Category: Jenayah

  • Suspek kes letupan Pandan Indah diberkas

    Suspek kes letupan Pandan Indah diberkas

    POLIS memberkas sepasang suami isteri yang disyaki terbabit dalam kejadian letupan di Pandan Indah, Ampang Jaya, Khamis lalu.

    Sumber berkata, kedua-dua suspek diberkas di sebuah rumah di Kedah, tengah malam tadi.

    Sejurus ditahan, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

    Pada masa ini, kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang bagi mendapatkan perintah tahanan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan.

    Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 malam Jumaat lalu, seorang tukang masak maut akibat letupan bungkusan diletak di atas keretanya di depan sebuah restoran di Pandan Indah, Ampang Jaya.

    Mangsa berusia 28 tahun dilaporkan mahu mengalih sebuah bungkusan diletakkan di atas keretanya, selepas dimaklumkan rakan sekerja, lapor Berita Harian.

  • Curi wang daripada mesin ATM:Pekerja syarikat kawalan keselamatan ditahan bersama RM 5,000

    Curi wang daripada mesin ATM:Pekerja syarikat kawalan keselamatan ditahan bersama RM 5,000

    SEORANG pekerja syarikat kawalan keselamatan ditahan dan wang tunai RM 5,000 dirampas selepas polis melakukan serbuan di sebuah rumah di Kundang, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan sepasukan polis pada pukul 1.45 pagi.

    “Suspek disyaki terbabit dalam kes curi wang daripada sebuah mesin juruwang automatik (ATM) Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya, di Kuala Selangor, Ahad lalu.

    “Pemeriksaan lanjut di kediaman suspek turut menemukan wang tunai RM 5,000,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Ramli berkata, kejadian terbabit disedari seorang rakan suspek yang membuat pembaikan kerosakan mesin ATM itu.

    “Rakan suspek mendapati satu seal casset bahagian bawah dan casset penolakan wang dalam keadaan terbuka dan tiada wang di dalamnya.

    “Curiga dengan keadaan itu, dia kemudian membuat laporan polis pada 11.40 malam,” katanya.

    Ramli berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

  • Remaja dirogol Inspektor, polis hantar bukti ke jabatan kimia

    Remaja dirogol Inspektor, polis hantar bukti ke jabatan kimia

    POLIS menahan seorang Inspektor dan menyerahkan beberapa bahan bukti kepada Jabatan Kimia susulan siasatan kes remaja perempuan 16 tahun dirogol di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan di Yan, Rabu lalu.

    Suspek berusia 34 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan selain polis juga memanggil mangsa bersama ahli keluarganya ke IPD berkenaan untuk dirakam keterangan mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

    “Selain itu polis turut merampas pakaian yang dipakai mangsa ketika kejadian untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

    “Polis juga merampas tiga telefon bimbit masing-masing milik remaja berkenaan, rakannya dan juga suspek untuk dihantar ke makmal forensik,” menurut sumber kepada Harian Metro, hari ini.

    Warta Rakyat semalam melaporkan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun menjadi mangsa rogol seorang Inspektor ketika berada dalam bilik pejabatnya di IPD Yan pada 6.30 petang Rabu lalu.

    Suspek dikatakan mengambil kesempatan terhadap mangsa dengan menggunakan alasan untuk menjalankan siasatan terhadap remaja berkenaan yang sebelum itu membuat laporan mendakwa dirogol bapa tiri.

    Ketika berada dalam bilik, Inspektor berkenaan yang juga pegawai penyiasat kes membabitkan remaja perempuan itu memberitahu dia mahu membuat pemeriksaan pada kemaluan mangsa.

    Mangsa mendakwa kejadian itu berlaku hampir 30 minit dan selepas itu dia diminta pegawai polis terbabit memakai kembali pakaiannya selain turut diberitahu yang kes berkenaan belum selesai serta diarahkan kembali untuk siasatan.

    Susulan daripada itu, mangsa yang sudah tidak bersekolah tampil membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit selepas tiga hari ia berlaku dan dia juga dipanggil ke IPD untuk memberi keterangan.

    Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan laporan dan penahanan pegawai berkenaan namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan berhubung kejadian itu masih dijalankan.

    Sumber berkata, hasil pemeriksaan lanjut polis merampas sarung bantal serta cadar yang dipercayai mengandungi sampel DNA, rambut, bulu dan juga pisau cukur.

