Category: Jenayah

  • Tular pelajar sekolah bawa ‘geng’ serang, pukul rakan

    Tular pelajar sekolah bawa ‘geng’ serang, pukul rakan

    POLIS menahan empat pelajar sekolah menengah kerana terlibat kejadian pergaduhan berkumpulan di sebuah stesen minyak di Kajang semalam.

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pelajarb berkenaan berusia lingkungan 15 ke 16 tahun.

    “Kejadian dipercayai berpunca akibat perselisihan faham antara suspek dan mangsa terbabit di kantin sekolah mereka di Kajang pada Rabu.

    “Mangsa telah berselisih faham dengan salah seorang rakan suspek kerana didakwa telah mencampakkan duit ketika hendak membeli minuman di kantin semasa waktu rehat.

    “Perselisihan faham itu berlarutan apabila kedua-dua pihak telah bertumbuk akibat tidak berpuas hati.

    “Suspek bertindak meminta bantuan dari rakan-rakan sekolah lain untuk membalas dendam terhadap mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu, satu klip video berdurasi 12 saat tular memaparkan sekumpulan pelajar sekolah bergaduh sambil cuba dileraikan oleh dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang berada berhampiran.

    Mohd. Zaid berkata, semakan mendapati video tular berkenaan merupakan kejadian pergaduhan pada Khamis dan Jumaat di dua tempat berlainan di sekitar sekolah berkenaan.

    Katanya, mangsa yang berusia 16 tahun telah diserang dan dipukul oleh suspek dan beberapa rakannya yang dipercayai pelajar dari sekolah lain di Kajang sekitar pukul 12.30 tengah hari Jumaat.

    “Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah menerima laporan dari seorang pelajar berusia 16 tahun lebih kurang pada pukul 5.04 petang.

    “Sepasukan polis dari Cawangan D7, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang telah tangkap empat suspek pelajar sekolah di sekitar Kajang disyaki terlibat pergaduhan berkenaan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, pihak polis masih mengesan beberapa suspek yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan terbabit.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan permohonan reman sedang dimohon dari mahkamah.

  • Bekas pemandu e-panggilan ditahan bersama dadah lebih RM6 juta

    Bekas pemandu e-panggilan ditahan bersama dadah lebih RM6 juta

    POLIS menahan seorang bekas pemandu e-panggilan bersama sejumlah 170.58 kilogram (kg) dadah bernilai RM6.14 juta di sebuah rumah sekitar Subang Jaya, pada Rabu.

    Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi berkata suspek berusia 49 tahun itu, ditahan pada jam 3 petang di rumah sewa yang dijadikan sebagai tempat simpanan dadah, dan kejayaan itu hasil risikan pihaknya selama seminggu.

    “Kita mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan rumah judi dan lelaki itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang sejak dua bulan lalu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

    Sasikala Devi berkata dadah yang dirampas itu terdiri daripada 166 bungkus plastik dengan 111 bungkusan berlabel teh cina manakala 55 bungkusan plastik lutsinar, yang kesemuanya disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine.

    Beliau berkata, pihaknya turut menyita sebuah kereta jenis Honda City dianggarkan bernilai RM18,000.

    Sasikala Devi berkata suspek itu kini direman selama tujuh hari sehingga 7 Dis ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Beliau berkata hasil ujian air kencing terhadap suspek adalah negatif dan pihaknya masih menyiasat sama ada suspek tersebut terlibat dengan sindiket dadah lain.

    Sementara itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan iklan kerja di media sosial yang menawarkan pendapatan lumayan, tetapi proses pengambilan dan urusan kerja dibuat tanpa berjumpa dengan majikan.

    Beliau berkata ini kerana terdapat laporan yang diterima pihaknya menunjukkan ia merupakan salah satu strategi untuk merekrut pengedar dadah dengan tawaran gaji sehingga RM7,000 ke RM8,000 sebulan. – BERNAMA

  • Jual motosikal Honda Wave Alpha curi di Thailand pada harga RM1,000

    Jual motosikal Honda Wave Alpha curi di Thailand pada harga RM1,000

    PERBUATAN dua lelaki yang mencuri motosikal jenis Honda Wave Alpha di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Pulau Pinang untuk dijual di negara jiran pada harga hanya RM1,000 tumpas selepas mereka ditahan polis minggu lalu.

