Category: Jenayah

  • Pekebun ditahan miliki senapang angin buatan sendiri

    Pekebun ditahan miliki senapang angin buatan sendiri

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS menahan seorang pekebun dan merampas selaras senapang angin dirampas selepas polis melakukan serbuan di sebuah bengkel membaiki kenderaan di Sri Medan, Batu Pahat, semalam.

    Sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat melakukan serbuan di bengkel berkenaan pada pukul 1.15 tengah hari.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, hasil serbuan tersebut pihak polis merampas senapang angin serta peluru yang berada dalam sebuah kereta di bengkel berkenaan.

    Jelas beliau, senapang angin tersebut dipercayai dibuat sendiri oleh suspek.

    “Suspek mempunyai rekod lampau atas pelbagai kesalahan termasuk dadah dan jenayah. Ujian saringan awal air kencing suspek didapati positif dadah,” katanya dalam kenyataan di Batu Pahat, hari ini.

    Menurut Ismail, suspek akan di bawa ke Mahkamah Majistret untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

  • Penjawat awam dikesan bersubahat dengan kartel bolot projek kerajaan

    Penjawat awam dikesan bersubahat dengan kartel bolot projek kerajaan

    WUJUD sindiket dan kartel monopoli antara penjawat awam dan kontraktor swasta bagi menyeleweng wang daripada projek kerajaan, dedah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

    Menurut Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khasnya, Datuk Tan Kang Sai, kes penyelewengan itu menarik perhatian ramai pihak kerana individu yang terbabit bukan setakat kakitangan peringkat bawahan malah turut melibatkan pegawai kanan di sektor awam.

    Malah kata beliau, tidak terkecuali juga pegawai penguatkuasa dengan penerimaan suapan berbentuk wang tunai dan barangan bernilai.

    Katanya lagi, berdasarkan fakta kes, didapati tidak cukup dengan suapan yang diterima, malah, semakin tinggi nilai projek, semakin besar habuan yang mereka (penjawat awam) akan terima.

    “Jika diimbau kembali kes-kes berkaitan yang pernah disiasat oleh SPRM, isu sedemikian didapati telah lama wujud.

    “Modus operandi penyelewengan yang menyebabkan ketirisan dana kerajaan dilakukan secara segerombolan dalam kelulusan kontrak projek kerajaan,” katanya dalam kenyataan, lapor Berita Harian, hari ini.

    Kang Sai berkata, pada bulan Oktober lalu, SPRM menahan 11 individu termasuk anggota polis dan penjawat awam kerana disyaki terbabit sindiket pengurangan saman trafik sejak 2016 membabitkan transaksi wang lebih RM5 juta.

    Katanya, seterusnya, pada bulan September, SPRM telah menyerbu pejabat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi menjalankan siasatan berkaitan kes projek tebatan banjir mega bernilai ratusan juta ringgit.

    Susulan serbuan itu, kata beliau lapan individu iaitu tujuh pegawai MBSA dan seorang kontraktor telah ditahan reman untuk membantu siasatan kes itu.

    “Mereka dipercayai bersekongkol bersama syarikat kontraktor yang juga sindiket kartel projek bagi membolot projek bernilai puluhan juta ringgit di sekurang-kurangnya empat daerah di Selangor sejak 2012 lagi.

    “Fakta kes menunjukkan pegawai daerah di Selangor itu dipercayai menerima suapan dengan anggaran melebihi RM100,000 dalam pelbagai bentuk seperti wang tunai, pengubahsuaian rumah, deposit kereta dan bayaran perubatan,” katanya.

    Justeru, katanya SPRM menyambut baik ketegasan kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mengizinkan berlakunya ketirisan dan rasuah dalam setiap urusan pentadbiran.

    “Ini termasuk soal peraturan dan kelulusan perolehan tanpa tender yang tidak lagi dibenarkan,” katanya.

    Beliau menegaskan menerusi beberapa kes pembongkaran jelas menunjukkan ada keperluan melakukan penambahbaikan terhadap tatacara atau sistem dan prosedur dalam pemberian projek di sektor awam.

