Category: Jenayah

  • 1,059 individu ditahan terlibat aktiviti pelacuran di Selangor

    1,059 individu ditahan terlibat aktiviti pelacuran di Selangor

    POLIS Selangor menumpaskan kegiatan pelacuran dengan penahanan 1,059 individu hasil serbuan sejak Januari lalu.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, statistik tangkapan setakat November itu dilaksanakan hasil kejayaan 279 serbuan.

    “Jumlah tangkapan yang direkodkan terdiri daripada 41 lelaki dan 1,018 wanita terdiri daripada pelbagai warganegara termasuk tempatan.

    “Siasatan mendapati suspek lelaki yang ditahan dipercayai berperanan sebagai pekerja premis, ejen atau ‘runner’ manakala tangkapan wanita melibatkan gadis pelayan pelanggan (GRO), pelacur dan tukang urut.

    “Polis percaya kegiatan ini sering dijalankan secara individu di hotel dan sering berpindah-randah bagi menyukarkan aktiviti itu dikesan.

    “Mereka menggunakan media sosial seperti WeChat dan MiChat untuk mencari pelanggan.

    “Kegiatan tidak bermoral di hotel dikesan apabila wanita terlibat akan menempah dalam tempoh tertentu selain pergerakan yang diuruskan oleh ejen sindiket,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Arjunaidi berkata, mengenai jumlah bayaran ia bergantung kepada status wanita berkenaan.

    Katanya, polis percaya ada pemilik hotel ini mengetahui kegiatan tidak bermoral itu namun ia ‘dibenarkan’ kerana memikirkan keuntungan bayaran bilik.

    “Kita memandang serius kegiatan sebegini dan diingatkan pemilik premis untuk tidak bersekongkol dengan aktiviti haram ini,” tegasnya.

    Dalam pada itu, Arjunaidi juga percaya terdapat kegiatan pelacuran ini yang berselindung di sebalik premis rumah urut dan pusat refleksologi.

    “Kita juga kesan wanita warga asing yang datang ke Malaysia kononnya sebagai pelancong namun melakukan kerja tidak bermoral.

    “Sebagai contoh ada kes di mana wanita ini bergerak secara freelance di pusat hiburan untuk mencari pelanggan,” jelasnya.

    Tegasnya, tindakan boleh dikenakan di bawah Seksyen 372 Kanun Keseksaan, Seksyen 373 Kanun Keseksaan selain Akta Imigresen 1959/63.

  • Wanita warga emas parah dimuka, rugi RM2,000 disamun

    Wanita warga emas parah dimuka, rugi RM2,000 disamun

    SEORANG wanita warga emas bukan hanya mengalami kederaan parah di bahagian muka serta mata malah turut kerugian sebanyak RM2,000 selepas disamun dalam kejadian di kedai penapis air, di Jelutong, Pulau Pinang pada 24 Disember lalu.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa yang berusia 50-an berada seorang diri di kedai berkenaan sebelum didatangi suspek lelaki berusia 50-an.

    Difahamkan, suspek kemudian memukul mangsa menggunakan objek tumpul di bahagian muka sehingga mengakibatkan kecederaan parah dan mangsa kini masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pulau Pinang (HPP).

    Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, V. Saravanan, mangsa pada mulanya didatangi suspek di kedainya yang kononnya mahu berjumpa suami mangsa.

    “Bagaimanapun, setelah dimaklumkan suaminya tiada di kedai, suspek bertindak memukul mangsa sehingga mangsa cedera parah di bahagian muka dan kerugian RM2,000” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, George Town, Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Saravanan, susulan kejadian itu, seorang lelaki berusia 50-an ditahan pada keesokan harinya kerana disyaki menyamun dan mendatangkan kecederaan kepada mangsa.

    Jelas beliau, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu di bawah di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan.

    “Kedai berkenaan tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan kita memohon mana-mana saksi yang melihat kejadian itu tampil membantu siasatan,” katanya.