    Kedua-dua suspek lelaki warga tempatan itu ditahan pasukan khas yang ditubuhkan selepas polis menerima sebanyak 10 laporan kecurian motosikal khususnya membabitkan model Honda Wave Alpha di kawasan parkir stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Bukit Mertajam dan Bukit Tengah antara Jun hingga Ogos lalu.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, suspek pertama berusia 46 tahun ditangkap ketika berada di Padang Besar, Perlis kira-kira pukul 6.25 petang, 23 November lalu.

    Jelas beliau, suspek kedua berusia 41 tahun ditahan ketika berada berhampiran stesen bas di Butterworth tiga hari kemudian.

    Ujarnya, hasil soal siasat mendapati, sindiket itu hanya menyasarkan motosikal jenis Honda Wave Alpha di stesen-stesen KTMB, pasar awam dan hospital sebelum dicuri, diseludup dan dijual ke negara jiran.

    “Dalam operasi sama, kita turut merampas dua buah motosikal, peralatan yang digunakan untuk mencuri kenderaan itu selain beberapa dokumen yang digunakan untuk merentasi sempadan negara jiran,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah SPT, di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

    Tambah beliau, dengan tertumpasnya sindiket itu, polis percaya turut dapat menyelesaikan antara 87 kes kecurian motosikal yang diterima setakat ini iaitu 30 kes di sekitar Pulau Pinang dan selebihnya di Kedah.

    Ujar beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara antara satu hingga tujuh tahun selain dikenakan denda.

    “Tempoh reman kedua-dua suspek turut dilanjutkan sehingga 4 Disember ini dan suspek pertama mempunyai 29 kes lampau berkaitan jenayah selain tiga kes berkaitan dadah manakala suspek kedua memiliki sembilan kes jenayah lampau.

    “Ujian air kencing kedua-dua suspek bagaimanapun didapati bebas daripada sebarang pengaruh dadah,” katanya.

    Difahamkan, motosikal curi yang diseludup ke negara jiran itu dijual kepada orang tengah atau orang persendirian untuk kegunaan harian termasuk bagi menjalankan kerja-kerja ladang.

  • Maritim Malaysia rampas rokok putih bernilai lebih RM1 juta

    Maritim Malaysia rampas rokok putih bernilai lebih RM1 juta

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup satu juta batang rokok putih bernilai lebih RM1 juta di Tumpat, Selasa lepas.

    Pengarah Maritim Kelantan Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata ia hasil kejayaan selepas bot peronda APMM mengesan sebuah bot pancung dalam keadaan mencurigakan bergerak laju ke perairan muara Tumpat pada 3.30 pagi.

    “Bot peronda bertindak mengejar bot pancung sehingga memasuki perairan alur Sungai Padang Tambun.

    “Keadaan sungai yang cetek menyebabkan bot peronda terpaksa bergerak perlahan seterusnya meminta bantuan pasukan darat untuk mencari bot pancung di kawasan sekitar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat APMM Kelantan di sini hari ini.

    Syed Nor Adli berkata semasa melakukan pencarian, pasukan APMM menemukan dua lori di tebing Sungai Tambun pada 6.10 pagi dan dipercayai terdapat barangan seludup dipindahkan daripada bot yang dicari ke dalam dua lori tersebut.

    “Pemeriksaan pada lori pertama menemukan 70 bungkusan plastik hitam manakala 30 bungkusan plastik hitam di dalam lori kedua.

    “Kesemua 100 bungkusan tersebut mengandungi kira-kira satu juta batang rokok putih yang dianggar bernilai RM1.04 juta termasuk cukai. Dua lori itu dianggar bernilai RM55,000,” katanya dan menambah kes disiasat lanjut di bawah Akta Kastam 1967. – BERNAMA                       

  • Mayat wanita tersangkut tingkat 20 kondominium

    Mayat wanita tersangkut tingkat 20 kondominium

    BOMBA mengambil masa lebih sejam untuk membawa naik mayat seorang wanita yang tersangkut pada belebas tiang tingkat 20 sebuah kondominium dekat Damansara Perdana, Petaling Jaya, hari ini.

    Mangsa berusia 40 tahun sebelum itu dipercayai terjatuh dari tingkat 28 bangunan kediaman berkenaan.

    Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 8.09 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara digerakkan ke lokasi.

