SEORANG tukang tilik warga India berusia 24 tahun berjaya diselamatkan polis selepas diculik sekumpulan individu dalam kejadian di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Selasa lalu.
Mangsa berjaya diselamatkan polis Pulau Pinang dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Aman, Padang Serai, Kulim, Kedah semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, dalam operasi itu seramai 20 suspek termasuk empat sekeluarga iaitu pasangan suami isteri, adik perempuan dan anak lelaki mereka turut ditahan dalam operasi di Bukit Mertajam dan Kulim, Kedah.
Ujar beliau, seramai 11 suspek yang ditahan merupakan lelaki warga India yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan siasatan mendapati mereka bekerja sebagai peniaga dan di restoran.
“Polis menerima laporan berhubung kes culik ini daripada seorang lelaki warga tempatan di Bukit Mertajam yang memaklumkan melibatkan anak rakannya.
“Suspek juga telah menghubungi keluarga mangsa dan meminta wang berjumlah RM700,000 sekiranya tidak mahu mangsa dibunuh,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.
Menurut Mohd. Shuhaily, bertindak daripada laporan diterima, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang yang dibantu Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menjalankan operasi dan mangsa culik tersebut ditemui di sebuah rumah di Taman Desa Aman, Padang Serai, Kulim.
Katanya, ketika diselamatkan, mangsa berada dalam keadaan dirantai di bahagian kaki selain mengalami luka-luka ringan dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Jelasnya, keluarga mangsa yang tinggal di luar negara juga telah membayar sejumlah wang tebusan kepada suspek namun tidak didedahkan jumlah tersebut.
Ujar beliau, kejadian itu tidak melibatkan sindiket penculikan tetapi dipercayai melibatkan isu penipuan memandangkan mangsa mengenali suspek.
“Kesemua suspek direman selama empat hari bermula 10 hingga 13 November ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun,” katanya.
Ujar beliau, dalam operasi sama polis turut merampas pelbagai peralatan antaranya 17 buah telefon bimbit pelbagai jenama; lima buku bank; cota; dua batang besi dan segulung tali berwarna oren.
“Selain itu, kita turut menyita sebuah kereta Perodua Myvi; kereta jenis Toyata Vios; wang tunai berjumlah RM2,085 dan 460 Bath serta rantai besi,” katanya.