  • 32 mesin simulator perjudian bernilai lebih RM10,000 dilupuskan

    32 mesin simulator perjudian bernilai lebih RM10,000 dilupuskan

    SEBANYAK 32 buah mesin simulator perjudian bernilai lebih RM10,000 dilupuskan oleh polis daerah Timur Laut, Pulau Pinang hari ini.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, V. Saravanan berkata, kesemua mesin yang dilupuskan itu melibatkan dua kes perjudian yang disiasat pada 2017 dan 2018 di bawah seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 11 (2) Enakmen Hiburan dan Tempat Tempat Hiburan 1998.

    Jelas beliau, pelupusan hari ini melibatkan barang kes perjudian yang telah dijatuhi hukuman oleh pihak mahkamah dan dilupuskan di bawah seksyen 16A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

    “Terdapat banyak lagi mesin simulator perjudian yang akan dilupuskan selepas ini dan program pelupusan barang kes hari ini turut disaksikan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP),” katanya dalam sidang akhbar di IPD Timur Laut, di George Town, Pulau Pinang hari ini.

    Menurut beliau, proses pelupusan barang kes turut diadakan pada 21 Mac lalu bersama-sama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Pulau Pinang.

    Jelasnya, sebanyak 50 barang kes am dan perjudian dari IPD Timur Laut telah dilupuskan ketika itu di Padang Kawad Pasukan Simpanan Persekutuan No. 3, Ayer Itam.

    “Sepanjang tahun 2022 juga, IPD Timur Laut telah membuat serbuan melibatkan kes perjudian sebanyak 416 kes,” katanya.

  • Jururawat rugi RM198,000 diperdaya sindiket Macau Scam

    Jururawat rugi RM198,000 diperdaya sindiket Macau Scam

    SEORANG jururawat terpaksa berputih mata kerana kerugian wang berjumlah RM198,000 yang baharu dipinjam daripada pihak bank selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam.

    Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata wanita berusia 36 tahun itu telah menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pihak syarikat penghantaran barang pada 13 Dis lepas.

    Beliau berkata panggilan telefon tersebut telah disambungkan kepada ‘pegawai polis’ yang memaklumkan kononnya mangsa terlibat dalam sindiket senjata api dan pengedaran dadah.

    “Sejurus itu suspek telah meminta mangsa membuat pinjaman peribadi dan telah memberikan satu pautan untuk mengisi maklumat wanita berkenaan.

    “Setelah pinjaman peribadi diluluskan oleh pihak bank daripada tempoh permohonan lebih kurang dua minggu, wang tersebut telah dipindahkan ke akaun suspek tanpa disedari oleh mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu, mangsa yang menyedari dirinya diperdaya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Ramli turut mengingatkan masyarakat bahawa pihak penguat kuasa tidak menjalankan sebarang siasatan melalui panggilan telefon dan sentiasa melakukan semakan dengan balai polis, bank atau pejabat berkaitan yang berhampiran untuk pengesahan. – BERNAMA

  • Pembantu pusat jagaan ditahan bunuh pesakit mental

    Pembantu pusat jagaan ditahan bunuh pesakit mental

    PEKERJA warga asing ditahan kerana disyaki membunuh seorang penghuni rumah jagaan psikiatri iaitu tempat suspek bekerja di Jalan Cempaka, Bukit Beruntung, Hulu Selangor, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Suffian Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan daripada salah seorang pekerja rumah jagaan berkenaan sekitar pukul 12.18 tengah hari Ahad.

    Jelasnya, mangsa merupakan lelaki warga tempatan merupakan seorang pesakit mental di pusat jagaan berkenaan ditemui tidak sedarkan diri dalam biliknya sekitar pukul 8.45 pagi.

    “Pengadu seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang bekerja di pusat jagaan berkenaan telah menghubungi talian 999 seterusnya seorang pembantu perubatan telah mengesahkan kematian mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Suffian berkata, mangsa ditemui dengan kesan lebam pada tubuhnya yang dipercayai berpunca daripada impak objek tumpul manakala motif kejadian masih dalam siasatan.

    Katanya, bertindak di atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Hulu Selangor berjaya menahan suspek seorang lelaki warga asing berusia 33 tahun dalam satu serbuan di lokasi kejadian.

    “Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau dan ujian urin terhadapnya adalah negatif.

