liter dipercayai miliknya.

    “Pemeriksaan lanjut kemudian menjumpai kira-kira 380 liter diesel di dalam kedua-dua tangki simpanan iaitu di bahagian tempat duduk belakang serta tempat mengisi barang di atas kenderaan berkenaan.

    “Hasil siasatan mendapati lelaki bergerak solo dan terlibat dengan kegiatan tersebut sejak enam bulan lalu manakala jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan adalah RM41,060,” katanya.

    Tambah beliau, kedua-dua kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

    Bagi kesalahan kedua dan seterusnya pula tambah beliau, boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun.

    “Bagi pertubuhan atau perbadanan, denda tidak melebihi RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau mengingatkan PPDNHEP Pulau Piang tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi selain mengalu-alukan maklumat atau aduan daripada orang awam berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan berkenaan.

  • Larikan beberapa kotak rokok, polis buru penyamun bersenjata

    Larikan beberapa kotak rokok, polis buru penyamun bersenjata

    POLIS memburu seorang lelaki yang melakukan samun bersenjata dan melarikan beberapa kotak rokok di sebuah kedai serbaneka di Taman Semenyih, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian tersebut pasa pukul 7.20 malam.

    Katanya, mangsa yang merupakan seorang perempuan berusia 21 tahun didatangi seorang lelaki yang memakai topi dan mengikat mukanya dengan sehelai kain kuning, serta bersenjatakan parang panjang.

    Menurut Mohd. Zaid, suspek telah memaksa mangsa membuka kaunter dan menyerahkan wang tunai.

    “Mangsa cuba berdolak dalik dengan menipu tiada kunci kaunter menyebabkan suspek naik angin.

    “Suspek kemudian menengking mangsa agar serahkan telefon bimbit dan menyebabkan mangsa melarikan diri ke dalam stor dan kunci pintu. Suspek kemudian telah melarikan diri.

    “Pemeriksaan mendapati saspek telah melarikan beberapa bungkus rokok sahaja. Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan di dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan, lapor Utusan TV hari ini.

    Mengulas kanjut, Mohd. Zaid berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dimana jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan penjara selama tempoh boleh sampai 14 tahun dan dikenakan denda atau sebat.

    Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes Insp Suresh a/l Krishnan di talian 017-4333795 bagi membantu siasatan.