    Katanya, langkah itu bagi menutup ruang dan peluang rasuah, khususnya projek mega yang membabitkan kepentingan awam.

    Ini kerana, katanya sekiranya isu berkenaan tidak ditangani dari peringkat akar umbi, ia bukan saja mencalarkan imej penjawat awam secara menyeluruh malah akan menjejaskan pembangunan serta ekonomi negara.

    Dalam masa yang sama, katanya bagi memastikan isu kartel projek diatasi khususnya dalam sektor awam, setiap pihak perlu memainkan peranan penting iaitu menjadi mata dan telinga kepada SPRM.

    Ini kerana katanya tanpa maklumat yang disalurkan, sukar bagi agensi itu untuk mengambil tindakan selanjutnya untuk mengekang aktiviti berkenaan.

    “Perlu diingatkan bahawa kegagalan untuk melaporkan rasuah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 25 Akta SPRM 2009.

    “Masyarakat tidak perlu takut untuk melaporkan kegiatan rasuah kepada SPRM kerana suruhanjaya ini akan sentiasa memastikan kerahsiaan maklumat yang diberi.

    “Identiti pemberi maklumat juga akan dilindungi serta tidak boleh didedahkan kepada mana-mana pihak dalam apa jua keadaan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010,” katanya.

    Beliau berkata, laporan, aduan atau maklumat boleh disalurkan kepada mana-mana pejabat SPRM yang berdekatan, atau orang ramai boleh menggunakan tiga kemudahan platform aduan yang disediakan talian bebas tol: 1-800-88-6000; portal aduan: https://portaladuansprm.gov.my/ dan Aplikasi smartphone: MACCMobile

  • Gambar diguna bagi penipuan, DJ Dave buat laporan polis

    Gambar diguna bagi penipuan, DJ Dave buat laporan polis

    PENYANYI veteran, Datuk DJ Dave membuat laporan polis selepas mendapati seorang lelaki menggunakan gambarnya sebagai profil dalam aplikasi WhatsApp bagi tujuan meminjam wang.

    Menurut DJ Dave, 75, beliau sudah menerima lebih 100 panggilan telefon daripada kenalan yang dikatakan hampir terkena dengan sindiket penipuan terbabit.

    “Ingin saya maklumkan ada seorang lelaki yang menyamar sebagai saya, menggunakan gambar profil WhatsApp, kononnya untuk meminjam wang dari anda. Harap berhati-hati.

    “Saya sudah membuat laporan polis berkenaan isu ini dan mengharapkan kes seperti ini tidak berulang atau berlaku kepada orang lain,” katanya.

    DJ Dave yang juga pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) mengakui terkejut dan dengan tidak menyangka perkara sebegitu terjadi pada dirinya.

    “Sebelum ini, saya ada mendengar daripada rakan-rakan mengenai ‘scammer’ ini, tetapi tidak sangka terjadi pada saya.

    “Saya terkejut kerana gambar yang digunakan sememangnya gambar profil saya. Jadi, saya terus tukar kepada gambar lain,” katanya, lapor Berita Harian.

    Sementara itu, DJ Dave menasihati kenalan untuk terus menghubunginya sekiranya masih ada yang menerima mesej sedemikian.

    “Ingin saya tegaskan sekali lagi, saya tidak terbabit dan sekiranya masih ada yang menerima hantaran WhatsApp, sila hubungi saya atau pengurus dengan segera,” katanya.

  • Dua lelaki Nepal maut, ada kesan hentakan pada muka

    Dua lelaki Nepal maut, ada kesan hentakan pada muka

    DUA lelaki warga Nepal ditemukan maut dengan kesan hentakan pada muka di sebuah rumah kedai di Jalan Haruan 4/7 Taman Perindustrian Oakland, Seremban, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, mayat mangsa berusia 35 dan 46 tahun itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah pukul 6.25 petang di rumah kedai berkenaan.