    “Anggota bomba yang tiba di lokasi pada jam 9.25 pagi kemudian menggunakan teknik penyelamatan dengan tali untuk menaikkan mangsa.

    “Mangsa yang dilihat tidak sedarkan diri akhirnya berjaya dibawa masuk ke dalam bangunan melalui tingkap di tingkat 20 sebelum disahkan sudah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

    Norazam berkata, tugas penyelamatan selesai sepenuhnya pada pukul 10.55 pagi dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan seterusnya.

  • Remaja perempuan 18 tahun ‘bookie’ Piala Dunia ditahan

    Remaja perempuan 18 tahun ‘bookie’ Piala Dunia ditahan

    POLIS menahan dua orang ‘bookie’pertaruhan keputusan perlawanan bola sepak Piala Dunia 2022 dan ejen nombor loteri haram dalam serbuan di Matang Jaya, dekat Kuching, petang semalam.

    Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun antara bookie ditahan dalam serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah(JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan ke sebuah kedai makan, kira-kira pukul 3.45 petang.

    Menurut Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, suspek disyaki menjadi ejen judi pertaruhan bola sepak dan ejen nombor loteri tanpa lesen.

    Katanya, suspek turut mengaku melakukan kesalahan tersebut.

    “Polis turut merampas dua unit telefon, empat keping kertas jadual perlawanan bola sepak Piala Dunia 2022 serta wang tunai berjumlah RM420,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Abang Zainal Abidin berkata, polis turut menahan seorang lelaki berusia 24 tahun dalam serbuan kedua di sebuah gerai buah-buahan pada pukul 4.45 petang.

    Katanya, suspek juga dipercayai menjadi ejen judi pertaruhan bola sepak dan ejen jual nombor loteri tanpa lesen.

    “Polis merampas dua telefon bimbit dan wang tunai RM540,” katanya.

    Beliau menambah, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

  • Polis tahan tiga warga Bangladesh keluarkan permit kerja palsu

    Polis tahan tiga warga Bangladesh keluarkan permit kerja palsu

    POLIS menahan tiga lelaki warganegara Bangladesh di sekitar Shah Alam kerana disyaki mengeluar dan menjual permit kerja palsu kepada rakan senegara sejak Oktober lepas. 

    Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata penahanan dua suspek pertama berumur lingkungan 20 dan 30 tahun dibuat menerusi satu serbuan pada 7.30 malam di Kampung Baru Hicom, Seksyen 26, di sini pada Selasa lepas.

    Beliau berkata hasil siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek tinggal di Malaysia sejak kira-kira tiga tahun lepas dan bekerja di sekitar kawasan industri di Hicom Glenmarie serta didapati mula aktif menjalankan kegiatan memalsukan dan menjual permit palsu itu sejak Oktober. 

    “Suspek menjalankan kegiatan mengedar serta menjual permit palsu kepada warganegara asing dengan menawarkan harga yang lebih murah dan cepat dengan harga setiap permit dianggarkan sebanyak RM200 dan kebanyakannya dibeli oleh warga Bangladesh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mohd Iqbal berkata hasil penahanan suspek, pihak polis berjaya merampas beberapa peralatan iaitu sebuah komputer riba, sebuah mesin cetak, tiga pasport, 10 keping pas lawatan kerja sementara dan empat telefon bimbit.

    Katanya, susulan penangkapan dua suspek terbabit, seorang lagi suspek warga Bangladesh berumur 30-an telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam malam tadi dan dipercayai terlibat dalam kes terbabit. 

    Beliau berkata dua suspek pertama telah direman hingga 3 Dis manakala suspek ketiga akan dibawa ke mahkamah hari ini untuk permohonan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – BERNAMA

    Ketua Polis Shah Alam, permit kerja, Bangladesh

  • Polis siasat video Jalur Gemilang dikibar dengan bendera Israel

    Polis siasat video Jalur Gemilang dikibar dengan bendera Israel

    POLIS membuka kertas siasatan berhubung penyebaran klip video menunjukkan beberapa individu menyanyikan lagu Negaraku sambil menaikkan bendera Malaysia dan Israel.

    Timbalan Ketua Polis Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashriman Ku Mahmood berkata, siasatan dilakukan susulan satu laporan dibuat seorang lelaki tempatan pada 29 Nov lalu yang melihat rakaman video itu tular di WhatsApp.