    “Semua bahan yang dirampas itu diserahkan ke Jabatan Kimia Malaysia untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

  • Suaram gesa siasatan telus ke atas dakwaan remaja dirogol polis

    Suaram gesa siasatan telus ke atas dakwaan remaja dirogol polis

    SUARA Rakyat Malaysia (Suaram) menggesa siasatan telus ke atas dakwaan seorang gadis berusia 16 tahun yang dirogol seorang pegawai polis.

    Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy berkata, prosedur mengendalikan kes rogol dan gangguan seksual juga perlu diteliti, selaras Akta Anti Gangguan Seksual 2022.

    “Suaram mengingatkan pihak umum bahawa ini bukan kali pertama pihak media membongkarkan kes rogol atau gangguan seksual yang dilakukan pegawai polis.

    “Kami khuatir kes sebegini tetap berulang kerana budaya bebas daripada sebarang hukuman,” katanya dalam kenyataan, lapor Free Malaysia Today (FMT), hari ini.

    Beliau berkata, insiden ini satu lagi contoh mengapa Rang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dicadangkan pada 2019, yang digantikan RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) semasa, perlu dikembalikan.

    “IPCC tiada kuasa menyiasat dan penguatkuasaan mencukupi. Sebarang keputusan siasatan oleh IPCC hanya dirujuk kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP), akan tetapi SPP tidak mempunyai kewajipan melaksanakan cadangan tersebut ataupun melapor balik kepada IPCC.”

    Sevan turut menggesa sistem akauntabiliti dalam pasukan polis diperkukuhkan bagi membaiki imej jabatan dan mendapat kepercayaan orang ramai.

    Semalam, media melaporkan seorang remaja membuat laporan mendakwa dirogol seorang pegawai polis berpangkat inspektor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Setar. Pegawai terbabit sudah ditahan.

    Mangsa membuat laporan tiga hari selepas dakwaan serangan seksual oleh suspek dalam lingkungan 30-an.

    Menurut akhbar itu, mangsa dipanggil inspektor itu untuk membantu siasatan berhubung kes rogol berasingan membabitkan gadis itu dan bapa tirinya.

    Mangsa yang tidak bersekolah lagi, membuat laporan pada Sabtu lalu dan memberi keterangan di IPD sebelum menjalani pemeriksaan di hospital.

  • Lelaki ditemukan mati di restoran

    Lelaki ditemukan mati di restoran

    SEORANG lelaki berketurunan Siam berusia 31 tahun ditemukan mati di sebuah restoran di Koa Bharu, semalam.

    Penemuan tersebut dimaklumkan orang awam kepada pihak polis menerusi panggilan telefon pada pukul 7.45 malam.

    Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah rumah kedai dua tingkat dan mempunyai tiga bilik tidur.

    “Hasil pemeriksaan awal ke atas tubuh badan mangsa mendapati tiada sebarang kesan kecederaan dan hanya terdapat kesan jerutan pada leher.

    “Selain itu barangan milik mangsa juga tiada yang hilang. Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mohd Rosdi memberitahu, hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan Asphyxia iaitu kekurangan oksigen dalam badan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    “Jenazah mangsa diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • 2,016 saman, 146 kenderaan disita dalam Op Ambang Tahun Baharu 2023

    2,016 saman, 146 kenderaan disita dalam Op Ambang Tahun Baharu 2023

    SEBANYAK 2,016 saman dan 146 buah kenderaan disita polis Pulau Pinang sepanjang Op Ambang Tahun Baharu 2023 yang dijalankan bermula 30 Disember lalu hingga kelmarin.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, dalam operasi sama, seramai tujuh individu turut atas pelbagai kesalahan antaranya memandu dalam keadaan mabuk, menggunakan nombor pendaftaran palsu dan kesalahan dadah.

    Jelas beliau, Op Ambang Tahun Baharu 2023 itu melibatkan seramai 1,294 pegawai dan anggota polis Pulau Pinang yang memfokuskan kepada pencegahan jenayah dan samseng jalanan secara bersepadu dengan kerjasama beberapa agensi lain.

    “Operasi ini turut dijalankan bersama agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi sekatan jalan raya bagi mengenal pasti pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang.

    “Operasi ini juga bertujuan memastikan Tahun Baharu 2023 tidak dikotori dengan kegiatan samseng jalanan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di Georgetown hari ini.

    Sementara itu, tambah beliau, polis Pulau Pinang turut menjalankan operasi pencegahan jenayah di beberapa kawasan tumpuan orang awam dan pengunjung yang mana sejumlah 61 premis pusat hiburan dan sebanyak 5,340 kenderaan telah diperiksa.

    “Seramai 6,427 individu juga telah diperiksa dan dijalankan saringan air kencing yang mana seramai 71 daripada mereka ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Senjata Api 1971, Akta Racun, Akta Dadah Berbahaya, Akta Pertubuhan dan sebagainya,” katanya.