    “Suspek yang bekerja sebagai pembantu di pusat jagaan berkenaan direman tujuh hari bermula Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • Tiga wanita rugi RM1.7 juta akibat Macau Scam

    Tiga wanita rugi RM1.7 juta akibat Macau Scam

    TIGA wanita mengalami kerugian hampir RM1.7 juta selepas masing-masing menjadi mangsa sindiket Macau Scam mendakwa mereka terlibat dalam pengubahan wang haram, dalam kejadian baru-baru ini.

    Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Fisol Salleh berkata mangsa pertama seorang kerani di sebuah syarikat swasta yang tinggal di Bukit Mertajam membuat laporan polis pada 19 Dis lepas, memaklumkan dia kerugian RM1,026,200 ditipu sindiket tersebut sejak Julai lepas.

    “Wanita itu mendakwa dia pada mulanya dihubungi suspek mengaku dari Pos Malaysia kononnya terdapat bungkusan mengandungi kad pengenalan atas namanya sebelum talian disambung kepada pegawai polis yang memaklumkan mangsa terlibat dalam pengubahan wang haram.

    “Mangsa yang panik dan takut ditahan polis mengikut semua arahan suspek sebelum membuat pemindahan wang secara berperingkat ke 13 akaun berbeza dan duit tersebut adalah merupakan wang insuran mendiang suami serta simpanannya,” katanya pada sidang akhbar di Georgetown, hari ini.

    Beliau berkata mangsa kedua adalah seorang guru berusia 41 tahun yang tinggal di Seberang Perai Selatan (SPS) mengalami kerugian RM203,200 membuat laporan polis juga pada 19 Dis.

    Fisol berkata wanita itu dihubungi sindiket tersebut sejak November lepas dan dia  membuat pinjaman bank sebanyak RM190,000 serta duit simpanan untuk membayar kepada suspek kononnya bagi mengelak ditahan polis.

    Mangsa terakhir yang juga guru berumur 47 tahun dan tinggal di Seberang Perai Utara membuat laporan polis pada 23 Dis selepas kerugian RM439,000 kerana ditipu sindiket Macau Scam yang menghubunginya pada 19 Sept.

    “Mangsa turut membuat pinjaman bank sebanyak RM300,000 untuk membayar kepada sindiket itu dan dia membuat 15 transaksi ke lapan akaun berbeza membabitkan jumlah kerugian RM439,000,” katanya modus operandi sindiket yang menipu dua guru itu adalah sama dengan kes pertama.

    Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan rangkaian sindiket penipuan itu dan tiga kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    “Sejak Januari hingga semalam, polis Pulau Pinang merekodkan sebanyak 2,239 kes jenayah siber membabitkan kerugian RM79.5 juta dengan kes Macau Scam antara yang tertinggi direkodkan iaitu 921 kes dan sebanyak RM27.14 juta nilai kerugian,” katanya.

  • Taktik sembunyi rokok dalam lantai kontena terbongkar

    Taktik sembunyi rokok dalam lantai kontena terbongkar

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TAKTIK menyeludup rokok ke Australia dianggarkan bernilai RM426,000 yang disembunyikan dalam lantai sebuah kontena terbongkar hasil pemeriksaan dilakukan di Pelabuhan Pasir Gudang pada 9 Disember lalu.

    Cubaan itu gagal dalam pemeriksaan pukul 11.35 pagi hasil maklumat Cawangan Narkotik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor.

    Pengarah JKDM Johor, Misbahudin Parmin berkata, pemeriksaan rapi menemukan 428,000 batang rokok putih disembunyikan di ruang khas lantai kontena yang telah diubah suai bersama 20 palet tisu tandas, tisu dapur dan tisu basah.

    Jelas beliau, rokok putih yang diseludup akan disimpan sementara sebelum dieksport.

    “Pihak syarikat telah menempah awal satu unit kontena berukuran 12 meter daripada sebuah syarikat pengangkutan dan diletakkan di kawasan Perindustrian SILC, Gelang Patah.

    “Sementara bahagian lantai kontena tersebut telah diubah bagi meletakkan rokok putih yang diseludup. Bagi mengaburi kegiatan mereka, pihak syarikat telah membuat dua kali tempahan tisu daripada sebuah syarikat di Puchong, Selangor untuk dieksport ke Australia,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Kompleks Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai, Iskandar Puteri, hari ini.