    “Sebaik mendapat maklumat, polis telah ke lokasi dan menemui dua lelaki terbaring dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah.

    “Keadaan kedua-dua mangsa berjauhan antara satu sama lain tidak sedarkan diri dan didapati muka mereka berlumuran darah.

    “Berdasarkan siasatan awal, polis percaya mangsa dipukul menggunakan penukul dan senjata berkenaan turut ditemui di lokasi,” katanya ketika ditemui di lokasi.

    Beliau berkata, seorang lagi lelaki warga Nepal berusia 37 tahun turut ditemui berada di lokasi dan telah ditahan bagi membantu siasatan.

    Sementara itu, Nanda berkata, kedua-dua mangsa bekerja sebagai pengawal keselamatan di syarikat sama dan seorang dari mereka tinggal bersebelahan tempat kejadian.

    Difahamkan katanya, lokasi kejadian merupakan kantin untuk pekerja pengawal keselamatan mengambil makanan.

    “Polis masih menyiasat motif kejadian termasuk kaitan suspek yang berada di lokasi. Pihak kami akan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, buat masa ini kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • Bayi perempuan masih bertali pusat ditinggalkan dalam kotak

    Bayi perempuan masih bertali pusat ditinggalkan dalam kotak

    SEORANG bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan, ditemukan dalam sebuah kotak berwarna coklat yang ditinggalkan di hadapan simpang masuk kebun di Jemaluang, di Mersing, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing, berkata bayi itu yang masih bertali pusat, diletakkan dalam sebuah kotak dengan hanya beralaskan kain langsir, ditemukan kira-kira jam 8.40 pagi.

    “Polis menerima maklumat daripada orang awam memaklumkan menemukan seorang bayi yang masih hidup dan cukup sifat di tepi simpang masuk kebun berkenaan.

    “Bayi itu kemudiannya diselamatkan dan dirawat di Klinik Kesihatan Jemaluang, bagaimanapun identitinya masih belum dapat dikenal pasti,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Bayi itu dilaporkan dalam keadaan stabil dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan, iaitu menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi, membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

    Cyril turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya tampil di balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

  • Lelaki guna nama masjid kutip derma sudah ditahan

    Lelaki guna nama masjid kutip derma sudah ditahan

    POLIS menahan seorang lelaki yang menggunakan nama masjid untuk mengutip derma bagi memberi sumbangan dan makanan kepada anak yatim.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suspek yang berusia 29 tahun ditahan pukul 4.48 petang semalamdi kediamannya di kawasan perumahan Kemumin, Pengkalan Chepa.

    “Suspe merupakan seorang penganggur. Siasatan awal juga mendapati suspek terbabit dalam kes menggunakan modus operandi sama di Pasir Puteh pada Mei lalu.

    “Hasil semakan mendapati suspek juga adalah individu dikehendaki selain mempunyai rekod lampau berhubung kes rogol di Bachok.

    “Kami yakin selepas siasatan dibuat, ramai lagi yang akan tampil untuk membuat laporan berhubung kes penipuan secara dalam talian yang semakin berleluasa,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai, Kuala Krai, hari ini.

    Beliau berkata, permohonan reman suspek akan dibuat pada hari ini bagi membantu siasatan lanjut.

    Media sebelum ini melaporkan, seorang peniaga yang dihubungi oleh suspek yang mengaku sebagai penghulu memberitahu ingin mengadakan majlis untuk memberi makan anak yatim dan meminta sedikit sumbangan kewangan.

    Mangsa tidak bertanya lanjut berikutan sering dihubungi pemimpin setempat untuk tujuan yang sama sudah membuat transaksi RM500 kepada suspek.

    Suspek kemudian memaklumkan tidak cukup dan meminta RM2,300 lagi daripada mangsa.

    Sementara itu, dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata, statistik jenayah komersial di Kelantan pada tahun ini meningkat sebanyak 30 kes atau 3.4 peratus berbanding tahun lalu dalam tempoh Januari hingga November.