    Tambahnya, polis Pulau Pinang akan terus menjalankan operasi-operasi sedemikian bagi memastikan keadaan di negeri itu kekal aman.

  • PUTRA lapor polis terhadap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka isu rasuah

    PUTRA lapor polis terhadap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka isu rasuah

    PARTI Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Melaka membuat laporan polis terhadap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berhubung dakwaan rasuah dan salah guna kuasa.

    Ketua Wanita PUTRA, Laila Norinda Maon, berkata Putra Melaka tidak menggesa pihak berkuasa melakukan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan sekiranya berlaku rasuah dalam pemberian konsesi di bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

    Laporan itu dibuat selepas beliau melihat klip video berdurasi 5 minit 19 saat di Facebook (FB) kelmarin yang jelas mengaitkan Ab. Rauf dengan isu penyelewengan itu.

    “Kandungan video berkenaan mendakwa duit dari MARRIS pusat yang sepatutnya diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) Melaka untuk membantu kontraktor-kontraktor kecil membangunkan perniagaan mereka tetapi dilencongkan ke Perbadanan Ketua Menteri (CMI).

    “Tindakan itu kononnya atas arahan Pengerusi Jawatankuasa Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri (Ab. Rauf) tanpa sebarang perbincangan dengan pihak lain.

    “Saya tidak menuduh atau menyalahkan beliau atau mana-mana pihak, sebaliknya mahu pihak berwajib menjalankan siasatan sama ada dakwaan itu benar atau salah,” katanya hari ini, lapor BH Online.

    Laila yang juga Ahli Dewan Tertinggi (ADT) berkata, dakwaan dalam kandungan video terbabit mesti dipandang serius oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    “Sebagai anak jati Melaka dan mewakili PUTRA Melaka, kami membantah sekeras-kerasnya pemimpin yang menyalahgunakan kuasa mahupun mempunyai agenda atas kepentingan sendiri dan menggunakan harta kerajaan untuk diri mereka.

    “Saya sudah membuat laporan polis semalam dan menyerahkan kepada pihak berwajib menjalankan siasatan,” katanya.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu petang semalam di Balai Polis Ayer Keroh dan siasatan lanjut masih dijalankan.

  • Remaja 16 tahun dakwa dirogol polis

    Remaja 16 tahun dakwa dirogol polis

    SEORANG remaja perempuan mendakwa menjadi mangsa rogol pegawai berpangkat inspektor ketika berada di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), dekat Alor Setar, pukul 6 petang, Rabu minggu lalu.

    Gadis berusia 16 tahun itu membuat laporan polis selepas pada Sabtu lalu dan dia mendakwa dirogol inspektor itu ketika berada dalam bilik pejabat pegawai terbabit di IPD berkenaan.

    Sumber mendakwa, mangsa pada mulanya dipanggil inspektor berusia 30-an itu ke IPD untuk membantu siasatan berhubung satu kes rogol membabitkan remaja terbabit yang dikatakan dilakukan bapa tiri terhadap dirinya.

    “Ketika berada dalam bilik, inspektor berkenaan yang juga pegawai penyiasat kes membabitkan remaja perempuan itu memberitahu dia mahu membuat pemeriksaan pada kemaluan mangsa.

    “Mangsa ketika itu sedang duduk di kerusi dan pegawai berkenaan kemudian memintanya supaya mengangkang untuk memudahkan pemeriksaan dilakukan terhadapnya,” katanya lapor Harian Metro.

    Menurut sumber berkenaan lagi, pegawai polis itu kemudian memegang kemaluan mangsa dan diminta supaya baring atas katil yang ada dalam bilik berkenaan dalam keadaan bogel.

    Menurutnya, pada masa sama pegawai berkenaan gagal mengawal nafsu dan merogol remaja terbabit.

    “Pegawai polis berkenaan memberi alasan alat yang digunakan untuk membuat pemeriksaan ke atas mangsa gagal berfungsi dengan baik.

    “Walaupun takut namun mangsa tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya mampu membiarkan tubuhnya dinoda inspektor berkenaan,” katanya.

    Menurutnya, mangsa mendakwa yang kejadian itu berlaku hampir 30 minit dan selepas itu dia diminta pegawai polis terbabit memakai kembali pakaiannya selain turut diberitahu yang kes berkenaan belum selesai serta diarahkan kembali untuk siasatan.

    “Susulan daripada itu, mangsa yang sudah tidak bersekolah tampil membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit selepas tiga hari ia berlaku dan dia juga dipanggil ke IPD untuk memberi keterangan.