    Misbahudin berkata, seorang lelaki warganegara tempatan berusia 35 tahun yang merupakan wakil syarikat ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

    Sementara itu, dalam kes berlainan, Misbahudin berkata, pihaknya berjaya menyita enam kontena berisi besi skrap bernilai RM380,000 yang disyaki cuba diseludup ke negara Asia Timur pukul 12.30 tengah hari, pada 5 Disember lalu.

    Katanya, bertindak atas maklumat risikan, sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan Sungai Pulai dibantu pihak berkuasa zon bebas Pelabuhan Klang menyita sejumlah dagangan besi skrap yang dipercayai tidak berkastam di Pelabuhan Klang.

    “Hasil pemeriksaan ke atas dokumen pengikraran borang kastam dua mendapati dagangan diikrar sebagai bahan tembaga. Namun pemeriksaan rapi yang dijalankan mendapati kontena mengandungi besi skrap yang dipercayai tidak mempunyai permit eksport yang sah,” katanya.

    Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 133 (1)(a), Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135 (1)(a) akta yang sama kerana membuat pengikraran yang tidak benar dan terlibat dalam cubaan mengeksport barangan larangan bersyarat tanpa permit.

  • Tular warga emas disepak muka, dibelasah sehingga berdarah selepas mencuri

    Tular warga emas disepak muka, dibelasah sehingga berdarah selepas mencuri

    SEORANG lelaki warga emas dibelasah sehingga berdarah muka dalam kejadian di Semporna, semalam dan kejadian itu tular dalam media sosial.

    Video berdurasi satu minit 36 saat itu memaparkan seorang individu bersama sekumpulan lelaki menarik baju warga emas itu di kawasan tempat letak kereta berhampiran sebuah pasar raya sambil disaksikan oleh orang awam.

    Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya belum menerima laporan polis dan masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.

    “Setakat ini tiada individu tampil atau sebarang laporan diterima berhubung kejadian itu,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Berdasarkan video tular itu, difahamkan mangsa didakwa mencuri beberapa barangan termasuk syampu dari pasar raya berkenaan namun disedari kakitangan di situ.

    Bagaimanapun, tindakan seorang individu yang mencederakan lelaki terbabit dengan menyepak muka sehingga berdarah mengundang pelbagai reaksi.

  • Budak lelaki mangsa dera mati akibat dipukul objek keras-KP Johor

    Budak lelaki mangsa dera mati akibat dipukul objek keras-KP Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KETUA Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat mengesahkan bahawa kematian kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun akibat didera di Senggarang, Batu Pahat, Isnin lalu akibat hentakan di kepala dengan objek tumpul dan keras.

    Jelasnya, hentakan itu menyebabkan kecederaan serius sehingga mangsa yang merupakan anak bongsu daripada 13 beradik meninggal dunia.

    Beliau memberitahu, perkara itu dimaklumkan hasil daripada bedah siasat yang teliti dilakukan pakar Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.

    “Sebab kematian adalah akibat hentakan benda keras di kepala. Walau bagaimanapun terdapat juga kesan calar dan kesan gigitan.

    “Terima kasih kepada pihak doktor yang banyak membantu pihak polis dalam siasatan. Insya-ALLAH siasatan kita teruskan untuk dapatkan

    ‘details’ hasil bedah siasat yang dibuat pihak doktor. Buat masa ini, kita masih menunggu laporan (lengkap) daripada doktor pakar,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Lantikan Inspektor Kor Sukarelawan Polis

    Kamarul Zaman (tengah) melakukan pemeriksaan barisan dalam Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Lantikan Inspektor Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Suksis) UTM dan UTHM di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Siswa/Siswi (Suksis) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru hari ini.

    Pada Isnin lalu, mangsa yang dikenali sebagai Lokman dilaporkan telah meninggal dunia selepas tiga hari dirujuk ke HSI akibat pengsan di rumahnya di Senggarang.