    “Pada tahun lalu sebanyak 874 kes dilaporkan berbanding tahun ini sebanyak 904 kes dengan anggaran kerugian masing-masing RM16,072,480.65 pada tahun lalu dan RM24,897,882.21 pada tahun ini.

    “Antara jenis yang dilaporkan termasuklah Macau Scam, tipu pelaburan dalam talian, tipu kerja sambilan dalam talian, pinjaman tidak wujud, dan sebagainya,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Video tular mengenai perhimpunan adalah video lama – KPN

    Video tular mengenai perhimpunan adalah video lama – KPN

    VIDEO tular kononnya satu perhimpunan akan diadakan pada Khamis depan (8 Dis) adalah video lama dan ditularkan kembali pihak tidak bertanggungjawab bertujuan membangkitkan kegusaran awam dan kekeliruan.

    Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dalam kenyataan hari ini berkata semakan polis mendapati video berkenaan dirakam pada tahun 2018 semasa isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sedang diperkatakan.

    Beliau berkata perhimpunan yang dimaksudkan adalah perhimpunan anti-ICERD yang berlangsung pada 8 Dis 2018 di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur.

    “Video berkenaan ditularkan kembali oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab dengan tujuan membangkitkan kegusaran awam dan kekeliruan, seolah-olah terdapat perhimpunan yang akan dianjurkan pada 8 Dis ini.

    “PDRM menasihatkan orang ramai untuk tidak menyebar atau berkongsi lanjut sekiranya telah menerima video berkenaan,” katanya menambah kerjasama pengguna media sosial amat diperlukan bagi mengelak berita tidak benar daripada disebarkan.

    Menurutnya mana-mana individu yang dikesan menyebarkan video itu boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (kenyataan-kenyataan yang boleh mendatangkan ketakutan awam) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian).

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan penyebaran sebuah video berdurasi dua minit 20 saat di media sosial memaparkan tindakan seorang lelaki memberikan ucapan berbaur perkauman di sebuah premis tertutup dan menyatakan sebuah perhimpunan akan diadakan pada ‘8 Dis 2022’.

    Acryl Sani berkata sehingga kini, tiada sebarang maklumat mengenai perhimpunan yang akan diadakan oleh mana-mana pihak pada 8 Dis ini seperti yang cuba digambarkan.

    Beliau turut mengulangi komitmen PDRM dalam menjamin keselamatan awam dan masyarakat dengan tindakan tegas akan diambil jika mana-mana pihak dikesan mengadakan sebarang perhimpunan atau perarakan di tempat terbuka yang boleh mengancam ketenteraman awam.

  • Remaja 15 tahun ditahan kes rogol gadis bawah umur

    Remaja 15 tahun ditahan kes rogol gadis bawah umur

    POLIS menahan seorang lagi remaja lelaki berusia 15 tahun kerana merogol gadis bawah umur dalam kejadian di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) di Kuala Krai.

    Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, remaja tersebut merupakan antara individu terbaharu yang ditahan selepas pihak polis mereman sembilan suspek berusia antara 13 hingga 21 tahun pada Jumaat.

    “Penahanan suspek terbaharu itu akan membantu siasatan berhubung kes tersebut. Pihak kami akan menjalankan kolaborasi dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengatasi masalah ini.

    “Hasil pemerhatian dan siasatan yang dijalankan mendapati kes ini berpunca daripada masalah keruntuhan keluarga yang melibatkan penceraian antara ibu dan bapa,” katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai hari ini.

    Menurut beliau, semua pihak perlu memainkan peranan dalam membantu golongan remaja bawah umur berkait dengan jenayah rogol, lapor Sinar Harian.

    Media semalam melaporkan seramai sembilan lelaki termasuk remaja direman bagi membantu siasatan kes rogol melibatkan gadis bawah umur dalam kejadian di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB).

    Kesemua suspek berusia antara 13 hingga 21 tahun itu direman antara lima hingga tujuh hari bermula semalam.

    Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, menurut keterangan mangsa sekitar pukul 9 malam pada 25 Oktober lalu, dia telah keluar dari rumahnya di Wakaf Bharu (Tumpat) dan tinggal bersama teman lelakinya di Jalan PCB.

    Menurut beliau, semasa tinggal bersama teman lelakinya mangsa telah melakukan hubungan seks bersama rakan suspek lain di kawasan tepi pantai, Jalan PCB.

  • Polis tahan suami-isteri bawa dadah bernilai lebih RM9.5 juta

    Polis tahan suami-isteri bawa dadah bernilai lebih RM9.5 juta

    POLIS Kelantan menahan sepasang suami isteri berusia 26 dan 28 tahun bersama dadah jenis syabu bernilai lebih RM9.5 juta di Kampung Batu Jong, Kuala Krai, semalam.

    Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata tangkapan terbesar tahun ini itu dilakukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) ketika menjalankan rondaan pada 8 pagi.

    “Anggota bertindak menahan kenderaan dinaiki pasangan warga tempatan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan. Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan tersebut polis menemukan 11 guni yang setiap satu mengandungi 24 bungkusan dibaluti dengan kerajang aluminium bertulis ‘Guanyingwang’ disyaki dadah jenis syabu.

    “Kesemua dadah yang dirampas seberat 264 kilogram dianggarkan bernilai RM9,504,000 dipercayai untuk pasaran Lembah Klang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai hari ini.

    Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata siasatan awal mendapati suspek lelaki yang ditahan mengambil upah RM5,000 untuk satu perjalanan bagi membawa bekalan dadah tersebut sebelum kenderaan yang dinaiki mereka akan ditinggalkan di satu kawasan lain sebelum diambil individu lain.

    “Pasangan suami isteri didapati tiada rekod jenayah lampau. Mereka direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 9 Dis depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Remaja lelaki lembam dakwa lima kali diliwat jiran

    Remaja lelaki lembam dakwa lima kali diliwat jiran

    SEORANG lelaki meliwat jirannya iaitu seorang remaja lelaki lembam berusia 16 tahudi ladang kelapa sawit di Bandar Baharu bulan lalu.

    Perbuatan itu terbongkar apabila mangsa yang juga pelajar Tingkatan Tiga menceritakan kejadian menimpanya kepada guru kelas, Khamis lalu.

    Difahamkan, jirannya mengambil kesempatan terhadap mangsa dengan membawanya ke lokasi jauh dalam ladang kelapa sawit sebelum melakukan perbuatan keji terbabit.

    Mangsa mendakwa diliwat sejak 20 hingga 25 November lalu oleh suspek yang turut mengancam membunuh seluruh keluarganya jika remaja itu membocor rahsia.

    Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, hasil siasatan mendapati remaja lelaki berkenaan menceritakan kejadian kepada guru kelasnya yang kemudian memaklumkan perkara terbabit kepada bapa mangsa.

    “Bapa mangsa hadir ke sekolah dan lelaki berusia 56 tahun itu yang curiga serta tidak berpuas hati dengan kejadian menimpa anaknya itu membuat laporan polis.

    “Susulan itu, suspek, 20, yang juga pekerja swasta diberkas dalam serbuan di sebuah rumah dan dia kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau proses pengundian awal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Parlimen Padang Serai di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim, di Bandar Baharu, hari ini.

    Wan Hassan berkata, hasil keterangan awal mangsa mendakwa dia dipaksa suspek melakukan perbuatan sumbang itu sebanyak lima kali dalam ladang kelapa sawit terbabit.

    “Mangsa tidak berani menceritakan kejadian berkenaan kepada sesiapa kerana suspek sebelum itu mengugut mahu membunuh semua ahli keluarganya jika dia membocorkan rahsia.

    “Pemeriksaan mendapati mangsa belajar di kelas khas kerana mempunyai masalah dalam pembelajaran dan dia turut dibawa ke Hospital Kulim untuk pemeriksaan lanjut,” katanya, lapor Harian Metro.