    “Remaja perempuan itu juga sudah dibawa menjalani pemeriksaan di hospital dan sepasukan polis unit forensik yang menjalankan siasatan di lokasi kejadian turut menemui beberapa kesan dipercayai air mani pada cadar serta sarung bantal,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan laporan dan penahanan pegawai berkenaan namun enggan mengulas lanjut keana siasatan berhubung kejadian itu masih dijalankan.

  • 158 ketul ganja dijumpai di Sungai Yan

    158 ketul ganja dijumpai di Sungai Yan

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEBANYAK 158 ketulan ganja mampat ditemukan orang awam dalam keadaan berselerak di Sungai Yan berdekatan Kampung Tengah Makau, Yan kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji berkata, maklumat diperolehi daripada seorang lelaki yang menjumpai dadah di tebing serta terapung di sungai terbabit.

    Katanya, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan kemudian bergegas ke lokasi kejadian.

    “Pemeriksaan yang dilakukan menemukan 80 ketulan mampat dan sebaik diperiksa terdapat daun-daun kering yang dibaluti plastik lutsinar dan berwarna perak di tepi tebing Sungai Yan.

    “Siasatan lanjut menemui sejumlah 78 lagi ganja yang dibalut dengan plastik lutsinar berwarna emas di dalam sungai berdekatan pintu air kira-kira 500 meter dari lokasi penemuan pertama,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

    Shahnaz Akhtar berkata, kesemua 158 ketulan ganja itu kemudiannya di bawa ke IPD Yan untuk siasatan lanjut.

    Menurutnya, polis sedang menyiasat bagaimana ganja itu boleh berada di situ dan mengesan individu yang mungkin meninggalkan ganja terbabit.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Mayat dengan 4 kesan tembakan ditemukan tersangkut pada pokok

    Mayat dengan 4 kesan tembakan ditemukan tersangkut pada pokok

    SEORANG pemancing terkejut apabila menemukan satu mayat lelaki dengan empat kesan tembakan di kepala tersangkut pada pokok di tebing Sungai Golok di Bukit Bunga, Tanah Merah, Tumpat, semalam.

    Mayat berkenaan yang hanya berseluar tanpa baju ditemui di Pangkalan Haram Belakang Berek 12 dalam keadaan mereput pada jam 3 petang.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata tiada sebarang pengenalan diri dijumpai bersama mayat tersebut.

    “Berdasarkan keadaan mayat, kita percaya kematiannya sudah lebih dua minggu dan memandangkan ia sudah mereput, proses pengecaman agar sukar dibuat.

    “Begitu juga dengan kesan tembakan, kita percaya mangsa ditembak dalam jarak dekat namun siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengetahui jenis pistol yang digunakan.

    “Proses bedah siasat dijalankan di Hospital Tanah Merah dan kita juga akan melihat kesan lain di badan termasuk kesan suntikan imunisasi BCG (Bacillus Calmette Guerin) serta dapatkan cap jari untuk ujian DNA (asid deoksiribonukleik),” katanya pada sidang media di Tumpat, hari ini.

    Muhamad Zaki berkata, hebahan sudah dibuat kepada semua daerah di negeri ini bagi mengetahui sama ada terdapat laporan mengenai orang hilang atau sebarang insiden.

    Katanya, hebahan sama juga dijalankan di sebelah negara jiran (Thailand) dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

    Terdahulu, beliau hadir di Balai Polis Wakaf Bharu bagi menyempurnakan majlis anugerah Pengurusan Perumahan Terbaik PDRM 2021 yang dimenangi oleh balai polis terbabit.

    Dalam perkembangan empat anggota polis yang terbabit dalam siasatan kes samun dan cabul di Tanah Merah, Muhamad Zaki berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan pihaknya memerlukan masa untuk meneliti serta mengambil beberapa kenyataan lagi untuk melengkapkan kertas siasatan.

    “Setakat ini ada bukti menunjukkan tapi kita perlukan masa untuk meneliti dan mengambil beberapa kenyataan lagi untuk membantu siasatan sebelum laporan dihantar kepada pihak atasan.

    “Kita tak nafikan dalam PDRM ada yang membuat sesuatu yang menyalahi peraturan dan kami tidak akan teragak-agak untuk ambil tindakan secara adil,” katanya, lapor Berita Harian.

    Media sebelum ini melaporkan empat anggota polis yang berpangkat konstabel dan koperal ditahan bagi membantu siasatan untuk kes samun dan cabul pada Rabu lalu.

    Keempat-empat suspek ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 395/354 Kanun Keseksaan.