    Hasil siasatan awal mendapati kematian kanak-kanak itu akibat didera dengan terdapat pelbagai kesan kecederaan baharu dan lama di seluruh tubuh badannya.

    Antara kecederaan yang dapat dilihat adalah kesan dicucuh api atau benda panas di seluruh badan mangsa, termasuk di kemaluan dan digigit di telinga.

    Sehubungan itu,lima suspek telah ditahan polis termasuk kakak mangsa dan suami, serta tiga rakan kepada wanita berkenaan untuk siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, setakat ini, polis telah memanggil 10 individu terdiri daripada ahli keluarga dan beberapa individu untuk siasatan.

    “Kita juga akan memanggil lebih ramai individu untuk membantu siasatan. Selain itu, tempoh tahanan reman terhadap lima suspek yang berakhir Sabtu ini akan disambung sehingga siasatan selesai,” katanya.

    Sementara itu, beliau mengingatkan masyarakat awam agar menggembleng tenaga dan bersikap peka terhadap kesejahteraan kanak-kanak yang berada di kejiranan mereka.

    Katanya, sikap ambil tahu dan melaporkan kepada pihak berkuasa berhubung sebarang salah laku yang berlaku boleh mengelakkan daripada kejadian penderaan berulang pada masa depan.

  • Guna dron bawa masuk barang terlarang ke penjara

    Guna dron bawa masuk barang terlarang ke penjara

    POLIS mematahkan cubaan tiga lelaki menggunakan dron untuk membawa masuk barang terlarang ke dalam kawasan Penjara Machang pada 1.05 pagi, 12 Disember lalu

    Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang sebelum itu menerima erima maklumat berhubung satu unit dron yang kelihatan diterbangkan dan menceroboh kawasan penjara.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dron tersebut dipercayai digunakan oleh pengendalinya untuk membawa masuk barang terlarang ke dalam kawasan Penjara Machang.

    “Susulan itu, pihak kami telah berjaya mengesan peranti yang digunakan di kawasan berdekatan iaitu di Jalan Kuing Indah, Kampung Pangkal Meleret, Machang.

    “Semasa serbuan dilakukan, tiga lelaki berusia 35 hingga 39 tahun bertindak tergesa-gesa masuk ke dalam sebuah kereta jenis Honda CRV dan memecut laju melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, bagaimanapun kesemua suspek berjaya ditahan di Jalan Utama Kuala Krai – Kota Bharu di Kampung Bukit Belah, Machang.

    “Pemeriksaan yang dijalankan ke atas kereta dan tiga suspek membawa kepada penemuan 41 bungkusan kecil mampat disyaki tembakau, 20 biji mercun bola, 13 bungkusan tembakau dan alat kawalan jauh dron model rc123.

    “Turut ditemui ialah lima unit telefon bimbit, dua unit power bank, satu bilah parang, sabit, alat penimbang digital, dua gulung dawai besi, plastik pembalut dan tiga gulung tali nylon berwarna kekuningan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Muhamad Zaki berkata, mereka ditahan dan telah disiasat atas kesalahan Seksyen 447 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958.

    “Pada 19 Disember lalu mereka telah dituduh di Mahkamah Majistret Machang dan telah mengaku bersalah untuk kesalahan di bawah seksyen 58(1) Akta Penjara 1995 baca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan Peraturan 140 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 (MCAR) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    “Pada 20 Disember, salah seorang daripada mereka dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Bharu dan mengaku bersalah di bawah Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1957,” katanya.

    Menurut beliau, suspek dijatuhkan hukuman penjara lima tahun setiap satu pertuduhan serta satu sebatan dan hukuman berjalan serentak.

    Dalam pada itu, Muhamad Zaki menasihatkan dan mengingatkan orang ramai bahawa menerbangkan dron tanpa permit atau tanpa kebenaran daripada Jabatan Penerbangan Awam adalah merupakan satu kesalahan.

    Beliau menegaskan penggunaan peranti tersebut untuk tujuan jenayah adalah satu kesalahan yang boleh diambil tindakan dari segi undang-undang yang ada.

    “Kami tidak akan berkompromi dengan pelanggaran perundangan ini dan tindakan tegas akan diambil sewajarnya,” katanya.