    Menurutnya, siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada September lalu ketika sekumpulan warga tempatan mengadakan lawatan bersama agensi pelancongan.

    “Kita menerima satu laporan polis daripada lelaki warga tempatan yang menyatakan melihat rakaman video berdurasi 47 saat di kumpulan sembang WhatsApp, di mana lagu Negaraku dinyanyikan beberapa individu dan bendera Malaysia dikibarkan bersama bendera Israel.

    “Siasatan awal mendapati kejadian dalam video itu berlaku pada September lalu ketika sekumpulan warga tempatan mengadakan lawatan ke sebuah negara bersama agensi pelancongan,” katanya dalam kenyataan.

    Ku Mashriman berkata, meminta orang ramai tidak mengeluarkan kenyataan dan menyebarkan sebarang bahan di mana-mana platform.

    Katanya, ia bagi mengelakkan spekulasi dan provokasi sehingga menjejaskan siasatan polis serta menggugat ketenteraman awam.

    Beliau menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Lagu Kebangsaan 1968 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

  • Operasi Maritim Malaysia, AADK tahan 19 nelayan positif dadah

    Operasi Maritim Malaysia, AADK tahan 19 nelayan positif dadah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SERAMAI 19 individu terdiri daripada nelayan di Kuala Kedah ditahan akibat positif dadah dalam operasi bersepadu dilaksanakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kota Setar dan Pokok Sena, semalam.

    Sebahagaian daripada nelayan yang diperiksa Maritim Malaysia dan AADK dalam operasi dijalankan semalam.

    Menurut Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Kuala Kedah, Leftenan Maritim Zool Hilmi Mohd. Nadzir, operasi tersebut bermula kira-kira pukul 10 pagi semalam bertujuan membanteras kegiatan penagihan dadah dalam kalangan komuniti nelayan.

    “Serbuan dilakukan di jeti-jeti bot sekitar muara Kuala Kedah serta pemeriksaan awak terhadap bot nelayan tempatan yang berada di kawasan berhampiran.

    “Hasil operasi itu, seramai 19 individu ditahan kerana didapati positif dadah jenis methamphetamine. Selain itu sebuah bot nelayan tempatan kelas B turut diambil tindakan kerana didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya dalam satu kenyataan.

    Tambahnya, operasi tersebut melibatkan seramai 60 pegawai dan anggota dari kedua-dua agensi terlibat.

    “Kesemua individu ditahan merupakan warganegara tempatan berusia antara 25 hingga 50 tahun. Mereka kemudiannya diserahkan kepada pihak AADK untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Menurutnya, Maritim Malaysia sama sekali tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan yang melanggar undang-undang di perairan negara.

    “Kami amat mengalu-alukan aduan mahu pun laporan mengenai sebarang aktiviti jenayah mahu pun kecemasan di laut.

    “Maklumat mengenai perkara itu boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579,” katanya.

  • Video berbaur provokasi: MCMC, PDRM panggil pengurusan TikTok

    Video berbaur provokasi: MCMC, PDRM panggil pengurusan TikTok

    SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memanggil pihak pengurusan TikTok untuk memberikan penjelasan berhubung penularan tiga klip video berbaur provokasi mengenai amaran rusuhan 13 Mei 1969. 

    MCMC dalam kenyataan memaklumkan penyebaran kandungan berbaur provokasi itu dengan niat mencetuskan ketidakharmonian, kebencian, prejudis dan perasaan orang lain adalah satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dikenakan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    “Sebarang penyebaran kandungan video sedemikian merupakan satu perbuatan tidak bertanggungjawab yang dikhuatiri boleh menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, perasaan kebencian mahupun prejudis dalam hal-ehwal berkaitan dengan agama dan kaum,” katanya.

    Menurut kenyataan itu, MCMC terus memantau penyebaran klip video tersebut serta pendedahan sebuah portal berita yang tiga klip video itu merupakan kandungan berbayar. 

    Selain itu, MCMC dan PDRM akan mempertingkat usaha untuk mengekang penyebaran video sedemikian yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam.

    Sebuah portal berita hari ini melaporkan terdapat pengguna media sosial yang menyatakan beberapa video berhubung amaran rusuhan 13 Mei 1969 yang tular di TikTok mempunyai label “paid partnership” atau perkongsian berbayar. – BERNAMA